BARU
sahaja
telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy 5S itu diletakkan ke telinga, Hidayah
sudah menjerit nyaring. Serta-merta Maira menjauhkan telefon bimbit itu dari
telinganya. Bingit! Dia menjeling geram. “Yang kau menjerit macam pontianak
mengilai tu, apahal? Telinga aku yang belum pekak ni boleh jadi pekak tau!” Dia
membebel dengan suara geram.
Hidayah
tergelak. “He he he… sorry, babe.”
Dia membalas selamba.
Maira
mencebik. “Banyaklah kau punya sorry!”
marahnya. “Haa… kenapa kau telefon aku ni?” tambahnya ingin tahu.
“Aku
telefon kau ni sebab nak tanya khabar. Sakit chicken pox kau tu dah sembuh ke?”
tanya Hidayah beria-ia. Mempamer sikap prihatinnya akan kesihatan diri kawan
baiknya itu.
Maira
tersenyum. “Alhamdulillah Dayah, aku dah okey. Cacar-cacar air kat kulit aku
pun dah semakin berkurangan. Aku pun dah rasa bertenaga sikit,” balasnya
panjang lebar. “Insya-ALLAH, kalau tak ada aral melintang, minggu depan aku dah
boleh mula kerja. Tak sabar aku nak jumpa kau, Dayah! Aku rindu sangat-sangat
kat kau tau.” Dia menambah.
Hidayah
menghela nafas lega. “Syukur alhamdulillah. Aku rasa lega sangat bila kau dah
sembuh. Aku risau sangat bila dapat tahu kau kena sakit chicken pox tau.”
“Aku
minta maaf sebab tak bagitahu kau tau, Dayah. Bukan aku tak nak bagitahu, tapi
aku tak sempat. Yalah… tiba-tiba aje aku kena serang dengan penyakit ni.” Maira
membalas bersungguh-sungguh. Rasa bersalah pula kerana tidak memberitahu
Hidayah tentang penyakit yang dihadapinya itu.
Hidayah
tersenyum. “Tak apa, Maira. Aku faham.” Dia membalas lembut. “Lagipun, kau kan
tengah sakit masa tu. Jadi macam mana kau nak bagitahu kat aku?” tambahnya
beria-ia. Tidak mahu Maira terus rasa serba salah.
“Terima
kasih, Dayah.”
“Sama-sama.”
Tiba-tiba,
terdetik sesuatu di benak fikiran Maira. “Err… siapa bagitahu kau yang aku kena
serang penyakit chicken pox?” tanya Maira ingin tahu. Berdebar-debar pula
hatinya hendak mendengar jawapan Hidayah.
“Encik
Iqram yang bagitahu aku, Mai,” jawab Hidayah tanpa sebarang syakwasangka.
Membuntang
terus biji mata Maira demi mendengar jawapan itu. “Encik Iqram?” Tanpa sedar,
dia terjerit kecil. Gulp, dia meneguk liur. Alamak, rahsia aku dah pecah ke?
Matilah aku! desis hatinya mula resah.
Dahi
Hidayah berkerut. Hairan mendengar suara jeritan Maira. “Yang kau menjerit tu,
kenapa? Ada apa-apa yang tak kena ke?” tanyanya ingin tahu.
Maira
tersentak. Spontan, dia menekup mulutnya. Mula menyedari ketelanjurannya. Erk?
Yang kau nak kelam-kabut ni kenapa, Maira? Nyaris-nyaris kau nak terkantoi tau,
marah hatinya. “Err… tak ada apa-apalah.” Bersungguh-sungguh dia menafikan
hakikat yang sebenar. Tidak mahu Hidayah menghidu rahsia rumah tangganya itu.
Hidayah
bertambah hairan. “Betul?” Dia menebak.
“Betul!”
Beria-ia Maira menafi.
Hidayah
terus terdiam.
Maira
menarik nafas lega. Janganlah dia tanya soalan yang bukan-bukan lagi. Mati akal
aku nak menjawabnya, desisnya dalam hati.
“Oh
ya,” Tiba-tiba Hidayah bersuara. “Masa lunch
nanti, aku nak pergi melepak kat rumah kau. Bolehlah aku melawat kau
sekali,” tambahnya beria-ia.
Demi
mendengar kata-kata itu, terbuntang terus mata Maira. Sungguh, dia berasa
terkejut. “Haa… kau nak datang rumah aku?” Dia terjerit kecil.
“Hmm…
aku nak datang rumah kau. Kenapa?” balas Hidayah.
Maira
menggigit bawah bibirnya. Dia kembali resah. Kalaulah dia datang rumah aku
nanti, macam mana? Buatnya kalau dia terserempak dengan Iqram nanti, naya aje!
Pokoknya, dia tak boleh datang rumah aku! Tak pasal-pasal terkantoi nanti!
“Err… tak payah
datanglah, Dayah! Lagipun, aku kan dah sihat. Esok lusa aku dah boleh masuk
kerja semula.” Bersungguh-sungguh dia menegah Hidayah. Tidak mahu kawan baiknya
itu datang ke rumah.
Hidayah
berkerut dahi. “Laa… kenapa pulak? Salah ke kalau aku nak datang melawat kawan
baik aku?”
“Bukan
aku tak nak bagi kau datang rumah aku, Dayah. Tapi…” Ayatnya mati di situ. Aku
tak nak kau terserempak dengan Iqram, Dia menambah dalam hati.
“Tapi
apa?” celah Hidayah bertambah hairan.
Maira
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Err…”
“Kau
ni dah kenapa, Mai?” Sekali lagi Hidayah mencelah. Semakin hairan dengan
telatah Maira.
“Err…”
Belum
sempat dia hendak menjawab, tiba-tiba daun pintu terkuak dari luar. Muncul
figura Iqram di muka pintu. Lelaki itu berjalan ke katil. Dia melabuhkan duduk
di sebelah Maira.
“Awak
nak makan apa-apa tak?” soal Iqram dengan suara lembut.
Maira
jadi kelam-kabut. Matanya terbuntang luas. Syhh… jari telunjuk kanannya
diletakkan ke tengah bibir sebagai bahasa isyarat agar lelaki itu tidak
bersuara lagi.
Iqram
berkerut dahi. Hairan dengan gelagat Maira. “Kenapa?” soalnya, melalui gerakan
mulut.
Maira
menjegil. “Diamlah!” herdiknya, juga melalui gerakan mulut.
“Maira?”
Hidayah menegur apabila tiada tanda-tanda untuk Maira membalas.
Maira
tersentak. “Err… kenapa, Dayah?” Dia menyoal dengan sedikit gugup. Hisy,
janganlah terkantoi! Mati aku nak menjawabnya nanti, desis hatinya.
“Suara
siapa tadi tu, Maira?” soal Hidayah dengan nada serius.
Maira
terkedu. “Err…” Aduh, nak jawab apa ni?
Iqram
menjungkit sebelah keningnya. Dia tersenyum. Mula memahami maksud di sebalik
tindakan isterinya. Dia serta-merta mengunci mulutnya. Membiarkan isterinya itu
sahaja yang bersuara.
“Tu
suara Encik Iqram kan?” Hidayah menebak.
Maira
tergamam. “Mana ada!”
“Kau
jangan nak tipu aku, Mai! Aku kenal suara Encik Iqram tu. Aku tahu, tu memang
suara dia.” Hidayah membalas beria-ia.
“Hisy,
kenapa aku nak tipu kau pulak? Kau aje yang suka fikir bukan-bukan. Mana ada
siapa-siapa dalam bilik ni. Ada aku seorang aje. Abah, mak dan mak uda aku ada
kat bawah,” balas Maira. “Lagipun, buat apa Encik Iqram nak datang rumah aku?
Aku bukannya ada apa-apa dengan dia,” tambahnya.
Bulat
mata Iqram demi mendengar kata-kata Maira. Spontan dia mencuit pinggang
isterinya itu tanda geram.
Maira
terkejut. Spontan dia menoleh memandang figura Iqram. Sebuah jelingan tajam
dihadiahkan buat suaminya itu sebagai tanda amaran.
“Betul?”
Hidayah mahukan kepastian.
“Betullah!”
nafi Maira bersungguh-sungguh.
Hidayah
terus terdiam.
“Okeylah,
aku nak makan ni. Nanti kita jumpa kat pejabat ya. Bye… assalamualaikum!” Tutt! Talian segera dimatikan. Tidak betah
lagi hendak bersoal jawab dengan Hidayah, si CSI Miami. Macam-macam soalan!
PUSING kanan, kosong. Pusing kiri,
kosong juga. Semua staf di Jabatan Operasi sudah pulang. Aladdin tersenyum
lebar. Line clear! Cepat-cepat dia
berjalan ke meja yang tertulis nama Maira Qaisarah di sudut kanan ruang pejabat
sederhana besar itu. Usai tiba di meja gadis itu, dia terus melabuhkan duduk di
atas kerusi.
Foto
Maira yang tertampal di notice board
dicabut. Dia merenung gambar gadis yang sudah sekian lama menjadi penghuni
hatinya. “Kenapa kau tak pernah sedar perasaan aku pada kau, Maira? Aku
sayangkan kau. Bukan setakat sayang aje, aku dah jatuh cinta pada kau. Kenapa
kau tak berikan aku peluang untuk membahagiakan kau, Maira?” Dia bermonolog
sendirian.
Aladdin
mengeluh. “Tak apalah, Din. Jangan cepat putus asa, okey? Kau kena berusaha
sehabis daya untuk memenangi hati dia. Chill
ok?” Dia berusaha memujuk hatinya agar tidak berputus asa dalam usaha untuk
meraih hati Maira.
Apabila
teringat tujuan asalnya, cepat-cepat dia menampal foto Maira di notice board. Jari-jemarinya ligat
mengetuk permukaan meja. “Hmm… nak mula dari mana ya?” katanya.
Sedang
ralit berfikir, tiba-tiba bola matanya menangkap laci di sudut kiri meja.
Terdetik sesuatu di benak fikirannya. Cepat-cepat dia menarik laci meja lalu
menggeledah bak penyamun tarbus. Habis laci meja Maira itu diselongkar. Namun
barang yang hendak dicari langsung tidak ditemui. Sebenarnya, dia sendiri pun
tidak tahu apa sebenarnya yang dia mahukan. Apa yang dia tahu, dia mahu mencari
bahan bukti yang boleh mengaitkan Maira dan Iqram.
“Huhh!”
Dia mengeluh geram.
Aladdin
bersandar ke belakang. Dia terdiam sejenak, sambil otaknya diproses untuk
berfikir. “Takkanlah langsung tak ada bahan bukti kot?” Dia berdesis sendirian.
Tapp!
Bunyi hempasan barang spontan membuat Aladdin terkejut besar. Hilang terus
segala lamunannya. Dia kembali semula ke alam nyata. Dadanya diurut perlahan,
hendak melegakan semangatnya yang hilang dek terkejut.
Dia
berpaling ke belakang. “Eh, bunyi apa tadi tu?” ucapnya sendirian. Dia mula
resah. Bimbang kalau-kalau ada figura yang dapat mengesan keberadaannya di
sini. Mati dia nanti!
Dia
menarik nafas lega demi melihat fail tebal terjelupuk ke atas lantai. “Oh, fail
rupanya!” Dia bersuara dengan nada lega.
Memikirkan
impak daripada perbuatannya itu, cepat-cepat Aladdin bangun. “Sebelum orang
lain tahu aku ada kat sini, baik aku blah!” ucapnya, lalu terkocoh-kocoh
berjalan pergi meninggalkan meja Maira.
Namun
sebaik tiba di hadapan lif, langkahnya mati. Dia mengeluh kecewa. “Ah, aku
gagal untuk mencari bukti bagi mengaitkan kau dengan Iqram, Maira. Apa
sebenarnya hubungan kau dengan Iqram? Adakah kau kekasih Iqram?”
“YANG awak gatal-gatal nak bersuara tu,
kenapa? Nyaris-nyaris saya nak terkantoi dengan Dayah tadi tau!” bebel Maira
dengan muka tidak puas hati.
Iqram
menyengih. “Manalah saya tahu awak tengah berbual dengan Dayah tadi. Kalau saya
tahu, tak adanya saya nak bersuara. Takkanlah saya nak langgar perjanjian kita
pulak kan?” balasnya, sempat lagi menyindir isterinya itu.
Maira
menjeling tajam. “Yalah tu?” sindirnya. “Entah-entah, awak memang sengaja nak
buat saya terkantoi tadi,” tambahnya.
Iqram
tayang muka toya. “Kalau Dayah tahu pun, apa salahnya kan? Perkara yang baik,
tak elok disembunyikan. Lagipun, perkahwinan kita ni sah tarafnya di sisi undang-undang
dan hukum-hakam Islam. Lainlah kalau kita kahwin kat Siam. Haa… baru huru-hara
jadinya,” balasnya, langsung tidak rasa bersalah.
Buntang
biji mata Maira demi mendengar kata-kata itu. Dia mengetap bibir menahan geram.
“Awak cakap senanglah, yang kena tanggungnya adalah saya tau! Lagipun, saya tak
pernah sukakan awak tau! Mati-mati saya nafikan yang kita memang ada hubungan
masa kes gosip hari tu. Tup.. tup… tiba-tiba aje kita kahwin. Kalau orang lain
mengata, macam mana?” Dia mula meninggi suara.
“Awak
nak risau sangat ni, kenapa? Buat-buat tak dengar ajelah. Mulut orang ni,
bukannya kita boleh tutup.” Iqram membalas dengan muka selamba.
“Iqram!”
Maira menjerit geram.
Kening
Iqram terjungkit sebelah. “What?” Dia
membalas selamba.
Maira
genggam buku lima. “Argh!” jeritnya nyaring, melepaskan api kemarahannya. “Awak
ni memang langsung tak boleh nak diharap tau! Bencilah saya pada awak!” Dia
membentak geram.
Iqram
mendengus geram. “Oh, saya tak boleh diharap?” Dia mula berjauh hati dengan
Maira. Hatinya sedikit tersentuh demi mendengar bait-bait ayat yang dituturkan
isterinya itu. Mukanya berubah riak mendung. “Dahlah saya dah tolong jaga awak
masa awak kena serang penyakit chicken pox. Bukannya nak ucap terima kasih kat
saya pun.”
Maira
terdiam. Mula terasa serba salah pada Iqram.
Iqram
menarik muncung sedepa. “Sampai hati awak cakap macam tu kat saya. Sakit hati
saya ni tau,” tambahnya lagi.
Maira
menggigit bibir. “Err…”
Iqram
diam tidak berkutik. Sengaja melancarkan perang mulut dengan isterinya itu.
Maira
berdecit geram. Dia menjeling. “Yalah… yalah… saya minta maaf!” Akhirnya dia
merendahkan keegoan dirinya untuk memohon kemaafan pada suaminya itu.
Iqram
tersenyum kemenangan. “Okey, saya maafkan awak!” Dia membalas dengan muka
selamba. Seolah-olah tiada apa-apapun yang berlaku. Hmm… tahu pun rasa bersalah
kat aku ya? Tulah… mengutuk aku bukan main panjang lebar macam tengah
berkhutbah. Bila aku touching sikit,
mula gelabah tak tentu hala. Padan muka kau, sayang! kutuknya dalam hati.
Maira
mencebik. “Awak yang sepatutnya kena minta maaf kat saya tau!” bentaknya tidak
puas hati.
Iqram
tayang muka toya.
Hisy!
Dia bangun lalu menghentak kaki. “Menyampah! Malas saya nak layan awak. Buat
sakit hati saya aje tau!” Seraya itu, dia terus berjalan masuk ke dalam bilik
air. Meninggalkan suaminya itu sendirian di dalam bilik.
Iqram
tertawa lucu. Geli hati demi melihat gelagat keanak-anakan isterinya itu.
Maira… Maira…