Home Novel Komedi/Romantik Komedi Lasernya Mulut Dia
Lasernya Mulut Dia
Rabihah Nur Ridhuan
25/2/2015 17:56:01
85,104
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 5

Keputusan mahkamah yang merobek hati Encik Amin sekeluarga. Keputusan yang membuatkan dia akan dipenjara. Sekaligus akan melontarkan dia ke lembah derita yang berpanjangan.

“ Sudahlah Ain, jangan menangis lagi,” kata Encik Amin menenangkan Puan Ainina yang sedang menangisi nasib malang suaminya.

“ Kenapa mereka begitu kejam sekali, abang?” luah Puan Ainina. Airmatanya mengalir laju. Sudah tidak tertanggung rasanya bebanan yang sedang dipikul keluarganya. Ya Allah, Kau berikanlah aku kekuatan untuk menempuhi dugaan berat ini.

“ Abang sudah agak dah. Datuk Razali tidak akan lepaskan abang begitu sahaja. Jangan putus asa, Ain. Peguam kita akan failkan kes ini ke mahkamah rayuan,” pujuk Encik Amin sambil memegang telapak tangan isterinya. Dadanya begitu sesak dengan keputusan mahkamah yang sudah dijangkanya. Di dalam hati dia mengeluh kesal. Sanggup mereka mempermainkan keluhuran perlembagaan negara. Tidak takutkah mereka dengan hukuman Allah?

“ Ain kesian kat abang. Ain kesian kat Rifqi,” kata Puan Ainina lagi. Ah penganiayaan ini benar-benar memberikan impak yang cukup besar kepada keluarga mereka. Bagaimana Amir Rifqi yang masih tidak mengerti apa-apa akan meneruskan hidupnya dengan tohmahan dan cacian daripada orang ramai?

“ Sebab tu abang harap Ain rahsiakan dulu apa yang telah terjadi kepada abang ni. Abang tak nak Rifqi tertekan. Sebab tu abang tak kasi Rifqi datang ke mahkamah hari ini. Banyak sangat perkara aib yang dilemparkan kepada abang. Abang tak sanggup biarkan Rifqi mendengar semua itu,” terang Encik Amin. Ah bagaimana pula dengan media massa? Dia tidak dapat menghalang anak tunggalnya untuk mendengar semua itu dari media massa! Ya Allah, betapa hinanya aku. Sewenang-wenangnya maruah aku dipermainkan oleh Datuk Razali.

“ Semenjak abang masuk lokap sampailah kes mahkamah ini dibicarakan, perangai Rifqi banyak berubah. Dia sudah tidak seceria dulu lagi. Ain kasihan melihat Rifqi,” luah Puan Ainina penuh kecewa.

Encik Amin hanya mampu mengeluh lemah. Dadanya sebak. Hatinya sakit. Fitnah ini benar-benar sudah memakan keluarganya dari dalam. Entah sampai bila mereka boleh bertahan dengan fitnah ini. Ya Allah, Kau tunjukkanlah kebenaran ini.

Tangan Puan Ainina yang berada di genggaman tangannya di ramas lembut. Lambat-lambat Puan Ainina mengangkat wajahnya untuk memandang suaminya. Jelas kelihatan kelopak mata Encik Amin berkaca menahan gelodak perasaannya. Sungguh hati Puan Ainina terhiris pilu. Dia rasa mahu menangis, menjerit dan meraung sekuat hati atas permainan jahat rakan sekerja suaminya itu.

Pantas sahaja tubuh suaminya dipeluk erat. Tangisannya berlagu hiba.

“ Ain benci mereka. Ain benci! Benci sebenci bencinya! Sampai mati pun Ain tak akan maafkan mereka,” kata Puan Ainina dalam tangisannya.

Encik Amin merapatkan pelukan antara mereka. Luluh hatinya mendengarkan luahan hati isterinya itu. Dia tahu betapa sengsaranya batin isterinya tatkala ini.

“ Ain, jangan begitu sayang,” kata Encik Amin. Sebak di hati semakin membuak. Airmata yang dipertahankan akhirnya melurut jatuh ke pipinya.

“ Sampai hati mereka menganiaya abang. Ain kesian kat abang. Ain kesian sangat-sangat kat abang,” kata Puan Ainina dalam tangisannya.

Dada Encik Amin begitu sakit sekali. Mengeletar tubuhnya kerana tidak tertanggung kesakitan batin yang sedang merantai dirinya. Ah, siapa sanggup hidup terpenjara sedangkan diri tidak pernah dikotori dengan dosa dan noda? Allah, kenapa keadilan tidak pernah tertegak buatku?

“ Sabarlah Ain. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini,” pujuk Encik Amin. Dia tidak mahu isterinya lemah semangat. Tidak dapat dibayangkan bagaimana kehidupan anak dan isterinya setelah dia dipenjarakan. Ah selaut kebimbangan tidak terperi buat isteri dan anaknya. Siapa yang akan menjaga mereka? Kenapa semua ini terjadi kepadaku Ya Allah? Isteriku sedang menderita penyakit maut!

“ Ain tak boleh bersabar, abang. Ain benci mereka. Kalau ikutkan hati Ain, mahu sahaja Ain bunuh mereka,” kata Puan Ainina geram. Setiap kali dia berkata, pastinya airmatanya semakin lebat berguguran. Sungguh perasaan yang mencengkam ini tidak tertanggung olehnya.

Pantas Encik Amin melepaskan pelukan antara mereka. Dia tidak boleh membiarkan isterinya mengikut perasaan laranya. Dia mahu isterinya kuat menempuhi hari-hari yang berlalu tanpa dirinya di sisi.

“ Ain, dengar sini sayang. Hanya orang yang berjiwa tauhid sahaja yang dapat memaafkan orang walau apa kesalahan yang dilakukan. Ain, selagi kita tidak memaafkan dosa orang lain, selagi itu Allah tidak akan ampunkan dosa kita. Jangan jadi seorang yang pendendam sayang,” pujuk Encik Amin dalam nada tersekat-sekat.

Puan Ainina menangis lagi. Bicara suaminya itu membuatkan hatinya tersentuh hebat. Ah, mulianya hatimu sayang, rintih Puan Ainina di dalam hatinya.

“ Janji dengan abang ya sayang. Jangan berdendam dan jangan ajar anak kita berdendam dengan apa yang telah berlaku kepada abang,” kata Encik Amin.

Puan Ainina hanya mampu mengangguk. Dalam kesayuan hati terus sahaja dia meraih tubuh Encik Amin dalam pelukannya. Allah, sungguh aku berbangga mendapat seorang suami semulia suamiku.

SEJAK kebelakangan ini Amir Rifqi tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada pelajarannya. Perasaannya tertekan dengan masalah yang sedang menghambat keluarga mereka. Kalau boleh dia mahu ayahnya segera pulang ke pangkuan keluarga mereka. Namun dari hari ke hari kelibat ayahnya masih lagi tidak kunjung tiba sehingga kadang-kala dia berasa feed up untuk menunggu.

Lamunan Amir Rifqi terganggu apabila kelibat Puan Ainina yang baru pulang masuk ke dalam rumah. Wajah ibunya itu kelihatan begitu mendung sekali.

“ Mama,” panggil Amir Rifqi. Namun malangnya Puan Ainina tidak memperdulikan panggilan Amir Rifqi dan wanita itu terus berlalu ke bilik.

Amir Rifqi mengeluh sendirian. Pasti ada sesuatu yang buruk berlaku kepada ayahnya. Kalau tidak masakan ibunya berwajah mendung begitu. Pantas sahaja Amir Rifqi bangun menuju ke bilik ibunya.

Apabila pintu bilik ibunya di kuak, kedengaran Puan Ainina sedang membaca al-quran sambil menangis tersedu-sedu. Amir Rifqi semakin pelik. Pasti ada perkara yang buruk telah berlaku! Desis Amir Rifqi sendirian.

“ Mama,” panggil Amir Rifqi.

Puan Ainina yang sedang membaca al-quran memberhentikan bacaannya. Dia memandang kepada Amir Rifqi lalu dia mengamit anak tunggalnya untuk datang kepadanya.

“ Mama sakit ke?’ tanya Amir Rifqi sambil berjalan mendapatkan ibunya. Semenjak ayahnya dipenjarakan dia jarang mendengar ibunya mengadu tentang kesakitan yang sedang ditanggungnya tatkala ini. Mungkin juga masalah ayahnya itu membuatkan ibunya sudah tidak punya kesempatan untuk berfikir tentang penyakit mautnya. Di dalam hati Amir Rifqi merintih sendirian.

“ Mari duduk sebelah mama ni, sayang,” kata Puan Ainina, tidak menjawab pertanyaan anaknya itu. Baginya dia terpaksa melupakan sementara tentang penyakit mautnya itu. Masalah suaminya adalah yang paling utama dan perlu diselesaikan dahulu. Selagi dia boleh bertahan dia akan bertahan.

“ Ada perkara yang buruk berlaku kepada abah ke?” tanya Amir Rifqi dengan debaran di dada. Sikap ibunya benar-benar meruntun perasaannya.

Puan Ainina menggeleng. Dia tidak mahu anaknya tahu tentang hukuman yang telah dijatuhkan kepada suaminya itu. Dia tidak mahu berita ini akan terus menganggu emosinya.

“ Bila abah akan balik mama?” tanya Amir Rifqi. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh ibunya itu.

“ Sikit hari lagi sayang. Ada beberapa perkara yang polis mahukan maklumat dari abah,” terang Puan Ainina. Dia rasa mahu menjerit dan meraung sekuat hati kerana terpaksa membohongi permata hatinya itu. Maafkan mama, sayang.

“ Kenapa lama sangat? Mama kata abah di aniaya tapi kenapa lama sangat polis menahan abah?” tanya Amir Rifqi lagi.

“ Biasalah tu sayang. Itu prosedur polis. Jangan bimbanglah sayang. Polis tidak akan menahan orang yang tak bersalah,” kata Puan Ainina cuba melegakan tangkai hatinya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Sungguh hatinya berasa begitu sakit sekali.

“ Jadi kenapa mama menangis?” tanya Amir Rifqi. Ada ragu pada penerangan ibunya itu. Seolah-oleh ibunya sedang menyembunyikan sesuatu kepadanya.

Puan Ainina cuba tersenyum. Namun apabila dia tersenyum, tanpa dipinta airmata kesedihan melurut jatuh ke pipinya. Sungguh perasaan ini cukup membebankan.

“ Mama baca surah Al-Imran ayat 135 hingga 136,” terang Puan Ainina sambil menyapu airmatanya.

Amir Rifqi mengerutkan keningnya. Dia memandang ibunya dengan penuh perasaan pelik.

“ Kenapa dengan ayat itu mama?” tanya Amir Rifqi. Masakan kerana membaca ayat itu ibunya boleh menangis tersedu-sedu.

“ Cuba Rifqi baca,” kata Puan Ainina sambil memberikan al-quran yang dipegagangnya kepada Amir Rifqi. Amir Rifqi mengambilnya lalu membacanya.

Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingati Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.

Balasan bagi mereka ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (itulah) sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.

“ Rifqi nampak tak betapa besarnya rahmat Allah dan pengampunan Allah kepada hambaNya?” tanya Puan Ainina setelah Amir Rifqi selesai membacanya.

Amir Rifqi hanya mengangguk. Namun dia masih tidak dapat memahami apa yang sedang dibicarakan oleh ibunya.

“ Jadi sayang, jangan berdendam. Jadilah orang yang sentiasa memaafkan,” kata Puan Ainina.

Amir Rifqi hanya menggangguk. Namun jauh di sudut hatinya dia merasakan ada sesuatu yang masih di simpan oleh ibunya. Sesuatu yang telah meruntuh hati ibunya.

“ Abah ok ke?” tanya Amir Rifqi lagi.

Puan Ainina meraih Amir Rifqi ke dalam pelukannya. Airmatanya semakin laju mengalir di pipi.

“ Abah nak mama ajar anak mama menjadi orang yang memaafkan orang lain. Bukan pendendam,” kata Puan Ainina. Di hujung bicaranya dia terus menangis teresak-esak. Ah betapa beratnya dugaan yang sedang di tanggung suaminya tatkala ini.

Previous: bab 4
Next: bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.