Bermula pada hari
ayahnya di tangkap polis telah merubah kehidupan Amir Rifqi seratus peratus.
Tiada lagi erti bahagia dalam kehidupan mereka sekeluarga. Semuanya hanyalah
derita yang tidak kesudahan.
“ Rifqi anak banduan!
Rifqi anak banduan!!”
Amir Rifqi menyabarkan
hatinya dengan ejekan dari Firdaus, teman sepermainannya. Ejekan yang
sebenarnya sudah menjadi halwa telinganya.
“ Woi anak banduan, kau
buat apa di sini? Nak datang mencuri macam bapa kau?”
Amir Rifqi mengeluh
geram. Bicara Firdaus benar-benar menguris hati dan perasaannnya. Namun dia
cuba bersabar.
“ Aku nak pergi kedai
la,” kata Amir Rifqi mendatar. Bukan dia sengaja mahu melalui kawasan ini
tetapi hanya jalan ini sahaja yang boleh dilaluinya untuk ke kedai yang
terdekat.
“ Mesti nak pergi
mencurilah tu! Anak banduan katakan,” ejek Firdaus lagi.
Ah dia benci dengan
perkataan banduan itu. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa terlukanya hatinya
dengan cacian itu.
“ Abah aku tak
mencurilah!” marah Amir Rifqi. Dia sebenarnya sudah penat dengan ejekan
daripada teman-temannya yang tidak pernah mengerti kesengsaraan batin yang
terpaksa ditanggungnya ini.
“ Eh takkan kau dah
lupa? Abah kau sekarang di penjara. Kena hukum sebab rasuah. Iskh kalau aku
jadi kau mesti aku malu dapat ayah seperti kau,” ejek Firdaus.
“ Abah aku orang
baiklah. Mama aku kata abah aku ditahan sebab nak bantu siasatan polis sahaja.
Nanti keluarlah dia,” kata Amir Rifqi dengan nafas tertahan-tahan. Dia mahu
membela ayahnya. Tidak akan sesekali dia membiarkan maruah ayahnya dipijak
sesuka hati oleh orang lain!
“ Abah kau orang
jahat!”
Ya Allah, hancurnya
hati Amir Rifqi. Kesedihanku masih belum surut lagi, kini ditambah lagi dengan
ejekan dan cacian teman-temannya. Ejeklah aku! Ejeklah sepuas-puasnya. Aku
memang suka di ejek dan di cerca. Di dalam hati Amir Rifqi terus merintih.
“ Mak aku cakap abah
kau ada hubungan songsang. Eii teruknya.”
“ Jaga sikit mulut
kau!”
Sungguh hati ini sudah
tidak mampu untuk bersabar lagi. Firdaus memang sudah melampau! Mahu sahaja
airmata Amir Rifqi mengalir namun dia menahan. Dia tidak mahu Firdaus
menganggap dirinya lemah. Dia sedar siapa dirinya.
“ Rifqi anak banduan!
Rifqi anak banduan!” ejek Firdaus tanpa sedikit pun mahu menyelami hati Amir
Rifqi yang sedang tersiksa.
“ Aku cakap diam!” kata
Amir Rifqi.
“ Rifqi anak banduan!
Rifqi anak banduan!”
Ejekan Firdaus itu
terus sahaja dihadiahi dengan satu tumbukan yang maha hebat di pipinya. Ya
Firdaus memang layak mendapat tumbukan itu. Biar dia rasa betapa sakitnya
hatinya tatkala ini.
“ Kurang ajar!” kata
Firdaus. Kemudian Firdaus terus menerpa ke arah Amir Rifqi. Tubuh Amir Rifqi
jatuh ke tanah dan berlakulah pergelutan antara mereka.
“ Eh Rifqi, kenapa kau
pukul anak aku? Oh kau nak masuk penjara macam bapa kau juga?” marah Mak Cik
Imah yang tiba-tiba datang untuk meleraikan pergelutan antara mereka.
“ Bukan saya yang
mulakan.” Amir Rifqi cuba membela diri. Dia mengharapkan Mak Cik Imah dapat
memahami perasaannya tatkala ini.
Firdaus sudah bangun
dan berlari bersembunyi di belakang punggung ibunya. Sempat Amir Rifqi
mengerling ke arah Firdaus yang tersenyum sinis di balik punggung Mak Cik Imah
yang menyergahnya.
“ Sudah! Memang dasar
anak penjenayah!” kata Mak Cik Imah. Matanya tajam merenung Amir Rifqi.
Amir Rifqi yang masih
terduduk di tanah hanya mampu menundukkan wajahnya. Rasa marah, tidak adil,
tidak puas hati bercampur aduk di dalam hatinya.
“ Ingat ya, kalau kau
usik anak aku lagi, aku akan report polis. Biar kau dengan bapa kau sama-sama
merengkok dalam penjara!” Mak Cik Imah terus memberi amaran keras sambil jari
telunjuk kanannya di gegar-gegarkan ke muka Amir Rifqi. Firdaus masih tersenyum
sinis. Puas dia melihat Amir Rifqi kena marah.
Ah pedihnya. Amir Rifqi
gagahkan diri untuk bangun. Sebenarnya badannya begitu sakit akibat pukulan
Firdaus tetapi dia sudah tidak betah berada lama di situ. Ada tangisan yang
sudah mula ingin pecah. Hinanya menjadi anak banduan. Ya Allah, Kau tabahkanlah
hatiku. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya tatkala itu.
Amir Rifqi berlari
pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah, terus sahaja dia masuk ke dalam bilik.
Pintu bilik dihempasnya sekuat hati. Biar terkopak terus! Geram benar rasa
hatinya. Airmatanya sudah tidak tertahan terus sahaja Amir Rifqi menangis.
Hatinya benar-benar terluka. Ya Allah, sakitnya. Sakitnya!
“ Rifqi, buka pintu ni
nak. Mama nak cakap sikit.”
Dari luar kedengaran
suara Puan Ainina. Suaranya sentiasa lembut. Sememangnya begitulah Puan Ainina
yang Amir Rifqi kenali. Lemah lembut dan penyayang.
“ Rifqi, bukalah
sayang,” rayu Puan Ainina lagi setelah Amir Rifqi membatukan dirinya. Kelihatan
tombol pintunya bergerak tanda Puan Ainina cuba membukanya dari luar.
Amir Rifqi melangkah
malas menuju ke pintu. Dia memulas tombol sekadar melepaskan kuncinya. Kemudian
Amir Rifqi kembali semula ke katil.
Puan Ainina hanya mampu
mengeluh lemah dengan sikap anak tunggalnya itu. Dengan lemah, Puan Ainina
membuka pintu bilik lalu melabuhkan punggungnya di sisi Amir Rifqi yang sedang
terbaring di atas katil. Perlahan-lahan dia mengusap rambut anak tunggalnya
itu.
Amir Rifqi memalingkan
wajahnya di dinding. Hatinya masih panas dengan apa yang berlaku.
“ Kenapa orang sanggup
menganiaya abah, mama?”
“ Sabarlah Rifqi,” kata
Puan Ainina cuba menenangkan hati anaknya. Kasihan anaknya. Masih terlalu kecil
tetapi sudah di uji dengan dugaan yang memeritkan.
“ Rifqi benci! Rifqi
benci semua ini!” marah Amir Rifqi.
“ Kenapa ni sayang?
Firdaus ejek Rifqi lagi ke?” tanya Puan Ainina yang sudah masak dengan perangai
anaknya. Kalau Amir Rifqi tidak diejek masakan anaknya itu akan berperangai
sebegitu. Di dalam hati dia terus merintih pilu. Kasihan Amir Rifqi.
“ Dahlah tu Rifqi.
Jangan di layan sangat perangai Firdaus tu,” pujuk Puan Ainina sambil menggosok
belakang tubuh Amir Rifqi.
“ Bukan sehari, bukan
seminggu dia kutuk Rifqi. Sudah berbulan mama. Semenjak abah dipenjarakan.
Rifqi tak tau apa dosa Rifqi pada dia
sampai begini dia buat pada Rifqi,” adu Amir Rifqi. Nafas Amir Rifqi terhenti
seketika. Dadanya sebak.
“ Rifqi dah tak sabar
lagi mama. Rifqi dah tak sanggup tanggung semua ini. Rifqi dah tak tahan nak
bersemuka dengan dia,” luah Amir Rifqi lagi.
Sayu hati Puan Ainina
mendengarkan luahan hati anak tunggalnya itu. Matanya sudah merah menahan
kesebakan hati. Namun seboleh mungkin dia cuba bertahan daripada airmatanya
melurut jatuh. Dia tahu dia perlu berpura-pura kuat di hadapan anak
kesayangannya ini.
“ Sudahlah tu sayang.
Mama yakin lama kelamaan Firdaus akan berhenti mengejek Rifqi. Biarkan dia.
Nanti dia penatlah. Kalau Rifqi layan dia lagi sukalah dia mengejek Rifqi. Yang
penting sayang mama ni kena banyak bersabar,” pujuk Puan Ainina.
“ Sampai bila mama?
Sampai bila-bila?” tanya Amir Rifqi, tidak puas hati dengan jawapan ibunya itu.
Hati Puan Ainina
tersentuh dalam mendengarkan pertanyaan anak tunggalnya itu. Dia tahu Amir
Rifqi sudah tidak tertanggung lagi dengan ujian berat ini.
“ Rifqi sedar mama.
Rifqi sudah menjadi alat untuk ditertawakan, di ejek dan di hina sesuka hati
mereka. Rifqi sedar siapa Rifqi. Anak banduan yang hina di mata masyarakat.
Tapi Rifqi juga ada perasaan. Rifqi sedih, sedih sangat apabila mereka menghina
dan mengejek Rifqi,” luah Amir Rifqi. Dia menangis semahu-mahunya.
Sungguh hati Puan
Ainina begitu sedih dan pilu apabila mendengarkan luahan hati Amir Rifqi itu.
Pantas tubuh anak remajanya itu diraihnya ke dalam dakapannya. Anakku,
kenapalah nasib kau macam ni?