Ayris Imani terjaga
dari lenanya yang panjang. Dia menjeling jam di dinding. Jam sudah menginjak ke
angka tiga pagi. Ayris Imani menarik selimut. Ingin kembali melabuhkan lenanya.
Namun apabila Ayris Imani teringat akan solat sunat Tahajud membuatkan dia
memaksa matanya yang hampir terpejam untuk bangun menunaikan solat sunat yang
mempunyai nilai dan kedudukan tinggi berbanding solat sunat lain. Ayris Imani
sedar bahawa solat sunat Tahajud adalah amalan orang soleh yang sentiasa mahu
mendekatkan diri kepada Allah dan Ayris Imani juga cuba untuk menjadi
sebahagian daripada mereka.
Selesai bersolat, Ayris
Imani turun ke dapur untuk membasahkan tekaknya dengan segelas air. Tekaknya
berasa dahaga pula.
“ Ayah, kenapa tak
tidur lagi?” tanya Ayris Imani yang nyata terkejut apabila melihatkan ayahnya
yang sedang termenung di sofa.
“ Ayah tak dapat
tidur,” kata Tan Sri Hasan sambil mengeluh lemah.
Ayris Imani turut
mengeluh. Dia kemudiannya melabuhkan punggung di sebelah bapanya itu.
“ Apa yang ayah fikirkan
sampai tak boleh tidur ni?” tanya Ayris Imani, lembut.
Tan Sri Hasan hanya
mengeluh. Dia tidak tahu untuk berkata apa. Perasaan yang mencengkam ini begitu
sukar untuk digambarkan.
“ Ayah fikirkan hal
pejabat ke?” tanya Ayris Imani lagi.
Tan Sri Hasan
menggeleng. Dia meraup wajahnya sambil mengeluh lemah.
“ Ayah fikirkan tentang
arwah kawan ayah,” kata Tan Sri Hasan, jujur.
Ayris Imani mengeluh
lemah. Dia faham dengan kemelut perasaan ayahnya ini. Bukan sekali ayahnya
mengadu tentang perasaan bersalah yang sedang mencengkam itu.
“ Ayah, perkara itu
sudah lepas bukan?” kata Ayris Imani, cuba menenangkan hati ayahnya.
“ Ayah rasa bersalah
sangat,” akui Tan Sri Hasan. Pengakuan yang sering diluahkan Tan Sri Hasan
kepada anak tunggalnya itu.
Ayris Imani mengurut
belakang bapanya dengan harapan dapat menenangkan kembali perasaan ayahnya yang
sedang berkocak.
“ Ayah perlu tebus
kesalahan ayah. Ayah perlu buat sesuatu. Ayah dah tak ada masa,” kata Tan Sri
Hasan.
“ Iman faham perasaan
ayah,” kata Ayris Imani.
“ Ini semua salah
ayah,” kata Tan Sri Hasan lagi.
Ayris Imani mengeluh
lagi. Dia berasa simpati dengan Tan Sri Hasan yang tidak habis-habis
menyalahkan dirinya. Lalu Ayris Imani mengambil telapak tangan Tan Sri Hasan.
Dipegangnya penuh kasih.
“ Ayah, ini semua
ketentuan Allah. Ayah jangan asyik menyalahkan diri ayah sahaja. Kita berserah
sahaja. Ayah jangan banyak fikir. Nanti sakit ayah makin melarat,” pujuk Ayris
Imani.
Tan Sri Hasan menarik
telapak tangannya daripada terus di pegang oleh Ayris Imani. Entah kenapa dia
berasa tertekan dengan bicara anak tunggalnya itu. Baginya Ayris Imani tidak
akan faham dengan perasaan yang sedang mencengkam dirinya.
“ Iman tak akan faham,”
kata Tan Sri Hasan, lemah.
Ya tiada siapa yang
akan faham selain daripada dirinya sendiri. Ya Allah berikanlah aku kekuatan
untuk membetulkan semua kesalahan ku sebelum aku dijemput olehMu.
WAJAH Datuk Razali
tersenyum lebar memandangnya. Siapa tidak mengenali Datuk Razali? Seorang kenamaan
yang memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat terkemuka di Malaysia.
“ You tahu bukan, kes mahkamah ini sebenarnya memang memerlukan
peguam yang hebat kerana ia menjadi turning
point kita sama ada kalah atau menang. Saudara jauh saya kena hukuman mati
pun boleh buat rayuan dan menang. Padahal memang bersalah,” kata Datuk Razali.
Dalam dunia perundangan
tidak dinafikan ada peguam tidak amanah atau tidak menegakkan keadilan dalam
undang-undang. Tidak semua peguam bersikap baik dan jujur serta menghormati
perlembagaan undang-undang apabila terpengaruh dengan harta, wang dan pangkat.
Ya Allah, kau berilah hidayah kepada semua peguam di dunia ini.
“ Sebab itu I hire you,” tambah Datuk Razali lagi.
Hasan mengangguk.
Senyumannya meleret. Mukadimah yang diberikan sebentar tadi membuatkan dia
dapat menangkap sesuatu. Suatu tugas yang sering dilakukannya kerana dia adalah
seorang peguam yang hebat. Dia petah berbicara dan pandai memutar belitkan
fakta yang ada untuk memastikan dia menang di dalam mahkamah. Rekod telah
menunjukkan dialah satu-satunya peguam di Malaysia yang tidak pernah kalah
dalam perbicaraan menyebabkan namanya sering disebut-sebut dan khidmatnya
sering diperlukan. Daripada orang kenamaan sehinggalah penjenayah besar yang
memerlukan pembelaan.
“ Apa yang Datuk mahu
saya lakukan?” tanya Hasan.
Datuk Razali tersenyum
lebar. Dia yakin peguam di hadapannya akan melakukan apa yang disuruhnya.
Lelaki ini terlalu tamakkan harta dunia dan tidak pernah peduli sama ada duit
yang didapatinya itu adalah dari hasil haram atau sebaliknya.
“ I mahu you jatuhkan kerjaya seseorang,” kata
Datuk Razali.
“ Oh saya ingatkan kes
saman sivil,” kata Hasan. Inilah kali pertama dia melakukan tugas sebegini.
Selalunya kes-kes yang melibatkan orang kenamaan adalah kes saman sivil yang
begitu banyak Hasan ambil.
“ Apa yang saya perlu
lakukan?” tanya Hasan lagi.
“ Dakwa dia atas
tuduhan rasuah dan seks di luar tabie,” kata Datuk Razali tekad.
“ Buktinya sudah ada?”
tanya Hasan.
“ Ada. Semuanya I dah prepare,” kata Datuk Razali.
“ Maksud Datuk, datuk
sudah upah orang untuk prepare
semuanya?” duga Hasan.
Datuk Razali ketawa
besar mendengarkan pertanyaan peguam muda di hadapannya itu. Dia tahu dia perlu
jujur untuk memastikan rancangannya ini berjaya.
“ Ha ha betul! Betul! I
dah upah orang untuk memerangkapnya,” kata Datuk Razali.
“ You know Datuk, semua ini against
ethics of law,” kata Hasan sambil tersengih lebar. Dia harap Datuk Razali
faham dengan maksud sengihan yang dilemparkannya itu.
“ I know. You jangan risau, you
cakap sahaja berapa yang you nak. I
boleh beri asalkan you boleh jatuhkan
kerjaya dia. Selagi dia ada I rasa terancam,” kata Datuk Razali. Dia perlu
mengahapuskan musuhnya itu dengan segera. Jika tidak semua kejahatan yang
dilakukannya di dalam syarikat akan terbongkar. Apatah lagi musuhnya itu adalah
pesaing utamanya untuk merebut jawatan pengarah syarikat. Jika musuhnya itu
dapat naik pangkat pasti dia pula yang akan dipenjarakan kerana penyelewengan
yang telah dia lakukan selama ini.
“ Setengah juta?” tanya
Hasan tanpa ragu-ragu. Dia tahu Datuk Razali seorang yang banyak duit. Jumlah
sebanyak itu bukanlah besar bagi lelaki itu berbanding keuntungan yang bakal
diperolehi jika kes ini berjaya.
“ Ok deal.
Kalau you success I up lagi RM 100
ribu. Bagaimana?’
Hasan tersengih lebar.
Kerana kegilaan dunia yang begitu mengejar duit membuatkan manusia sanggup
melakukan apa sahaja sehingga sanggup mengetepikan kebenaran. Disebabkan
kegilaan dunia sekarang inilah, peguam yang jujur dan amanah amat-amat
diperlukan untuk menegakkan keadilan. Dan dunia amat memerlukan seorang peguam
yang jiwanya bersifat kasih sayang sesama makhluk Allah kerana manusia
dasawarsa ini sudah pupus dengan sifat kemanusian. Tetapi mengapa semua sifat
itu hilang dalam diri Hasan?
“ Ok. Anggap sahaja kes
ini sudah berjaya,” kata Hasan yakin sekali.
Datuk Razali tersenyum
puas hati apabila mendengarkan bicara Hasan itu. Nampaknya malam ini dia boleh
tidur lena dibuai mimpi indah.
“ Ok. I tunggu berita
gembira daripada you,” kata Datuk
Razali.
“ Sebelum tu boleh I
tahu siapa nama dia?” tanya Hasan tiba-tiba.
“ Amin.”
Nama itu bagaikan
tergiang-giang di telinga Tan Sri Hasan hingga kini. Walaupun sepuluh tahun
ianya berlalu tetapi ianya bagaikan baru semalam semua itu terjadi.
“ You jangan risaulah, you
hanya menghantar dia di penjara bukannya membunuhnya.”
Datuk Razali silap.
Sebenarnya dia bukan sahaja telah menghantar lelaki bernama Amin itu ke penjara
sebaliknya dia telah membunuhnya! Semuanya berpunca daripada Tan Sri Hasan!
Tan Sri Hasan menangis
teresak-esak. Esakan yang mengambarkan betapa tersiksanya batinnya tatkala ini.
Betapa penyesalan itu terlalu dalam.
“ Ya Allah, apa yang
dah aku buat ni? Aku sudah buat dosa besar! Aku telah menyebabkan kematian
Amin! Ya Allah, ampunkan dosaku!” rintih Tan Sri Hasan dengan tangisan yang
menggila.
Tan Sri Hasan hanya
mampu menangis dan menangis lagi. Hanya itu yang mampu dilakukannnya. Dia
mengharapkan Kudin dapat mencari keluarga arwah Amin. Dia mahu menebus kembali
dosa yang telah dilakukannya kepada keluarga itu. Hatta menjadi hamba mereka
pun dia sanggup asalkan dirinya dimaafkan dan diampunkan seikhlas hati mereka.
Dia sudah tidak sanggup lagi hidup dengan perasaan bersalah ini. Ianya sungguh
menyakitkan.
“ Aku akan tebus balik
dosa yang telah aku lakukan ini!”