Home Novel Komedi/Romantik Komedi Lasernya Mulut Dia
Lasernya Mulut Dia
Rabihah Nur Ridhuan
25/2/2015 17:56:01
85,120
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
bab 14

Amir Rifqi meneliti sebuah fail yang akan dikendalikannya bersama dengan Tan Sri Hasan. Dia berasa bertuah kerana menerima tunjuk ajar daripada Tan Sri Hasan sendiri. Tan Sri Hasan banyak memberi tunjuk ajar kepadanya tentang bagaimana menjadi seorang peguam yang hebat. Bukan sahaja setakat hebat di dunia tetapi hebat juga di mata Allah, Tuhan pencipta alam.

“ Kita kena bersedia setiap masa. Pastikan kita tahu semua fakta-fakta kes, bukti-bukti yang dibawa, jumlah tuntutan dan segalanya tentang kes. You have to master the knowledge on the files,” kata Tan Sri Hasan, memberi tunjuk ajar kepada Amir Rifqi.

“ Kena hafal semua ke fakta kes dalam fail ini?” tanya Amir Rifqi. Bukan senang dia mahu menghafal semuanya. Kalau menulis memanglah senang. Tetapi kalau berdepan sendiri bolehkah dia melawan hujah peguam lawan? Ah, apa pun kerjaya semuanya bukan senang. Pastinya ada cabaran tersendiri.

“ Ya, mesti. Bila peguam lawan mengutarakan apa-apa isu, kita sudah bersedia untuk membalas balik dan ianya disokong dengan bukti yang ada,” jawab Tan Sri Hasan.

Amir Rifqi mengangguk. Kemudian dia meneliti dokumen-dokumen yang ada di dalam fail. Dia akan mengendalikan kes seorang wanita yang telah dikenakan tindakan kebankrapan oleh jabatan insolvensi Malaysia akibat namanya digunakan oleh abang kandungnya untuk memulakan perniagaan. Abangnya tidak dapat membayar hutang sebanyak RM 224 ribu menyebabkan dia juga terheret sama untuk menanggung hutang tersebut.

“ Kasihan client ini. Tidak fasal-fasal dia yang kena notis kebankrapan atas hutang orang lain. Client ni takut kalau rumahnya akan dilelong,” kata Amir Rifqi menceritakan kes yang akan dikendalikannya.

Tan Sri Hasan menggangguk. Dia memandang wajah Amir Rifqi. Apabila terpandangkan wajah itu pastinya perasaan bersalah itu terus merantai dirinya. Ya Allah, jahatnya dirinya. Manusia jenis apakah dia? Ya Allah, dia hanya mementingkan dirinya sahaja. Dia langsung tidak memikirkan penderitaan yang terpaksa Amir Rifqi tanggung disebabkan sikap tamak haloba dirinya. Malah tiada sekelumit perasaan kesian terhadapnya. Kenapa dirinya begitu kejam, Ya Allah?

“ Sesiapa yang bankrup tidak dibenarkan memiliki apa-apa harta yang melebihi RM 5000 nilainya. Pihak yang memberi pinjaman seperti bank tidak boleh mencaj apa-apa faedah pinjaman ke atas sesiapa yang diistiharkan bankrup selepas enam bulan. Ini akan menyebabkan kemudahan pinjaman tidak lagi boleh berjalan. Oleh yang demikian, rumah client ini tentu akan dilelong,” kata Tan Sri Hasan, cuba melontarkan perasaan bersalah itu jauh-jauh. Namun ianya hanya sia-sia.

“ Kesiannya. Bukan dia yang berhutang semua itu tetapi dia hanya dijadikan kambing hitam sahaja. Habis tu bagaimana kita mahu menolongnya?” tanya Amir Rifqi cukup prihatin. Dia tidak mahu anak guamnya ini mengalami nasib yang sama seperti ayahnya. Sememangnya kedatanganya dalam dunia perundangan adalah untuk menegakkan keadilan.

“ Itulah, jangan senang berikan kebenaran untuk orang menggunakan nama kita walaupun saudara sendiri. Takut beginilah jadinya. Adakah syarikat abang client kita adalah sebuah syarikat Sdn Bhd? Kemungkinan tinggi client ini adalah seorang Pengarah syarikat atau partner syarikat,” tanya Tan Sri Hasan. Hatinya sayu menatap wajah Amir Rifqi.

“ Menurut penyataan clien, dia hanya menggunakan namanya untuk membuka akaun semasa bagi syarikat abangnya. Client tidak memegang apa-apa jawatan pun dalam syarikat abangnya itu. Kalau dirujuk kepada saman dan kenyataan tuntutan plaintif ini juga tidak menyatakan yang client adalah sebagai pengarah syarikat atau apa yang berkaitan dengan syarikat abang client,” terang Amir Rifqi.

Tan Sri Hasan mengangguk lagi. Dia bermain dengan dagu sambil meniliti fakta kes yang telah diberitahu oleh Amir Rifqi.

“ Jika surat tuntutan tidak menyatakan client sebagai pengarah, apakah yang dinyatakan terhadap client? Apakah client menerima apa-apa notis atau perintah mahkamah selepas client menerima Notis kebankrapan?” tanya Tan Sri Hasan lagi.

“ Dalam penyata tuntutan mengatakan defendan pertama yakni abang client atas persetujuan defendan kedua yakni client telah mengeluarkan satu keping cek milikan akaun defendan kedua kepada plaintif untuk tujuan menjelaskan pinjaman tersebut. Cek kedua RM 14 ribu telah ditunaikan dan diserahkan. Defendan pertama juga atas persetujuan defendan kedua telah mengeluarkan dua keping cek milikan akaun defendan kedua kepada plaintif untuk tujuan menjelaskan pinjaman tersebut tetapi kedua-dua cek telah dikembalikan setelah diserahkan atas alasan akaun tutup,” terang Amir Rifqi panjang lebar. Sememangnya dia belum ada pengalaman dan memerlukan tunjuk ajar daripada Tan Sri Hasan.

“ Mmm Penyataan Tuntutan itu amat mengelirukan. Macam tak ada klausa tindakan yang betul. Kalau betul tak ada sebab-sebab tindakan mahkamah yang munasabah penghakiman mereka perolehi boleh diketepikan,” kata Tan Sri Hasan.

Amir Rifqi menarik nafas penuh kelegaan. Lega dia apabila mendengarkan penyataan Tan Sri Hasan itu. Sekurang-kurangnya dapat juga dia membantu clientnya yang teraniaya itu.

“ Oh lega saya apabila Tan Sri berkata begitu,” kata Amir Rifqi.

“ Cuba cari apa-apa lagi yang boleh bantu kita menang dalam kes ini. Ingat Rifqi, every action of yours will effect someone life, someone property, someone family,” nasihat Tan Sri Hasan. Nasihat yang sering diberikan kepada Ayris Imani dan semua pekerjanya.

Amir Rifqi menganggukkan kepalanya. Dia faham dengan bicara ketuanya itu. Bukan senang menjadi seorang peguam. Dia tahu betapa susahnya menjadi seorang peguam. Sebelah kaki di syurga, sebelah di neraka. Kalau salah mengadili, boleh terjerumus dalam neraka. Moga Allah melindungi dirinya.

Namun begitu Amir Rifqi sedar sebenarnya tidak kiralah apa juga prospek kerjaya yang diceburi dan dilaluinya, sebenarnya terdedah kepada dosa. Bahkan menjadi seorang ustaz dan pendakwah sekalipun tetap terdedah kepada dosa kerana dia telah memikul satu amanah. Amanah inilah yang menentukan sebelah kakinya di neraka atau tidak.

“ Jangan lupa Rifqi, sebagai seorang peguam, kita mestilah mencuba mencegah mahkamah dari menjatuhkan hukuman secara tidak adil dan mungkin juga secara tidak Islamik. Di sinilah peranan terbesar kita sebagai peguam dalam membela keadilan dan kebenaran,” nasihat Tan Sri Hasan lagi.

Amir Rifqi menggangguk sambil mengeluh lemah. Ah alangkah baiknya kalaulah abah di adili oleh peguam yang jujur seperti Tan Sri Hasan. Pasti keadilan untuk abah dapat ditegakkan. Fikir Amir Rifqi sendirian.

“ Insyalah Tan Sri. Untung saya dapat bekerja dengan seorang peguam yang jujur seperti Tan Sri ini,” kata Amir Rifqi.

Tan Sri Hasan hanya mampu mengeluh lemah. Dia rasa tersindir dengan bicara Amir Rifqi itu. Ah Rifqi, kalau kau tahu akulah yang menyebabkan kematian ayah kau, pastinya kau tidak akan memuji aku sebegini. Aku memang tidak layak di puji, Rifqi. Aku terlalu banyak dosa! Dosa aku besar sebesar dunia!

“ Tak perlulah Rifqi puji saya begitu. Saya tak layak untuk semua itu. Saya banyak dosa,” kata Tan Sri Hasan menelan kesat apa yang sedang terpaku di sanubarinya.

“ Tan Sri ni terlalu merendah diri. Semua orang berdosa, Tan Sri. Yang maksumnya hanya Rasul sahaja,” luah Amir Rifqi.

Previous: bab 13
Next: bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.