Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,769
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 4

INTERKOM telefon yang berdering memecah kesunyian bahagian projek syarikat TheBuilt itu menyebabkan Azeem terjaga daripada rasa mengantuk.

“Hello.”

“Azeem, panggilkan Myra masuk ke dalam bilik saya,” kata Puan Kalsom yang merupakan ketua bahagian rekabentuk merangkap isteri kepada ketua syarikat TheBuilt, Encik Zaquan.

Azeem mengiyakan arahan tersebut dan sejurus meletakkan telefon kembali ke tempatnya, dia bersuara, “Myra, Puan Kalsom panggil.”

Myra yang hanya berusia dua tahun lebih muda dengannya dan baru bekerja selama setahun di situ, mengangguk perlahan lalu bangun dari tempat duduknya.

Lelaki itu memandang saja lenggok Myra yang berbaju kurung polos warna ungu muda dan bertudung fesyen bawal. Timbul rasa serba salah apabila tadi dia meninggikan sedikit suara terhadap gadis tersebut apabila lukisan yang dibuat olehnya, tidak sama saiz dengan projek yang sedang dijalankan. Entah di mana silapnya, Azeem sendiri tidak pasti.

Akibatnya, mereka perlu membuka semula kabinet yang telah dipasang untuk dipotong. Kelambatan proses itu akan menyebabkan pertambahan kos dari segi masa dan tenaga pekerja.

“Kenapa kau termenung?” tanya Hakimi, yang sudah hampir dua tahun duduk bersebelahan dengan Azeem di dalam pejabat itu.

“Takde apa. Eh, siapa yang pergi site briefing petang ni?” Azeem bertanya. Dia baru teringat tentang perkara tersebut apabila terpandangkan dinding kaca di hadapannya yang tertera jadual harian mereka di pejabat.

Hakimi turut sama memandang ke arah dinding tersebut sambil mengerutkan dahi. “Bila pula ada site briefing? Tender ke? Kat mana?”

“Kau tak buka emel ya? Pemalaslah tu.” Azeem memperli sambil tersengih.

“Alah, aku tak perasan agaknya. Ataupun tak masuk inbox aku,” jawab Hakimi seraya membuka laman emel untuk mencari butir-butir tentang hal tersebut.

Azeem memandang set lukisan di hadapannya. Hanya tinggal sedikit saja lagi untuk melakukan pemeriksaan dan dia akan berikan kepada staf di bahagian Studio untuk melakukan perubahan.

Projek ubahsuai ruang dalaman rumah seorang tentera berpangkat besar itu akan dijalankan lebih kurang dua minggu lagi. Azeem menarik nafas lega apabila akhirnya klien tersebut memberikan persetujuan setelah berpuas hati dengan konsep yang mereka persembahkan.

Kini, mereka perlu menyediakan set lukisan rumah tersebut untuk pembinaan yang akan dijalankan dalam masa lebih kurang dua bulan.

Azeem terpaksa mengetuai projek ini seorang diri apabila Hakimi yang berjawatan sama dengannya perlu menjaga dua buah projek kecil lain dan Kak Ton, pengurus projek yang paling lama di situ juga mempunyai beberapa buah projek yang lain.

“Azeem, kau bawa kereta ke motor hari ni?” Tiba-tiba saja muncul Kak Ton yang sejak tadi berada di bahagian Studio. Di tangannya terdapat sebuah katalog besar kemasan laminate.

“Motor. Kenapa?” Azeem menjawab.

“Alah!”

“Kenapa kak?”

Kak Ton menarik muka. “Bos suruh akak pergi dengan kau. Tak kan akak nak naik motor dengan kau kot?”

Azeem ketawa besar. “Mana boleh! Bakal isteri saya saja yang dibenarkan.”

“Eleh, akak tahulah! Kau ingat abang akak kasi sangat ke kalau dia tengok akak naik motor dengan kau? Habis periuk belanga kat dapur tu nanti terbang tahu!”

Kata-kata Kak Ton menyebabkan Azeem dan Hakimi ketawa besar. Kak Ton yang berbadan agak gempal dan sudah mempunyai dua orang anak itu kembali ke tempat duduknya yang berhadapan dengan Azeem.

“Habis tu macam mana?” Azeem bertanya.

“Kereta pejabat takde ke?” Hakimi pula menyoal.

Azeem menggelengkan kepala. “Bos pakai. Kereta dia masuk bengkel pagi tadi.”

Bagaikan tahu namanya disebut, Encik Zaquan yang baru pulang daripada mesyuarat, muncul di bahagian projek lalu menyerahkan kunci kereta Toyota Hilux milik syarikat kepada Kak Ton.

“Ton, you kena pergi site briefing kan hari ni? Azeem, you pergi sekali nanti. Jangan lupa bawa measuring tape.”

“Baik Encik Zaquan. Oh, sebutharga yang Encik Zaquan nak tu, saya dah letak atas meja.” Kak Ton memberitahu sambil mengambil kunci kereta tersebut daripadanya.

“Okey, terima kasih.” Encik Zaquan kemudiannya berlalu pergi.

Kak Ton mengeluh kecil. Mulutnya terkumat-kamit membebel. “Akak rasa dekat sepuluh kali dia ingatkan akak tentang hal ni. Rimas pula aku dibuatnya. Encik Zaquan dah makin pelupa ke apa?”

Azeem tergelak. “Biarlah kak. Kalau tak salah Azeem, projek ni memang Encik Zaquan nak sebab kalau dapat, ni portfolio pertama kita tau dengan Perbadanan Putrajaya.”

“Betul. Aku pun ada dengar Encik Zaquan bagitahu hari tu. Hah, korang tu apa lagi tunggu? Site briefing pukul tiga setengah, kan? Sekarang dah pukul berapa?” Hakimi berkata.

“La! Sekejapnya dah pukul dua setengah!” Kak Ton mulai kelam kabut mencapai nota dan mengemas mejanya.

Azeem mencongak dalam hati. Kalau tiada kesesakan jalan raya, setengah jam pun boleh sampai kalau ikut lebuhraya MEX. Yang dikhuatiri, hanyalah di Jalan Tun Abdul Razak. Kalau situ tak sesak, pasti boleh sampai lebuhraya MEX dengan cepat.

“Jom kak. Nampak gaya, akak kena pakai tali pinggang keledar ketat-ketat sikit. Saya nak bawa macam kereta F1.” Azeem mengusiknya seraya mengambil beg sandangnya dari dalam laci meja.

“Gila kau! Nanti kena saman macam mana?” Kak Ton mencelah dan bangun dari tempat duduknya.

Hakimi ketawa. “Kata kereta syarikat. Boslah bayar.”

Azeem dan Kak Ton masing-masing tersengih. Mereka berdua terus keluar dari pejabat. Kak Ton sempat berpesan kepada Myra yang bertembung dengan mereka ketika keluar dari bahagian projek supaya menutup komputernya jika mereka tidak sempat pulang pada jam lima nanti.

----------------------------------------------------

MESYUARAT di Putrajaya berjalan lancar. Tender untuk merekabentuk unit rumah pangsapuri itu disertai oleh enam buah kontraktor dan mereka perlu menghantar kertas cadangan dalam masa tiga minggu.

Tepat jam lima petang, Azeem dan Kak Ton menaiki kereta untuk pulang ke pejabat. Dalam hati, Azeem berdoa agar Jalan Tun Abdul Razak tidak sesak supaya mereka dapat sampai ke pejabat dalam lingkungan jam enam petang.

“Kau rasa sempat tak kita sampai?” Kak Ton bertanya selepas kereta Toyota Hilux pejabat yang berwarna putih itu memasuki lebuhraya MEX.

“Entahlah kak. Saya tak berani janji sebab bila petang saja bukan boleh dijangka. Kadang-kadang sesak juga walaupun tak ada apa yang jadi tapi saya tengok cuaca elok saja. Mungkin tak sesak sangat kot,” ujar Azeem sambil memandu dengan tenang.

“Takpelah, kita doa saja.” Kak Ton berkata. Dia membelek beberapa keping dokumen yang mereka dapat semasa mesyuarat tadi.

Azeem mengerling jam di skrin sebelum bertanya kepada Kak Ton, “Akak nak kena ambil anak-anak akak balik sekolah eh petang ni?”

“Oh tak. Ayah dia orang yang ambil. Akak dah bagitahu yang akak lambat balik hari ni. Kenapa?”

“Saya nak singgah R&R dulu, boleh? Nak solat Asar. Saya takut nanti kalau jalan sesak, tak sempat sampai pejabat,” jelas Azeem.

“Boleh. Kita pun bukan nak kejar apa-apa kan? Ke kau nak masuk pejabat dulu?” tanya Kak Ton.

“Hish, taklah kot kak. Sebenarnya petang ni saya kena pergi jumpa kawan.” Azeem berkata pula.

“Lah ye ke? Baik kau bagitahu kawan kau tu yang kau bakal sampai lambat.”

Azeem terdiam seketika. “Pinjam telefon boleh kak? Sebenarnya telefon saya rosak, ingat nak beli baru tapi tak sempat lagi pergi kedai.”

“Patutlah tadi masa kau pergi tandas, akak telefon tapi tak dapat-dapat. Akak ingat telefon akak yang rosak.” Kak Ton segera menghulurkan telefon jenis Samsung Note 2.

“Takpe kak, kejap lagi masa berhenti di R&R, saya telefon kawan saya.”

“Akak rasa memang dah sampai masanya kau tukar telefon dik. Orang lain dah tukar yang lebih canggih, yang senang dapat emel. Kau masih juga nak pakai yang lama.”

Bebelan Kak Ton hanya mendapat senyuman Azeem. Bukan Kak Ton seorang yang membebel sedemikian. Faiz dan Ikhwan juga berkata begitu. Mereka kata dia kedekut.

Pada Azeem, asalkan telefon itu boleh SMS dan telefon orang lain, sudah memadai. Apatah lagi, dia sendiri malas nak buka akaun Facebook, Twitter atau Instagram. Bagi Azeem, semua itu hanya akan menyibukkan lagi kehidupannya.

“Tengoklah macam mana kak. Kalau boleh, telefon pun saya tak nak pakai,” ujar Azeem sambil ketawa.

“Hish. Tu lah kau, tak sosial langsung akak tengok. Macam mana nak berbini kalau asyik diam saja. Facebook pun takde. Kalau ada, boleh juga akak bagi cadangan beberapa orang kawan akak yang belum kahwin lagi.”

Tercetus tawa Azeem apabila mendengar kata-kata Kak Ton. “Takpelah kak. Terima kasih. Saya belum bersedia lagi nak kahwin.”

“Hah kalau macam tu, sampai tualah kau membujang.”

Tawa Azeem hanya tinggal sisa ketika dia membelok masuk ke kawasan rehat Seri Kembangan. Bagi Azeem, dia bukan tidak mahu berkahwin, tetapi dia yakin dengan perjalanan yang telah ALLAH SWT tentukan untuknya. Masanya akan tiba juga suatu hari nanti.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.