Amir Rifqi mendenggus
geram. Sakit hatinya mendengarkan ejekan daripada Firdaus.
“ Sebab ayah kau
jahatlah macam-macam hukuman yang Allah berikan kat dia,” perli Firdaus.
Pedih hatinya dengan
perlian Firdaus itu. Dia juga punya hati dan perasaan. Hati siapa yang tidak
sakit kalau saban hari di sindir dan di ejek.
“ Eh Firdaus, kau jaga
mulut kau! Jangan bercakap ikut sedap mulut sahaja. Tak kena pada batang hidung
kau, bolehlah kau bercakap begitu,” balas Amir Rifqi, geram bersulam benci.
Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja ditenyeh mulut Firdaus yang tidak ada
insuran itu.
Pantas Amir Rifqi
melangkah geram menuju ke rumahnya. Sakit hatinya sudah bernanah. Malah sudah
tidak tertanggung tubuh kerdilnya menanggung segala tohmahan dari jiran
tetangga.
Sampai sahaja di rumah,
Amir Rifqi melihat ibunya sedang menangis di sofa. Tangisan ibunya cukup
meruntun perasaannya. Semenjak ayahnya di penjara, dia tidak pernah melihat
ibunya menangis. Dia tahu ibunya cuba berlagak kuat dihadapannya.
“ Mama sakit ke?” tanya
Amir Rifqi terus mendapatkan ibunya. Sebenarnya pelbagai kebimbangan yang
terlontar di sanubarinya semenjak ayahnya dipenjara. Mengenai wang belanja dan
kos perubatan ibunya cukup melelahkan fikirannya. Hukuman pihak berkuasa yang
telah membekukan akaun ayahnya sudah membuatkan hidup mereka tersepit. Ah berat
sungguh dugaan ini.
Puan Ainina mengambil
telapak tangan Amir Rifqi lalu disapunya penuh kasih.
“ Rifqi,” panggil Puan
Ainina. Apabila melihat wajah anak tunggalnya membuatkan tangisannya semakin
lebat. Sungguh dia berasa simpati dengan Amir Rifqi. Dia tahu Amir Rifqi
menghadapi hari-hari yang sukar kerana terpaksa membawa gelaran anak banduan di
pundaknya.
“ Mama nak cakap sikit.
Mama nak Rifqi faham apa yang telah berlaku kepada abah,” kata Puan Ainina. Dia
menarik nafas dalam-dalam, cuba melegakan kesakitan jiwa yang sedang
ditanggungnya.
Amir Rifqi hanya
menggangguk. Apa pun yang diceritakan ibunya, dia tetap yakin bahawa ayahnya
tidak bersalah. Walaupun pelbagai tohmahan buruk yang telah dilemparkan kepada
bapanya.
“ Abah dianiaya sayang.
Rakan sekerja abah dan peguamnya telah berkomplot untuk mengenakan abah.”
Kasihan kat abah
sayang. Bicara terakhir Puan Ainina hanya berlagu di dalam hatinya. Hatinya
merintih pilu.
Amir Rifqi mendenggus
geram. Matanya bulat memandang ibunya. Marahnya meluap-luap. Sakit hatinya
semakin parah. Pantas satu tumbukan hebat dilemparkan ke meja di hadapannya.
“ Kurang ajar!” kata
Amir Rifqi. Kalaulah dia mengenali kedua-dua insan yang telah menganiaya
ayahnya, pastinya sudah lama mereka berdua dibunuhnya. Ya Allah, kejamnya
mereka. Kenapa masih ada manusia sekejam ini di dunia ini?
“ Kesian kat abah. Dia
dipenjarakan kerana fitnah manusia. Dan sekarang, sekarang…”
Puan Ainina tidak dapat
meneruskan bicaranya. Dia menangis tersedu-sedu. Kesedihan yang mencengkam
tidak mampu disembunyikan lagi. Ya Allah, Kau tabahkanlah hatiku.
“ Sekarang apa, mama?”
tanya Amir Rifqi dalam debaran di dada. Hatinya dipagut kebimbangan yang tidak
terperi. Bimbang sesuatu yang buruk bakal menimpa bapanya.
“ Abah meninggal,
Rifqi. Abah dah tak de. Dia dah tinggalkan kita buat selama-lamanya.”
Terpana Amir Rifqi
mendengarkan berita yang cukup memilukan. Ya Allah, benarkah apa yang sedang di
dengarinya? Ya Allah, kenapa malang sangat nasib bapanya? Allah, kenapa Kau
tidak tegakkan keadilan buat abah? Tanpa sedar airmata kesedihan melurut laju di
pipinya.
“ Ke..kenapa?” tanya
Amir Rifqi. Bergegar dadanya menahan sebak yang bukan kepalang.
“ Ada rusuhan di
penjara. Abah terbunuh dalam rusuhan itu,” kata Puan Ainina. Suaranya serak dan
seakan tidak di dengar, tenggelam dek sedu sedan dan esakan yang sudah tidak
terbendung lagi.
Makin lebat airmata
Amir Rifqi apabila mendengar bicara ibunya itu. Kasihan abah! Hati Amir Rifqi
merintih pilu.
“ Inalillah.”
Tiba-tiba Amir Rifqi
berasa begitu benci sekali. Benci sebencinya kepada insan yang telah menganiaya
bapanya.
“ Aku akan cari
kebenaran buat abah,” desis Amir Rifqi di dalam hatinya.
AMIR RIFQI sudah tekad.
Dia tahu ini adalah keputusan yang terbaik. Hanya cara ini sahaja yang boleh
dilakukannya untuk mengubah hidupnya. Hanya pelajaran yang mampu membawanya ke
sebuah kehidupan yang penuh gemilang.
“ Kau buat apa tu,
Rifqi?” tanya Zainal, teman serumahnya.
“ Isi borang sambung
belajar,” kata Amir Rifqi.
“ Wah bagusnya kau. Dah
tua pun masih mahu belajar. Bagus, bagus,” kata Zainal sambil menepuk bahu
teman serumahnya itu.
“ Hanya cara ini sahaja
yang dapat mengubah kehidupan aku, Nal. Tak kan selama-lamanya aku nak jadi despatch,” kata Amir Rifqi.
Zainal hanya mengangguk
dengan bicara Amir Rifqi itu.
“ Bagus, aku sokong
kau. Semoga kau berjaya. Aku masuk tidur dulu ya. Esok aku nak kerja,” kata
Zainal sebelum dia bangun menuju ke dalam biliknya. Manakala Amir Rifqi masih
lagi di ruang tamu sambil melayan perasaannya.
Hampir sepuluh tahun
peristiwa perit itu berlaku. Sepuluh tahun membuatkan hidup Amir Rifqi terus
dibayangi dengan dendam. Kerana dendam dia berusaha kuat untuk mengembalikan
maruah keluarganya yang sudah tercalar. Kerana dendam juga membuatkan dia
memaksa dirinya untuk meneruskan hidupnya ini. Kerana dendam juga dia bertekad
untuk berjaya.
Mama, tiba-tiba nama
itu bermain di hatinya. Nama yang sering menemaninya walaupun kini dia sebatang
kara di dunia ini. Nama yang membuatkan airmatanya sering mengalir apabila
mengingatinya.
Abah, apabila nama itu
tersua di sudut sanubarinya, hatinya semakin hiba. Perasaan dendam yang
berkudis semakin membara. Perlahan-lahan Amir Rifqi menyapu airmata yang sedang
mengalir di pipinya.
“ Abah tak bersalah,
Rifqi. Abah tak bersalah. Abah dianiaya. Tolong percayakan abah, sayang,”
kata-kata itu tergiang-giang di telinganya. Tanpa dipinta airmata lelakinya
mengalir deras. Dia tidak mampu menahan hatinya.
“ Tolong jaga mama
elok-elok. Mama sakit. Jangan buat mama susah hati. Abah sudah tiada, jadi
Rifqi yang perlu ambil tugas menjaga keluarga sekarang.”
Amir Rifqi menangis
lagi. Dia tidak faham kenapa manusia sanggup menganiaya bapanya sebegitu rupa.
Apa salah bapanya sehingga dituduh sebegitu. Kerana manusia yang tamakkan harta
dunia membuatkan bapanya terpenjara.
Tetapi bukan setakat
itu penganiayaan yang telah mereka lakukan. Itu cuma titik hitam bermulanya
kehidupan getirnya sebagai seorang anak banduan. Sepanjang kehidupannya dia di
ejek dan di maki hamun kerana statusnya itu. Tetapi dia tidak kisah semua itu.
Semua itu dia boleh tahan. Cuma…
Mama…Dia tidak sanggup
melihat penderitaan yang ditanggung oleh mama. Mama sakit. Kenapa mereka tidak
fikir semua itu sebelum mereka aniaya bapanya? Mama perlukan duit untuk merawat
penyakit mautnya itu. Ah dia tidak sanggup mengenang itu semua. Betapa getirnya
saat melihat ibunya menahan kesakitan tanpa mendapat rawatan perubatan yang
sepatutnya. Ibunya hanya mampu terbaring di atas katil sambil menahan sakitnya
dengan hanya meminum air yasin yang dibacanya saban malam. Allah…aku tidak
sanggup mengenang semua itu lagi.
“ Ya Allah, kau
temukanlah aku kepada mereka yang telah menganiaya abah. Kau berikanlah aku
peluang untuk menegakkan keadilan buat abah,” doa Amir Rifqi di dalam hatinya.