HUSNA kaget apabila mendengar cadangan ayah Amar yang telah
membelanya sejak kecil. Walaupun di sudut hati kecilnya terasa berbunga-bunga,
dia tahu dia tiada hak untuk menentukannya.
Gadis itu sedang berada
di ruang tamu bersama Mak Su Anis dan sejak tadi mereka melipat kain. Jam
dinding menunjukkan angka 11 malam, waktu yang tepat untuk mereka berehat
setelah memastikan anak-anak yang lain telah tidur.
“Mak su rasa kamu ikut
saja cadangan Ayah Amar. Lagipun, kamu dah kenal dengan Azeem dari kecil. Baik
buruknya semua kamu dah tahu.” Anis memulakan bicara setelah mendapati wajah
Husna sedikit redup setelah abangnya Amar, memberikan cadangan tersebut.
“Tapi mak su, Husna
anggap Abang Azeem tu macam abang Husna sendiri. Lagipun, ayah tak tanya dulu
ke abang pasal ni?” soal Husna.
Anis menggeleng perlahan.
“Kamu tahu Azeem tu macam mana, kan? Dia tak pernah membantah apa saja yang Ayah
Amar katakan. Sejak dulu dia akur dengan kehendak Ayah Amar.”
Husna mengetap bibirnya.
Bukan dia tidak mahu bersuamikan Azeem. Malah dia berasakan lelaki itu adalah
pilihan yang paling tepat. Apatah lagi mereka sudah mengenali sejak kecil lagi.
Namun, ada sesuatu yang
digusarkan. Azeem tidak pernah menganggapnya lebih daripada seorang adik!
Acapkali bila Husna bertentang mata dengannya, dia perasan lelaki itu kelihatan
biasa, tiada perlakuan atau tutur kata yang istimewa terhadap dirinya.
“Husna suka Abang Azeem,
kan?” Soalan Mak Su Anis menambahkan kebuntuan.
Gadis itu tidak mengangguk
ataupun menggeleng. Salah satu perbuatannya itu pasti akan membawa masalah di
kemudian hari. Dia melarikan anak matanya daripada direnung oleh Mak Su Anis.
“Mak su faham sangat dah
kamu tu Husna. Bukan semalam mak su bela kamu.”
“Mak su, Husna serahkan
benda ni pada mak su dan ayah saja sebab Husna perempuan. Husna tak mahu
bebankan Abang Azeem kalau dia sendiri menolak hal ini,” jelas Husna.
Timbunan kain semakin
tinggal sedikit dan malam juga semakin larut. Namun, bunyi pagar di luar rumah
mengejutkan mereka berdua. Mereka berpandangan dan tertanya sendiri.
Husna segera bangun dan
mengintip di celah tirai. Abang Azeem! Ya ALLAH! Kenapa tiba-tiba saja dia
pulang malam ni? Biasanya dia hanya akan kelihatan pada hujung minggu saja.
Dengan cepat, Husna
mencapai tudung yang tersangkut di salah satu penyangkut baju yang ada. Memang
sengaja diletakkan di situ supaya memudahkannya jikalau ada kecemasan berlaku.
“Siapa?” tanya Mak Su
Anis.
“Abang.”
“Hah?”
Husna mencapai kunci
rumah pula dan membuka pintu. Dadanya berdebar-debar. Baru saja mereka
membincangkan perihal Azeem dan lelaki itu pun muncul. Ya ALLAH, petanda apakah
ini?
“Assalamualaikum,” ucap
Azeem seraya tersenyum melihat Husna yang menyambutnya di muka pintu.
Gadis itu perasan wajah
lelaki itu suram. Nampak letih. Kemungkinan dibebani dengan tugasan kerja yang
banyak ataupun mempunyai masalah sendiri. Atau Ayah Amar dah sudah
memberitahunya perihal mereka?
Husna mengetap bibirnya
bila terkenangkan isu tersebut. Dia khuatir sekiranya Ayah Amar telah bertanya
tentang dirinya kepada Azeem. Apa nak jawab kalau Azeem tanya? Ish! Rasanya
macam tak sanggup nak bertentang mata dengan lelaki itu sekarang!
“Waalaikumsalam.” Husna
menjawab salam Azeem dan segera menutup pintu.
“Eh, kenapa kau balik
tiba-tiba malam ni?” Mak Su Anis bertanya.
Dia memasukkan baju-baju
yang dilipat ke dalam raga-raga kecil. Setiap raga itu mempunyai nama anak-anak
Rumah Amal Esfan dan tugas Husna untuk menyusunkannya di dalam almari.
“Lah, Azeem tak boleh
balik rumah sendiri ke mak su?” Lelaki itu mengusik.
Mak Su Anis menggeleng
perlahan. Faham sangat sikap Azeem yang gemar bergurau dengannya. Dia
menyenangi anak saudaranya itu yang sejak dulu tak pernah berenggang dengannya
terutama selepas dirinya bergelar janda.
“Selalunya kau balik
hujung minggu. Ini kan tengah minggu.” Mak Su Anis bangun setelah lama bersila.
Dia membetulkan kain
batiknya sebelum berkata, “mak su nak masuk tidur dululah. Nanti Azeem tolong
Husna angkat raga-raga ni masuk bilik, ya?”
Azeem yang sudah bersandar
di sofa yang bersarung kusyen lama itu hanya mengangguk lemah. Dia memejamkan
mata dan menarik nafas panjang. Hatinya terasa gundah dengan segala macam
perkara yang datang ke dalam hidupnya secara drastik.
“Abang...” Husna
memanggilnya tetapi tiada sahutan.
“Abang...” Kali kedua.
Gadis itu mengerutkan
dahi. Aik? Sekejapnya dah terlelap? Dia berdehem seketika sebelum mencuba
sekali lagi, “abang...”
Husna mengeluh. Niatnya
untuk menyuruh Azeem membantunya membawa raga-raga tersebut ke dalam bilik,
mati begitu saja. Kalau dibiarkan raga-raga ini sehingga pagi atau lebih
spesifik, sehingga anak-anak itu bangun, memang akan punahlah ruang tamu ini
dengan pakaian!
Baru saja Husna
mengangkat sebuah raga, suara Azeem kedengaran perlahan, “Nurul Husna...”
Berderau darah Husna
apabila lelaki tersebut memanggil nama penuhnya. Tak tenteram rasa hatinya bila
Azeem membuka kelopak mata dan memandangnya.
“Kenapa?” tanya Husna
sambil masih kejap memegang raga tersebut.
“Tolong abang buat air
milo, boleh? Lepas tu tolong ambilkan roti dan ubat panadol.”
Husna melepaskan keluhan
berat. Itu saja? Ingatkan apa! Penat saja hatinya berteka-teki, rupanya Azeem
hanya mahukan semug air! .
Sepanjang pemergian Husna
ke dapur, Azeem berfikir lagi tentang dirinya dan Hani. Jauh di sudut hati, ada
rasa bersalah yang menggunung. Jauh di dalam jantung, ada rindu yang tiba-tiba
datang mengetuk.
Seluruh jiwanya kini mula
mengalami sindrom seperti 10 tahun yang lepas, terutama selepas berjumpa
kembali Hani. Sesungguhnya dia tidak sangka, kliennya sekarang adalah Safiya
Thihani!
Dunia begitu kecil, fikir
lelaki itu. Perancangan ALLAH SWT untuk dirinya. Tentunya ada hikmah di sebalik
pertemuan ini. Azeem menarik nafas panjang untuk kesekian kalinya.
Selama ini, dia tidak
pernah berfikir tentang bakal permaisuri hatinya. Hidupnya hanya dipenuhi
dengan keluarga tersayang dan anak-anak jagaan mereka semua.
Lebih tepat, Azeem tak
sanggup melukakan hati seorang wanita lagi sepertimana yang dilakukannya 10
tahun yang lepas. Fikirnya, sejarah sudahpun ditutup kemas-kemas. Rupanya,
lembaran sejarah yang tersimpan lama itu terbuka kembali.
“Abang...”
Suara Husna mengembalikan
Azeem ke dunia sebenar. Sambil mengucapkan terima kasih, lelaki itu mengambil
mug berisi air milo yang telah diletakkan di atas meja kopi berhadapan
dengannya.
“Abang demam ke?” soal
Husna.
Azeem melirik ke arah
Husna yang hanya berkemeja lengan panjang dan berkain batik. Dalam hati,
terdetik rasa kesyukuran kerana selain Mak Su Anis, ada juga orang yang boleh
membantu ayahnya.
“Taklah. Abang penat,”
jawab Azeem, ringkas.
“Abang tidur sini ke
malam ni?” Husna menyoal lagi.
Lelaki itu tersenyum.
Husna memang penuh dengan soalan sejak kecil. Selagi dia tidak berpuas hati,
selagi itulah dia akan bertanya. Sikapnya itu kadang-kadang membuatkan Azeem
rimas terutama ketika mereka di zaman remaja kerana apa saja yang Azeem mahu
lakukan, Husna mahu turut serta.
“Habis tu, takkan nak
suruh abang balik Gombak sekarang?” acah Azeem seraya mencapai sekeping roti di
dalam bungkusan.
Husna mendengus kecil.
“Husna tanya sajalah...”
Azeem ketawa kecil tetapi
dia terus terdiam apabila teringatkan pertanyaan ayahnya. Perlahan, dia
memerhatikan wajah Husna yang jernih. Dia memang seorang gadis yang baik, fikir
Azeem. Namun, hatinya langsung tidak terjentik untuk membuahkan perasaan
terhadap Husna.
Lelaki itu mengerti
bahawa Husna ada menaruh hati terhadapnya walaupun dia masih ragu-ragu
tentangnya. Pada Azeem, dia berharap agar Husna hanya menganggapnya sebagai
seorang abang.
“Husna, abang rasa abang
nak kahwinkan Husna.”
“Hah?!” Hampir menjerit
Husna dibuatnya apabila Azeem menyoal.
Gadis itu segera menekup
mulutnya, bimbang jeritan itu akan mengejutkan seisi rumah. Spontan, Husna
membaling kusyen kecil di tepinya kepada Azeem dan membuatkan lelaki itu ketawa.
“Kawan abang tengah cari
calon, nak tak? Dia lelaki yang baik. Abang rasa dia boleh jagakan Husna.”
Azeem mengusiknya lagi.
Dia sengaja mahu bergurau
untuk melihat reaksi sebenar Husna tentang alam perkahwinan. Lebih tepat, Azeem
mahu memberitahu Husna secara tersirat tentang perasaannya yang hanya
menganggap gadis itu sebagai seorang adik.
“Tak naklah Husna,” jawab
Husna sambil mengeluh.
“Kenapa pula? Tak nak
kahwin?” Azeem bertanya.
Gadis itu terdiam. Dia
resah memikirkan tentang Azeem yang tiba-tiba saja menimbulkan isu perkahwinan.
Dia juga bimbang sekiranya dia harus menerima kenyataan tentang perhubungan
mereka yang tidak lebih daripada adik-beradik.
“Bukan tak nak kahwin,
tapi tak ada orang nak dekat Husna...” Gadis itu menjawab perlahan.
Azeem ketawa kecil. “Apa
pula tak nak? Kawan abang bujang lagi. Dia tengah cari calon. Abang ingat nak
cadangkan Husna. Tak payah susah payah Husna cari orang lain, kahwin saja
dengan kawan abang.”
Husna mengetap bibirnya.
Hatinya tiba-tiba rasa luruh dengan kenyataan Azeem. Dalam diam, dia mengetahui
perasaan sebenar Azeem terhadapnya. Husna mengeluh kecil dan dia tahu, dia
perlu pasrah.
“Husna tak mahu langkah
bendul.” Gadis itu berkata sambil melihat Azeem yang masih mengunyah roti.
Azeem tersengih sebelum
berkata, “jangan tunggu abang. Lambat lagi abang nak kahwin.”
Ayat ‘jangan tunggu
abang’ terngiang-ngiang di fikiran Husna. Apakah itu satu petunjuk untuk
dirinya? Dia semakin bingung.
Selalunya Azeem jarang
berkata tentang soal hati ataupun perkahwinan tetapi lain pula malam ini, fikir
Husna. Dia memerhatikan saja gelagat Azeem. Wajah lelaki itu masih suram
walaupun dia ketawa.
Husna pasti ada sesuatu
yang tidak kena. Dia bukannya mengenali Azeem sehari dua. Sudah hampir 27
tahun!
Akhirnya, gadis itu mengambil keputusan untuk
terus masuk ke dalam bilik dan menunaikan solat Taubat serta Istikarah untuk
menenangkan fikirannya yang semakin berserabut. Manakala Azeem pula sudah
kembali memikirkan peristiwa yang berlaku selepas Maghrib tadi.