“SAYA
rasa peliklah dengan budak Iqram tu, Mar. Sejak dua menjak ni, budak tu macam
dah berubah sikap. Haa… tiba-tiba aje dia ambil cuti hari ni. Angin tak ada,
ribut tak ada, tup… tup… awal pagi dah menghilang,” luah Datuk Hakim sambil
berkerut dahi tanda hairan dengan telatah anak terunanya itu.
“Entahlah
bang, saya sendiri pun dah jadi keliru dengan sikap dia. Lepas dia balik dari
Kedah, sikapnya terus berubah. Saya selalu perhatikan dia, bang. Dia banyak
termenung. Kadang-kadang, dia tergelak sendiri.” Giliran Datin Marina pula yang
menyuarakan kerisauan di benaknya.
Datuk
Hakim mengeluh. “Kenapa dengan budak tu ya, Mar?”
“Entahlah…
saya pun tak berani nak cakap. Kita sendiri pun tak tahu apa sebenarnya yang
Iqram sedang fikirkan,” balas Datin Marina.
Sekali
lagi Datuk Hakim mengeluh. “Kita nak buat apa ni, Mar?”
“Apa
yang papa dan mama bualkan tu?” tegur Erika yang baru sahaja pulang dari berdating dengan tunangnya Emran.
Dua
pasang mata itu spontan menoleh ke arah figura Erika bersama segaris senyum
nipis di bibir.
“Eh,
anak papa dah balik? Seronok ke dapat keluar dengan bakal suami?” usik Datuk
Hakim.
Erika
tergelak. Merah padam mukanya dek malu dengan usikan papa. “Hisy, papa ni… malu
Rika tau!” balasnya malu-malu meow.
“Mestilah Rika seronok, papa! 6 bulan Rika tak dapat jumpa dengan Emran tau!”
sambungnya beria-ia.
“Nak
buat macam mana, Rika? Bakal suami kamu tukan tentera laut. Hmm… berlayar di
tengah laut ajelah kerjanya.” Datin Marina mencelah, sengaja hendak mengusik
Erika.
Erika
tersenyum. “Tak apalah, mama. Walaupun kami jarang bersua muka, tapi Rika tahu
yang Emran sayangkan Rika.” Dia berkata dengan penuh yakin.
“Alhamdulillah,
Rika. Emran lelaki yang baik. Kami yakin, dia mampu bahagiakan Rika,” celah
Datuk Hakim.
“Insya-ALLAH,”
jawab Erika. “Haa… dari luar tadi Rika dengar, papa dengan mama berbual.
Bunyinya macam serius aje. Apa yang mama dan papa bualkan?” tanyanya dengan
riak muka ingin tahu.
Sebaris
nama Iqram muncul di kotak fikiran Datuk Hakim. Spontan, dia membuang keluhan
berat. “Kami bualkan pasal Iqram,” jawabnya dengan suara lemah.
Berkerut
dahi Erika. “Pasal Iqram? Kenapa dengan dia?”
“Sejak
dua menjak ni, mama perhatikan sikap adik kamu tu macam dah berubah. Dia banyak
termenung. Kadang-kadang tu, dia tergelak sendiri.” Datin Katrina muka
bercerita.
Datuk
Hakim mengangguk. “Betul tu, Rika. Haa… tengoklah, tiba-tiba aje dia ambil cuti
kecemasan. Tiba-tiba aje dia nak balik kampung. Belum sempat papa jumpa dia,
tup… tup… dah hilang,” celahnya.
“Kami
ni bukannya apa, Rika. Kami risaukan dia,” celah Datin Marina pula.
Erika
tersenyum penuh makna. Hmm… tu namanya dah terkena simptom cinta, mama, papa.
“Ala… mama dengan papa tak payah risau. Adik Rika tu okey aje.” Dia membalas
dengan muka selamba. Seolah-olah tiada apa-apapun yang berlaku.
Datuk
Hakim tercengang. “Haa… kenapa kamu cakap macam tu, Rika? Kamu tak risaukan
adik kamu tu ke?” Sukar dia hendak percaya dengan apa yang baru sahaja terluah
dari mulut Erika.
Erika
tergelak. “Hisy, mama dengan papa suka sangat fikir yang bukan-bukan tau! Am tu
sihat walafiat aje. Apa, papa dengan mama fikir dia kena sampuk dengan hantu
jembalang dari Kedah ke?”
“Hisy,
kamu ni Rika… ke situ pulak!” Datuk Hakim menjeling geram. “Kami punyalah
serius, tapi kamu boleh buat main-main pulak?” Dia membebel sambil menarik
muncung panjang tanda protes.
“Haa…
kalau betul adik kamu tu kena sampuk dengan hantu jembalang dari Kedah, macam
mana? Hisy, mama tak nak apa-apa yang buruk menimpa adik kamu, Rika. Lebih baik
kita bawak budah tu pergi berubat!” celah Datin Marina mula kelam-kabut.
Terpalit riak risau di wajah cantiknya.
Erika
menggeleng demi melihat gelagat orang tuanya. “Hisy, mama dengan papa jangan
risaulah! Am tu okey aje. Anak teruna kesayangan mama dengan papa tu sihat
walafiat,” Dia pamer senyum penuh makna. “Cuma…”
“Cuma
apa?” Pasangan suami isteri itu mencelah serentak.
Garis
senyum penuh makna semakin lebar di bibir Erika. Cuma… anak papa tu dah terkena
simptom cinta dari hantu jembalang. Dan hantu jembalangnya adalah Maira!
HAJAH SAKINAH merenung tepat ke muka
Iqram. Seolah-olah sedang menilik sesuatu di wajah kacak itu. Hati tuanya
yakin, pasti ada sesuatu yang sedang mengganggu benak cucunya itu. Kalau tidak,
takkanlah awal-awal buta lagi dah tercongak di depan muka pintu?
Iqram
yang sedang menghirup minuman panasnya, menjadi resah demi melihat tingkah laku
toknya. Dia mula jadi tidak senang duduk. “Err… kenapa tok tenung Am sampai
macam tu sekali?” tegurnya dengan suara gugup.
Hajah
Sakinah tersenyum. “Awat, salah ka kalau tok nak tengok muka hang, Am?” Dia
membalas dengan muka selamba.
Iqram
menggigit bawah bibirnya. “Tak salah, tok. Cuma…”
“Cuma
apa?” potong Hajah Sakinah.
Iqram
menarik nafas panjang, lalu menghembus perlahan-lahan. “Am tak berapa
selesalah, tok,” jawabnya.
Hajah
Sakinah tergelak. “Hang tok sah nak berdolak-dalik dengan tok na. Tok dapat
rasa, ada sesuatu yang hang sedang fikirkan. Baik hang berterus-terang dengan
tok, Am. Apa sebenarnya masalah hang?” desaknya.
Iqram
terus terdiam. Erk, nak berterus-terang ke tak nak? Dia mula keliru, takut
kalau-kalau wanita tua itu mentertawakan dirinya. Ah, dia juga yang mendapat
malu!
Kening
Hajah Sakinah terjungkit sebelah. “Iqram Fattah?” Dia menegur apabila tiada
tanda-tanda untuk Iqram bersuara.
Iqram
tersentak kecil. “Err…”
Hajah
Sakinah berdecit geram. “Pasaipa dengan hang ni, Am? Awat hang resah gelisah
macam orang hilang duit aje ni?” balasnya, mula hilang sabar dengan telatah
cucunya.
Sekali
lagi Iqram menarik nafas panjang. Cuba mententeramkan emosi dirinya yang tidak
stabil. “Sebenarnya… sebenarnya…” Dia agak keberatan hendak berterus-terang.
Aduh, nak cakap macam mana ni?
“Sebenarnya
apa?” celah Hajah Sakinah.
“Sebenarnya…
Am dah jatuh cinta, tok,” beritahu Iqram jujur.
Membuntang
terus biji mata Hajah Sakinah demi mendengar pengakuan cucunya. “Hang dah jatuh
cinta?” Bibirnya terukir senyuman lebar. “Hang jatuh cinta kat siapa? Kat Maira
ka?” tekanya beria-ia.
Iqram
tersentak. “Err… macam mana tok tahu?” tanyanya dengan muka terpinga-pinga. Ah,
tok memang pandai meneka!
Hajah
Sakinah tergelak. “Tok ni terlebih dulu telan garam dari hang tau. Tok dah
tengok macam-macam ragam manusia kat muka bumi ni,” jawabnya selamba.
Iqram
hanya mampu tersenyum.
“Hang
jarang bawak balik perempuan kat rumah tok, Am. Kali terakhir hang bawak balik
pun, si budak Suraya tu. Tu pun, tok tak berkenan langsung. Dahlah tak tahu nak
buat kerja rumah, asyik membungkam atas katil 24 jam aje,” tambah Hajah Sakinah
beria-ia.
Iqram
tersenyum. “Suraya tu kesilapan Am yang paling besar, tok. Kalaulah ALLAH S.W.T
tak buka mata hati Am masa tu, entah-entah sampai ke waktu sekaranglah Am
diperbodohkan dia. Memanglah hati Am patah, yalah… sayang sangat kan. Tapi Am
rasa bersyukur, Am dah kenal siapa dia yang sebenarnya,” balasnya.
“Tak
apalah, Am. Jadikan ia sebagai pengajaran buat hidup kita di masa akan datang
na.” Hajah Sakinah menjawab ringkas.
“Tapi…”
Wajah Maira menikam benak fikirannya. “Maira ni berbeza dengan Suraya, tok. Dia
tak sama dengan perempuan lain. Dia ada keistimewaannya sendiri. Walaupun
sikapnya kadang-kadang buat Am rasa meremang bulu roma, tapi Am tahu dia
seorang gadis yang baik. Dia menghormati orang tua, suka membantu orang lain,
macam-macamlah,” tambah Iqram sambil tersenyum penuh makna.
“Amboi…
hang ni betui-betui dah parah, Am.” Hajah Sakinah mengusik.
Iqram
tergelak. “Bukan parah lagi, tok. Am betul-betul dah tersungkur kali ni. Am
terlalu cintakan dia,” akuinya jujur.
Hajah
Sakinah menarik nafas lega. “Baguslah, Am! Tok pun memang dah berkenan sangat
dengan budak Maira tu. Tok siap dah lamar dia jadi isteri hang tau,” balasnya
beria-ia.
Iqram
pamer muka terkejut. Matanya sudah membuntang besar. “Apa?” Gara-gara terkejut
yang amat, dia terjerit.
“TOK pernah melamar Maira?” Sungguh,
Iqram berasa terkejut apabila mendengar pengakuan toknya. Erk, biar tembikai?
Hajah
Sakinah tersenyum lebar. Beria-dia dia mengangguk sebagai jawapan. “Ya Am, tok
pernah melamar dia tau!” Beria-ia dia mengaku.
Merah
padam terus muka Iqram. Dia terkedu. “Jadi…”
“Ha’ah!”
balasnya. “Pasaipa, hang terkejut ka?”
Iqram
mengangguk laju. “Hisy, tok ni… mestilah Am terkejut! Patutlah Maira tak nak
berterus-terang pada Am hari tu. Rupa-rupanya, tok pernah melamar dia. Malu Am
tau! Selamba badak aje tok buat kerja gila tu,” bentaknya tanda protes.
Hajah
Sakinah tersengih. “Buat apa hang nak malu, Am? Tok ni berniat baik nak tolong
hang tau. Kalau tok tahu yang hang tu memang ada hati kat dia, memang tok dah
mendesak dia supaya terima hang. Awat hang tak cakap awal-awal?” balasnya
beria-ia.
Iqram
menjeling. “Am tak sedar yang Am dah jatuh cinta kat dia masa tu, tok. Masa tu,
Am cuma anggap dia tak lebih dari seorang pekerja.”
Hajah
Sakinah mencebik. “Yalah tu,” sindirnya.
Iqram
hanya tersengih.
“Tok
sah hang nak sengih-sengih macam tulah, Am. Tak kacak mana pun,” sindir Hajah
Sakinah selamba.
Sengihan
Iqram serta-merta mati.
Rona
wajah Hajah Sakinah berubah serius. Wajah kacak cucunya itu ditenung tajam. “La
ni… tok nak hang berterus-terang. Apa sebenarnya tujuan hang balik kampung?”
Dia cuba mengorek rahsia Iqram.
Iqram
pamer senyum lebar. “Sebenarnya…”
“Sebenarnya
apa?” potong Hajah Sakinah.
“Am
nak minta tolong tok pergi meminang Maira,” kata Iqram bersungguh-sungguh.
Hajah
Sakinah terus tersenyum lebar. “Laa… tu hal kecik aje, Am. La ni pun tok boleh
pi meminang dia.” Dia membalas beria-ia.
“Tapi…”
Berkerut
dahi Hajah Sakinah. “Tapi apa?” Dia jadi hairan melihat ekspresi wajah cucunya
itu. Aik, kelat semacam aje. Pasaipa?
Iqram
mengetap bibir. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Maira… Maira…”
“Maira
apa?” Sekali lagi Hajah Sakinah memotong. Tidak sabar hendak mengetahui perkara
sebenar.
Iqram
menarik nafas panjang. “Maira belum tahu yang Iqram nak pergi meminang dia,
tok,” akuinya dengan suara resah.
Mata
Hajah Sakinah terus membulat besar. “Apa?”