Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
270,550
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 8

 

BAB 8

Bunyi deringan telefon bimbit Azlan memecah kesunyian malam. Azlan yang baru sahaja ingin melelapkan mata terkejut. Panas hatinya apabila tidurnya diganggu. Namun digagahkan juga mencapai telefon bimbitnya di tepi katil, takut-takut itu adalah panggilan penting ataupun panggilan kecemasan.

“Assalammualaikum..!” Suara sipemanggil menyapa lembut.

Azlan terbangun. Dia melihat skrin telefon bimbitnya untuk mengetahui siapakah sipemanggil itu.

“Eh… siapa pulak perempuan yang call aku malam-malam buta ni? Tengok nombor tak ada dalam list!” Tanya Azlan di dalam hati.

“Assalammualaikum..!” Sapa sipemanggil untuk kali kedua. Kali ini ditinggikan sedikit suaranya.

“Haa.. waalaikummussalam…. Siapa ni?” Tanya Azlan.

Terdengar suara perempuan itu ketawa perlahan. Azlan terasa meremang bulu romanya.

“Heeeiiii… Pontianak kot! Tapi.. takkan bagi salam pulak!” Detik hati Azlan.

“Saya menganggu Abang Azlan ke?” Tanya perempuan itu dengan nada lembut.

“Ha.. memanglah mengganggu. Kan dah pukul 12.30 malam ni Cik..! Semua orang dah tidur..!” Jawab Azlan keras.

Terdengar lagi suara perempuan itu ketawa.

“Amboi… garangnya Abang Azlan ni! Baru nak kacau…!” Kata perempuan itu pula.

“Hah? Nak kacau…? Tolonglah… saya letih ni…. Esok saya ada meeting. Saya tak ada masa nak layan pengacau tengah-tengah malam ni…!” Jawab Azlan pula.

“Alaa… Abang Azlan nihh..! Ini Surya Hanum lah… adik Abang Meor..! Takkan tak kenal!” Kata perempuan itu sekaligus memperkenalkan dirinya sebagai Surya.

Azlan terdiam. Memikirkan siapakah Surya yang dimaksudkan. Namun, apabila disebut nama ‘Meor’, barulah Azlan mengingati siapakah Surya sebenarnya.

“Ohhhh… Surya..! Laa… kenapa ni? Ada perkara penting ke nak bagitau? Tunggu esok ajalah ya… Saya benar-benar letih ni..! Esok saya ada meeting awal pagi. Sorry yee…!” Kata Azlan.

“Hmmm… okaylah..! Tapi.. jangan lupa save nombor Surya ni ya..! Bye… Assalammualaikum…” Kata Surya perlahan.

“Waalaikummussalam….” Jawab Azlan lantas mematikan talian.

Azlan mengeluh. Dia kembali berbaring di atas katilnya itu. Dia cuba melelapkan mata namun terasa sukar pula. Fikirannya masih memikirkan Surya.

“Aduhh… ini yang aku marah ni! Punyalah baik aku dapat lena tidur tadi.. perempuan ni kacau pulak!” Rungut Azlan.

Azlan masih memikirkan bagaimana beraninya Surya menghubunginya di waktu tengah malam begitu. Seingatnya, Surya yang dikenalinya menerusi kawan baiknya, Meor Suhaimi adalah seorang wanita yang pendiam dan pemalu.

“Siapa tu Meor?”

Masih Azlan ingat lagi dia bertanya Meor Suhaimi sewaktu dia berkunjung ke rumah kawan baiknya itu pada hari raya Aidilfitri tahun lepas. Meor Suhaimi adalah kawan baiknya sejak dari UITM Skudai lagi.

Setelah mereka menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing, Meor Suhaimi telah bekerja sebagai akauntan di Kuala Lumpur. Telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Malah kini telah membuka firma audit dan cukai di Shah Alam.

Mereka bertemu semula ketika Azlan datang ke pejabat Meor Suhaimi atas urusan siasatan ke atas akaun syarikat salah seorang tertuduh pembunuhan. Azlan tidak menyangka bahawa firma Meor Suhaimi adalah syarikat audit yang menjalankan urusan audit untuk akaun-akaun syarikat si tertuduh itu.

“Ohh… itu adik aku yang bongsu, Surya Hanum. Dia bekerja sebagai pensyarah di Politeknik Melaka. Sedang bercutilah ni. Tu yang dia duduk kat rumah aku tu..” Jawab Meor Suhaimi.

“Tak pernah aku tau pun yang kau ada adik perempuan lagi..”Tanya Azlan.

“Adik aku ni dulu duduk dengan arwah Ibu aku.. Pas tu dia duduk asrama.. Tak pernah tinggal dengan kami. Maksud aku, tinggal dengan ayah aku.. Tu yang jarang nampak dia tu.. Dia ni pemalu dan pendiam sikit. Tapi kesian…” Kata Meor Suhaimi lagi namun terhenti di situ.

“Kenapa dengan dia?” Tanya Azlan.

Meor Suhaimi mengeluh perlahan. Dia memandang sekeliling bagi memastikan tiada sesiapa yang berada di ruang tamu itu. Azlan menunggu dengan sabar.

“Baru sahaja bercerai. Sebelum ni dah dua kali putus tunang dengan orang yang berlainan. Kali ketiga jumpa terus kahwin. Tapi.. baru enam bulan kahwin, rahsia bocor.. rupanya suami dia tu adalah suami orang. Teruk si Surya ni kena serang dengan isteri pertama suami dia tu. Sebab dah tak tahan sangat, hari-hari kena serang… Surya mintak cerai. Hmm…” Cerita Meor Suhaimi.

“Ohhh.. gitu kesahnya..!” Hanya itu sahaja yang mampu Azlan ucapkan.

“Aku jadi tak faham Lan… Si Surya tu.. bukannya perempuan ligat mana pun. Kawan-kawannya pun taklah ramai mana. Hidup dia taklah begitu sosial macam perempuan kat KL ni. Itu pun.. kena aniaya jugak..” Keluh Meor Suhaimi.

“Itu semua urusan Allah Meor.. Adalah hikmahnya di sebalik kejadian yang berlaku..” Kata Azlan.

“Kau cakap orang… Kau tu bila lagi? Aku dah berkeluarga dah.. Nanti.. aku nak dapat menantu.. kau baru terhegeh-hegeh nak timang baby!..” Usik Meor Suhaimi.

“Haa… itupun urusan Allah jugak Meor.. Aku tak dapat nak jawab soalan kau tuhh..” Selamba Azlan menjawab.

“Kau ni.. ada-ada sahaja jawapannya. Ke.. kau nak tunggu pangkat kau naik sampai IGP baru kau nak kahwin? Hahaha…” Giat Meor Suhaimi lagi sambil ketawa.

“Tunggu ajalah Meor.. apa yang ditentukan oleh Allah pada aku nanti…!” Jawab Azlan sambil tersenyum

“Ke… kau takut nak kahwin ni…” Giat Meor Suhaimi lagi.

“Jangan macam tu Lan.. Kalau kau dah jumpa seseorang, jangan lengah-lengah lagi. Dah sampai masanya untuk kau berkeluarga.. Jangan asyik dengan kerjaya kau tu aje!” Nasihat Meor Suhaimi.

“Lagipun.. setinggi mana kerjaya kau tu.. kau perlukan seseorang di sisi kau untuk memantapkan lagi kerjaya dan sekaligus menambahkan keberkatan dengan apa yang kau usahakan selama ini..” Sambung Meor Suhaimi lagi.

“Hmm… aku rasa selesa dengan keadaan sekarang ni Meor.. Lagipun, aku rasa.. kalau aku ada isteri ataupun keluarga.. aku takut focus aku terhadap kerjaya akan terjejas. Kau sendiri pun faham kan macamana cara aku bekerja.. Aku tak mahu hilang tumpuan..!” Jawab Azlan.

“Sampai bila Lan? Jangan jadi hipokritlah Lan. Aku tau.. kau ada keinginan nak berteman mahupun berkeluarga kan.. Cuma kau ego untuk menafikannya. Kau gunakan kerjaya kau tu sebagai satu alasan kan..!” Sanggah Meor Suhaimi.

“Hmm.. entahlah Meor.. Biarlah Takdir yang tentukan. Aku malas nak fikirlah Meor..! Lagipun time ni.. banyak sangat operasi yang aku kena handle. Tak ada masa lah nak layan hal-hal macam ni..!” Jawab Azlan senang.

Meor Suhaimi terdiam. Dia hanya mampu menggelengkan kepalanya dengan jawapan rakan karibnya itu.

Azlan mengeluh sendirian di atas katil. Malas dia mahu memikirkan tentang Surya. Barangkali Meor Suhaimi yang memberi Surya nombor telefonnya itu, fikir Azlan. Itulah sikap Azlan. Tidak mahu memikirkan secara serius tentang urusan peribadinya itu. Baginya, kerjanya itu adalah lebih penting dari segalanya.

Azlan yang mempunyai ijazah dalam bidang penilaian harta telah menerima tawaran bekerja di dalam perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia dan bertugas sebagai Inspektor di dalam unit ‘logistik’. Barangkali semangat cintakan kerjaya yang beruniform ini seperti juga arwah ayahnya, Azlan tegas dalam memilih polis sebagai kerjayanya.

Komitment Azlan kepada tugasnya dan ditambah pula kesibukannya menangani pelbagai kes apatah lagi dia telah diserapkan di dalam unit Siasatan Jenayah telah menjarakkan Azlan dengan dunia luar malah sehingga mengorbankan kepentingan dirinya sendiri.

Atas komitmennya yang tidak berbelah bagi, Azlan telah Berjaya menangani pelbagai kes jenayah di Bandar-bandar besar dan juga kes-kes yang berprofil tinggi.

Bukan Azlan tidak mahu meluangkan masa untuk bersosial atau membuka hatinya pada sesiapa untuk dijadikan teman hidup tetapi sehingga kini Azlan tidak tahu mengapa hatinya seperti belum berjumpa dengan mana-mana gadis yang boleh menyebabkan hatinya terusik mahupun terdetik!

Cuma… sejak kebelakangan ini, Azlan merasa pelik, sejak dia pulang dari menghadiri seminar di Bangkok itu, bayangan gadis manis yang duduk di sebelahnya sewaktu di dalam kapal terbang itu sentiasa mengganggu fikirannya.

Kadang-kadang Azlan tidak faham apa yang menarik dan istimewanya gadis itu sehinggakan dia tidak boleh melupakan gadis itu. Sudahlah orangnya garang, tegas dan tiada ciri-ciri wanita melayu yang bersopan namun wajah itulah yang selalu berlegar di dalam fikirannya.

Mungkin itu bukan jodohnya lantaran dia sendiri seperti ‘terlupa’ ingin meminta nombor telefon bagi memastikan perkenalannya dengan gadis itu berpanjangan. Malah, Azlan hampir lupa apakah nama penuh gadis itu. Yang diingatinya hanyalah “Effa”! Itu sahaja yang diingatnya.

“Hisshhh… tak mahulah aku! Kalau kahwin.. silap-silap, aku kena queen control. Perempuan sekarang ni.. bukannya boleh percaya sangat! Semuanya dia nak control. Kalau boleh.. dunia ni pun dia nak kuasai!” Kata Azlan sendirian di situ.

“Ah sudah! Daripada si Surya… sekarang ni.. perempuan tu pulak! Hadoii… tak tidurlah lagi aku gamaknya.. Ahhhh.!!!” Rungut Azlan.

Azlan bingkas bangun. Dia mencapai computer ribanya lantas dibuka.

“Daripada memikir benda-benda yang tak berfaedah, mata pun tak rasa mengantuk lagi… baik aku draf perancangan untuk esok..!” Kata Azlan sendirian.

Bekerja di dalam Jabatan Siasatan Jenayah membuatkan diari hariannya terlalu sibuk . Jabatan ini merupakan antara jabatan yang terlalu ‘sibuk’ di mana ianya terlibat dengan penyiasatan, penangkapan dan pendakwaan bagi jenayah-jenayah keganasan terhadap manusia (seperti pembunuhan, samun dengan senjata api, rogol dan kecederaan) dan jenayah harta benda (seperti kecurian dan pecah rumah).

Selain itu jabatannya juga menguatkuasakan Undang-Undang berhubung perjudian, maksiat dan kongsi gelap di Malaysia

Di antara fungsi-fungsi jabatan Siasatan Jenayah ini adalah mengendali penyiasatan dan pengesanan jenayah, menangkap dan mendakwa pesalah-pesalah serta menguatkuasakan undang-undang berhubung perjudian, maksiat dan kongsi gelap.

Atas kesibukan itulah Azlan lebih selesa tinggal di dalam sebuah bilik yang serba lengkap di dalam bangunan pejabat Bukit Aman itu kerana rutin harian kerjanya tidak menentu. Kadang-kala dia terpaksa ke luar daerah bagi tujuan siasatannya untuk jangka masa yang agak lama.

Justeru itu, tidak ada gunanya dia tinggal di sebuah rumah yang barangkali hanya sehari dua sahaja dia tinggal dalam jangka masa sebulan. Selebihnya, segala urusan adalah di luar kawasan. Malah, di dalam keretanya sentiasa tersedia sebuah beg pakaian yang lengkap untuk tujuan bermalam di luar daerah.

Jika beginilah hidupnya, tidak hairanlah Azlan takut memikirkan nasib ‘isteri dan anak-anaknya’ yang selalu ditinggalkan jika dia berkahwin suatu hari nanti. Persoalannya, adakah lagi wanita di luar sana yang bergelar isteri yang begitu memahami dan sanggup ditinggalkan suami atas urusan kerja? Masih adakah lagi isteri yang boleh mengendalikan rumahtangga sendirian jika suaminya yang sibuk ini sentiasa tiada di sisi di saat si isteri memerlukan kehadiran si suami?

Persoalan-persoalan itulah yang sentiasa menghantuinya sehingga dia sendiri takut kerana mungkin dia tidak akan berjumpa wanita yang sebegitu hebat seperti dalam imiginasi dan impiannya.


 

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.