HAMPIR lenguh tangan
kiri Azeem menepuk perlahan belakang Mimi yang masih belum mahu tidur sejak
tadi. Jarum jam sudah menginjak ke angka satu pagi. Bayi yang hampir berusia
setahun itu sesekali merengek.
Yang menghairankan, Nafis
di kanannya juga tersengih dan memandang Azeem dengan matanya yang bulat dan
bersinar. Nafis hanya setahun tua daripada Mimi tetapi fizikal mereka hampir
sama.
“Eh, belum tidur lagi?”
Suara seseorang menjengah ke kamar milik Azeem. Lelaki itu pantas berpaling.
“Hmm, entahlah ayah.
Dua-dua tak mahu lelap,” jawab Azeem. Dia mengusap peluh yang mula merenik di
pelipis pipi.
Ayahnya, Amar hanya ketawa
kecil sambil terus mengangkat Mimi yang sudahpun memusingkan tubuh kecilnya
menghadap ke arah Amar.
“Kenapa sayang atok ni
tak tidur lagi? Kasihan kat ayah Azeem tahu,” pujuk Amar sambil menepuk Mimi.
Serentak dengan itu, bergema suara tangisan Mimi di bilik Azeem.
“Ya ALLAH, menangis pula.
Jarang Mimi buat hal. Dia demam kot ayah,” ujar Azeem. Matanya bulat memandang
Nafis yang tiba-tiba bangun dan memeluknya.
“Ni seorang lagi. Kenapa
ni?” Azeem mengusap perlahan kepala Nafis yang terlentok di bahunya.
“Ayah... yah...” Nafis
yang masih belum boleh berkata dengan lancar itu bersuara.
“Nak ayah nyanyikan lagu
ke ni?” Azeem berkata sambil ketawa.
Amar menggeleng perlahan
melihat usikan anaknya sambil terus menepuk Mimi yang semakin layu di pangkuan.
Ternyata, zikrullah yang diucapkan sejak tadi secara perlahan di telinga Mimi
membuatkan anak kecil itu tenang.
“Bila kau balik sana?” tanya Amar setelah
dia meletakkan Mimi yang sudahpun lelap di tilam. Sengaja Azeem tidak mahu
meletakkan katil di biliknya kerana bimbang jika mereka jatuh ketika tidur.
“Esok. Sekejap saja Azeem
cuti. Ada
banyak benda nak dibereskan di pejabat.” Azeem menjawab ringkas. Dia segera
menyelimutkan Nafis yang berbaring di sebelah Mimi.
Amar mengangguk. Dia
sendiri tahu tahap kesibukan Azeem yang bekerja sebagai pengurus projek di
sebuah firma pembinaan dan sebagai ayah, dia merestui pekerjaan anaknya itu
asalkan ianya tidak terkeluar dari landasan agama.
------------------------------------------------
SETIBANYA Azeem di rumah
sewanya yang terletak berhadapan dengan Tasik Seri Gombak, rakan serumahnya,
Faiz juga sampai. Dia meletakkan motorsikal miliknya di sebelah motorsikal
milik Azeem.
“Aik? Kau kata nak balik
lusa?” kata Azeem sambil membuka kunci mangga.
“Aku malas. Dia orang
semua pergi Kuantan, rumah mak cik aku yang nak kahwinkan aku dengan jiran dia
tulah!” bebel Faiz seraya membawa masuk topi keledarnya ke dalam rumah.
Kalau letak topi itu di
luar, jawabnya pasti akan menjadi sasaran mata-mata orang yang tidak dikenali.
Dalam fikiran Faiz, kalau boleh motorsikalnya itu juga mahu diheret masuk ke
ruang tamu! Apatah lagi, baru-baru ini ada jiran mereka yang kehilangan
motorsikal angkara pencuri yang sedang bermaharajalela.
“Alah, kau terima
sajalah. Manalah tahu, jodoh kau. Dah jumpa ke belum dengan perempuan tu?”
Azeem menyambung pertanyaan setelah menghempaskan dirinya ke sofa berwarna
coklat cair.
Dia sempat menjeling jam
dinding yang menunjukkan angka tiga. Mujur juga dia sempat berjemaah Zohor
dengan ayahnya sebelum pulang tadi. Lagipun, Kajang dan Gombak bukannya jauh
sehingga memerlukan berjam-jam untuk sampai.
“Hmm... belum jumpa pun,”
jawab Faiz, acuh tak acuh sambil meletakkan sebuah bungkusan besar di atas meja
kopi.
Azeem ketawa kecil.
“Keluarga kau macam mana? Setuju?”
“Itu yang aku malas nak
ikut dia orang pergi Kuantan! Mama kata, dia nak pergi pinangkan minah rumah
sebelah tu. Hisy!” Faiz mendengus kecil.
Lelaki itu memejamkan
mata sebaik saja dia merehatkan tubuhnya di sofa yang boleh memuatkan seramai
dua orang. Azeem pula menarik nafas panjang setelah teringat bahawa esok dia
bakal memulakan kerja semula setelah bercuti lama sempena Tahun Baru Cina ini.
Kata ayah, tak baik
mengeluh kalau nak pekerjaan kita itu mendapat keberkatan. Kerja itu sebuah
ibadah dan dalam melakukannya, kita perlu ikhlas. Bila ikhlas, segalanya
Insya-ALLAH akan dipermudahkan.
“Apa yang kau fikirkan?
Macam ada masalah saja?” Faiz bertanya tiba-tiba.
Azeem yang sejak tadi
merenung ke arah siling putih itu memandang ke arah lelaki yang sudah hampir
tiga tahun menjadi kawannya itu. Mereka berkenalan ketika sama-sama menyertai
kelab motor dan selepas itu terus menjadi sahabat baik.
“Fikir esok nak kerja.”
Faiz ketawa. “Kalau pasal
tu, memang semua orang akan tarik muka empat belas! Eh, lupa pula aku nak
tanya, anak-anak kau sihat?”
“Alhamdulillah. Makin
aktif. Aku dah tak larat nak dukung. Manja Mimi makin menjadi-jadi. Nafis makin
nakal.” Azeem berkata. Bercahaya wajahnya setiap kali menceritakan tentang Mimi
dan Nafis.
“Syoklah ada anak kecil.
Aku ni, entah bila...” Faiz yang juga sebaya Azeem dan berusia 29 tahun itu
merenung jauh, memikirkan nasib diri.
Kerjanya sebagai pegawai
bank semestinya menemukan dia dengan ramai kenalan tetapi entah kenapa, seorang
pun masih belum mampu sangkut di hatinya. Jodoh belum tiba, itu jawapan yang
pasti.
“Hah, kan aku cakap, terima saja jiran sebelah mak
cik kau tu. Silap-silap raya tahun depan kau dah dukung anak!” Lelaki itu
ketawa besar.
“Hisy! Tolonglah! Tekanan
perasaan aku dibuatnya bila cerita pasal minah tu.” Faiz membuat muka seraya
membuka bungkusan di hadapannya.
“Tak baik cakap macam tu.
Jadi betul-betul, baru tahu!”
Lelaki itu tidak membalas
usikan Azeem. Dia sibuk mengeluarkan dua bekas plastik berisi makanan yang
dikirimkan oleh ibunya sebelum pulang tadi.
“Hui! Rendang mak kau
eh?” Azeem menghidu aroma rendang daging buatan mama Faiz yang rasanya memang
tiada tolak bandingan.
“Mestilah! Gadis yang nak
jadi isteri aku, kena pandai masak rendang macam ni, baru aku nak!” Faiz
mengangkat kening dan terus bangun lalu menuju ke dapur untuk mengambil pinggan.
“Dasar memilih!”
“Ah! Kau pun sama!” jerit
Faiz. Suaranya sayup-sayup kedengaran. Mungkin sudah tiba di dapur pada fikiran
Azeem.
Seketika kemudian, Faiz
kembali ke ruang tamu dengan dua pinggan kecil dan bungkusan roti. Azeem pula
mencapai alat kawalan jauh televisyen lalu membuka program yang sentiasa
menjadi pilihan utama mereka, program sukan.
“Ni roti zaman bila kau
ambil?” Azeem menyenduk sedikit rendang di pinggannya sambil menyoal Faiz yang
sedang membelek bungkusan roti tersebut.
“Hmm, tarikh luput...
semalam weh.” Faiz berkata sambil mengeluarkan sekeping roti yang nampak keras.
Azeem memandangnya dengan
rasa kurang percaya. “Habis tu, kau nak makan?”
“Bukan ada kulat pun.
Halal sajalah!”
“Yelah, perut kau. Bukan
perut aku,” kata Azeem. Dia mengusap pipinya perlahan sambil mencucuk nasi
impit yang dibekalkan bersama rendang itu.
“Bila mula kerja?” Azeem
kembali menyoal setelah sepi berlabuh buat beberapa ketika antara mereka.
“Tulat.”
“Lama betul. Bila Halim
kata dia balik sini?” Azeem bertanya tentang rakan serumah mereka seorang lagi.
Faiz mengunyah dengan
perlahan sambil matanya terus tertancap ke arah kaca televisyen.
“Kalau tak salah aku
minggu depan. Dia nak pergi bercuti ke Jepun dengan keluarganya, kan?”
Azeem mengangguk lalu
mengangkat pinggannya yang sudah kosong dan menuju ke dapur.
------------------------------------------------
“WAALAIKUMSALAM...
Selamat Tahun Baru Cina Ikhwan,” usik Azeem ketika menjawab salam teman baiknya
yang mempunyai darah keturunan Cina-Melayu itu.
Ikhwan ketawa besar.
“Ucapan saja ke? Angpau takde? Oren?”
“Oren saja aku mampu bagi
kau!” jawab Azeem seraya mendekatkan telefon bimbitnya ke telinga.
“Okey, aku tuntut! Aku
nak tiga kotak! Eh, minggu ni kau jadi datang untuk ajar budak-budak kelas baru
tu ke tak?” tanya Ikhwan.
Azeem merenung sejenak
sambil menepuk perlahan dahinya. Lupa! “Oh, Insya-ALLAH.”
Nampak gayanya, dia
terpaksa membatalkan hasrat untuk pulang ke rumah ayahnya minggu ini.
Alamatnya, bersaratlah rindunya terhadap Mimi dan Nafis.
“Kali ni, berapa orang?”
Azeem menyoal. Sesekali dia membetulkan kain pelekatnya.
“Sepuluh.”
Selesai berbual dengan
Ikhwan yang merupakan sahabat baiknya sejak sekolah menengah itu, Azeem segera
mencapai kemeja kerjanya untuk diseterika.
Sudah hampir enam bulan
Azeem membantu Ikhwan mengajar kanak-kanak mengaji di Madrasah Zahra dengan
menjadi guru separuh masa.
Bagi Azeem, itu adalah
antara salah satu cara untuk dia melepaskan tekanan kerja selain mengikuti
aktiviti kelab motor bersama Faiz. Kadangkala di hujung minggu, mereka berdua
akan turun ke lokasi yang ditetapkan oleh kelab motor untuk melakukan amal.
Mujurlah ayahnya tidak
banyak soal sekiranya dia jarang pulang ke Kajang. Namun, dia pasti
memperuntukkan waktu untuk pulang ke sana
bagi melepaskan rindunya. Azeem bahagia dengan apa yang dimilikinya kini walaupun
tidak terlalu mewah. Cuma hanya satu perkara yang sering datang menjengah
terutama ketika dia bersendirian. Siapa pemilik hatinya yang sah?