AKU menggaru kepala yang diselubungi
selendang panjang warna biru. Lebih spesifik lagi, baru dibeli dua hari lepas
sebelum aku ke Kuala Lumpur.
Manalah
tak menggaru bila abang Shazlan yang sedang bawa kereta Swift milik mama yang
kini menjadi milik aku memasuki sebuah perkampungan. Dia nak suruh aku tinggal
kat kampung ke?
“Abang! Kata nak pergi
rumah sewa terus. Ni nak pergi mana?” Aku mencuit lengannya yang kejap memandu,
cuba
mengelak semak yang merimbun di tepi jalan.
“Nak
pergilah ni.”
“Kat
kampung ni ke?!” Aku bertanya separuh menjerit.
Oh
tidak! Kenapa aku rasa macam sangat adventure
masuk ke dalam kampung ni? Oh TUHAN! Kuala Lumpur
ni kan besar,
kenapa kampung juga yang abang cari?!
“Nazmi
kata kat abang, Hani tak kisah duduk kat mana-mana, asalkan selesa,” jawab
abang Shazlan sambil memberhentikan keretanya di sebuah rumah yang nampak… err macam usang tetapi tidaklah seperti nak
roboh.
Hmm.
Muncungku sudah panjang sedepa. Sampai hati! Aku cakap saja! Nazmi ni jujur ke
lurus bendul sangat? Kalau ya pun, carilah perumahan
yang nampak
kebandaran sikit.
Ini
macam… Bukanlah aku memilih sangat tapi rasanya kalau aku lapar tengah-tengah
malam, belum tentu aku setuju untuk keluar beli mee segera di kedai. Eh, atap
kedai pun aku tak nampak!
Oh, tidak!
“Assalamua’laikum!”
Abang Shazlan
yang berseluar biru dan berbaju kemeja kuning air itu memberi salam.
Sekali
imbas, aku rasa macam baju tu tak sesuai langsung padanya tapi itulah pereka
fesyen. Bila cakap sikit, ada saja hujahnya. Sudahnya, baik aku diam. Biarlah orang lain yang kutuk,
janji jangan kutuk aku.
“Wa’alaikumsalam…”
Suara seseorang kedengaran menjawab dari dalam rumah tersebut.
Aku
memandang sekeliling sementara menanti tuan rumah tersebut keluar dari
rumahnya. Baru aku perasan, rumahnya ini dekat sangat dengan sungai. Hui! Ngeri
pula tengok. Kalau hujan lebat, silap-silap boleh banjir!
“Oh.
Ni kawan Nazmi, ya?”
Perempuan
yang aku rasa lebih kurang sebaya mama itu menghulurkan tangan untuk bersalam.
Terus aku membalasnya sambil mengukir senyuman.
“Panggil
saja makcik ni, Mak Cik Nor,” katanya sambil mempersilakan kami naik ke rumah.
Klasik sangat okey kena naik tangga! Nampak macam seronok
saja tinggal kat sini.
“Makcik
duduk seorang saja ke?” Abang
Shazlan bertanya setelah kami duduk di ruang tamu yang selesa dengan perabot
lama. Aku memandang penuh minat ke arah set sofa yang berstrukturkan rotan itu.
“Taklah,
makcik duduk dengan dua orang
lagi, seorang tu anak saudara makcik dan yang seorang lagi tu, kawan dia,” kata
Mak Cik Nor.
“Makcik
ni saudara Nazmi ke?” Giliran aku pula bertanya. Rasa pelik pula dari tadi aku
hanya diam membisu. Macam abang Shazlan pula yang nak duduk sini, bukannya aku.
Mak
Cik Nor menggeleng perlahan sambil tersenyum. “Makcik ni kawan mak dia. Dulu
kami sama-sama mengaji kat sekolah. Kebetulan makcik terjumpa Nazmi hari tu,
dia ada cerita nak cari rumah sewa untuk kawannya.”
Terharunya
aku! Tak sangka Nazmi bersungguh-sungguh tolong cari. Ni yang bertambah sayang
aku padanya. Moga-moga perpindahan aku ke Kuala
Lumpur ni akan menjernihkan kembali perhubungan ini.
Amin…
“Terima
kasih banyak makcik sebab dapat sewakan bilik di rumah makcik ni. Hani harap,
Hani tak susahkan
makcik,” ujarku sambil tersenyum.
Rasa
lega sangat bila dapat tinggal dengan seseorang yang berusia seperti mama!
Sekurang-kurangnya taklah bersarang rasa rindu ni nak balik Kuantan. Tambahan
pula, dengan kehadiran Mak Cik Nor, aku rasa lebih selamat dalam rumah ni.
Tidak
sampai sepuluh minit kemudian, abang Shazlan meminta diri untuk pulang. Aku
terus turun ke bawah untuk mengambil beg dan sedikit buah-buahan yang
dibekalkan oleh mama untuk diberikan kepada tuan rumahku.
“Abang
balik dulu. Jangan nakal-nakal tau! Jangan menyusahkan makcik tu. Kalau lapar,
buat sendiri. Jangan mengada-ngada! Jangan…”
“Yelah abang! Hani tahu. Dahlah,
pergi balik! Hish, abang ni bising mengalahkan mama!” Aku mengetap bibir
menahan geram.
Abang Shazlan tidak mempedulikan
kata-kata aku. “Esok abang datang dengan Nazmi bawa kereta Hani. Suruh dia bawa
Hani jalan-jalan untuk biasakan diri bawa kereta di Kuala Lumpur ni. Kat sini, orang
bawa kereta macam dekat medan
perang. Semuanya kelam kabut dan laju.”
Aku
menghamburkan tawa selepas mendengar ayatnya. “Yelah abang. Nanti Hani suruh
Nazmi buat kelas memandu khas untuk Hani seorang. Terima kasih tau hantarkan
Hani. Esok Insya-ALLAH jumpa, ya?”
Selesai
menyalami abang Shazlan, aku terus mengheret beg naik ke rumah. Pergh! Banyak
ni guna tenaga sebab kena naik tangga. Terus teringat kenangan semasa di UiTM
Seri Iskandar. Berkali-kali terpaksa turun naik ke bilik membawa barang.
Manalah tak kurus macam tu, senaman wajib setiap pelajar.
------------------------------------------------------------
“ALHAMDULILLAH.
Semuanya okey mama,” ujarku pada mama yang menelefon aku tepat jam sepuluh
malam tadi.
Manalah
tak okey kalau dapat makan malam bersulamkan nasi dan ikan keli lemak cili api.
Ada tambahan
lauk pucuk paku berlada, terung pipit rebus dan ikan pekasam goreng pula tu!
Walaupun meluap-luap rasa nak tambah nasi, tapi aku pendamkan saja. Malu-malu
lagilah kononnya!
Mujurlah
anak saudara Mak Cik Nor, Adila dan temannya, Ima sangat ramah. Kedua-duanya enam
tahun lebih muda daripada aku dan kini bekerja di pasaraya Ong Tai Kim.
“Dah
bayar duit deposit rumah?” tanya mama.
“Dah,
Hani ingat macam nak bagi lebih saja sebab makcik tu masak sekali untuk Hani.
Rasa tak sedap pula macam makan percuma,” kataku.
Mama
ketawa kecil di hujung talian. “Takpe, mama rasa makcik ikhlas nak masak. Nanti bila-bila Hani ada di rumah, Hanilah pula masak.
Ataupun kalau tak nak rasa serba salah, Hani belikan barang-barang dapur.”
“Ha’a
kan? Bijaklah
mama ni! Okey nanti Hani buat macam tu.” Aku tersenyum senang.
Sejak
makan malam tadi, aku rasa kekok kerana bimbang diri ini hanya menyusahkan
mereka sebab aku hanya membayar duit sewa rumah dan pastinya tidak termasuk
dengan pakej makan minum. Nak bertanya, segan pula.
“Jangan
lupa tau, lusa pergi jumpa Aunty Sofie. Mama pun akan pergi sana, nak bincang dengan dia untuk cawangan
baru ni. Nanti mama nak Hani bincang dengan
kontraktor yang akan buat rekabentuk baru spa kita.”
Aku
mengerutkan dahi sebelum menyambung kata, “kenapa buat rekabentuk baru? Bukan
ke ikut macam spa di Mid Valley?”
“Mama
nak buat lain sikit. Perbaharui konsep. Lagipun, pelan kedai di KL Festival lebih besar. Ini kan baby
Hani, jadi mama nak Hani yang buat pilihan untuk rekabentuk dan dekorasi,”
ujar mama panjang lebar.
Pergh!
Bunyinya macam berat saja? Aku mula rasa resah. Sesekali berkeriut bunyi papan
rumah apabila aku berjalan ke arah katil bujang untuk membaringkan diri. Bilik
tengah ini hanya mempunyai sebuah almari
kayu, katil bujang dan meja kecil serta sebuah kerusi.
“Betul
ni? Mama tak kisah kalau Hani yang tentukan konsep baru spa?” Aku bertanya.
“Ya,
mama percayakan Hani.”
Aku
ketawa kecil. “Mama tak kisah kalau Hani buat konsep funky? Ala-ala
retro 60-an? Atau ala-ala warna pakaian abang Shazlan?”
“Hani!
Ish budak ni. Jangan lari daripada objektif tahu. Ni spa untuk muslimah.” Mama
meninggikan suara.
“Ye,
baiklah Puan Salwa. Saya faham. Esok saya jumpa Puan Sofie dan bincangkan
perkara ini, ya?” Aku mengusik mama sambil menahan ketawa.
Ah!
Rindunya aku kat mama! Ni yang rasa nak balik Kuantan. Siapalah nak jaga mama
dan abah kat sana?
Kan bagus
kalau mereka pun pindah sini. Lagipun nenek dah tiada sejak tiga tahun lepas.
Mungkin abah ada alasannya yang tersendiri.
“Hani
ni tambah nakal ya sekarang?” Mama ketawa kecil.
“Saja
nak manja.”
“Duduk
sana baik-baik
tahu. Jangan menyusahkan Mak Cik Nor. Jangan nakal sangat. Kalau lapar buat
sendiri. Jangan selalu bertengkar dengan Nazmi…”
“Ya
ALLAH, kenapa ayat mama sama dengan abang Shazlan ni?” Aku menepuk dahi.
Mama
ketawa dengan lebih kuat. “Bagus anak mama yang seorang tu. Dia tiru bulat-bulat
apa yang mama pesan untuk Hani.”
Tercetus
ketawa aku apabila mendengarnya.
Ada-ada
saja mereka berdua ni!
“Mama,
nantikan bila Hani dah buat pilihan dengan konsep yang Hani nak, Hani tunjuk
pada mama dulu, ya?”
“Okey.
Eh, nanti Aunty Sofie akan bagi nombor kontraktor yang buatkan spa Mid Valley
dulu tu. Hani jangan lupa hubungi pula.” Mama memberikan pesanan yang aku rasa
dah berpuluh kali aku dengar malam ini.
“Kontraktor
Melayu ke atau Cina atau India?” Aku bertanya.
Resah
juga kalau kena cakap Inggeris ni. Dah lama aku tak speaking! Mahu terbelit-belit lidah kejap lagi. Nama saja
pengurus cawangan, tapi… Alahai,
malunya!
“Melayu.
Cakap melayu sajalah Hani kalau tak yakin cakap Inggeris. Ini kan Malaysia.”
Mama berkata.
Aku
tersengih mendengar
kata-kata mama. Tepat dan menusuk ke kalbu! “Baik mama.”
“Okeylah,
mama nak tidur dah. Jangan lupa ambil wuduk sebelum tidur. Jangan lupa baca
doa. Jangan letak kipas tu hala tepat ke muka. Jangan lupa gosok gigi!”
Alahai,
mama oh mama!