Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 13
“MAIRA?” Hajah Sakinah menegur lembut.

Maira yang sedang menikmati hidangan tengah harinya seraya menoleh. “Ya, tok?” jawabnya sambil tersenyum kecil.

Hajah Sakinah pamer senyum penuh makna. Figura Iqram yang sedang leka menyuap nasi berlaukkan ikan masak tiga rasa itu, dikerling. Lalu, dia menoleh semula ke arah Maira. Siap merenung wajah comel itu lagi.

“Err… kenapa tok tengok Maira sampai macam tu sekali?” Maira jadi tidak betah dengan tingkah laku Hajah Sakinah.

“Salah ka kalau tok nak tenung hang, Maira? Hang ni comel sangat,” balas Hajah Sakinah.

Maira tergelak. “Hisy, tok ni… buat malu Maira aje tau. Biasa-biasa aje ni.” Dia tersipu-sipu malu.

“Laa… awat pulak hang nak rasa malu, Maira? Dah memang betui yang hang tu comel. Hati tua tok ni betul-betul dah berkenan dengan hang tau.” Hajah Kamariah membalas. Siap tersenyum penuh makna lagi.

Maira tergamam. Haa? Gulp! Dia meneguk liur. Erk, dia ni semacam aje. “Err… apa maksud tok?” tanyanya berdebar-debar.

Garis senyum di bibir Hajah Sakinah semakin lebar. “Maira dah ada marka ka?” tanyanya. sambil dia mengerling figura Iqram.

Maira tergamam.

Demi mendengar soalan itu, Iqram terus tersedak. Cepat-cepat dia mencapai gelas minuman, lalu meneguk rakus air putih sehingga habis. Dadanya digosok perlahan. Aduh, tekaknya terasa pedih! Ni semua gara-gara tok. Boleh pulak tok tanya soalan cepumas tu pada Maira?

“Err… kenapa tok tanya soalan macam tu pada saya?” balas Maira resah.

“Saja.” Hajah Sakinah menjawab selamba.

“Hisy, tok ni peliklah! Tiba-tiba aje tanya soalan yang bukan-bukan pada Maira. Kesian dia tau, terus terkejut sebab dengar soalan tok tu,” celah Iqram kelam kabut. Entah mengapa dia menjadi cacing kepanasan? Sungguh menghairankan!

Hajah Sakinah pamer senyum sinis. “Laa… pasaipa pulak? Tok bukannya tanya kat hang pun. Tok tanya kat Maira. Yang hang nak jadi cacing kepanasan tu, pasaipa?” duganya.

Iqram terdiam. Kelu lidahnya hendak membalas kata-kata itu. Erk, tak pasal-pasal dah terkena sebijik! Naya aje tau!

“Haa… Maira?” Hajah Sakinah merenung tepat ke segenap wajah Maira. “Hang belum jawab soalan tok lagi.”

Maira menelan liur. “Err… soalan apa tok?” Dia semakin berdebar-debar.

“Hang dah ada marka ka?” ulang Hajah Sakinah lagi.

Maira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Erk, nak jawab apa ni ya? “Err… belum, tok.” Dengan jujur dia menjawab. “Kenapa?”

Hati Hajah Sakinah melonjak gembira demi mendengar jawapan itu. Hmm… ada can ni. “Kalau tok nak kenen-kenekan Maira dengan seseorang, nak?”

Maira tercengang. Ternganga mulut. “Siapa, tok?”

Iqram ikut sama tercengang.

“AM pergi dulu ya, tok?” kata Iqram sambil menyalami dan mencium tangan toknya tanda hormat. Serentak itu, dia menegakkan tubuhnya kembali. Merenung figura itu dengan penuh rasa kasih dan sayang.

“Hisy, pasaipa awai sangat nak bergerak ni? Duduk la lama sikit. Bila lagilah hampa dua ni nak mai rumah tok?” balas Hajah Sakinah dengan muka sedih.

Iqram tersenyum. “Am bukan tak nak duduk lama-lama kat sini, tok. Am kena pergi Kedah. Kalau Am tak pergi, alamatnya bernanah telinga Am ni menadah bebelan papa tau. Hisy, tak sanggup!”

“Ala… kalau telinga abang tu bernanah, sapulah dengan krim. Esok lusa, sembuhlah telinga abang tu,” celah Abshar dengan loyar buruknya.

Membuntang mata Iqram. “Hei budak kecil, tolong diam ya! Awak tu budak bawah umur tau. Belum masuk dalam kategori 18 tahun ke atas. Jadi, jangan memandai-mandai nak menyampuk cakap orang tua-tua,” herdiknya dengan suara geram.

“Eleh, biarlah… Abshar ni dah besar tau.” Abshar segera membalas.

Belum sempat Iqram hendak bersuara, Hajah Sakinah cepat-cepat memintas. “Hampadua nilah… tok luku karang, baru tau! Pantang berjumpa, mulalah nak berperang mulut!” bebelnya geram.

Dua sepupu itu tidak membalas. Mereka hanya tersengih-sengih bak kerang busuk.

Hajah Sakinah menggeleng-geleng. Apalah nak jadi dengan budak dua orang ni? Isyh… isyh… Serentak itu, dia menoleh ke arah Maira yang sedang berdiri di sebelah Iqram. “Maira?” Dia menegur lembut.

“Ya, tok?” balas Maira bersama segaris senyuman di bibir.

“Ingat pesan tok ni na. Tok nak hang fikir masak-masak apa yang tok cakap tadi. Tok dapat rasa, hang adalah calon yang tepat,” pesan Hajah Sakinah beria-ia.

Maira mengeluh. “Maira belum bersedia lagi, tok.” Dia menolak lembut. Bimbang kalau-kalau menyinggung hati wanita tua itu.

Hajah Sakinah tersenyum. “Tok sah buat keputusan terburu-buru, Maira. Fikir masak-masak dulu na. Tok tak mau hang rasa menyesal dengan keputusan yang hang buat tu.”

Maira berdecit. Aduh, dia ni buat aku rasa serba salah tau. “Err… baiklah, Maira akan pertimbangkan permintaan tok ni.” Akhirnya dia mengalah.

Hajah Sakinah menarik nafas lega. “Terima kasih, Maira.

Maira mengangguk.

“Ehem-ehem!” Iqram berdehem. “Amboi, muka tu bukan main serius lagi. Ada apa-apa ke?” Dia mencelah. Terdetik di hatinya rasa ingin tahu. Apa sebenarnya yang dibincangkan oleh dua wanita itu?

Hajah Sakinah menjeling. “Tok sah sibuk aih! Tak ada kena-mengena dengan hang pun!” balasnya dengan suara tegas.

“Laa… bagitahu ajelah, bukannya luak mana pun!” Iqram berterus-terusan mendesak.

“Tak payah!” tegas Hajah Sakinah lagi.

Iqram terus terdiam. Malas dia hendak berdebat dengan tok. Buang karan aje! “Okeylah tok, kami bergerak dulu. Nanti lambat sampai pulak.” Dia segera berjalan ke kereta BMW 3 Series miliknya.

Hajah Sakinah mengangguk. “Hmm… molek sungguhlah! Hati-hati na,” balasnya beria-ia.

Maira segera menyalami dan mencium tangan Hajah Sakinah tanda hormat. “Maira pergi dulu ya, tok. Kalau diizinkan ALLAH, insya-ALLAh kita pasti akan berjumpa lagi.”

Hajah Sakinah tersenyum. “Insya-ALLAH,” balasnya. “Ingat pesan tok ni!” Sempat lagi dia menambah.

“Baik, tok!” jawab Maira ringkas.

“Abang? Kakak?” Abshar meluru ke arah dua figura itu.

Iqram dan Maira seraya menoleh. “Hmm?” balas mereka serentak.

Abshar pamer senyum penuh makna. “Cepat-cepat kahwin na! Nanti bolehlah bagi baby kat kami!” usiknya lalu ketawa besar. Puas hati kerana berjaya mengenakan dua figura itu.

Membahang wajah Iqram dan Maira mendengar usikan itu. “Abshar!!!”

“TOK nak melamar hang jadi isteri Iqram, Maira.”

Sebaris ayat itu acap kali menampar gegendang telinga Maira. Sekali gus mengundang sebuah keluhan berat dari bibirnya. Aku nak jadi isteri Mr. singa ni? Hah, memang taklah! Nak jadi girlfriend dia pun, aku tak hingin. Apatah lagi nak jadi isteri dia? Hisy, mintak simpang 44 malaikatlah! Tak sanggup!

Tapi… aduh, lamaran Hajah Sakinah membuat fikiran Maira menjadi kusut! Gila… memang gila! Hisy, nak buat macam mana ni? desisnya keresahan.

Walaupun Iqram memberi sepenuh perhatian pada pemanduan, namun sesekali dia menjeling pandang figura Maira di seat sebelah. Dia berkerut dahi. Gelagat gadis itu mengundang rasa hairan di benaknya. Dia ni dah kenapa? Macam ayam berak kapur pun ada. Apa yang dah berlaku ni? desis hatinya hairan.

“Maira?” Iqram menegur lembut.

Maira tetap seperti tadi, masih lagi dalam dunia khayalannya.

Iqram semakin hairan. “Maira Qaisarah!” Dia menjerit nyaring. Siap terbatuk-batuk lagi.

Maira terkejut. “Oh, nenek kau sweet!”

Tawa Iqram terus terburai. Sungguh, dia jadi geli hati dengan reaksi Maira. “Nenek saya sweet? Dulu awak kata saya ni ahli sihir hot, lepas ni apalah pulak ya?” sindirnya.

Maira terus terdiam. Jadi malu dengan kesilapan diri. Hisy, tak pasal-pasal dah terlepas cakap! Malu aje tau!

“Kenapa awak diam aje ni, Maira? Ada apa-apa yang tak kena ke?” tanya Iqram ingin tahu.

Maira senyum hambar. “Tak ada apa-apalah, bos. Saya okey aje ni.” Dia membalas bersungguh-sungguh. Tidak mahu lelaki itu mengesan gelodak rasa yang sedang dialaminya kala ini.

Iqram semakin hairan. “Betul?” duganya.

Maira spontan mengangguk laju. “Betul, bos!” jawabnya beria-ia.

“Okey! Kalau tak nak bagitahu, tak apa. Tapi…” Rona wajah Iqram berubah serius. “Saya tak tahu sesuatu,” tambahnya dengan suara tegas.

Gulp! Maira meneguk liur. “Apa dia, bos?” Sedaya upaya dia cuba berlagak selamba di hadapan ketuanya itu.

“Apa maksud kata-kata tok tadi? Kenapa dia cakap macam tu pada awak?” tanya Iqram dengan muka serius. Hatinya semakin membuak-buak dengan rasa ingin tahu. Apa sebenarnya yang toknya itu cuba sampaikan?

Maira pura-pura terkejut. “Kata-kata tok? Yang mana satu, bos?” balasnya cuba berlagak selamba. Kalaulah lelaki itu tahu perkara sebenar, pasti dirinya akan ditertawakan. Ah, lebih baik dia berdiam dari bersuara.

Iqram pamer senyum sinis. “Awak betul-betul tak faham ke atau pura-pura tak faham?” Dia menyindir Maira.

Maira tergamam.. Dia menarik nafas panjang, lalu menghembus keluar perlahan-lahan. Sabar Maira, jangan sampai terkantoi tau. “Buat apa saya nak menipu? Saya betul-betul tak faham apa yang bos cakapkan ni,” balasnya, berusaha menafi kebenaran sebenar.

“Betul?” tebak Iqram.

“Betul!” Maira membalas laju.

Iqram terus terdiam. Dia berdecit geram. Hisy, apa sebenarnya yang tok maksudkan ya? Kenapa tiba-tiba aje tok tanya soalan-soalan pelik macam tu pada Maira? desis hatinya tertanya-tanya.

Figura Maira dikerling sekilas. Sekali lagi dia berdecit geram. Tak payah nak tipu aku, Maira! Dari mata kau pun, aku dah boleh baca. Aku tahu, ada sesuatu yang kau sedang sembunyikan, gumam hatinya lagi. Tapi, apakah dia?

Maira menarik nafas lega. Fuhh, nasib baik Mr. singa ni tak tanya apa-apa lagi. Kalau tak, mahu terbelit lidah aku nak menjawab. Dia ni bukannya betul sangat! Serupa polis pencen aje gayanya, desisnya lagi.

Teringatkan lamaran Hajah Sakinah, fikiran Maira bertambah kusut. Aduh, nak buat macam mana ni? Argh!

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.