IKHWAN hanya memandang saja Azeem yang masih
tersenyum seorang diri itu. Dari sejak tiba di rumah ibu mertuanya lagi, wajah
Azeem nampak
bercahaya dan sesekali ketawa tanpa sebab.
Majlis
tahlil yang diadakan untuk arwah isterinya dan ayah mertuanya itu berjalan
dengan lancar selepas Isyak sebentar tadi. Kini, ahli-ahli surau dan jiran
berdekatan dijemput untuk menjamu selera.
“Azeem,
kenapa aku tengok kau tersengih dari tadi?” Ikhwan menghampirinya sambil
menatang sepiring puding karamel.
Azeem
memandang sahabat baiknya yang sedang mampir dan duduk di sebelahnya. “Aku
teringat hal tadi.”
“Hal
apa?”
“Ada benda jadi sebelum kau
naik kereta aku.”
Ikhwan
mengerutkan dahi. Oh, patutlah masa aku tengah masuk dalam kereta, Azeem sedang
ketawa seorang diri, fikirnya.
“Kau
nak kongsi cerita ke tak ni?” Ikhwan menyoal dan sesekali dia menyuap puding ke
mulutnya.
Matanya
melilau mencari satu-satunya anak perempuan dia dan arwah isterinya. Anaknya
sudah berumur dua tahun, genap pemergian arwah isterinya yang meninggal dunia akibat komplikasi rahim
ketika melahirkan anak sulung mereka.
Ikhwan
redha dengan ketentuan tersebut dan kini dia berusaha seorang diri untuk
menjaga anak perempuan mereka. Setiap hari, dia tidak pernah lupa untuk membaca
doa buat arwah isterinya kerana cintanya masih utuh.
“Ada perempuan salah naik
kereta aku,” kata Azeem.
Ikhwan
ketawa kecil sebelum membalas, “habis tu, kau buat apa?”
“Aku
senyap saja sebab aku terkejut. Tiba-tiba saja dia masuk sambil marah-marah.
Siap jerit lagi. Lepas tu baru dia perasan yang dia silap masuk kereta.”
“Ya
ALLAH, kalau jadi kat aku tu, malunya!” Ikhwan masih dengan sisa tawanya.
Azeem
tersengih. “Itulah. Aku nak gelak
tapi mesti dia tengah malu gila. Jadi, aku kawal sajalah.”
“Perempuan
tu terus keluar ke lepas dia perasan?”
Azeem
mengangguk pula. “Dia minta maaf dan terus keluar daripada kereta. Aku rasa,
dia dengan boyfriend atau suami dia
kot. Sebab aku nampak
lepas tu dia pergi ke kereta belakang. Sama kereta dengan aku.”
“Emm,
patutlah…”
“Mana
anak kau?”
“Tadi
ibu mertua aku ambil. Mana entah dibawanya.” Ikhwan berkata.
Dia
bersyukur kerana setelah ketiadaan arwah isterinya, ibu mertuanya dapat menjaga
cucunya itu ketika Ikhwan keluar bekerja. Hanya sesekali Ikhwan pulang ke Perak
dan membawa anaknya itu berjumpa ibu bapanya yang masih tinggal di sana.
“Ada hikmah agaknya aku
bawa kereta hari ni.” Azeem tiba-tiba berkata. Dia merenung ke arah sesuatu di
hadapannya.
“Ye
kot. Sebab kalau tak salah aku, kau cakap nak bawa motor, kan?”
Azeem
mengangguk. “Aku sebenarnya lupa yang anak kau ada kat sini. Aku ingat ada
dengan kau, tu sebab aku bawa kereta.”
“ALLAH nak bukakan hati
kau.” Kata-kata ringkas yang keluar daripada mulut Ikhwan menyebabkan Azeem
tersenyum kecil.
Dia
pasti, hatinya masih belum terbuka. Hanya seorang gadis yang pernah membukanya
dahulu tetapi dia yang melepaskan peluang tersebut. Setelah itu, hatinya terus
terkunci. Percaturan takdir menentukan kehidupannya kini.
-------------------------------------------------------------
JANTUNG aku mula berdebar tatkala melihatkan
kereta Swift yang dibawa oleh Nazmi petang tadi ada di perkarangan rumah sewa.
Aku menjeling ke arah jam. Sudah jam sepuluh.
Nasib baik abang bawa aku pergi
makan malam dulu, kalau tidak tentu boleh terserempak dengan Nazmi. Eh, ke dia
ada di rumah?
“Kirim salam pada Mak Cik Nor.
Kalau Nazmi ada, bawa-bawalah berbaik. Korang berdua ni asyik bergaduh saja.”
Aku menyambut huluran tangan abang Shazlan yang belum tamat bebelannya dari
tadi.
“Insya-ALLAH. Tahulah Hani nak
buat apa.”
Abang Shazlan memandang tajam.
“Sikit-sikit tahu. Kalau tahu, takdenya Hani telefon abang minta tolong tadi.”
Bertuah punya abang! Giliran aku
pula memandangnya. “Jadi, abang nak biarkan saja adik abang ni ke hulu ke hilir
kat Greenwood
tadi tanpa arah? Bila dah kena culik baru menyesal?”
“Hani!”
Sudahlah! Aku menghempas pintu
kereta. Malas aku nak layan abang yang tak habis-habis nak back up Nazmi. Abang
sajalah yang jadi girlfriend Nazmi
macam tu!
Aku cepat-cepat menaiki tangga
rumah. Setelah memberi salam, aku terus masuk. Saspens juga rasa. Manalah tahu,
Nazmi ada tercongok kat dalam rumah. Namun, tak nampak pula kasut lelaki kat
tangga rumah ni.
Hanya ada Adila dan Ima di ruang
tamu sedang menonton televisyen sambil melipat kain. Bayangan Mak Cik Nor entah
di mana. Yes! Nasib baik mamat tu tak
ada.
“Oh? Akak dah balik?”
Aku memberikan senyuman ke arah
Adila yang bertanya. Tanpa membalasnya, aku menuju ke bilik dan bercadang untuk
membersihkan diri dahulu sebelum kembali ke ruang tamu.
Ingatan aku masih lagi di sekitar
pergaduhan aku dan Nazmi. Berselang seli juga dengan peristiwa salah naik
kereta. Aku menepuk muka dengan bantal. Malunya! Minta-mintalah aku tak akan
jumpa lelaki itu lagi.
Selepas solat Isyak, aku kembali
duduk bersila di atas katil dan menyapu krim malam. Ingatan aku kembali
diterjah seraut wajah lelaki yang aku jumpa secara tidak sengaja akibat salah
menaiki kereta tadi.
“Ya ALLAH!” Aku menekup mulut yang
menjerit secara tiba-tiba setelah teringatkan sesuatu.
“Dia…? Tak kan dia?” Tubuhku mula rasa seram sejuk!
Ish, kenapa meremang tiba-tiba ni?
Aku cuba mengingati sesuatu tetapi
belum berjaya. Namun,
aku pasti dia adalah lelaki itu. Mungkin tadi aku tak perasan sebab dia pakai
songkok tapi panahan matanya benar-benar mengingatkan aku tentang seseorang.
Pelanduk dua serupa? Hmm, mungkin
juga. Mungkin aku terlebih fikir sampai nampak
rupa yang sama tetapi berbeza. Biarlah, benda nak jadi. Aku melangkah keluar
dari bilik dengan penuh longlai.
“Akak, tadi boyfriend akak datang bagi kunci kereta dan ni.” Adila membawa
sejambak bunga ros merah jambu dan sebuah bungkusan.
Berkerut-kerut dahi aku memandang
ke arah jambangan tersebut. Ini kes nak pujuk aku ke? Dia tahu aku tak suka
bunga ros, kan?
Kenapa nak pujuk aku dengan bunga ni? Bunga lain dah tak ada ke?
Aku mengambil jambangan tersebut
sambil mengucapkan terima kasih dan tanpa membeleknya, aku meletakkan di atas
meja bersebelahan sofa.
“Romantiknya boyfriend akak tu!” Ima berkata. Tangannya masih ligat melipat kain
sambil matanya memandang tepat ke arah televisyen yang sedang menayangkan drama
Indonesia.
“Romantik?”
Adila pula mengangguk. “Dia kata
akak merajuk sebab dia tak beli barang yang akak nak. Lepas tu masa dia nak
pergi belikan untuk buat kejutan, akak dah hilang.”
Hah?! Oh TUHAN! Cerita dongeng
apakah ini? Cerita kayangan manakah yang aku dengar ni? Aku? Merajuk? Tak dapat
barang yang aku nak? Apa?!
“Emm…” Hilang habis semua
perkataan yang aku nak cakap. Rasa nak lempar saja bunga ni keluar daripada
tingkap!
“Takdelah merajuk mana pun. Akak
pergi tandas. Akak ingat dia dah balik sebab sebelum tu memang kami cadang nak
balik. Bila pergi tempat parkir kereta, dah takde pula kereta. Nak telefon,
bateri akak habis. Salah faham saja.”
Ikut koranglah nak percaya atau
tidak cerita aku ni. Nazmi buat kisah dongeng, aku pun buat kisah yang sama.
Moga-moga korang tak pening. Kasihan, tak pasal-pasal terbabit sekali.
“Ambillah ni ya? Akak tak makan
cokelat sangat.” Aku menghulurkan sekotak cokelat Ferrero Rocher yang baru
dibuka bungkusannya.
Nak umpan aku dengan cokelat?
Lelaki ni tak ada modal lain ke? Bunga. Cokelat. Bunga. Cokelat. Bagilah benda
lain sikit! Sikit pun hati aku tak terusik. Ya, memang aku kejam!
“Aik, akak tak nak ke?” Adila
bertanya sambil menyambut huluran
cokelat daripada aku.
“Cukuplah satu.” Untuk
menyenangkan hati mereka, aku hanya mengambil satu saja cokelat.
“Terima kasih tau akak.”
“Sama-sama. Eh, makcik mana?”
Giliran aku pula bertanya.
“Dah tidur. Tadi katanya pening
kepala,” Ima menjawab.
Setelah itu, kami semua mendiamkan
diri sambil mata terus tertancap ke arah televisyen. Sesekali terasa berderau
darah ini apabila teringatkan lelaki tersebut. Ish, kenangan! Tolonglah pergi
dari ingatan ini…