Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,773
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 6

“NAZMI! Berapa kali I nak cakap kat you? I tak nak naik motor dengan you!” Aku mengetap bibir menahan geram.

Dalam masa yang sama juga, terpaksa menahan marah dan meninggi suara. Nanti tak pasal-pasal satu kampung dengar perang dingin antara aku dan Nazmi.

“You ni kan… Apa masalahnya kalau tak nak naik motor dengan I? I ni kan boyfriend you, bakal suami you! You kena dengar cakap I!” Nazmi mulai berang.

Aku menyilangkan tangan sambil berdiri menghadapnya. Kalau dulu, memang aku kecut perut bila Nazmi mula bersikap baran tetapi entah kenapa, sekarang ni aku mampu untuk menentang anak matanya. Mungkin dah lali dengan kemarahannya yang datang tiba-tiba tak tentu masa.

“You tahu tak Nazmi, you tu lelaki. I ni perempuan. Kita bukannya muhrim dan tak manis kalau orang tengok I membonceng motorsikal you sedangkan I ni bukan isteri you lagi!” Aku menekan suara, masih terkawal.

“Ah, pedulikanlah cakap orang! Manusia memang suka mengata!” Nazmi menghempas topi keledarnya ke tanah.

Bulat mataku merenung perbuatannya. Cepat-cepat aku memandang sekeliling. Mujur tiada orang yang nampak. Tak boleh jadi ni. Aku harus cepat-cepat cari jalan penyelesaian sebelum berlaku perkara yang tidak diingini.

“Macam ni, hari ni you bawa kereta I. I nak biasakan diri tengok jalan di Kuala Lumpur. Hari tu macam tak sempat sebab I teragak-agak lagi, boleh?”

Huh, tak pasal-pasal aku kena melembutkan suara untuk memujuknya. Nazmi memandang ke arah aku dengan tajam dan kemudiannya mengeluh.

“Okey, bagi kunci kereta.”

Tanpa banyak soal, aku memberikan kunci kepadanya. Lega! Walaupun di dalam hati ini, dah jadi macam sarang tebuan. Tinggal nak keluar dan serang mangsa yang terdekat.

Aku hanya diam membisu sehinggalah kereta tersebut keluar dari kampung.

“You marah?” Nazmi menyoal.

Berkerut dahi aku dibuatnya. Ni siapa sebenarnya yang marah? Aku ke dia? Hish! Makin tak paham aku dibuatnya. Aku beristighfar untuk kesekian kalinya sebelum menjawab.

“Taklah. I tak marah. Buat apa I nak marah.”

“Sayang, I tahu you marah. Maafkan I okey? I lupa you tak suka naik motor. Beruntung I dapat orang macam you. Mesti tak ada lelaki lain yang dapat naik motor dengan you, kan?” Nazmi berkata.

Ei, geramnya aku. Boleh pula dia buat tak tahu dengan pertengkaran tadi dan sekarang bagitahu aku macam dia tak bersalah langsung? Kus semangat!

“Ada.”

“Hah? Siapa?” Tengok tu! Suara tiba-tiba saja meninggi. Aku rasa Nazmi ni kadang-kadang gila. Kejap okey, kejap tak.

“Abang I lah, siapa lagi!” Aku mendengus perlahan. Nak cuba bawa bergurau tapi akhirnya aku sendiri yang sakit hati.

Nazmi ketawa besar. “You ni nakal tau Hani.”

Aku tak menjawab tetapi hanya membiarkan Nazmi bercakap seorang diri. Malas rasanya nak layan dan yang lebih malas, aku semakin bosan bila bersama Nazmi.

“You dengar tak?”

Aku tersedar daripada lamunan. Eh, dah dekat dengan Simpang Tiga ke? Kata Nazmi, tadi nak pergi KLCC. Macam mana pula dah sampai sini? “Dengar apa?”

“Eh Hani, you ni pekak ke? I cakap berbakul-bakul, you buat tak tahu saja, kan?”

Pergh! Pekak pula dah! Lelaki ni memang sengaja nak cari kemarahan aku ke? Aku mengetap bibir menahan geram yang semakin membara.

“Nazmi! You tu buta ke hah? I tengah marah ni you boleh cakap dengan gembiranya? You gila ke apa?”

“You cakap I gila?” Nazmi menengking dan membuatkan jantung aku semakin berdebar apabila dia mula memecut.

“Nazmi! You nak mati ke apa? Bawalah perlahan sikit!”

Rasa nak sepak saja mamat sebelah aku ni. Aku menelan air liur apabila dia membawa dengan laju di jalan yang tidak berapa besar ni. Di kiri bahu jalan, penuh kereta yang sedang parkir.

Aku tak mahu berfikir jauh buat masa sekarang. Aku hanya beristighfar agar Nazmi tidak melakukan sesuatu yang bodoh! Senja pula sedang merangkak. Apa-apa saja boleh jadi! Ya ALLAH, selamatkanlah aku…

“Nazmi!”

Tiba-tiba saja kereta membelok sedikit ke arah kiri lalu berhenti mengejut di bahu jalan berhampiran deretan kedai buah di Greenwood. Bunyi hon kereta dari arah belakang membuatkan aku tersentap.

“You turun sekarang!”

“Hah?!” Terkedu aku mendengar arahan Nazmi.

Bangang ke apa lelaki ni? Suruh aku turun daripada kereta sendiri? Ya ALLAH! Apa aku nak buat sekarang? Aku memandang ke luar tingkap dan nampak ada beberapa orang di gerai buah sedang memandang. Pastinya mereka melihat kereta ini dipandu dengan bahaya sebentar tadi.

“I cakap turun! I tak nak tengok muka you buat masa sekarang! I tak sangka you boleh cakap I gila!” Nazmi menjerit.

Okey! Okey! Aku turun sekarang! Dengan pantas, aku buka pintu kereta dan menghempas pintu kereta. Biarlah orang nak cakap apa pun!

Yang penting, aku nak lari dari sini. Rasa marah dengan malu bercampur aduk. Ei, sampai hati Nazmi buat aku macam ni!

-------------------------------------------------------------

“ABANG, abang tolong ambil Hani di kedai 7-Eleven, Greenwood sekarang, boleh?”

Aku akhirnya menelefon abang Shazlan setelah memasuki kedai tersebut. Sebelum tiba di situ, aku sempat menoleh ke belakang dan melihat kereta Swift aku sudah tiada di tempatnya.

Rasa mahu menangis saja apabila diperlakukan sebegitu. Aku sendiri tak pasti hala tuju hubungan ini. Masa di Kuantan, Nazmi tidaklah seteruk ini tapi bila di Kuala Lumpur, lain pula perangainya.

“Aik? Macam mana Hani boleh sampai sana?”

Aku mengeluh perlahan. “Panjang ceritanya. Tolonglah ambil Hani kat sini. Hani seorang diri dan tolong jangan bagitahu Nazmi.”

“Kenapa pula?”

“Abang! Jangan bagitahu, tolonglah…”

“Ye lah. Abang datang sekarang. Hani duduk situ sampai abang datang.”

Aku menarik nafas lega setelah mematikan talian. Sesekali aku memandang ke arah luar kedai. Manalah tahu, jikalau Nazmi muncul tiba-tiba.

Hati aku semakin panas dengan sikapnya. Dia lupa ke tu kereta aku? Persoalannya sekarang, macam mana aku nak ambil balik kereta tu?

Sambil menunggu abang Shazlan, aku membeli beberapa barang sebagai bekalan makanan di rumah. Ye lah, tak kan nak mundar-mandir saja di kedai ni tanpa membeli apa-apa kan? Nanti sekuriti yang tengok CCTV rasa curiga pula.

-------------------------------------------------------------

“HANI gaduh?” Soalan pertama yang diterjah kepada aku setelah aku memasuki kereta Preve merah milik abang Shazlan.

Aku terus diam. Rasa malas nak jawab. Mujurlah suasana dalam kereta ni sejuk dengan penyembur udara aroma Lavendar yang menjadi kesukaan abang dan aku. Tenang sikit hidup!

“Nazmi tu dah tak betul ke abang? Dia asyik nak marah Hani saja.” Aku memulakan bicara.

Abang Shazlan terus memandu keluar dari Greenwood dan pasti menuju ke rumahnya di Taman Seri Gombak ataupun nak bawa aku makan sebelum menghantar aku pulang.

“Abang tengok dia biasa saja. Hani kot yang selalu buat dia marah?”

Aku menyilangkan tangan tanda protes. Kalau ikut hati, dengan abang Shazlan sekali aku mengamuk. Tahulah Nazmi tu kawan dia, tak payahlah nak back up sangat.

“Dahlah naik kereta mama! Lepas tu abang tahu tak, dia halau Hani keluar daripada kereta?”

Abang Shazlan terdiam. Dia hanya membisu selepas itu dan keretanya membelok ke arah Prima Sri Gombak. Aku pula masih menunggu maklum balas abang tentang kawannya yang seorang itu.

“Hani, tolong abang pergi beli aiskrim kat Iceroom. Mango Pomelo satu dengan Blueberry satu. Kawan-kawan rumah abang yang pesan. Nanti Hani tambahlah apa yang Hani nak, ya?”

Aku membulatkan mata. Aku tengah marah macam ni, dia boleh suruh aku pergi beli aiskrim?! Dia nak tengok aiskrim tu cair terus ke bila aku pegang? Dengan rasa bengang, aku menarik kasar wang yang dihulurkannya.

Sepanjang di dalam kedai, aku menyumpah seranah berselang seli dengan istighfar. Apakah lelaki semuanya sama? Semuanya ambil mudah dengan apa yang berlaku di sekitarnya? Semuanya ego untuk mengakui kesalahan sendiri?

Setelah aku mendapatkan pesanan aiskrim, aku terus berlalu pergi. Pekerja Bangladesh yang memberikan senyuman kepada aku itu, tidak aku hiraukan. Maaf, kakak ini tengah banyak angin!

Dengan cepat, aku melangkah ke arah kereta Preve abang Shazlan yang menunggu di bahu jalan. Sambil terus menahan rasa marah, aku masuk ke dalam kereta dan mendengus kasar.

“Nah! Abang ni pun sama saja macam dia! Semuanya ambil mudah! Hani tengah marah tapi takde siapa pun nak ambil peduli!” Aku mengetap bibir menahan geram dan menunggu abang Shazlan membalas kata-kata aku tetapi dia hanya diam.

Aku segera berpaling ke arahnya dan menjerit, “abang!”

Oh! Alamak! Eh? Ya ALLAH! Aku salah naik kereta ke? Seraut wajah yang redup dan tenang sedang memerhatikan aku. Lelaki yang siap bersongkok itu membuatkan aku terpana seketika.

“Eh, maaf, maaf. Saya ingat ni kereta abang saya. Minta maaf sangat.” Cepat-cepat aku menundukkan sedikit kepala ke arahnya lalu membuka pintu dan memecut keluar.

Bunyi hon kereta menyebabkan aku menoleh dan hah! Itu dia rupanya abang aku yang bertuah! Macam mana pula dia pergi parkir belakang kereta mamat yang sama ni? Dari jauh aku lihat abang sudah tersenyum simpul.

“Salah naik kereta nampak?” 

"Diamlah!!!”

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.