Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 15

“HUHH!!!” jerkah Iqram dengan suara lantang.

Maira yang pantang dijerkah, terus melatah. “Eh, beg aku terjatuh!” Beg tangan yang ada di pegangannya itu terus dicampak ke atas lantai.

Apa lagi? Iqram sudah bantai gelak apabila melihat reaksi Maira. Siap menepuk-nepuk pehanya lagi. “Awak ni kelakarlah, Maira!” perli Iqram. Sakit perutnya kerana ketawa terbahak-bahak.

Membuntang mata Maira. Wajahnya sudah cemberut. Mulutnya sudah terjuih ke depan. “Hisy, bos ni jahat tau! Dah tahu yang saya ni kaki latah, tapi tetap nak mengusik jugak.” Dia membebel dengan suara geram.

“Okey, okey,” Iqram menjungkit kedua-dua belah tangannya ke atas, tanda memohon maaf. "Saya angkat bendera putih! Saya janji, saya tak akan jerkah awak lagi! Saya janji, saya tak akan buat awak melatah!” janjinya beria-ia. Bibirnya tercalit senyuman penuh makna. Bak benak fikirannya sedang merancang sesuatu.

Maira pamer senyum lebar. Yess,aku menang! Yehhaa! Serentak itu, dia membongkokkan badannya ke lantai, lalu mengutip beg tangannya. Sesudah itu, dia menegakkan kembali tubuhnya. “Tadi kata nak pergi makan malam. Apa lagi? Jomlah, perut saya dah berdendang lagu lapar ni!” ajaknya beria-ia. Siap menggosok perutnya lagi tanda lapar.

Garis senyum penuh makna masih lagi terukir di wajahnya. “Okey, jom kita pergi makan. Tapi…”

Maira berkerut dahi. “Tapi apa, bos?”

Senyumnya semakin lebar, hampir mencecah ke cuping telinga. Iqram mendekatkan wajahnya ke wajah Maira. “Tapi…” Sengaja dia menyelit unsur-unsur saspen di sebalik katanya-katanya. Hendak membiarkan gadis itu berteka-teki.

Maira semakin hairan dengan tingkah laku Iqram. “Tapi apa? Hisy, tak payahlah nak main-main dengan saya, bos!” bentaknya dengan muka tidak puas hati.

“Awak belanja, boleh?” sambung Iqram dengan muka selamba badak.

Maira tercengang. “Saya,” Jari telunjuknya tertuding ke mukanya. “Yang kena belanja?” sambungnya lagi.

Iqram mengangguk. “Hmm… awak yang kena belanja malam ni,” Keningnya terjungkit ke atas. “Boleh?”

“Err…” Gulp! Maira meneguk liur. Kalau Mr. singa ni nak makan kat restoran mewah, macam mana? Aku ni bukannya berduit sangat. Lainlah dia, lahir-lahir terus dah kaya. Aduh, jangan dia minta yang bukan-bukan dahlah! Naya aje! desis hatinya. “Err… boleh!” Teragak-agak dia menjawab.

“Okey, jom!” ajak Iqram, seraya berjalan pergi meninggalkan Maira sendirian di belakang.

Maira berdecit. “Aduh, dia nilah… tiba-tiba aje suruh aku belanja. Mana nak cekau duit ni?”

Langkah Iqram mati. Dia berpusing ke belakang. Berkerut dahinya demi melihat figura Maira yang masih lagi tercegat di depan pintu bilik hotel. “Erk, boleh pulak dia melayan feeling kat tengah alam tu? Huhh!” Serentak itu, dia berjalan ke arah Maira.

Tanpa Maira sedari, figura Iqram berdiri betul-betul di belakangnya. Dengan selamba kataknya, dia mencuit pinggang Maira.

“Opocot!”

Tawa Iqram terus terburai. Sungguh, dia jadi geli hati demi melihat reaksi Maira. Haa kau… tak pasal-pasal dah kena boom dengan aku lagi!

Maira menjeling. Wajahnya segera dimasamkan. “Hisy, bos ni jahat tau! Tadikan bos dah janji, bos tak akan usik saya lagi. Bos tak akan buat saya melatah!” protesnya.

Kening Iqram terjungkit sebelah. “Oh, saya ada buat janji macam tu ke? Entah, saya tak ingat pulak. Tapi, ada saya kisah?” Dia ketawa mengejek.

Maira menarik muka cemberut.

“Dah, tak payah nak buat muka macam tu! Jom kita pergi makan. Saya dah lapar ni!” desak Iqram.

Maira mengetap bibir. “Err…”

Iqram berdecit. “Err… apa lagi?” celahnya.

Maira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Kita nak pergi makan kat mana, bos?”

Berkerut dahi Iqram. “Kenapa awak tanya soalan macam tu? Awak ikut ajelah!” balasnya.

“Bukan tu maksud saya, bos. Cuma…”

“Cuma apa?” celah Iqram.

“Err… kita pergi makan kat tempat-tempat yang murah aje ya? Lagipun, saya belum gaji. Macam mana saya nak belanja bos?” balas Maira sambil tersengih-sengih menayang barisan giginya yang putih melepak itu.

Iqram tergelak lucu. “Awak ni, macam-macamlah! Takkanlah saya nak biarkan perempuan belanja saya? Saya ni gentleman, Maira. Kalau saya buat macam tu, jatuhlah maruah saya!” balasnya dengan muka selamba.

Maira tercengang. “Habis tu, tadi…”

“Dah, tak payah nak banyak bunyi lagi! Jom!” Iqram segera menarik tangan Maira.

Dengan muka terpinga-pinga, Maira hanya membuntuti langkah Iqram dari belakang.

“ERR… bos tak kisah ke kalau kita makan kat Stadium Alor Setar ni?” tanya Maira teragak-agak.

Iqram tersenyum lalu mengangguk. “Saya ni jenis yang tak banyak songeh. Saya makan aje apa yang ada. Semua benda saya sebat,” balasnya ringkas.

“Oh!” Semua benda kau sebat, ya? Kiranya, bangku, meja, peti ais dan televisyen pun kau sebatlah? He he he… Apalah kau ni, Maira? Sampai macam tu sekali kau fikir ya? Mr. singa ni bukannya raksasa tau.

Tiba-tiba, meja mereka didatangi oleh satu figura pelayan wanita. Figura itu terus meletakkan buku menu ke atas meja. “Err… minum, bang, kak?” tanyanya, sudah bersiap sedia untuk mencatit pesanan pelanggannya itu.

“Air suam,” balas Iqram.

“Milo ais,” celah Maira pula.

“Makan?” tanya figura itu lagi.

“Nasi goreng kampung,” balas Maira ringkas.

“Erm…” Iqram mengetuk permukaan meja. “Nasi goreng pattaya.”

Sesudah mencatit makanan yang dipesan mereka, figura itu terus beredar.

“Err… awak memang selalu makan kat sini ke, Maira?” tegur Iqram sekadar berbasa-basi.

Maira mengangguk. “Ha’ah, bos! Kalau saya balik kampung, memang kat sinilah tempat kami untuk menjamu selera. Lepas makan, kami akan meronda sekitar pekan Alor Setar untuk mencuci mata,” ceritanya panjang lebar.

“Oh!” balas Iqram. “Jadi, awak memang berasal dari Kedahlah ni?”

“Ya, bos!” Maira menjawab ringkas.

“Kampung awak kat mana?” tanya Iqram ingin tahu.

“Gunung Keriang, bos! Dekat dengan muzium padi. Nanti saya bawa bos balik kampung saya ya? Best tau! Hari-hari saya redah masuk dalam sawah padi!” balas Maira beria-ia.

Iqram tercengang. “Haa… awak redah masuk dalam sawah padi?” Gulp! Dia menelan liur. “Tak ada pacat ke?” Dia jadi geli-geleman apabila terbayang binatang itu. Iyuu, gelinya!

Maira tergelak. “Pacat? Hmm… memanglah wajib ada, bos! Dah nama pun sawah padi kan,” balasnya. “Kenapa, bos takut dengan pacat ke?” usiknya dengan muka selamba.

Berubah wajah Iqram demi mendengar soalan yang terpacul keluar dari mulut Maira. “Err… mana ada saya takut!” nafinya beria-ia. Takkanlah aku nak bagitahu yang aku memang takut dengan benda alah tu kan? Tak pasal-pasal Miss selamba ni ketawakan aku.

Maira pamer senyum sinis. “Betul ni?” usiknya lagi.

“Betullah!” balas Iqram beria-ia.

Maira tidak membalas. Dia hanya tergelak kecil.

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

“Err… Maira?” Iqram menegur. “Saya ada satu soalan. Dan saya nak awak jawab soalan saya ni dengan jujur.” Memek mukanya kelihatan begitu tegas sekali.

Berkerut dahi Maira. “Soalan apa, bos?”

Belum sempat Iqram memulakan bicara, tiba-tiba muncul figura seorang wanita yang mengambil pesanan mereka tadi. Di belakangnya kelihatan satu figura wanita dalam lingkungan 20an sedang menatang dulang berisi makanan. Minuman dan makanan itu segera diletakkan ke atas meja.

“Terima kasih.” Iqram dan Maira berkata serentak.

“Sama-sama.”

Usai itu, dua figura itu terus beredar pergi meninggalkan Maira dan Iqram sendirian.

Maira menoleh ke arah Iqram. “Err… bos nak tanya apa tadi?” tegurnya dengan memek muka ingin tahu.

Figura Maira direnung setajam-tajamnya. Wajah Iqram mula berubah serius. “Selagi saya belum tahu kebenarannya, selagi tulah hati saya belum puas. Lebih baik awak bercakap jujur dengan saya, Maira! Apa sebenarnya yang tok cakap pada awak?” Sekali lagi dia menebak Maira dengan soalan cepumas itu.

Maira tergamam. Alamak! Sekali lagi dia ulang tanya soalan cepumas itu. Hisy, nak buat apa pula kali ni ya? “Err…” Dia jadi tergagap-gagap.

“Tak payah nak ‘err-err’, Maira. Tell me the truth, now!” Iqram terus mendesak.

Maira berdecit. “Bos ni kan, berapa kali saya nak ulang hah? Kan saya dah cakap, tak ada-apa. Maknanya, tak ada apa-apalah! Kenapa susah sangat nak faham ni? Penatlah kalau asyik nak ulang ayat yang sama aje!” herdiknya geram.

Iqram bengang. “Awak jangan cuba nak perkotak-katikkan saya, Maira!” Dia menuding jari ke muka Maira. “Saya tahu, awak cuba menipu saya! Saya dapat rasa, awak ada sembunyikan sesuatu dari pengetahuan saya. Berterus-terang, Maira Qaisarah!” desaknya lagi.

“Menipu apa pulak ni, bos? Menipu nikan amalan syaitan. Tak baik tau bos tuduh saya macam tu tau, berdosa!” Maira buat ayat loyar buruk.

Iqram berdecit geram. “Awak tak payah nak buat ayat loyar buruk dengan saya, Maira! Tell me the truth, now!” Dia berterus-terusan mendesak dengan suara keras.

Maira mendengus. “Bos nikan, isyh! Kan saya dah cakap, tak ada apa-apa. Dah berbuih mulut saya ni ulang ayat yang sama tau. Bosanlah!” herdiknya mula hilang sabar,

“Awak…”

“Dahlah, saya tak nak dengar apa-apa lagi! Saya lapar, saya nak makan!” potong Maira sebelum sempat Iqram menghabiskan ayatnya. Sudu dan garfu di tepi pinggan segera dicapai. Dengan selamba badaknya, dia mula menikmati hidangan makan malamnya tanpa mempedulikan renungan tajam Iqram.

Iqram mendengus keras. Dia nikan, argh! Hatinya menjerit geram.

SEPANJANG dalam perjalanan pulang ke hotel, Iqram dan Maira hanya diam membisu. Hanya bunyi lagu dari corong radio sahaja yang kedengaran.

Maira mengerling sekilas figura Iqram di seat pemandu. Dia mengherotkan bibirnya. Sekejap ke kiri, sekejap pula ke kanan. Erk, kenapa Mr. singa ni diam aje? Dia masih marahkan aku lagi ke?

“Ehem-ehem!” Maira berdehem kecil.

Iqram pura-pura tak dengar. Dia menayang muka toya.

Maira mendengus geram. Kroh! Kroh! Dia berpura-pura batuk. Hendak menarik perhatian Iqram.

Iqram masih seperti tadi, diam membisu seribu bahasa. Tetap dengan muka toyanya juga.

Maira geram. “Bos?” tegurnya sedikit kuat.

“Hmm?” balas Iqram tanpa menoleh ke arah Maira.

“Err… bos marahkan saya ke?” tanya Maira ingin tahu.

Kening Iqram terjungkit sebelah. “Kenapa saya nak marah awak pulak? Awak ada buat salah dengan saya ke?” tebaknya dengan muka selamba.

Maira tergamam. “Err…”

“Err-err apa?” celah Iqram apabila tiada tanda-tanda untuk Maira bersuara.

Maira mengetap bibir. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Sebenarnya… sebenarnya…”

“Sebenarnya apa?” jerkah Iqram kuat.

“Kenapa bos asyik diam aje dari tadi?” Dek terkejut mendengar jerkahan Iqram, Maira terus bersuara.

Kening Iqram terjungkit sebelah. Dia pamer senyum sinis. “Kenapa saya asyik diam aje dari tadi? Hmm… saja,” balasnya dengan muka selamba badak.

Maira tercengang. Erk? “Haa… saja?” Dia ni buang tabiat ke apa?

“Hmm…” Iqram membalas dengan riak bersahaja.

Maira terus terdiam membisu.

Rona wajah Iqram berubah serius. “Kalau awak nak saya bersuara, lebih awak berterus-terang dengan saya, Maira. Apa sebenarnya yang tok cakap dengan awak?” Sekali lagi dia mengulangi soalan itu.

Maira mengeluh laju. Aduh! Tak habis-habis dengan soalan ni, bosanlah! “Bos nikan, asyik ulang soalan yang sama aje tau. Tak ada soalan lain ke hah?” Dia mengherdik dengan suara geram.

“Tak ada!” balas Iqram keras. “So, answer my question!” Sekali lagi dia mendesak agar Maira berterus-terang.

Maira menoleh ke arah Iqram. “Encik Iqram Fattah, tolong dengar baik-baik ya. Jawapan yang bos nak tu tetap tak akan berubah. Tok tak ada cakap apa-apapun dengan saya. Kami cuma borak-borak kosong aje!” balasnya beria-ia.

“Betul?” duga Iqram.

Maira mendesis geram. “Betul!” Beria-ia dia membalas.

“Okey,” balas Iqram dengan muka selamba.

Maira tercengang. “Haa… okey? Apa yang okeynya?” Terpinga-pinga dia memandang wajah Iqram.

Iqram tersenyum sinis. “Nothing!”

Maira terus terdiam. Hisy, dia betul-betul marah aku ni. Ah, lantak dialah! Nak marah ke… nak terguling-guling ke… nak apa ke… suka hati kaulah, Mr. singa! Asalkan kau tak tahu perkara sebenar. Itu yang penting!

Ehem! Tiba-tiba Iqram berdehem keras. “Maira?”

Maira seraya menoleh ke arah Iqram. “Hmm?”

“Esok seminar akan bermula pada pukul 7.30 pagi. So, saya akan datang ketuk pintu bilik awak tepat pada pukul 7.00 pagi. Ingat, jangan sesekali lambat! Kalau awak lambat, saya akan tinggalkan awak! Awak pergilah dewan seminar tu sendiri ya,” kata Iqram dengan suara serius.

Maira terkedu. Haa? Tu dia. Bila Adolf Hitler mula bersuara, Maira terus jadi kelam kabut. Pukul 7.00 pagi? Oh, tidak! Dia kena setkan jam loceng untuk bangun awal esok. Harus!

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.