"I nak pergi Kuantan jumpa mak
you.” Kata-kata Nazmi membuatkan aku hampir menyemburkan air masak yang
sentiasa aku bawa dalam botol ke mana-mana saja.
“Apa?”
“Ye sayang. I nak pergi
Kuantan jumpa mak you. Keluarga I nak ikut sekali. Senang cerita, merisik you.”
Aku berdehem perlahan.
Adoi, terasa sesak nafas pula mendengar ayat Nazmi. Merisik? Oh, TUHAN! Ini dah
tahap serius namanya!
“Bila you rancang nak
pergi?” Aku menyoal.
Jalan Ipoh masih sesak
dengan kereta. Entah mimpi apa, Nazmi mengambil cuti hari ini. Dia mengajak aku
untuk ke Jalan Tunku Abdul Rahman, melihat barang-barang kahwin.
Yang aku bengang tu, nak
pergi sana waktu pagi, waktu orang sibuk nak pergi kerja. Kalau tengah hari
sikit kan bagus. Takdelah mual tekak aku nak redah kesesakan jalan raya macam
ni. Hisy Nazmi ni, kadangkala perangainya memang aku tak boleh nak jangka.
“Hmm, dua minggu lagi?”
“Dua minggu lagi?” Aku
membuntangkan mata. Cepatnya!
“I nak kita kahwin dua
bulan lagi.”
Mak aih! Tak ada cerita
dengan aku apa-apa pun? Pandai-pandai pula dia buat rancangan. Habis tu, aku
punya pendapat macam mana? Melamar aku pun tidak! Tahu-tahu terus nak jumpa
keluarga!
“You ni serius ke?”
Nazmi yang berseluar
jeans dan t-shirt hijau muda itu memalingkan wajahnya ke arah aku lalu
tersenyum. Aku pula sudah mula rasa gundah. Entah kenapa, macam tak bersedia
saja lagi nak kahwin.
“Kenapa you ingat I tak
serius?” Nazmi tidak menjawab tetapi memeningkan aku kembali dengan soalannya.
Aku memeluk tubuh.
Sebenarnya bukan aku tak percaya, tapi aku hanya belum bersedia untuk
berkahwin! Spa akan dibuka dalam sebulan setengah lagi. Nak kahwin dua bulan
lagi. Macam mana aku nak bersedia?
“Nazmi, I kena tumpukan
bisnes spa dulu. Dua bulan tu tak sempat I nak sediakan persiapan perkahwinan.”
Aku berkata dengan jujur sambil terus melihat kesesakan yang masih lagi teruk.
“You ni pentingkan spa
daripada I ke?” Nada suara Nazmi sudah meninggi.
Aku mengeluh kecil. Dia
ni kan... aku beristighfar di dalam hati. Dahlah suka hati saja buat rancangan,
lepas tu nak kita saja dengar cakap dia! Malam tadi aku rasa macam nak pengsan
bila dia mengaku pada Azeem dia tunang aku!
Ya ALLAH! Kalau boleh,
biarlah aku sendiri yang berterus-terang kepada Azeem tapi nak buat macam mana,
Nazmi sendiri yang sibuk mahu sertai kami walaupun aku berkeras melarangnya.
“Nazmi, I ada banyak
kerja sekarang untuk pastikan spa tu berjalan lancar. Kita tangguh dulu, boleh
tak?” Aku berkata perlahan sambil memicit dahi yang mula terasa berdenyut.
Sah! Migrain akan mula
menghampiri. Terasa menyesal pula tak bawa sepaket biskut dalam beg. Selalunya
aku akan mula migrain dan gastrik kalau tidak makan mengikut masa tertentu.
Kata doktor, biar makan sikit tapi selalu.
Aku mengambil botol air
lalu meneguknya lagi dan berdoa agar kesakitan ini berlalu pergi. Memang perit
kalau diserang gastrik dan migrain dalam masa yang sama.
“Hani, kalau you betul
sayangkan I, baik you dengar cakap I. I ni kan bakal suami you.”
Di luar kesedaran, aku
ketawa kecil. Apabila melihat jelingan tajam Nazmi, aku kembali diam. Dalam
hati, aku menghitung waktu. Memang tak sempat! Nazmi ni memang degil sungguh.
Nampak gayanya aku kena pesan dengan mama dan abah supaya kalau keluarga Nazmi
datang merisik, tangguhkan dulu tarikh nikah.
“Kenapa you ketawa?” soal
Nazmi.
“Takde apa.” Aku menjawab
ringkas.
“You jangan tipu. I tahu,
you ketawakan I.”
“Tak!” Aku menguatkan
suara.
Nazmi terdiam sebelum
berkata, “you jangan nak jerit kat I okey. I tahu apa yang you fikir!”
Malaslah aku nak layan!
Sudahlah jalan sesak, aku pula tengah lapar dan nak gastrik ni. Aku mengambil
keputusan untuk mendiamkan diri daripada memburukkan keadaan.
“Kenapa you diam?” Nazmi
bertanya sambil mengetuk stereng kereta. Satu tanda daripadanya yang seharusnya
membuatkan aku terpaksa berjaga-jaga. Silap kata, agaknya ada yang akan
menyaksikan aku berjalan kaki di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ini.
“You kata you tahu apa
yang I fikir, jadi I diam sajalah...” Aku berkata dengan nada malas.
“You marah?” Nazmi
bertukar nada.
Aku termenung memikirkan
sikap lelaki ini yang semakin hari semakin pelik. Sekejap okey. Sekejap tidak.
Malam tadi aku sempat telefon Nora, kawan baik aku yang berada di Kuantan dan
mengadu hal ini.
Kata Nora, mungkin Nazmi
adalah seorang yang terlalu prihatin, terlalu menyayangi sehingga risau dengan
segala-galanya yang berkaitan dengan aku. Buntu pula apabila mendengar nasihat
Nora yang juga seorang doktor pakar sakit puan di Hospital Tengku Ampuan Afzan
itu.
“I tanya ni, you marah
ke?” soal Nazmi lagi.
Aku menarik nafas
panjang. Terlalu banyak yang aku perlu sabar dalam menjalinkan perhubungan ini
sebenarnya. Mungkin inilah ujian aku.
“Hani...”
“Ya, I tak marah. I tak
marah. You faham?” Aku mengetap bibir kerana sedar kata-kata aku yang agak
kasar.
“Ya, tak payahlah you
cakap banyak kali. I faham!” pekik Nazmi lalu membuatkan aku kembali sakit hati
dengan sikapnya. Terasa panas di tubir mata ini tapi aku tahankan saja.
Telefon aku pula
tiba-tiba berbunyi dari dalam beg. Dengan rasa sedikit sebak, aku mengambilnya.
Azeem! Perlukah aku menjawabnya sekarang? Apa kata Nazmi pula nanti? Tapi...
Azeem ni kan kontraktor aku? Ah, angkat sajalah!
“Helo...”
“Assalamualaikum. Cik
Hani?”
“Waalaikumsalam. Ya,
saya.” Aku menjawab lemah sambil menyeka setitis air yang tiba-tiba mengalir di
pipi. Adoi, kenapa air mata ni terbabas pula?
“Hmm, Cik Hani okey ke?
Macam tak sihat saja?” Azeem bertanya.
Oh TUHAN! Soalannya
membuatkan aku semakin rasa sebak. Kenapa dia yang bertanya? Kenapa bukan Nazmi
yang bertanya? Aku mendiamkan diri tanpa menjawab.
“Cik Hani? Err... kalau
Cik Hani tak sihat, pergilah klinik ya. Maaf, saya mengganggu. Saya cuma nak
bagitahu, esok pagi saya akan e-mel set lukisan itu pada cik. Boleh tak kita
jumpa esok untuk saya dapatkan kelulusan?” Azeem berkata dengan panjang lebar.
“Ya, insya-ALLAH. Saya
datang ke pejabat nanti.”
“Okey. Terima kasih.”
Aku terus mematikan
telefon setelah menamatkan perbualan kerana bimbang Nazmi akan merampasnya.
Fikiran aku pula terawang-awang dengan bayangan Azeem malam tadi.
Nasib baik lelaki tu tak
perasan aku dah tersebut UiTM. Kalaulah dia teringat, memang parah aku rasa.
Aku dah tak mahu tahu apa yang berlaku dulu. Cukuplah. Aku nak buka buku baru.
Lagipun, lepas spa dah siap, aku dah tak akan hubungi dia lagi.
“Siapa?”
“Azeem, kontraktor spa I.
Dia nak jumpa esok untuk bagi set lukisan supaya I boleh buat pengesahan dia
orang nak mulakan kerja esok malam. I akan pergi pejabat dia untuk sign
off.”Aku menjelaskan keadaan sambil berkata dengan nada yang
tertahan-tahan.
“I tanya siapa saja. Tak
payahlah you terangkan banyak-banyak.” Kata-kata Nazmi membuatkan aku
terkesima.
Kalau aku cakap Azeem
saja tadi, mesti lagi banyak soalan. Bila aku bagi penjelasan pula, dia kata
tak payah bagitahu. Ya ALLAH, kuatkanlah hati ini!
--------------------------------------------------------------------------------------------
“KENAPA akak termenung?”
Suara Adila memecah kesunyian ruang tamu.
Aku memandangnya yang
hanya berbaju kelawar warna kuning. Bayangan Ima tidak kelihatan di mana-mana.
Begitu juga dengan Mak Cik Nor.
“Akak ada masalah?” Adila
bertanya lagi apabila melihat aku hanya mendiamkan diri.
“Dila, kalau seseorang tu
sayangkan kita, apakah dia akan buat kita terluka?” Aku menyoal tanpa
memandangnya.
Gadis itu duduk di
sebelah aku dan berkata, “akak, kalau orang tu sayangkan kita, dia akan
melindungi kita. Dia tak akan sakiti kita dan dia tak akan biarkan kita
terluka.”
Aku menoleh ke arahnya.
“Kalau dia sentiasa buat hati kita terluka?”
Aku nampak Adila merenung
ke arah aku. Agaknya cuba mencari maksud yang tergambar di wajah ini. Nampak
sangat ke muka kecewa aku ni?
“Pada Dila, seseorang
yang sayangkan kita tu tak akan buat hati kita terluka kak. Sesekali tu
mungkinlah kan, sebab sesuatu perhubungan tu tak mungkin tak ada pasang
surutnya...” jelas Adila.
“Akak ni cakap pasal teman
lelaki akak tu, ya?” sambung Adila semula sambil menepuk bahu aku dengan
perlahan.
Tanpa menjawab, aku hanya
mengangguk perlahan. Mulanya aku nak merahsiakan daripada mereka tetapi bila
memikirkan betapa sesaknya nak fikir seorang diri, aku lepaskan jua akhirnya.
“Akak, Dila faham
perasaan akak. Sebenarnya, masa akak gaduh dengan dia dulu tu pun, Dila dah
tahu dia macam mana.” Kata-kata Adila membuatkan aku kembali memandangnya.
“Maksud Dila?”
“Sebelum tu, Dila nak
tanya akak dulu. Teman lelaki akak tu suka marah akak ya? Maksud Dila, semua
benda dia nak tahu, kan? Akak kat mana, akak buat apa, akak dengan siapa...”
Tepat! Memang tepat apa
yang Adila katakan. Aku baru perasan bila dengar kata-katanya. Kebelakangan
ini, hampir saban waktu Nazmi menelefon aku untuk bertanya. Kalau tak dapat
telefon, dia hantar mesej.
“Ha’ah. Selalunya dia
akan telefon untuk tanya benda-benda remeh. Kalau akak jawab sambil lewa, dia
marah. Kalau akak jelaskan betul-betul, dia marah juga.” Aku mengetap bibir
kerana baru nampak apa yang berlaku terhadap diri ini.
“Maaf kalau Dila cakap
ya, kak? Dila nampak teman lelaki akak tu macam terlalu melindungi akak. Dia
sayang akak tapi dia terlalu takut kalau akak hilang dari pandangannya. Itu
sebab, semua benda dia nak tahu...”
“Habis tu, apa akak nak
buat, Dila?”
“Akak sayangkan dia?”
Adila bertanya.
Aku hanya mengangguk
walaupun tiba-tiba datang rasa prasangka dengan perasaan sendiri. Ah, biarlah!
Perasaan ini kadangkala sukar untuk diduga.
“Dia ajak akak kahwin.”
Aku berkata.
Adila terus melopong.
“Kahwin?”
Aku mengangguk lagi.
“Dila rasa bila dia dah
kahwin, dia akan bertukar tak perangai?” soal aku.
Adila mengangkat bahunya
sebelum menjawab, “entahlah kak. Kita tak tahu apa akan jadi sebenarnya. Pada
Dila, semuanya datang daripada hati. Kalau akak boleh terima dia, akak
terimalah tapi akak berdoalah banyak-banyak.”
“Betul. Akak masih
ragu-ragu sebenarnya. Akak macam tak bersedia nak kahwin.”
“Akak tak bersedia nak
kahwin ke atau akak sebenarnya takut nak kahwin dengan dia?” Soalan Adila
membuatkan aku terus tersentak dan gadis itu hanya menepuk perlahan bahu aku
sebelum berlalu dari ruang tamu tanpa menunggu aku memberikan jawapan.
Aku pasti, sedikit
sebanyak aku dapat memahami apa yang Adila cuba sampaikan. Tugas aku sekarang
hanyalah berusaha untuk memahami Nazmi selagi terdaya dan berdoa kepada ALLAH
SWT untuk dipermudahkan urusan perasaan ini.