DETIK itu, hari itu,
masa itu, segalanya masih segar di ingatannya. Peristiwa yang tidak mampu di
kambus dalam memorinya. Peristiwa yang mengubah seratus peratus corak
kehidupannya.
“ Kenapa polis datang
rumah kita, mama?”
Bertubi-tubi soalan itu
di ajukan kepada Puan Ainina. Namun soalan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan
membuatkan Amir Rifqi tertanya sendirian. Dadanya berdebar hebat. Takutnya
hanya Allah sahaja yang tahu.
Yang lebih menyayat
hati apabila seorang anggota polis menuju ke arah ayahnya lalu menggari kedua
belah tangan ayahnya. Ya Allah, luluhnya hati ini. Hancurnya hati ini apabila
melihatkan ayahnya di gari sebegitu persis seorang penjenayah besar.
“ Mama, kenapa polis
gari tangan abah?” tanya Amir Rifqi panik. Dia pandang ke arah Puan Ainina.
Namun tiada jawapan yang terlontar. Wajah itu sudah basah dengan airmata.
Tetapi kenapa? Di pandang pula kepada Encik Amin.
“ Abah, kenapa ni?”
Encik Amin hanya mampu
menggeleng dan menunduk. Amir Rifqi tahu pastinya ayahnya malu dengannya. Ah
mengapa anggota polis tidak mahu menjaga airmuka ayahnya? Ya Allah, apakah
kesalahan yang telah dilakukan ayahku sehingga dia di gari sebegitu?
Amir Rifqi terus
memberi tumpuan kepada Encik Amin. Alangkah sukarnya saat itu. Pada pipinya
jelas kelihatan airmata berjuraian jatuh. Tidak pernah sepanjang keremajaannya
dia melihat bapa yang menjadi tunjang keluarganya menangis di hadapannya.
Adakah kali ini merupakan kali pertama dan terakhir dia melihat ayahnya
menangis? Hati Amir Rifqi merintih berat. Sungguh dia tidak sanggup melihat
airmata yang jatuh di pipi ayahnya yang tercinta.
“ Abah?” panggil Amir
Rifqi.
Encik Amin
menggelengkan kepalanya. Perasaannya sungguh tertekan. Ah apakah yang harus
dibicarakan kepada anak tunggalnya ini? Bolehkah anaknya memahami situasinya?
Ya Allah, kenapa berat sangat ujian yang Kau berikan kepadaku?
Pada saat ini, ketika
airmata mengalir laju di pipinya dan kesakitan batin yang tidak mampu
dibayangkan dengan kata-kata, dengan isyarat longlai, Encik Amin meminta Amir
Rifqi datang kepadanya. Ya dia mahu memeluk anaknya selagi dia berpeluang untuk
memeluknya. Entah esok atau lusa dia masih diberi peluang ini atau tidak. Atau
dia terus terkurung di dalam geriji besi selamanya.
Pantas sahaja Amir
Rifqi mendapatkan ayahnya. Sungguh dia ingin mendapatkan ayahnya lebih daripada
segalanya. Dia tidak sanggup berpisah dengannya. Mereka terus berdakapan seakan
tidak mahu berpisah.
“ Tolong jaga mama
elok-elok. Mama sakit. Jangan buat mama susah hati. Abah sudah tiada, jadi
Rifqi perlu ambil tugas menjaga keluarga sekarang,” kata Encik Amin dalam sebak
yang mencengkam jiwa. Perasaannya terus tertekan. Hatinya terus merintih.
Amir Rifqi menggeleng.
Sungguh dia tidak mengerti dengan bicara ayahnya itu. Ya Allah, kenapa
keluargaku di uji sebegini?
“ Abah nak pergi mana?”
tanya Amir Rifqi.
Ah, pastinya abah akan
di bawa pergi oleh anggota polis itu. Tetapi kenapa? Apakah kesalahan yang
telah dilakukannya?
Ya Allah, ampunilah
segala dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Dan rahmatilah keduanya seperti mana
mereka mendidikku dari kecil hinggalah dewasa.
“ Abah tak bersalah
sayang. Abah dianiaya,” kata Encik Amin. Kemudian dia mencium ubun rambut Amir
Rifqi. Dan tatkala ciuman berderai, tubuh Encik Amin terus di heret oleh
anggota polis.
Amir Rifqi terpaku.
Hatinya tersiat dalam. Tidak sanggup dia menyaksikan keadaan itu. Ayahnya
dibawa pergi persis seorang penjenayah besar.
“ Abah, abah, jangan
tinggalkan Rifqi,” jerit Amir Rifqi.
Namun jeritan Amir
Rifqi itu langsung tidak dipedulikan oleh anggota polis tersebut. Mereka terus
membawa Encik Amin menuju ke kereta polis yang diparkir di hadapan rumah.
Sampai sahaja di hadapan kereta, tubuh Encik Amin terus ditolak masuk ke dalam
kereta.
Ya Allah, sakitnya hati
ini. Pedihnya. Seorang bapa yang menjadi tunjang kepada sebuah keluarga di bawa
pergi dalam keadaan aib begini. Tidak! Tidak! Ayahku bukan seorang penjenayah!
Tak mungkin! Hatinya terus menafikan apa yang sedang dilihatnya.
“ Abang! abang!”
Kali ini barulah Amir
Rifqi sedar akan kehadiran ibunya di sisi. Ibu yang banyak menyepi sejak dari
tadi. Airmata semakin laju mengalir di pipi. Pantas tubuh Puan Ainina
dipeluknya erat.
“ Ya Allah, kenapa Kau
uji keluarga ku seberat ini?” rintih Puan Ainina dalam dakapan Amir Rifqi.