DULANG
berisi nasi putih berlaukkan ayam kari bersama sayur kacang panjang serta
segelas air kosong diletakkan ke atas meja. Iqram melabuhkan duduk di atas
kerusi. Dia menarik dulang berisi makanan dan minuman ke depan, lalu mula
menikmati hidangan makan tengah harinya. “Hmm… sedap jugak ayam
kari buatan Mak Yam ni. Tak sia-sia aku cuba,” pujinya.
Jam
tangan berjenama Rolex yang terikat kemas di pergelangan tangan kirinya
dikerling sejenak. Jam digital itu sudah pun berubah ke angka 2.00. Cepat-cepat
dia menyuap nasi putih ke dalam mulut. Dia tidak mahu terlewat ke pejabat.
Sedang
menyuap makanan ke dalam mulut, tiba-tiba bola matanya tertancap pada dua
figura yang kebetulan melintas di hadapannya. Suapannya terus terhenti demi
melihat gelagat dua figura itu.
“Nasib baiklah aku
putuskan tali pertunangan ni cepat-cepat. Kalau tak, naya aje aku kena tipu
hidup-hidup dengan perempuan tak guna tu,” desis Iqram geram.
Demi
melihat figura Iqram, Ain Suraya terus tersenyum lebar. Serta-merta dia menarik
lengan figura lelaki tua di sebelahnya. Mereka berjalan seiringan menuju ke
arah Iqram.
“Hai,
Am?” tegur Suraya dengan senyuman menggoda.
Iqram
menggigit bawah bibirnya tanda geram. Hatinya menjadi bengkak apabila melihat
figura wanita yang pernah bertakhta di hati dan menghiasi hidupnya suatu ketika
dahulu. “Hmm… you nak apa, Suraya?” tanyanya, malas hendak melayan sikap gedik
bekas tunangnya itu.
Suraya
menoleh ke sebelah. Merenung manja figura lelaki tua itu. “Err sayang, tolong
tinggalkan kami berdua sebentar. I ada sesuatu nak bincang dengan dia,” ujarnya
dengan lenggok manja dan gedik. Siap tersenyum menggoda lagi.
Lelaki
tua itu berkerut dahi. “Siapa dia ni, sayang? You curang dengan I, ya?” Ada
nada cemburu di setiap bait-bait ayat yang dituturkan. Barangkali dia cemburu
dengan Iqram.
Senyuman
menggoda masih lagi mengitari wajah jelita Suraya. “No! Kenapa pulak I nak curang dengan you? You kan buah hati I,”
balasnya beria-ia. “Actually, he is my
client,” bohongnya.
Iqram
tertawa sinis. “Hmm… client la
sangat,” perlinya dengan muka selamba badak.
Suraya
berdecit geram. Namun dia hanya berdiam diri, tidak mahu memanjangkan isu itu.
Buruk padahnya! “Tolong tinggalkan kami berdua, ya?” ujarnya beria-ia.
Lelaki
tua itu tersenyum, lalu mengangguk. Dia berjalan pergi meninggalkan Iqram dan
Suraya sendirian.
Usai
lelaki tua itu menghilangkan diri, Suraya terus melabuhkan duduk di sebelah
Iqram. Dia tersenyum menggoda. “You apa khabar, Am? Lama kita tak jumpa, kan,”
ujar Suraya bersungguh-sungguh.
“Hmm…
I khabar baik aje. I rasa, lebih baik kalau kita tak bersua muka dari
bertentang mata, Suraya. Dan kalau boleh, I nak you terus lenyap dari hidup I
tau.” Sempat lagi Iqram menyindir Suraya. Sengaja hendak menyakitkan hati
wanita jelita itu.
Suraya
terkesima. “Sampai hati you cakap macam tu pada I, Am. I tahu I dah buat salah.
Tapi I betul-betul rasa menyesal dengan semua perbuatan I.”
Iqram
tergelak sinis. “Orang macam you ni tahu rasa menyesal ke? Setahu I, you ni
hanya pentingkan nafsu diri aje. Dan untuk pengetahuan you, I rasa bersyukur
kerana ALLAH telah membuka mata hati I untuk mengenali siapa you yang
sebenarnya, Suraya. Kalau I tak terserempak dengan you bersama lelaki lain
dulu, mati-mati I ingat you sayangkan I.”
“I
mengaku, I bodoh masa tu. I tak patut curang dengan you. Maafkan I, sayang.
Kalau boleh, I nak kita bersama semula macam dulu,” balas Suraya
bersungguh-sungguh.
Iqram
pamer senyum sinis. “Bersama semula macam dulu? Habis tu, lelaki tua tadi tu,
you nak campak mana? Dalam lombong?”
“Lantak
dialah! Asalkan, you dapat terima I semula. Am,
I’m realy, realy love you,” balas Suraya beria-ia. Dia menyentuh tangan
Iqram, lalu menggenggamnya. Berharap agar lelaki kacak itu memenuhi
permintaannya.
“You
nak I terima you semula?” balas Iqram, masih lagi dengan senyum sinisnya. Dia
membalas tautan tangan Suraya.
“Ya!”
balas Suraya laju.
Iqram
memaniskan roman wajahnya, lalu berdecit panjang. Tidak semena-mena dia
menggenggam tangan Suraya sekuat hati. Membuat wanita jelita itu menjerit
kesakitan.
“Auw!
Sakitkah, Am! Lepaskan I!” rayu Suraya beria-ia. Sedaya upaya dia cuba menarik
tangannya dari genggaman Iqram, namun gagal.
Rona
wajah Iqram berubah serius. “You dengar sini baik-baik, Ain Suraya. Buka
telinga you seluas-luasnya. I bukan lelaki yang you boleh perbodohkan sesuka
hati. Sekali you dah buat salah, sampai bila-bila ia terpahat dalam kotak
memori I. Tak mungkin I akan terima you semula setelah apa yang dah berlaku.
Untuk apa kita bersama semula sekiranya you bersama lelaki lain dalam masa yang
sama? I bukan lelaki dayus, Suraya.” Dia melepaskan pegangan tangan Suraya.
Lalu, dia bangun dan berjalan pergi meninggalkan wanita jelita itu sendirian.
Suraya
menghentak meja. Nafasnya turun dan naik. “Argh! Tak apa, Am. I akan pastikan
you jatuh semula ke tangan I, Iqram Fattah. Ini Ain Suraya la!”
IQRAM meninggalkan Restoran Mak Yam. Dia
berjalan melalui deretan-deretan restoran. Tiba-tiba, langkahnya mati di
hadapan sebuah restoran melayu.
Dia
mendengus keras. Hatinya semakin bengkak. Sungguh tidak disangka, dia boleh
terserempak lagi dengan Suraya. “Aku ingatkan dia dah lenyap ditelan bumi.
Rupa-rupanya, dia masih wujud lagi. Argh!” bentaknya.
Tatkala
terkenangkan peristiwa tiga tahun lepas, sekali gus membuat hati Iqram dipagut
rasa kecewa. Hatinya diulit rasa sedih. “Sampai hati you curang dengan I,
Suraya. I betul-betul sayangkan you, tapi…”
Namun,
dia tetap rasa bersyukur kerana ALLAH S.W.T telah membuka mata dan hatinya
untuk menilai sikap sebenar Suraya. Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai
melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Akhirnya, perbuatan Suraya terbongkar
juga.
Terkenangkan
perbuatan Suraya yang curang dibelakangnya, membuat sebuah keluhan berat
terhembus keluar dari bibirnya. Dia memejam mata, cuba mencari kekuatan diri
yang semakin nipis bak kulit bawang merah.
“Ya ALLAH, kuatkanlah
hati-ku dalam menepuh segala ujian-MU ini,” doa Iqram.
Tiba-tiba,
bola matanya teralih ke arah sebuah gerai yang menjual beraneka jenis juadah
hidangan makan tengah hari. Spontan, fikirannya terbang melayang mengingati
Maira. Serta-merta, ayat yang terluncur keluar dari bibir mengetuk kotak
fikirannya.
“Sebagai
denda awak datang lewat ke tempat kerja, awak dilarang keluar makan tengah hari
pada hari ni.”
Rasa
kasihan bercampur aduk dengan rasa serba salah kerana telah melarang stafnya
itu keluar makan tengah hari. “Kalau dia sakit, macam mana? Tak pasal-pasal kau
juga yang menanggung akibatnya. Hisy, kau ni memang kejam, Iqram Fattah.”
Setelah agak lama
berdiri di hadapan gerai itu, akhirnya dia berjalan memasuki ke dalam. Dia
hendak membeli nasi bungkus buat Maira. Kasihan gadis itu, pasti dia sudah
lapar!
LEHERNYA dipanjangkan untuk mencari
figura Maira. Dahinya berkerut. “Mana cik latah terhangat di Asia ni?” desis
Iqram sendirian. Terdetik sesuatu di benak fikiran. “Hmm… mungkin dia ada kat pantry.” Dia berjalan menuju ke pantry.
Segaris
senyuman nipis menghiasi bibir demi melihat figura Maira yang sedang menikmati
hidangan makan tengah harinya. Terjungkit sebelah keningnya ke atas, lucu
dengan gelagat gadis comel itu. Hmm… teruknya perangai! Serupa macam tak pernah
makan biskut Tiger aje gayanya, kutuk hatinya.
Maira
mencicah biskut Tiger berperisa coklat ke dalam milo panasnya, lalu menyuapnya
ke dalam mulut. Matanya dipejam rapat, menikmati kesedapan biskut Tiger. “Hmm…
sedapnya!” Kau ni Maira, dasyat sungguh! Macamlah tak pernah makan biskut ni,
kan. Padahal berduyun-duyun biskut ni kat rumah. Tapi disebabkan lapar, semua
benda pun kau sebat. Ah, ni semua gara-gara Mr. singa tulah! Argh! Hatinya
mengherdik geram.
Ehem!
Iqram berdehem kecil. “Maira?” tegurnya sedikit kuat.
Apa
lagi? Maira terus meloncat turun dari kerusi. Sesi melatah pun bermula. “Oii,
kapal terbang meletup!”
Iqram
hanya menggeleng kepala. Tawanya hampir terburai apabila mendengar latah Maira,
namun segera ditahan. “Awak ni, dasyatnya! Muda belia macam ni pun dah melatah,
ya? Saya ingatkan orang tua aje yang melatah, rupa-rupanya orang muda pun sama
jugak,” kutuknya dengan muka selamba.
Maira
menjeling geram. “Dah bos buat saya terkejut, macam mana saya tak melatah?”
bebelnya.
“Saya
pulak yang dipersalahkan? Argh, saya luku karang! Baru padan dengan muka awak
tu!” herdik Iqram bersama cebikan di bibir.
Maira
tidak membalas. Malas dia hendak melayan karenah ketuanya itu.
“Nah,
ni untuk awak!” Plastik berisi nasi bungkus yang ada di tangan Iqram, bingkas
diletakkan ke atas meja.
Maira
tercengang. “Apa ni, bos?” Dahinya berkerut hairan.
“Nasi
bungkuslah, takkanlah lori mainan pulak?” perli Iqram. Erk, dia ni buta kayu ke
apa?
“Saya
tahulah ni nasi bungkus, saya belum buta lagi!” herdik Maira geram. “Tapi
kenapa bos belikan nasi bungkus ni untuk saya?”
Dia
ni banyak songeh la! “Saya ni dah cukup baik sebab belikan nasi bungkus ni
untuk awak tau. Saya ni ada hati perut jugak, takkanlah saya nak biarkan awak
mati kelaparan? Kalau ikutkan hati saya ni, nak aje saya biarkan awak
kebuluran. Baru padan dengan muka awak!” herdik Iqram dengan suara geram.
Maira
menarik muncung panjang. “Kalau bos tak ikhlas belikan nasi bungkus ni untuk
saya, tak payah belilah! Simpan aje duit bos tu,” balasnya geram.
Iqram
mendengus geram. “Awak ni banyak bunyilah! Kalau suara awak tu sedap macam
suara Datuk Siti Nur Haliza tu, tak apalah jugak. Suara pun macam katak panggil
hujan, ada hati nak membebel kat saya,” herdiknya, memulangkan paku buah keras.
Buntang
biji mata Maira mendengar sindiran itu. Wajahnya cemberut. Dia menggenggam buku
lima. Dia perli aku? Cis, hantu betul!
“Dah,
tak payah nak banya bunyi! Makan aje!” tambah Iqram, sekali gus dia bangun lalu
bersedia untuk meninggalkan ruangan pantry.
“Eh,
kejap!” Maira menjerit kecil. Dompet bewarna merah jambu di atas meja segera
dicapai. “Berapa ringgit nasi bungkus ni?” tanyanya sambil menarik zip dompet.
“Tak
payah bayar apa-apa. Anggaplah saya belanja awak hari ni,” balas Iqram.
Maira
terlongo. “Haa, bos belanja saya? Eh, tak payahlah! Saya tak suka nak berhutang
dengan orang. Kalau bos rasa nak bersedekah, bos pergilah sedekat kat anak
yatim.” Sukar Maira hendak percaya dengan apa yang baru didengarinya sebentar
tadi. Biar tembikai?
Iqram
berdecit geram. “Kan saya dah cakap tak payah bayar apa-apa, maknanya tetap
samalah. Lagipun, duit saya bukannya luak mana pun.”
“Tapi…”
“Awak
ni betul-betul degil, kan. Okey, nanti saya suruh bahagian kewangan potong gaji
awak. Puas?” bidas Iqram. Aku punyalah baik hati belikan dia nasi bungkus, tapi
dia boleh banyak songeh pulak? Argh!
“Okey,”
balas Maira bersama senyuman lebar di bibir.
Iqram
mencebik. “Dah, tak payah banyak bunyi! Makan, nanti kebulur pulak. Tak
pasal-pasal ada zombi tersesat kat sini.” Sempat dia menyindir Maira sebelum
berjalan pergi meninggalkan gadis itu sendirian di pantry.
Maira
ternganga. Bulat matanya. Geram dengan sindiran itu. “Zombi? Cis, hantu betul!
Aku punyalah cun macam pelakon Izara Aishah tu, tapi dia boleh samakan aku
dengan zombi? Memang tak patut!” bebel Maira geram.
Nasi
bungkus di atas meja ditarik ke hadapannya. Bungkusan itu dibuka. Dia tersenyum
lebar melihat lauk di dalamnya. “Wah, ayam masak merahlah!” Dengan gelojoh, dia
terus menyuap nasi putih ke dalam mulut.
Iqram
memerhati gelagat Maira di tepi dinding. Dia tersenyum sambil menggeleng.
“Teruknya perangai staf aku yang seorang ni. Gelojoh betul!” kutuknya.