Rabu, 12 Mac 2003 : 4
Petang
Kala cinta itu datang
mengetuk pintu hati...
TANPA berfikir panjang,
Hani bangun lalu melangkah ke arah Azeem yang duduk di tepi tingkap. Dia berdoa
agar lelaki tersebut tidak tidur dan niatnya jika boleh, mahu meminjam telefon
lelaki tersebut.
“Awak...”
Terkesima Azeem dibuatnya
apabila Hani tiba-tiba muncul lalu duduk di sebelahnya.
“Kenapa? Awak ada
masalah?” Azeem bertanya.
“Awak ada telefon tak?
Saya nak pinjam. Tadi saya telefon mama saya tapi telefon saya mati pula sebab
bateri dah habis,” ujar Hani.
Azeem mengeluarkan
telefon Nokia 3310 miliknya tanpa banyak soal dan menghulurkannya ke arah Hani.
“Saya pinjam satu SMS
ya?” Hani menyoal.
Kelembutan tutur kata
Hani menyebabkan hati Azeem merasakan debaran yang asing. Lelaki itu hanya
mengangguk perlahan.
“Ataupun awak telefon
mama awak pun tak apa.” Azeem memberikan cadangan.
“Tak apa. Saya minta mama
telefon nombor awak ni.” Hani berkata sambil jemarinya terus menaip.
“Hmm, boleh saya duduk
sini?”
“Ha?” Azeem membulatkan
matanya.
“Eh, tak, maksud saya...
saya nak duduk sini sekejap boleh? Sementara mama nak telefon nombor awak.
Takkan saya nak bawa ke belakang. Nanti awak ingat saya nak curi telefon awak.”
Gadis itu tersenyum lalu
membuatkan Azeem ketawa kecil dengan jenaka yang tidak disangka-sangka itu.
Hani kemudiannya bangun untuk mengambil beg sandang yang ditinggalkan di kerusi
belakang tadi lalu membawanya ke sebelah Azeem.
“Mana pula mama saya
ni... mesti dia marah saya...” Hani mengeluh kecil.
“Kenapa dia nak marah
awak?” Azeem menyilangkan tangannya sambil menyoal.
Hani menoleh ke arah
Azeem di sebelah sebelum memberikan senyuman.
“Dia tak suka saya balik
seorang diri terutama kalau jauh macam ni. Biasanya mama dan ayah yang akan
datang ambil saya.” Hani memberitahu.
“Kalau dengan
kawan-kawan?”
“Dia tak suka juga tapi
saya kena yakinkan dia yang saya boleh jaga diri saya baik-baik.”
Azeem mendengar ceritanya
sebelum bertanya, “awak ni mesti anak bongsu, kan?”
“Macam mana awak dapat
teka?” tanya Hani dengan jujur.
“Kalau manja, biasanya
anak bongsu.” Azeem berkata ringkas.
Semakin terbuka pula
hatinya untuk berbual dengan Hani kerana gadis itu kelihatan tegas tetapi tutur
katanya penuh kelembutan dan wajahnya juga tenang.
“Ish, awak ni. Taklah.
Saya tak manja.”
Azeem ketawa. Sifat manja
yang dimiliki Hani jelas terserlah dengan caranya yang tersendiri. Tidak
segedik teman sekelasnya yang sentiasa cuba mencari jalan untuk mendekatinya.
“Ah, mama telefon.” Hani
berkata apabila telefon milik Azeem yang berada di tangannya itu berdering.
“Ya mama. Ini kawan Hani
punya telefon.”
“Hmm... Lelaki.” Azeem
memandang Hani apabila dia mendengar perkataan tersebut. Barulah dia perasan
gadis itu bernama Hani.
Sejurus kemudian, Hani
menghulurkan telefon tersebut sambil berkata, “mama nak cakap dengan awak,
boleh?”
Azeem menahan debarannya.
Tak pasal-pasal dia juga terjebak dalam masalah Hani. Lelaki itu hanya
mengangguk sambil mengambil telefon tersebut.
“Waalaikumsalam, ya mak
cik. Saya kawan Hani, Azeem.” Lelaki itu berkata.
“Oh, kawan satu kelas
ke?” Suara ibu Hani kedengaran terlalu jelas di telinga Azeem.
Azeem menggerakkan
bibirnya dengan menyebut ‘satu kelas’ ke arah Hani yang memandang. Mujurlah
gadis itu memahaminya lalu terus mengangguk berulang kali.
“Ha’ah mak cik. Sekelas.”
“Hmm. Takpelah. Azeem
tolong tengokkan Hani. Bila dah nak sampai Puduraya, telefon mak cik boleh?
Tunggu sampai mak cik datang ambil Hani. Dia tu tak pernah kena tinggal. Jadi
mak cik bimbang sangat kalau dia pergi mana-mana. Dia satu-satunya anak
perempuan yang mak cik ada.”
Azeem tersenyum meleret
mendengar penerangan ibu Hani yang panjang lebar. Keprihatinan ibu Hani
menyebabkan dia terkenang dan merindui ibunya sendiri.
“Insya-ALLAH. Apa-apa
pun, saya akan hubungi mak cik semula.” Azeem memberikan jaminan ringkas.
Sebetulnya, dalam umurnya
yang baru mencecah 19 tahun, apalah sangat yang diketahuinya untuk menjaga anak
dara orang? Azeem berjanji pada dirinya sendiri untuk membantu Hani sekadar
dirinya mampu sekiranya gadis itu perlukan pertolongan.
“Awak, terima kasih!”
Hani tersenyum lebar sambil menghulurkan kembali telefon setelah mematikan
talian.
“Sama-sama.” Azeem
mengangguk ringkas.
“Awak belajar di fakulti
mana?” tanya Hani.
Azeem mengerling ke arah
gadis yang masih lagi duduk di sebelahnya. Berdegup laju juga jantungnya setiap
kali mata mereka bertentang.
“FSPU. Awak?”
Hani tersenyum dan
menjawab, “oh, budak arkiteklah ni, ya? Saya budak akaun saja.”
“Eh, saya ambil construction.
Bukan arkitek.” Azeem tersengih.
“Oh, saya ingat FSPU tu
semua budak arkitek.”
“Tak...”
“Okeylah, saya duduk
sebelah sana. Nanti kalau mama saya telefon, senang sikit awak nak panggil
saya.”
Azeem melihat ke arah
barisan kerusi di sebelahnya yang ditunjukkan oleh Hani lalu mengangguk kecil.
Sesekali kepalanya terasa pening terutama apabila bas tersebut melalui kawasan
berbukit bukau dalam keadaan laju.
Hani bangkit dari tempat
duduknya lalu berura-ura untuk ke kerusi sebelah. Namun, bunyi letupan
tiba-tiba kedengaran kuat dan serta-merta bas yang dinaiki mereka berdua
terhuyung-hayang. Hani terkejut dan tak semena-mena, tubuhnya hilang
keseimbangan lalu hampir tersungkur ke hadapan.
“Hani!”
Gadis itu menarik nafas
panjang dan dirinya terasa begitu gemuruh apabila dia menyedari tangan Azeem
melingkari pinggangnya ketika dia terjatuh semula ke kerusi. Mujurlah lelaki
itu bertindak pantas untuk menariknya semula sebelum dia terhumban ke hadapan.
“Awak okey?” Azeem
lekas-lekas menarik tangannya semula. Dia juga terkejut dengan tindakannya
sendiri tetapi semuanya berlaku terlalu pantas kerana dia bimbangkan Hani yang
mungkin akan jatuh.
Hani hanya mengangguk
tanpa memandang ke arahnya semula. Gadis itu terasa ada sesuatu yang aneh
sedang menyapa hatinya.
Bunyi seorang kanak-kanak
menangis di belakang menarik perhatian mereka. Pemandu bas sudah dapat mengawal
bas tersebut lalu membawanya dengan perlahan sebelum berhenti di tepi lebuhraya.
“Kenapa ni?” Hani
bertanya dengan nada perlahan.
“Saya rasa tayar bas ni
meletup.” Azeem berkata lalu terus bangun apabila bas itu berhenti sepenuhnya.
Hani menjengukkan mukanya
di hadapan dan dia nampak pemandu bas itu bercakap dengan seseorang di hadapan.
Suasana bas sudah mulai riuh walaupun tidak sampai separuh pun penuh.
“Jangan panik! Jangan
panik! Maaf semua, tayar bas ni meletup. Saya minta semua orang turun dulu
daripada bas ni sekarang,” ujar pemandu bas yang sudah beruban putih itu.
Hani dan Azeem saling
berpandangan sebelum mereka berdua mengatur langkah untuk menuruni bas.
Mujurlah cuaca tidak seterik di Seri Iskandar tadi.
“Hmm... kita kat mana ni,
ya?” tanya Hani sebaik saja mereka menjejakkan kaki di tanah.
“Entahlah. Saya pun tak
perasan,” ujar Azeem seraya melihat keadaan sekeliling yang menghijau dengan
rimbunan pokok dan bukit bukau.
Mereka semua telah turun
daripada bas dan Hani nampak pemandu bas itu sedang berbual di telefon. Mungkin
mengadu kepada pihak syarikat dan meminta bantuan mereka.
Gadis itu memandang ke
arah keluarga yang berada di barisan belakang tadi. Kasihan pula melihat ibunya
terpaksa mendukung anak perempuannya. Ayahnya pula sedang memegang anak
lelakinya supaya tidak terlalu aktif. Apatah lagi mereka semua berada di laluan
kecemasan sekarang.
“Pak cik tu kata dalam
sejam lagi ada bas yang akan datang ambil kita,” ujar Azeem ketika dia tiba di
sisi Hani semula.
Gadis itu mengangguk
perlahan lalu memandang semula ke arah keluarga tadi. Azeem juga turut
memandang. Hani lega kerana Azeem berada di sisi. Dia tidak berani berfikir
terlalu jauh jikalau dia seorang diri sekarang.
“Awak okey?” Azeem
bertanya sambil bercekak pinggang. Sesekali dia menyeka peluhnya yang mula
mengalir di pipi.
“Okey... tapi saya
kasihan tengok kakak dan abang tu.” Hani mengeluh.
Azeem tersenyum kecil
mendengar keluhan gadis itu. Dia melangkah ke arah lelaki tersebut yang nampak
gayanya sedang memujuk anak lelakinya.
Hani memerhatikan saja
gelagat Azeem dari tepi. Tanpa sedar, dia semakin menyenangi lelaki tersebut.
Sejak dulu, dia tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki. Mungkin kerana
sikapnya yang pemalu dan mamanya juga tegas dalam mengawal kehidupan
anak-anaknya.
Sesekali kelihatan Azeem
mencuit pipi anak lelaki itu. Hani tersenyum sendiri dan menarik nafas panjang,
cuba meredakan hatinya yang bergelora tiba-tiba.
“Jom duduk sana sikit.
Bahaya duduk sini.” Azeem muncul di sisi Hani tidak lama kemudian.
Mereka berdua menuju ke
arah kawasan yang sedikit lapang dan teduh. Mujurlah masih ada pokok-pokok yang
merimbun di tepi lebuhraya. Hani duduk bersila di atas jalan tar setelah
memastikan ianya bersih daripada kekotoran.
Azeem tiba-tiba
menghulurkan telefonnya kepada Hani. Berkerut gadis itu melihatnya sebelum
bertanya, “untuk apa?”
“Awak telefon bagitahu
mama awak. Nanti dia risau kenapa kita lambat sampai KL,” ujar Azeem.
Hani menggelengkan
kepalanya. “Tak apa. Awak tahu tak, kalau dia tahu kita tersidai kat sini,
silap-silap kejap lagi awak nampak dia muncul kat depan kita.”
Azeem ketawa kecil lalu
meletakkan telefonnya semula ke dalam poket.
Penumpang-penumpang lain
pula berada di sekitar mereka. Ada yang berbual di telefon dan ada juga yang
sedang mengipas diri sendiri dengan suratkhabar.
“Nama penuh awak apa?”
Tiba-tiba Azeem bertanya.
“Safiya Thihani. Awak?”
Hani pula bertanya.
Gadis itu rasa ingin
ketawa dengan situasi perkenalan mereka yang agak pelik tetapi menyenangkan.
Mungkin ada hikmah ALLAH SWT mengatur pertemuan ini, fikirnya.
“Azeem Hafiz.” Lelaki itu
memandang ke arah Hani dan pandangan mereka bertaut.
Hanya mata yang mampu
berbicara, bibir pula tersipu malu mengukir senyuman dan hati pula mengalami
debaran yang tidak berkesudahan. Saffiya Thihani dan Azeem Hafiz. Cinta pandang
pertama itu ternyata milik mereka.