Home Novel Komedi/Romantik Komedi Lasernya Mulut Dia
Lasernya Mulut Dia
Rabihah Nur Ridhuan
25/2/2015 17:56:01
85,090
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11

Ayris Imani membaca surat jemputan yang dihulurkan oleh ayahnya. Sebuah forum yang dianjurkan oleh agensi bukan kerajaan tentang pelaksanaan hukum hudud di Malaysia. Sebuah forum yang agak menarik pada pandangan Ayris Imani. Apatah lagi isu hukum hudud bukanlah perkara baru. Ia mendapat liputan meluas di negara ini setelah negara jiran, iaitu Brunei telah melaksanakan hukum Allah ini.

“ Ayah, sebenarnya apakah hukum hudud tu?” tanya Ayris Imani inginkan penjelasan sebenar. Dia tahu bapanya yang sudah lama berkecimpung dalam bidang perundangan pastinya mengetahui perkara ini dengan sejelas-jelasnya.

Tan Sri Hasan yang mendengar pertanyaan Ayris Imani itu tersenyum gembira. Dia begitu seronok apabila Ayris Imani mahu mengambil tahu tentang hal-hal keagamaan. Dia berdoa agar Ayris Imani tidak menjadi sepertinya yang telah mengetepikan hal-hal keagamaan dalam kehidupan sehariannya suatu masa dahulu.

“ Hukum hudud adalah hukuman yang telah ditetapkan Allah dalam al-Quran dan hadis. Manusia dilarang mengubah, menokok atau mengurangkannya. Kalau Iman nak tahu, hudud ini terdiri daripada pelbagai kesalahan. Dalam perbahasan ulama, hudud dikatakan mempunyai enam atau tujuh kesalahan. Antaranya ialah zina, qazaf, minum arak, merompak dan murtad. Kesalahan-kesalahan yang ayah sebutkan tadi bukan sahaja telah termaktub di dalam al-Quran, malah hukumannya juga telah ditetapkan Allah,” jelas Tan Sri Hasan panjang lebar.

“ Hukuman hudud yang Iman tahu adalah hukuman bagi orang yang mencuri adalah potong tangan. Hukuman lain Iman tak lulus lagi. Iman bukannya pandai sangat undang-undang syariah ni,” kata Ayris Imani mengaku kekilafan dirinya.

“ Itulah yang ayah tak suka. Sepatutnya Iman sebagai pengamal undang-undang tahu undang-undang syariah dan undang-undang sivil walaupun Iman hanya handle kes sivil sahaja,” nasihat Tan Sri Hasan.

Ayris Imani hanya tersengih apabila ayahnya menasihatinya sebegitu.

“ Sebenarnya Iman, hukum hudud ini telah dilaksanakan dalam Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Tetapi apabila British datang menjajah negara kita menyebabkan hukuman itu terhakis. Lebih teruk lagi apabila fungsi mahkamah syariah sudah dikecilkan sebagaimana yang kita lihat hari ini. Mahkamah syariah pada waktu itu diletakkan di bawah mahkamah sivil dan sebarang keputusan mahkamah syariah boleh dipinda oleh mahkamah sivil,” terang Tan Sri Hasan lagi.

“ Oh baru Iman tahu. Iman ingatkan negara kita ini tak pernah melaksanakan hudud,” kata Ayris Imani penuh minat.

“ Sebab itu ayah suruh Iman master dalam syariah law juga,” nasihat Tan Sri Hasan lagi.

“ Sebab apa hudud masih sukar dilaksanakan di Malaysia, ayah? Adakah sebab negara kita ini berbilang kaum? Tidak seperti di Brunei, penduduknya kecil dan tidak berbilang kaum,” tanya Ayris Imani masih ingin mengetahui dengan sejelas-jelasnya.

“ Sebenarnya Iman, sistem perundangan di Malaysia tidak sama dengan sistem perundangan di Brunei. Kuasa tertinggi di Brunei terletak pada sultan sendiri dan Brunei mengamalkan pemerintahan secara monarki. Jadi sultan berhak menitahkan sebarang arahan kepada kerajaannya sama ada mahu dilaksanakan undang-undang Islam atau sebaliknya. Perkara ini tidak berlaku di negara kita. Walaupun ada di kalangan sultan Melayu yang menitahkan hukum hudud dijalankan, namun ia tidak mengikat pihak Parlimen untuk melaksanakannya,” terang Tan Sri Hasan.

“ Maknanya ayah, kalau Malaysia mahu melaksanakan hukum hudud perkara pokok yang perlu dibuat adalah meminda Perlembangan Persekutuan dengan kelulusan 2/3 ahli Parlimen daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” tambah Ayris Imani. Cuba memberikan pendapatnya.

“ Betul tu. Kalau dipersetujui kerajaan juga perlu meminda akta bidang kuasa mahkamah syariah 1984 yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah selama ini,” kata Tan Sri Hasan lagi.

“ Dan sebab itu jugalah Kelantan hingga kini tidak mampu melaksanakan hudud?” tanya Ayris Imani.

“ Kelantan tidak boleh melaksanakan hudud disebabkan keterbatasan akta bidang kuasa mahkamah syariah 1984 untuk menjatuhkan hukuman seperti yang dijelaskan dalam hukum hudud. Kalau Iman ada masa, cuba Iman rujuk jadual 9 senarai 2, kuasa yang diberikan oleh Parlimen kepada kerajaan negeri hanya khusus melibatkan jenayah-jenayah bersifat individual sahaja. Selain itu, sebarang undang-undang yang hendak dibuat dan dijalankan oleh kerajaan negeri mesti selari dengan perlembagaan,” terang Tan Sri Hasan.

Ayris Imani mengangguk. Ternyata ayahnya begitu arif dan faham dengan undang-undang syariah walaupun ayahnya bukannya seorang peguam syariah. Timbul kekaguman di dalam dirinya apabila melihatkan ayahnya itu begitu petah memberikan pendapatnya.

“ Maknanya ayah, sebarang hukuman yang hendak dibuat oleh kerajaan negeri mesti tidak boleh mendahului daripada segala yang termaktub di dalam perlembagaan?” tanya Ayris Imani yang masih lagi berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang hukuman hudud ini.

Tan Sri Hasan mengangguk.

“ Perkara tersebutlah yang menyebabkan sehingga ke hari ini Kelantan tidak dapat melaksanakan undang-undang Islam itu,” kata Tan Sri Hasan.

Ayris Imani mengangguk. Pada zaman salafussoleh dahulu, fungsi Hudud adalah membawa keselamatan hidup di dunia dan akhirat. Tetapi sekarang hudud ini di anggap zalim disebabkan oleh masyarakat yang jahil agama, yang lemah iman, yang tidak sabar dan faham erti ujian dan takdir Allah SWT.

“ Ayah sokong tak hudud?” tanya Ayris Imani terus menduga.

“ Iman pula bagaimana?” tanya Tan Sri Hasan kepada Ayris Imani kembali. Dia tersenyum sambil memandang raut wajah anaknya.

“ Iman tak berani komen sebab Iman ini cetek sikit tentang undang-undang syariah. Tetapi bagi Iman hukuman Allah mestilah kita laksanakan. Walaupun ada juga orang kata hudud ni tak sesuai di Malaysia sebab Malaysia ni masyarakat majmuk. Nanti kalau hudud dilaksanakan habislah industri pelancongan kita dan macam-macam lagilah,” kata Ayris Imani.

Ayris Imani sedar dalam keghairahan masyarakat memberi pendapat, tanpa sedar pendapat itu sebenarnya telah mengheret mereka untuk menghina hukum islam. Kadang-kala manusia tidak sedar bahawa hudud itu bukanlah miliknya atau milik orang lain tetapi ia adalah hukum yang diturunkan kepada manusia kerana keihsanan Yang Maha Kuasa.

“ Ayah rasa sudah ada kewajaran untuk kita melaksanakan hukuman hudud. Iman lihat sahajalah statistik kesalahan jenayah di negara kita. Semakin ketara dan tidak boleh dibendung lagi. Tetapi kalau dilaksanakan nanti, pastinya akan terhasil satu perubahan yang besar dan ketara. Antara yang boleh dilihat jelas adalah pelbagai kesalahan di bawah mahkamah sivil akan dipindahkan ke mahkamah syariah,” kata Tan Sri Hasan.

“ Tetapi kan ayah, negara kita masyarakat majmuk bukan? Sesuai ke ayah kalau nak laksanakan hudud?” tanya Ayris Imani lagi. Itulah alasan yang banyak diberikan di media massa.

“ Pelaksanaan hudud ini bukan melibatkan soal majmuk atau tidak sesebuah negara. Hudud ini hanya melibatkan orang Islam. Orang bukan Islam mempunyai pilihan sama ada mahu memilih undang-undang sivil yang sedia ada atau hukum hudud. Jadi ayah rasa, soal majmuk bukan merupakan kekangan atau masalah yang membuatkan Malaysia sehingga ke hari ini tidak mampu melaksanakan hudud,” kata Tan Sri Hasan.

“ Sebab itulah kerajaan perlu mewar-warkan hukuman hudud ini di media massa supaya masyarakat faham dan dapat diterima oleh masyarakat Malaysia. Tak de lah masyarakat asyik pandang hudud ini adalah satu hukuman yang kejam,” Ayris Imani memberikan pendapatnya pula.

“ Betul tu, Iman. Masyarakat kadang-kala melihat hukuman hudud itu kejam dan tidak berperikemanusian. Ini semua disebabkan mereka terlalu terpengaruh dengan propaganda barat. Islam bukan agama menghukum tetapi agama mendidik. Dalam islam hukum itu adalah langkah terakhir. Kalau sesuatu perkara itu cuba dihalang tetapi tidak boleh juga maka langkah terakhir adalah menghukum.”

“ Sebenarnya hukuman hudud itu ada tahapnya dan bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Contohnya seperti berzina. Secara umumnya, masyarakat hanya tahu hukuman bagi kesalahan itu adalah sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin dan rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin. Tapi sebenarnya pembuktian zina itu terlalu ketat sebab kes-kes zaman Nabi pun yang pernah dihukum, semuanya berdasarkan pengakuan orang yang melakukan kesalahan dan bukannya berdasarkan keterangan saksi.”

“ Sebab itulah perkara ini perlu dijelaskan kepada masyarakat. Kalau mereka faham, mereka tidak akan risau dan menentang perlaksanaan hukum hudud ini. Hukuman berzina dalam mahkamah syariah hanya denda atau penjara. Lepas tu mereka akan berzina lagi sebab bukannya susah pun bayar denda. Sebab tu lah anak luar nikah dibuang merata tempat,” komen Ayris Imani.

“ Ha itulah pasal. Kalau hukum islam rejam sampai mati bagi yang pernah berkahwin dan sebatan bagi yang bujang. Agak-agak kalau kita tengok hukum rejam atau sebat tu tergamak tak kita nak buat zina? Islam sendiri merupakan ajaran mendidik. Bukan menghukum sesuka hati. Malah pensyariatan hudud dan qisas di dalam hukum jenayah islam sendiri adalah untuk mendidik masyarakt menjadi baik. Membentuk masyarakat yang takut untuk melakukan kejahatan dan kemungkaran hasil dari kesedaran dari dalam diri mereka sendiri,” terang Tan Sri Hasan panjang lebar

Ayris Imani mengangguk. Bersetuju dengan bicara ayahnya itu. Sememangnya hukuman hudud ini adalah bertujuan untuk mencegah serta mendidik dan bukanlah semata-mata untuk menghukum. Tidak wujud penindasan bagi sesetengah golongan. Malah, undang-undang jenayah Islam cukup adil bagi semua agama.

“ Kita adalah pejuang keadilan, Iman. Jika Iman hayati konsep dan pelaksanaannya, Iman pasti akan mengangkat tangan untuk menjadi orang yang pertama melaungkan pelaksanaannya,” kata Tan Sri Hasan lagi.



Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.