Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
270,503
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 26

 

BAB 26

“Azlan..!” Panggil Dato’ Bakri.

Azlan yang ketika itu baru sahaja keluar dari bilik mesyuarat terhenti langkahnya apabila dipanggil ketua nombor duanya itu.

“Dato’!” Azlan menjawab hormat.

“Kes apa yang awak sedang handlesekarang ni?” Tanya Dato’ Bakri serius.

“Penculikan di Rawang, Dato’! Tapi baru settlesemalam. Sedang prepare report, Dato’.” Jawab Azlan.

“Okay.. report serahkan pada Inspektor Azam. Awak boleh tolong handle kes buang bayi kat Taman Sri Selasih di Gombak tak? Team Inspektor Raju perlukan bantuan..” Tanya Dato’ Bakri yang lebih merupakan arahan.

“Boleh Dato’!” Jawab Azlan.

“Okey, move now!” Arah Dato’ Bakri.

Sebaik Dato’ Bakri berlalu dari situ, Inspektor Rahimi pula muncul.

“Kenapa Tuan?” Tanya Inspektor Rahimi.

“Awak dan Koperal Latif, mari ikut saya. Kita ke Taman Sri Selasih, Gombak. Kes buang bayi.” Segera Azlan memberi arahan.

“Eh.. bukan ke itu team domestic violence dan kes seksual? Inspektor Raju punya kes kan?” Inspektor Rahimi pula bertanya.

“Jangan banyak soallah. Mereka perlukan bantuan kita!” Tegas Azlan.

Tiada pilihan, Inspektor Rahimi segera mencari Koperal Latif. Inspektor Rahimi faham benar akan sikap dan prinsip yang diamalkan oleh ketuanya itu. Tuan Azlannya memang tidak pernah berkata “tidak” dalam segala urusan yang melibatkan kerjanya.

Walaupun tugasan itu di bawah kendalian kumpulan atau jabatan lain, tetapi jika pihak atasan telah memberi arahan agar turut serta dalam tugasan ataupun operasi itu, Inspektor Rahimi tahu, Azlan tidak pernah menolaknya.

Segala komitmen yang ditunjukkan oleh Tuan Azlan nya itu membuatkan Inspektor Rahimi dan anggota-anggota bawahan yang lain begitu menghormatinya dan menjadikan Tuan Azlan nya itu seorang ketua yang amat disegani di kalangan anggota di jabatan itu.

Bagi Inspektor Rahimi, bukan senang nak melihat seorang ketua yang begitu komited dengan kerjanya dan sanggup mengenepikan segala urusan peribadi demi tugasnya.

Azlan menaiki kereta Waja yang dipandu oleh Konstabel Latif. Inspektor Rahimi duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu dan Azlan pula duduk di kerusi penumpang di bahagian belakang.

Tiba-tiba telefon Azlan berbunyi. Segera dia menjawab apabila terlihat nama Inspektor Raju di skrin telefon bimbitnya.

“Ya.. Inspektor! Kami on the way ke sana!” Jawab Azlan ringkas.

“Konstabel, kita terus ke Surau Al-Hidayah, Taman Sri Selasih..” Arah Azlan kepada Konstabel Latif kemudiannya.

“Baik Tuan!” Jawab Konstabel Latif sambil memandu lancar menghala ke Gombak, lokasi kejadian.

Azlan dan anggotanya, akhirnya tiba di tempat di mana dilaporkan seorang mayat bayi telah ditemui berbungkus dengan kain batik dan diletakkan di atas tangga Surau Al-Hidayah, Taman Sri Selasih. Dipercayai, Imam surau itu adalah orang yang pertama menemui mayat bayi yang sempurna fizikal itu.

Inspektor Raju dan beberapa orang anggotanya turut berada di sana. Sebaik ternampak Azlan dan anggotanya tiba, Inspektor Raju segera mendapatkannya.

“Tuan.. mayat bayi telah dibawa ke hospital untuk dibedah siasat Tuan!” Lapor Inspektor Raju.

“Bagaimana kes bermula?” Tanya Azlan sambil memerhatikan beberapa orang penduduk di taman perumahan itu berkumpul dan bercerita sesame mereka di hadapan Surau Al-Hidayah.

“Tuan, menurut Imam Hj Ahmad, dia ternampak sesuatu yang berbungkus di atas tangga ketika dia ingin membuka pintu pagar surau dalam persediaan untuk bersembahyang berjemaah Subuh di surau itu. Apabila didekati dan diamati, memang ianya seorang mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat lagi ditinggalkan di situ.” Lapor Inspektor Raju.

“Selepas menunaikan sembahyang Subuh, Imam Hj Ahmad telah membawa mayat bayi itu ke Balai Polis yang berhampiran seterusnya membuat laporan. Kemudiannya, mayat bayi itu telah dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat. Dipercayai mayat bayi lelaki itu telah dilahirkan beberapa jam sebelum masuk waktu solat Subuh”. Sambung Inspektor Raju lagi.

Azlan mengangguk faham.

“Okey.. kita proceed untuk menjejaki suspek..!” Kata Azlan kepada semua anggotanya.

Tindakan Azlan dan kumpulannya selanjutnya adalah mengesan ibu mayat bayi itu. Azlan percaya, ibu bayi itu berada tidak jauh dari kawasan perumahan di mana mayat bayi itu ditemui.

Berdasarkan laporan dari Inspektor Raju selanjutnya tadi, jika difikirkan secara logiknya sudah tentu ibu bayi itu perlu mendapatkan rawatan selanjutnya setelah melahirkan bayi itu. Fikir Azlan.

Menurut laporan Inspektor Raju lagi, melalui ringkasan laporan dari doctor di hospital mengatakan, jika dilihat cara tali pusat mayat bayi itu dipotong, mereka pasti bayi itu dilahirkan sendiri di rumah tanpa peralatan yang lengkap.

“Inspektor Raju, awak ada maklumat tentang bagaimana keadaan mayat bayi itu ke?” Tanya Azlan.

Mereka sekumpulan sudah berkumpul agak jauh sedikit dari Surau Al-Hidayah, berdekatan dengan kawasan letak kereta.

“Ada Tuan! Menurut laporan dari doctor di hospital tadi, mayat bayi itu dibungkus hanya dengan sehelai kain batik dan tubuh bayi itu sendiri pun masih ada kesan lendir dan darah.” Lapor Inspektor Raju.

Azalan tunduk diam memikir.

“Hmm… Jika difikir secara logiknya dari sudut itu, saya pasti ibu mayat bayi itu tidak akan mendapatkan rawatannya di hospital atau di klinik kerajaan. Kemungkinan besar, dia akan ke klinik swasta atau klinik bersalin swasta bagi mengelakkan status dirinya yang sebenarnya.” Kata Azlan.

Inspektor Raju dan anggota-anggota yang lain mengangguk setuju.

“Okey… kita jangan berlengah lagi. Saya percaya ibu mayat bayi itu dan mungkin juga seorang lagi suspek yang membantu membuang mayat bayi itu masih ada di kawasan sekitar sini.” Tegas Azlan sambil memandang kesemua anggotanya.

“Okey.. kita berpecah. Inspektor Raju.. awak dengan team awak ke kawasan selatan dan timur Kuala Lumpur. Saya dan team saya ke utara dan barat Kuala Lumpur. Jika perlukan lagi anggota bantuan yang lain, sila maklumkan kepada saya. Ingat.. kita harus siasat kesemua klinik-klinik bersalin dan klinik swasta biasa yang berhampiran di kawasan Kuala Lumpur ini..” Arah Azlan.

“Move now!” Arah Azlan lagi. Seraya kesemua mereka bergegas meninggalkan kawasan Surau Al-Hidayah itu.

Tidak sampai 24 jam penyiasatan dilakukan, Azlan telah diberitahu bahawa seorang doctor wanita dari Klinik Bersalin Neesha telah membuat laporan yang mengatakan dia mencurigai tindak-tanduk salah seorang pesakitnya.

Doktor itu melaporkan pesakit itu dipercayai baru melahirkan seorang anak dan pesakit itu perlu diberi rawatan susulan berikutan uri bayinya masih tertinggal di dalam rahimnya.

Namun bila ditanya di manakah bayinya, pesakit itu tidak menjawab. Malah, seorang lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan dengan pesakit itu meminta doctor itu membenarkan pesakit itu pulang ke rumah pada waktu itu juga sedangkan doctor itu tidak boleh berbuat demikian kerana keadaan pesakit itu amat lemah dan membimbangkan.

Berdasarkan laporan doctor wanita itu, Azlan menggesa anggotanya segera membuat tindakan susulan dan segera menahan pesakit serta lelaki itu yang dipercayai suspek kes ini.

Akhirnya, pesakit itu Berjaya ditahan ketika beliau masih di dalam wad di Klinik Bersalin Neesha dan lelaki itu pula ditangkap ketika dia berada di rumah sewa pesakit itu berdasarkan maklumat orang ramai.

Setelah disoal siasat, memang benarlah pesakit itu yang bernama Nur Anisah telah melahirkan seorang bayi lelaki dua hari lalu di sebuah rumah sewa ketika dia berseorangan. Namun bayi itu telah meninggal dunia sebaik sahaja dia dilahirkan. Apa yang mengejutkan Azlan adalah Nur Anisah baru sahaja berumur 18 tahun dan merupakan penuntut Kolej Antarabangsa.

Bagaimanapun, setelah mendapati bayi itu telah meninggal dunia, teman lelaki Nur Anisah yang bernama Zakuan Adli telah meletakkan mayat bayi itu yang hanya berbungkuskan sehelai kain batik di tangga Surau Al-Hidayah di Taman Sri Selasih, Gombak.

Azlan menarik nafas lega kerana kes itu dapat diselesaikan tidak sampai 24 jam. Azlan akui, kes itu mungkin akan lambat selesai tanpa bantuan dan kerjasama daripada orang ramai.

Azlan masih ingat bagaimana reaksi ibu Zakuan sewaktu Zakuan ditahan oleh anggota Azlan tempohari. Ibunya meraung-raung kerana tidak percaya Zakuan boleh bertindak sebegitu rupa.

Paling ibunya tidak boleh menerima kenyataan ini adalah Zakuan telah menjalinkan hubungan sehingga membawa keterlanjuran dengan salah seorang penyewa rumahnya sendiri tanpa pengetahuannya. Reaksi Zakuan pula adalah hanya mampu menangis sambil memohon keampunan ibunya.

“Mama… ampunkan Wan Ma… Ampunkan Wan…!” Hanya itu sahaja yang mampu Zakuan laungkan pada ibunya yang berlalu pergi tanpa sepatah katapun dari bibirnya. Zakuan tahu hati ibunya hancur dan kecewa atas apa yang telah dilakukannya itu.

Apalagi yang harus dia lakukan dan perkatakan. Memang sedari awal lagi segala dosa dan kesalahan itu telah dilakukannya bersama Nur Anisah tanpa sedikit pun rasa bersalah. Untuk apalagi dia meraung-raung memohon ampun dan maaf dari ibunya sedangkan dari awal bermula dosa itu dilakukan, dia sudah tahu apa respons yang bakal dia terima dari semua pihak.

Namun Azlan lebih sedih bila melihat reaksi ibubapa Nur Anisah. Bapa Nur Anisah seakan hilang kawalan sehingga dia hampir mahu memijak tubuh Nur Anisah yang ketika itu masih lagi lemah dan masih menerima rawatan. Ibu Nur Anisah pula hanya mampu menangis dan tidak henti-henti menyalahkan Nur Anisah yang telah menconteng arang ke muka mereka.

Lebih memilukan, ibubapa Nur Anisah telah menyerahkan segala-galanya kepada pihak polis dan mengumumkan bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa pertalian lagi dengan Nur Anisah!

“Tuan.. saya serahkan segala-galanya kepada Tuan untuk tindakan undang-undang seterusnya. Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa kami tidak mempunyai anak yang bernama Nur Anisah. Anak kami yang bernama Nur Anisah dulu.. dah lama mati!” Kata bapa Nur Anisah dalam nada tegas kepada Azlan.

Nur Anisah yang mendengar hanya mampu meraung dan memohon keampunan mereka berdua. Namun, ibubapa Anisah telah pergi meninggalkan Anisah begitu sahaja tanpa sedikitpun terdetik di fikiran mereka bahawa semua yang berlaku mungkin berpunca dari cara didikan mereka yang terlalu mengongkong Nur Anisah sehingga Nur Anisah tidak boleh mengawal nafsu diri bila hidup jauh dari kawalan ibubapanya.

Azlan terdiam tidak bersuara, hanya mampu menyaksikan ‘drama’ sedih itu dengan rasa terharu dan sedih.

Bagi Azlan secara peribadinya, perkara yang telah berlaku tidak perlu hendak dikesali dan menyalahkan sesiapa di dalam hal ini. Segala yang berlaku adalah kesilapan sendiri dan sekarang adalah masanya untuk mengakui kesilapan masing-masing serta berusaha membaiki diri menjadi lebih baik dari hari ini.

Tindakan ibubapa Nur Anisah sebenarnya adalah kurang bijak kerana di saat begini Nur Anisah memang memerlukan sokongan dari kedua ibubapanya.

Namun, jika itu sudah kemahuan ibubapa Anisah, Azlan hanya menjalankan tugasnya sahaja. Di dalam hati Azlan tetap berdoa agar kedua ibubapa Nur Anisah dapat memikirkan secara rasional akan segala tindakan mereka itu.

Dalam masa yang sama, Azlan telah berurusan dengan pihak Rumah Ar-Raudhah tentang kemasukan Nur Anisah di sana sementara menunggu hari perbicaraan. Sementara itu, Zakuan telah ditahan reman bagi tujuan soal-siasat.

Azlan melepaskan keluhan lagi. Di dalam kes ini, kesalahan menyembunyikan/menanam atau membuang bayi, Zakuan boleh dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau kedua-duanya sekali. Mereka boleh dituduh mengikut Seksyen 318 dan 34 Kanun Keseksaan.

Untuk Nur Anisah yang merupakan pesalah juvenil, beliau mungkin dikenakan hukuman membayar jaminan bon sehingga RM2,000.00 ke RM5,000.00. Azlan berpendapat, menempatkan Nur Anisah di Rumah Ar-Raudhah bagi tujuan kaunseling dan pemulihan akhlak merupakan satu keputusan yang tepat demi masa depan Nur Anisah sendiri.

Semoga Nur Anisah dan juga teman lelakinya mendapat ikhtibar dan pengajaran di sebalik apa yang berlaku Semoga ibubapa Nur Anisah dan ibu Zakuan menyedari bahawa mereka tidak sepatutnya lari dari menghadapi kenyataan sebaliknya redha akan segala ujian serta dugaan dariNYA.

Barangkali, ianya mungkin satu kifarah dari Allah atas dosa dan kekhilafan mereka yang lalu dan Allah mengkehendaki ianya ‘dibersihkan’ dengan mendatangkan dugaan sebegini rupa. Detik Azlan di dalam hatinya.

“Moga, suatu hari nanti.. ibubapa Nur Anisah dan ibu Zakuan sedar akan hal ini dan menerima anak-anak mereka ke pangkuan keluarga mereka semula…” Doa Azlan penuh pengharapan.


 

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.