Home Novel Komedi/Romantik Komedi Memang Dia Orangnya!
Memang Dia Orangnya!
Weeda Airiza
28/12/2013 22:43:12
138,765
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 9

AKU mundar-mandir dalam bilik sejak Maghrib tadi setelah mendapat SMS daripada Nazmi. Mungkin akhirnya dia berputus asa apabila percubaannya untuk menelefon aku sebanyak dua puluh tiga kali tidak berjaya.

Sengaja aku biarkan telefon dalam mod vibrate agar tidak mengganggu seisi rumah. Kalau ikutkan hati, nak saja aku matikan telefon ini. Namun, aku sedar ianya akan mencetuskan kejadian-kejadian yang tidak diingini. Justeru, terpaksalah aku bersabar buat sementara waktu.

Safiya Thihani, we need to talk. Saya jemput awak malam ni okey?

Hmm, tak boleh jadi! Daripada dia yang datang, baik aku yang keluar. Lebih baik segera selesaikan masalah sebelum datang masalah lain. Lepas ni aku akan sibuk menguruskan spa baru, aku tak nak semua benda ni menjadi penyebab kepada gangguan pembinaan spa nanti.

Kita jumpa di McDonalds deret Ong Tai Kim.

Sebenarnya kalau boleh, aku nak jumpa sekejap saja. Perasaan aku kini benar-benar kosong. Aku risau kalau aku jumpa, ringan saja mulut aku ni nak mencari perbalahan dengannya. Macam mana eh aku nak buat? Hmm. Oh! Adila dan Ima!

“Korang buat apa malam ni?” Aku bertanya kepada kedua-duanya yang berada di dapur.

“Tak buat apa kak. Kenapa?” Ima bertanya. Dia baru selesai mencuci pinggan di sinki.

Aku terus bertanya kembali, “temankan akak ke McDonalds di Ong Tai Kim tu boleh? Korang lagi tahu tempat tu, kan? Akak nak jumpa kawan sekejap.”

“Boleh jugalah. Tadi makcik kata beras dah nak habis. Alang-alang kita nak ke sana, Dila pergi beli barang dengan Ima, akak pergi jumpa kawan akak, okey tak?” Adila memberikan cadangan.

“Ha, okey!”

“Mak Cik Nor, kami keluar sekejap ya. Adila dan Ima nak temankan Hani keluar jumpa kawan. Nanti kami beli barang dapur sekali. Ada apa-apa lagi tak nak pesan?” Aku bertanya kepada Mak Cik Nor yang baru saja kembali dari tandas.

“Tolong belikan telur, roti dan santan dalam kotak tu boleh tak? Nanti sekejap, makcik pergi ambil duit,” ujar Mak Cik Nor seraya melangkah ke arah biliknya.

Aku segera menghalangnya kerana memang dalam hati, sudah terniat mahu menggunakan duit aku sendiri. Mak Cik Nor seakan teragak-agak tetapi bila Adila dan Ima turut sama mengiyakan, dia hanya tersenyum sambil mengucapkan terima kasih.

-------------------------------------------------------

“YOU datang dengan siapa?” Nazmi bertanya sejurus sahaja aku duduk di hadapannya.

Mataku terbuntang luas memerhatikan manusia yang sungguh ramai di restoran makanan segera ini. Macam mana nak bercakap dalam keadaan riuh sebegini? Kalau Nazmi buat pasal tiba-tiba, macam mana?

“Budak-budak rumah sewa I. Dia orang nak pergi beli barang.” Aku menjawab ringkas.

Nazmi terdiam seketika. “You dah makan?”

Aku mengangguk.

“You masih marah?”

Aku menggeleng.

“You maafkan I?”

Aku mengangguk kembali.

Aku lihat Nazmi menarik nafas lega. Cuba kalau aku cakap aku tak maafkan? Mahu berterabur semua kerusi meja kat sini. Ataupun silap-silap percuma saja aku jadi tontonan kena maki dengannya kat sini.

“Terima kasih sayang…”

Naik meremang pula aku mendengarnya. Cepat-cepat aku istighfar kerana terlalu menurut kata hati. Syaitan memang suka bila tiba bab-bab nak mencari gaduh sesama manusia ni, kan? Aku mencongak diri sendiri.

Kalau ikutkan perangai sendiri pun, bukannya baik sangat. Maksudnya, aku sendiri pun cepat hilang sabar dan suka marah tak tentu pasal. Nazmi juga sama. Panas bertemu panas, agaknya patutlah jadi macam ni.

Sedang aku memikirkan apa yang perlu diucapkan, telefon aku yang sedang diletakkan di atas meja berbunyi. Aku memandang sekilas. Ah, Encik Azeem!

Sebelum sempat aku mengambilnya, Nazmi dahulu mencapai. Oh TUHAN! Wajahnya berubah tatkala melihat nama yang aku simpan sebagai Mr Azeem itu. Sah, dia akan mula berfikir bukan-bukan.

Dengan sepantas kilat, aku merampas kembali telefon tersebut sebelum Nazmi menekan butang untuk menjawab. Bukan boleh percaya Nazmi ni, silap-silap dimakinya pula kontraktor aku tu nanti.

Aku melangkah keluar dari restoran tersebut dengan segera kerana kebisingan di situ benar-benar akan menggangu perbualan. Apatah lagi, isunya agak serius. Yang aku pelik, kenapa Encik Azeem ni telefon waktu malam dan bukan waktu pejabat?

“Assalamua’alaikum, boleh saya bercakap dengan Puan Safiya?” Suara seorang lelaki kedengaran jelas sekali di pendengaran.

Puan? Hello, aku belum kahwin! Ah, manalah dia tahu, kan? Lagipun, perkataan Puan tu kedengaran lebih sopan. “Wa’alaikumsalam. Ya, saya bercakap.”

Aku cuba membayangkan wajah Encik Azeem sambil sesekali menoleh ke belakang, memerhati jikalau Nazmi datang tiba-tiba. Telefon bimbit pula aku pegang dengan kejap.

“Saya, Azeem dari TheBuilt. Saya minta maaf kerana baru sekarang dapat telefon puan. Saya difahamkan, puan akan buka sebuah lagi cawangan spa di KL Festival City, kan? Boleh saya buat temujanji dengan puan untuk kita bincang lebih lanjut?” ujarnya dengan panjang lebar.

Suaranya kedengaran begitu lembut dan ayatnya penuh tersusun. Patutlah mama suka sangat dengan kontraktor ni. Mungkin dia teliti dan komited dengan apa yang dilakukannya.

“Insya-ALLAH. Boleh kita jumpa esok petang? Dalam jam tiga di KL Festival City?” Aku bertanya.

“Ya, Insya-ALLAH boleh. Kalau macam tu, kita bincang esok. Sekali lagi saya mohon maaf kerana mengganggu. Assalamua’alaikum.”

Lelaki tersebut memutuskan talian dan serentak dengan itu, ada seseorang menyentap lengan aku dan merampas telefon bimbit. Baru saja aku nak menjerit sebab terkejut tapi bila terpandangkan Nazmi, terus terkunci suara.

“Siapa Azeem?”

Hmm, aku dah agak soalan tu yang akan jadi cerita sensasi malam ni. Aku mencari jawapan yang bersesuaian sambil memandang sekeliling, cuba mencari Adila dan Ima yang sudah berjanji untuk berjumpa di sini.

“Kontraktor spa I lah!”

“Tipu! I tak percaya. You curang dengan I ya?” Suaranya mula meninggi.

Ya ALLAH! Berikanlah kesabaran yang jitu kepada hamba-MU yang lemah imannya ini ya ALLAH. Aku mohon petunjuk-MU, Ya RAHMAN, Ya RAHIM.

“Kalau you tak percaya, you telefon mama!” Aku mengugutnya.

Nazmi memandang aku dengan tajam. “Kenapa you suruh I call mama tapi bukan abang you? Oh, mama you punya rancangan jugalah ni, ya?”

“Nazmi! Jangan cakap mama macam tu! You ni tak faham bahasa ke? Encik Azeem tu kontraktor I dan mama kenal dia sebab dulu dia yang kendalikan projek mama di Mid Valley!”

Aku bercakap dengan nada yang keras. Hish, minta-mintalah faham! Kalau tak faham, memang aku tak tahu nak cakap Nazmi ni spesis manusia jenis apa.

“Mula-mula kenallah. I takut lama-lama mama berkenan jadikan dia menantu pula,” kata lelaki itu.

Aku mendengus kasar. Ada saja jawapan yang diberi! Hati aku makin terasa dihiris. Dalam masa yang sama, aku sedang mencari idea bagaimana mahu merampas kembali telefon yang masih dipegangnya.

Penantian aku akhirnya berakhir apabila ada seseorang terlanggar belakangnya lalu telefon yang dipegang hampir terjatuh. Aku cepat-cepat merampasnya kembali lalu memasukkan ke dalam poket jeans.

“Hoi! Buta ke tak nampak orang kat tengah jalan?!” Lelaki itu memekik dan menyebabkan ada beberapa orang menoleh ke arah kami.

“Nazmi! Sudahlah, orang tu bukannya sengaja.” Aku cepat-cepat mengalihkan perhatiannya. Silap haribulan, aku risau ada yang kena makan penumbuknya seperti yang berlaku di Kuantan dahulu.

“Nasib baik you ada, kalau tidak…”

Aku terdiam.

“Kak Hani!” Fuh! Syukur, Adila dan Ima muncul tepat pada waktu aku sedang keresahan.

“Eh, okeylah. I nak kena balik. Mak Cik Nor tak berapa sihat. Susah hati juga tinggalkan dia seorang diri kat rumah.” Ah, tak apalah sesekali terpaksa berbohong!

Nazmi hanya mengangguk, tidak berkata sepatah pun. Aku lihat Adila dan Ima hanya berada di tepi pintu kereta saja dan tidak bergerak ke arah kami. Apakah mereka telah menyaksikan kejadian Nazmi menjerit tadi?

“Apa-apa nanti telefon I.” Nazmi berkata ringkas sebelum kami melangkah ke arah yang berlainan.

Aku terasa tubir mataku panas dan hatiku sedikit sebak. Nazmi sudah seperti orang lain. Aku dah tak nampak keikhlasan di kaca matanya lagi.

Walaupun lelaki itu kasar, baran dan sesekali tidak mempedulikan perasan ini, aku masih lagi setia menyayanginya. Salahkah aku? Oh TUHAN… Mampukah kami bertahan?

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.