KENAPA awak pergi mesyuarat hari tu tak ajak saya?” Nisa menarik
muka.
Aku memandangnya dengan
wajah yang tidak percaya. “Aik, nak pergi ke? Awak tak cakap apapun.”
“Saya ada cakap tapi tak
apalah. Lepas ni saya nak ikut,” ujar gadis itu.
Aku hanya mengangguk
sambil meneruskan kerja menyemak emel dan katalog produk spa. Baru tadi mama
ada hantar mesej kata dia setuju dengan cadangan konsep baru spa. Senyum sampai
telingalah aku jawabnya.
“Ah, saya nak pergi jumpa
kontraktor tu nanti petang ni. Nak ikut ke?” Aku bertanya Nisa yang hendak
bangun setelah selesai menghabiskan sepiring buah pir yang dipotongnya tadi.
“Nak! Kejap saya semak
dulu ada tak pelanggan penting untuk petang ni.”
Gadis itu berlalu ke
pejabatnya. Selalunya jika ada tetamu VIP, Nisa perlu ada di spa untuk
memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Hati pengguna mesti dijaga supaya
reputasi spa sentiasa berada di tahap teratas.
Aku pula kena banyak
belajar dengannya. Mama kata bukan setakat perihal spa aku kena jaga, tingkah
laku, tuturkata dan cara berpakaian juga perlu. Oh, yang lebih aku malas adalah
sesi menghias muka!
Namun, aku perlu juga
mengikut kata-kata mama kerana orang akan mula pandang aku sebagai anak Puan
Salwa. Lebih tepat, pemilik spa yang terkenal ini. Lagipun, nama spa ni saja
dah nama aku. Takkan orang tengok spa macam lima bintang, tapi tuan empunya
nama pula langsung tak nampak bintang!
“Okey saya boleh ikut!
Eh, awak selalunya mesyuarat dengan siapa? Azeem tu eh?” Nisa duduk kembali di
hadapan aku yang masih setia menghadap laptop dan fail yang menimbun di
sebelah.
Aku mengangguk lagi
dengan perlahan tetapi di mindaku sudah penuh dengan tanda tanya. Apa maksud
Nisa? Macam mana dia kenal Azeem? Ops, ada bunyi cemburu di situ. Ya, masih ada
walaupun sekelumit. Tak salah, kan?
“Dulu masa syarikat Azeem
buat spa sini, saya dengan Puan Salwa yang selalu jumpa dia,” jelas Nisa tanpa
dipinta.
Baru aku perasan tentang
kehilangan perkataan ‘encik’ daripada tuturkata Nisa. Selamba sungguh dia
panggil Azeem. Macam dah kenal lama.
Aku bangun sebentar lalu
mendekati kaunter pantri untuk mengambil segelas air masak. Entah mengapa
tiba-tiba rasa panas semacam. Kalau tadi, sejuk sampai menggigil aku dibuatnya.
“Kerja dia tu bagus
betul. Semuanya terperinci dan tepat pada waktu yang diberi. Puan Salwa suka
sangat dengan dia.” Nisa berkata lagi.
Hmm. Macam pelik saja
Nisa ni, bisik hati nakal aku. Ah, biarlah. Kalau dia suka pun, apa masalahnya?
Azeem bukan sesiapa pada aku. Hanyalah seorang kawan lama. Ya, lama yang
memberikan seribu satu makna.
“Nisa suka dia ke?”
Hah! Merah padam kau
dibuatnya! Aku menyembunyikan senyuman sinis. Macamlah aku tak tahu. Kalau dari
tadi dia asyik sebut Azeem, memang sahlah ada hati tu. Ish. Hati perempuan.
Siapa lagi yang boleh faham?
“Eh, mana ada! Saya
bagitahu saja supaya nanti awak taklah rasa kekok bila kerja dengan dia. Maksud
saya, awak tak perlu bimbang sebab Azeem akan memastikan semuanya berjalan
lancar.”
“Alhamdulillah kalau
macam tu. Saya ni dahlah tak ada asas perniagaan mahupun rekaan. Untuk spa
itupun, saya belasah tengok majalah rekabentuk dalaman saja untuk konsep baru.
Nasib baik Azeem faham,” ujar aku panjang lebar.
Nisa mengangguk kecil
lalu tersenyum. “Betul. Azeem memang bagus.”
Aku membuat muka dalam
diam. Sudahlah Nisa oi! Letih aku mendengar nama Azeem sejak tadi. Rasa tak nak
bawa kau pula petang ni, boleh tak?
-------------------------------------------------------------------------
“INI deposit untuk projek
spa tu. Bila boleh mulakan pembinaan?” Aku terus bertanya Azeem tanpa
berlengah.
Bilik mesyuarat ini
menyaksikan pertemuan ketiga aku bersama Azeem. Cuma kali ini disertai oleh
Nisa yang aku perasan sejak tadi hanya mendiamkan diri.
“Terima kasih.
Insya-ALLAH esok pagi saya akan hantarkan jangkasama projek yang akan
dijalankan secara lebih terperinci lagi dan satu set lukisan pembinaan untuk
Cik Hani berikan kelulusan akhir,” ujar Azeem seraya memasukkan cek yang aku
beri tadi ke dalam failnya.
Aku tersengih mendengar
dia akhirnya memanggil aku dengan nama Hani. Memang janggal sebenarnya bila
orang panggil aku Safiya. Tapi kenapa setiap kali Azeem panggil, aku rasa macam
nak terjun bangunan? Fuh, sabar! Aku masih ada Nazmi, ingat tu Hani! Aku
berura-ura untuk bangun apabila Nisa mula bersuara.
“Encik Azeem sibuk ke?
Kita pergi minum dulu?”
Apa?! Kaget aku dibuatnya
apabila Nisa menyoal soalan yang agak drastik kepada Azeem. Lelaki itu berhenti
daripada memasukkan kertas-kertas ke
dalam failnya lalu memandang ke arah Nisa.
“Minta maaf Cik Nisa,
saya ada mesyuarat lain selepas ini.” Azeem berkata dengan nada ringkas dan
selepas itu dia menoleh ke arah aku.
“Cik Hani, esok petang
boleh saya berjumpa cik semula di KL Festival? Saya perlu ambil kelulusan akhir
cik untuk memulakan pembinaan. Mungkin malam esok kita akan mulakan projek
ini.”
Tiba-tiba saja aku
rasakan ada ketegangan kecil yang berlaku di antara Azeem dan Nisa kerana nada
lelaki itu kedengaran agak berlainan.
“Hmm, okey. Nanti tolong
telefon saya dulu.” Aku menjawab dan terus mengajak Nisa yang masih tercengat
di situ keluar dari bilik mesyuarat.
Kami berdua mengatur
langkah untuk menuruni tangga dengan berhati-hati sambil otak aku terus ligat
memikirkan tentang perhubungan mereka berdua.
Telefon aku berdering
sebaik saja aku memanaskan enjin kereta. Mujurlah aku perlu hantar Nisa ke LRT
Wangsa Maju saja. Dari situ pula dia akan terus berhenti di stesen KL Sentral
sebelum mengambil KTM untuk ke Mid Valley.
Kalau aku pergi Mid
Valley masa macam ni gerenti jalan raya tengah sesak! Ish, tak nak! Cukuplah
dah beberapa kali aku jadi mangsa.
“Helo. Ya, waalaikumsalam
Encik Azeem.” Aku perasan Nisa menoleh ke arah aku tiba-tiba. Alamak menyesal
pula sebut nama lelaki itu.
“Maaf Cik Hani. Boleh
kita jumpa sekejap malam ini?” Aku mengerutkan dahi mendengar soalan Azeem. Kan
baru jumpa tadi? Kenapa nak jumpa malam ni pula?
“Hmm, di mana?” Aku
menyoal ringkas, bimbang pula jika didengari Nisa.
Apa perasaan gadis itu
kalau tadi Azeem menolak untuk minum bersama sedangkan kini dia menelefon aku
dan mengajak untuk keluar?
“Depan ni saja. KL
Festival City.”
“Insya-ALLAH. Saya
telefon semula nanti, boleh?”
“Okey dan... saya nak jumpa
awak seorang saja.”
Gulp! Ayat akhir Azeem
membuatkan aku menelan air liur dengan rasa begitu payah sekali. Kenapa hilang
sudah formaliti ‘cik’ itu dan berganti dengan awak?
“Baik...”
Aku memutuskan talian
selepas itu sambil menarik nafas panjang. Kenapa ni? Apa yang berlaku? Kenapa
suaranya tiba-tiba seakan bunyi rayuan? Atau aku saja yang terbayang begitu?
“Azeem nak jumpa ke?”
Hmm. Kan aku dah cakap,
dia mesti tanya. Apa aku nak jawab ni? Takkan nak cakap, ya dia nak jumpa tapi
saya seorang saja. Awak tak boleh ikut. Huh? Menangis tak berlagu jawabnya Nisa
di sebelah kalau itu yang aku cakapkan padanya.
“Ha’ah. Berkenaan dengan
set lukisan tu. Dia kata dia bagi hardcopy saja sebab e-mel dia orang
ada masalah sikit. Benda tu nak cepat. Jadi, mungkin malam nanti dia paskan
lukisan tu kat saya.”
Pembohongan aku ternyata
menjadi apabila Nisa hanya mengangguk perlahan. Ah! Dahlah. Malas aku nak
fikir. Yang penting, spa itu siap dan aku boleh mulakan perniagaan dengan
tenang serta paling penting, kumpul duit untuk kahwin tahun depan.
Setelah menghantar Nisa
di stesen Wangsa Maju, aku berpatah balik semula ke arah KL Festival City.
Cadangnya mahu berjalan sebentar di dalam kompleks tersebut sebelum pulang.
Namun, apabila teringatkan pertemuan dengan Azeem malam ini, terus aku halakan
kereta ke rumah sewa.