Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
271,209
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 11

BAB 11

Tidak sukar mencari Sutera Hall sebenarnya. Kebetulan bilik yang didiami oleh Effa dan Emelda satu bangunan dengan Sutera Hall itu. Sutera Hall hanya terletak di tingkat bawah di Blok F.

Dari luar lagi sudah terlihat beberapa orang bekas pelajar SDASA. Namun Effa masih kurang mengingati siapakah mereka. Maklumlah sudah lebih tiga belas tahun mereka tidak berjumpa. Sudah tentu masing-masing sudah berubah terutama sekali dari segi fizikal!

“Effa!!!” Jerit Zalyha dari hujung pentas kecil di hadapan dewan yang agak sederhana besar itu.

Effa yang terdengar namanya dijerit dengan kuat menoleh ke arah suara itu. Emelda yang berjalan beriringan dengan Effa juga menoleh. Lama Effa memikirkan siapakah nama orang yang menjeritkan namanya itu. Dia benar-benar tidak pasti.

Sementara itu, Zalyha sudah datang meluru dan terus memeluk Effa. Effa yang agak terkejut, memandang Emelda meminta kepastian tentang siapakah perempuan yang tiba-tiba memeluknya itu.

“Hei… aku lah.. Zalyha! Amboi.. dah duduk kat negeri orang putih tuhh.. sampai lupa kawan lama yee..!” Sergah Zalyha sambil menepuk bahu Effa.

Effa memandang Emelda. Mata kedua-duanya terbeliak seolah-olah tidak percaya bahawa itu Zalyha. Namun begitu, Effa terus memeluk Zalyha sekali lagi.

“Ya Allah..Lyha ke ni? Masyaallah.. aku ingat kan.. minah salih mana tadi.. Dahsyat kau.. rambut blond and baju seksi lagi!!” Jelas Effa.

“Haa.. kau! Kelassnya kau Lyha.. Seksi gitu..! Aku pun sama.. hampir tak kenal..!” Kata Emelda.

“Laa.. kau ke Mel?... Ishh… Ishhh… dah banyak berubah ye kau…! Imej pun dah berubah..” Kata Zalyha sambil memeluk Emelda pula.

Begitulah selanjutnya. Kejutan demi kejutan berlaku di ruang legar dewan itu. Masing-masing terkejut dengan penampilan diri sesama mereka kerana tidak menyangka begitu banyak perubahan yang berlaku, lebih-lebih lagi perubahan fizikal.

Ternyata perubahan yang menyerlah kebanyakannya dari kalangan lelaki. Maklumlah, kebanyakan mereka semuanya telah berkahwin. Oleh kerana tema majlis Reunion itu adalah warna merah dan hitam, maka para hadirin yang datang memang benar-benar mengikut kehendak tema.

Effa memandang sekeliling dewan yang dipenuhi rakan-rakan yang hadir dan suasana di situ benar-benar meriah apatah lagi pertemuan pertama mereka setelah hampir tiga belas tahun lamanya. Masing-masing begitu teruja dapat berjumpa semula.

Effa mengambil masa yang agak lama untuk benar-benar mengenali dan mengingati nama-nama mereka. Yang peliknya, semua rakan-rakannya walau dari sudut yang jauh, mudah benar mereka mengenali Effa. Effa mula menjadi perhatian di kalangan rakan-rakan dengan penampilannya itu.

“Hai Effa!” Tegur satu suara garau dari belakang Effa dan Emelda.

Effa dan Emelda menoleh ke belakang. Seorang lelaki yang agak gempal sedang berdiri sambil tersenyum memandang mereka berdua. Effa dan Emelda berpandangan. Masing-masing kurang pasti, siapakah yang menegur Effa itu. Rakan-rakan yang lain sudah berkumpul mengelilingi Effa dan Emelda.

“Tak kenal ke?” Tanya lelaki itu sambil merenung tajam wajah Effa.

Effa menggelengkan kepalanya. “Sorry.. tak berapa perasan!” Jawab Effa malu-malu.

“Cuba kau fokuskan lagi pandangan kau tu.. ! Takkan dah lupa kot!” Tanya lelaki gempal itu, cuba mengajak Effa meneka siapakah dia.

“Akulah.. Izad!” Jawab lelaki gempal itu akhirnya setelah melihat Effa masih terkial-kial mengingati siapakah gerangan orang yang berada di hadapannya itu.

Mendengar pengenalan diri lelaki itu, Effa dan Emelda terjerit sambil berpandangan.

“Izad!!! Ya Allah.. hampir aku tak kenal kau! Masyaallah.. apa dah jadi kat kau ni? Dah macam polis pencen dah aku tengok..! Sihatnya kau..!” Jerit Effa selamba.

Riang hatinya dapat berjumpa rakan karib lelakinya itu. Namun tidak pula Effa menyangka, Izad bertubuh gempal sebegitu. Dahulunya, Izad merupakan seorang pengawas yang tinggi, kurus dan sentiasa digilai oleh pelajar-pelajar perempuan di sekolah kerana ketampanannya. Tetapi sekarang….

Izad yang sudah berjabat tangan dengan Effa hanya tersengih dengan gurauan yang selamba itu.

“Kau apa khabar Izad? Apa citer sekarang?” Tanya Effa.

“Alhamdulillah.. macam nilah aku yang kau tengok sekarang. Aku dah pun kahwin. Lima orang dah anak aku..!” Jawab Izad sambil tersenyum.

“Wahh… samalah ngan aku..!” Emelda pula menyampuk.

Ehh.. kau Emelda..! Kau sihat? Mana Fadil? Tak datang sama ke?” Tanya Izad yang baru terperasankan Emelda di sebelah Effa.

“Aku sihat. Fadil tak dapat datang.. Jaga anak-anak kat rumah..!” Jawab Emelda selamba.

Semua yang mendengar ketawa terbahak-bahak.

Ramai juga rakan-rakan yang mengerumuni Effa. Maklumlah, rata-rata dari mereka semuanya sudah berumahtangga dan masih lagi berhubungan walaupun tidak sekerap mana.

Hanya Effa sahaja yang mereka kepingin ingin berjumpa kerana selepas tamat persekolahan, berita tentang Effa sudah jarang didengar. Apatah lagi setelah Effa melanjutkan pelajarannya ke Universiti Harvard. Maka, makin jauh berita tentang Effa yang mereka dengar.

Effa merasa terharu dengan keperihatinan rakan-rakannya itu. Baru dia sedar bahawa sikap nakalnya itu dahulu bukan menyebabkan rakan-rakannya membencinya seperti yang disangkakan dahulu.

Rupa-rupanya, rakan-rakannya masih lagi mengingati dirinya.

“Eh.. tapikan.. cammana kau boleh kenal aku ekk?... Kita memang dah lama tak jumpa kan..?” Tanya Effa pula.

“Janganlah kau perasan yang orang tak kenal kau, Effa! Bukan sekarang.. sejak zaman sekolah dulu lagi.. kau tak boleh nak sorok muka wanted kau tu..!” Perli Izad.

Rakan-rakan yang lain yang mendengar ketawa. Effa tersenyum menahan malu. Dia yang memakai baju kebaya merah pendek dan berseluar palazzo hitam kelihatan begitu anggun sekali. Puas Emelda memaksanya bersolek agar kelihatan lebih anggun katanya.

“Kau tu.. anak dara.. Buat cara anak dara! Cubalah berhias sikit.. biar nampak manisnya. Lainlah aku.. dah jadik mak dara. Dah tak sesuai nak bergaya dan berhias bagai lagi dah..! Silap-silap, aku kena pancung dengan laki aku tu nanti..!” Bebel Emelda ketika mereka bersiap-siap di bilik tadi.

“Ye lah Mak Cik! Tak habis-habis membebel..!” Rungut Effa.

Effa yang memang tidak gemar bersolek itu hanya menurut perintah Emelda. Namun dia hanya bersolek ala kadar sahaja. Sedikit gincu bibir, pemerah pipi, pembayang mata dan celak telah mengubah sedikit penampilan dan wajah Effa yang mempunyai kecantikan semulajadi itu. Bagi Effa, inilah solekan terbaik yang pernah dia lakukan kerana sebelum ini dia tidak pernah bersolek bila menghadiri sebarang majlis.

“Eh… kau jangan lupa.. ada perkara yang Effa sudah berubah sekarang..!” Sampuk Zaini pula.

Effa yang tersedar dari teringat kejadian di bilik hotel tadi itu memandang Zaini.

“Apa dia?” Tanya Izad.

“Kau tengok sendirilah.. penampilan Effa sekarang.. cuba kau bayangkan penampilan dia.. tiga belas tahun dulu..?” Jawab Zaini.

Mereka semuanya memandang Effa. Ada yang ketawa dan ada yang tersenyum-senyum. Mereka masih ingat Effa dahulu yang berimej tomboy yang cute! Effa mula rasa malu.

“Hello… excuse me..! Yang nak membandingkan orang zaman dulu dengan sekarang ni.. apahal?..” Tegur Effa.

“Hehehe… tapi.. yang ini, tetap tidak berubah. Garang… grrrrr..!!!” Usik Izad dalam gelaknya. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain.

“Janganlah marah Effa… diaorang tu.. gurau je.. Saja nak melepaskan rindu kengkawan..” Kata Emelda pula.

Effa hanya tersenyum. Serentak dengan itu, Zalyha selaku pengacara majlis mengumumkan bahawa majlis akan bermula dan meminta Zaini ke atas pentas untuk memulakan bacaan doa.

Masing-masing memilih tempat duduk yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa majlis. Effa, Emelda, Izad dan beberapa rakan yang lain ditempatkan di meja makan yang bertanda “Diamond”. Ada beberapa meja lain yang mempunyai nama-nama terpilih terdapat di situ. Antaranya meja “Pearl”, “Emerald”, “Saphire”, “Ruby” dan “Topaz”. Effa mengagak, ada lebih kurang lebih lima puluh orang yang berada di dalam dewan itu.

Effa memandang Zaini yang telah bangun dari tempat duduknya dan terus berjalan perlahan menaiki pentas. Memang banyak perubahan pada Zaini. Dahulu, orangnya kecil dan kurus. Kini… dia berubah kepada lelaki yang matang dengan kepala yang hampir botak serta perut yang semakin boroi.!

Tiba-tiba Effa tidak boleh menahan dirinya dari ketawa. Dia ketawa namun dalam nada yang tertahan-tahan. Emelda yang duduk di sebelahnya merasa hairan lantas dicuit bahu teman baiknya itu.

“Apa yang kau happysangat ni? Sharelah ngan aku…!” Kata Emelda dalam nada rajuknya.

Effa memberi isyarat agar menunggu Zaini menghabiskan bacaan doanya itu. Selesai sahaja Zaini dan para hadirin mengaminkan doanya, Effa mendekati Emelda lalu dibisikkan sesuatu di telinga Emelda.

“Kau masih ingat lagi tak.. masa kita Form 5 dulu? Semua Form 5.. jointkelas untuk matapelajaran Agama Islam. Sebelum nak mula kelas.. ustazah mesti pilih siapa-sipa budak lelaki untuk baca doa..Aku tiba-tiba teringat pulak si Zaini ni..” Cerita Effa.

Emelda terdiam. Dia cuba mengingati kisah yang dimaksudkan oleh Effa itu. Tiba-tiba dia terjerit kecil.

“Ok.. aku ingat..! Aku ingat..!.. Bila ustazah suruh Zaini baca doa penerang hati.. dengan confidentnya dia baca dengan kuat, tapi.. bila baca.. rupanya doa makan! Kah..kah…kah…” Cerita Emelda dengan suara yang agak kuat kerana mengimbangi suaranya dengan bunyi muzik pembukaan yang agak kuat dari sudut pentas.

Kedua-dua sahabat karib itu ketawa bagai tidak sedar diri. Terlalu gelihati mengenangkan kisah lalu.

“Weii.. apa yang korang gelakkan tu ha?” Tanya Izad yang duduk bersebelahan dengan Effa.

Effa menoleh ke arah Izad. Lantas diceritakannya kepada Izad apa yang menggelikan hatinya dan Emelda. Mendengar cerita itu, Izad ketawa terbahak-bahak.

“Ehh.. Effa… kau ingat lagi tak Shameer?” Tiba-tiba Izad bertanya.

“Shameer? Hmm… macam pernah dengar je.. Siapa ekk?” Tanya Effa.

“Hmm… dah aku agak.. minah ni mesti lupa ingatan punya!” Keluh Izad.

“Relaxlah Bro! Aku betul-betul lupa lah….!” Kata Effa memujuk.

Izad lantas menunjukkan seseorang yang sedang memerhatikan Effa dari meja makan yang berselang tiga dari meja makan Effa. Effa cuba mengamati lelaki yang dimaksudkan itu. Tiba-tiba dia menepuk dahinya.

“Eh.. Shameer dari kelas Sastera dulukan? Laa… betul.. aku dah lupa!” Kata Effa.

“Siapa tu Effa?” Tiba-tiba Emelda menyampuk.

“Ehh.. takkan kau tak kenal Mak Cik! Ex-boy friend kau dulu..!” Kata Effa sambil tersengih.

“Saper? Ohhh… Shameer.. ! Eh.. tu bukan mamat sastera yang minat gila kat kau dulu kan?” Tanya Emelda dalam nada yang agak kuat. Serentak itu juga, Effa menepuk peha Emelda dan mengisyaratkan agar Emelda diam.

“Kecohlah Mak Cik ni!!” Rungut Effa.

Shameer pula sedang menghampiri meja makan Effa…

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.