SEPERTI yang dijangka, dirinya teruk
dimarahi ibunya malam itu apabila dia pulang dari pejabat. Isu tentang blind date yang dirosakkannya, menjadi
agenda utama ibunya. Pagi tadi dia melarikan diri, sekarang hendak tak hendak,
terpaksalah kemarahan wanita itu dihadapi dan diterima bulat-bulat.
Tak habis-habis wanita itu meleter
padanya hingga naik sebu telinganya menadah. Sesekali dia menjeling Ubek yang
sedang membaca di ruang tamu. Matanya turut mengintai susuk ayahnya yang sedang
menonton berita di televisyen. Adoii..tak ada belas kasihan langsung babah
dengan abang ni! Rungut Cika.
“Hah
awak nak ke mana tu? Umi tak habis cakap lagi.” Teriak Puan Bahyah apabila
dilihatnya Cika mahu beredar.
“Umi,
dahlah tu. Cika penat sangat hari ni. Dahlah hari ni Cika ada emergency, now Umi pulak nak tambah
penat Cika. Apa kata umi sambung esok ajelah.” Balas Cika.
Puan
Bahyah sudah bercekak pinggang memerhatikan anak gadisnya. Bertuah punya budak!
Ada ke di
suruhnya aku sambung meleter esok pulak.
“Jangan
nak beri alasan macam-macam. Pagi tadi pandai je awak diam-diam ke pejabat. Dah
tak nak dengar leteren umi lagi? Degil tak mahu dengar cakap umi awak ni dah?”
Tekan Puan Bahyah dengan wajah merah padam.
“Umi tahu awak memang sengaja
sabotaj temujanji yang umi aturkan tu kan?
Sama macam awak buat pada semua anak-anak kawan umi yang lain. Sama macam yang
awak dah buat pada semua lelaki-lelaki yang umi perkenalkan tu. Cika tahu tak
betapa susahnya umi aturkan temujanji awak dengan anak kawan umi tu. Anak
saudara jiran Mak Long awak tu baik budaknya.”
Cika
tersengih. Yalah! Baik sangatlah si Zain tu. Baru sepuluh minit, lelaki itu
sudah pecut lari. Meninggalkannya begitu sahaja!
“Umi, Cika memang tak berkenan dengan Zain
anak saudara Auntie Sapiah tu. Lain macam aje Cika tengok dia.”
“Lain macam apanya? Awak tu yang umi
tengok semacam.” Sergah Puan Bahyah. Enggan mendengar apa-apa alasan meniti
dari bibir anak gadisnya.
“Zain tu bersopan santun budaknya.
Kerja pun bagus, ada rumah sendiri dan kereta sendiri. Muka pun sejuk mata
memandang. Takkan awak tak berkenan langsung?” Keluh Puan Bahyah.
“Umi, Cika bukan pandang semua tu.
Sekalipun dia anak datuk ke, anak tan sri ke, Cika tak peduli. I don’t care.” Jawab Cika.
Ubek
menjeling ke arah Cika. Muka selamba adiknya itu menyulam senyuman di bibirnya.
Namun dia pura-pura meneruskan pembacaan kerana tidak mahu terheret sama dalam
perbalahan yang sudah jadi rutin antara ibunya dengan Cika.
“Pandailah
awak bercakap. I don’t care konon.
Habis, kalau umi bawa balik pengemis tepi jalan tu untuk awak pilih, awak nak
ke?” Sindir Puan Bahyah.
“Cika
tak kisah umi. Lagipun duit Cika kat bank pun berlambak. Sekadar nak tanggung
seorang dua takde masalah.” Jawab Cika selamba.
Wajah
Puan Bahyah sudah cemberut memerhatikan anaknya. Dasar budak keras kepala! Lain
yang aku cakap, lain yang dia faham. Lama-lama aku boleh jadi gila melayan si
Cika ni, rungut Puan Bahyah sambil menggelengkan kepalanya.
“Umi
tak peduli. Awak ingat umi akan putus asa dengan perangai awak ni? Umi dah cari
seorang lagi calon yang terbaik untuk awak. Umi yakin awak mesti suka dia. Esok
petang awak kena luangkan masa. Umi nak bawa awak jumpa dengan kawan umi dan
anaknya. Minggu lepas umi ada jumpa dengan Auntie Jamilah. Anak dia Idham baru
balik dari oversea. Awak tentu masih
ingat dengan Idham bukan?”
Wajah
Cika segera berubah seratus peratus. Tubuhnya menggeletar. Idham? Idham
Harizkah yang dimaksudkan uminya?
“Idham
yang mana pulak ni?” Encik Nordin menyampuk. Ubek turut menoleh. Terkesima
mendengar nama itu dicanang ibunya. Dia mengerling wajah Cika yang kelihatan
muram.
“Ala abang ni. Anak
Jamilah kawan universiti saya. Kan
dia dah beberapa kali datang ke rumah kita ni, takkan abang tak perasan.” Keluh
Puan Bahyah.
“Oh
Jamilah suaminya Encik Othman tu ya? Apa khabar dia? Dah lama saya tak jumpa
dengan Othman tu.” Tutur Encik Nordin.
Puan
Bahyah tidak menjawab. Malas mahu mengungkit soal Othman, suami kawan baiknya
itu sedangkan hal yang sepatutnya mereka bincang ialah soal Cika dan Idham
Hariz.
“Cika, umi tak mahu dengar alasan awak lagi.
Umi dah telefon Auntie Jamilah awak. Esok awak mesti…” Kata-kata Puan Bahyah
terhenti. Apabila dia menoleh, Cika sudah hilang dari ruang tamu. Matanya
mencari wajah Ubek. Anak bujangnya hanya tersengih lalu menghalakan ibu jarinya
ke arah anak tangga, menandakan Cika sudah menghilang ke biliknya. Puan Bahyah
terduduk lemah di samping suaminya.
“Bang,
awak tengoklah anak awak tu. Pening kepala saya ni nak fikir fasal Cika tu.”
Dia mengadu pula pada suaminya. Tapi melihat mata Encik Nordin masih ralit di
kaca televisyen, muncung Puan Bahyah sudah sedepa panjangnya.
“Abang
ni memang tak ambil berat langsung cakap-cakap saya. Padanlah dua anak abang ni
sama-sama tak makan nasihat.” Rungut Puan Bahyah geram.
“Syyy…”
Encik Nordin tiba-tiba menunjukkan isyarat supaya Puan Bahyah berdiam diri.
Matanya ralit pada isi berita yang sedang disampaikan.
“Yah,
tadi Cika kata hari ni dia ada emergencykan?” Tanya Encik
Nordin.
Puan
Bahyah mencebik. “Nak menipu kitalah tu. Emergency
apanya kalau dia asyik merayap dengan Gina ke sana ke mari.” Rungut Puan Bahyah.
“Tapi
abang rasa kali ni Cika tak bohong.” Ujar Encik Nordin. Puan Bahyah berpaling
ke arah suaminya. Encik Nordin menunjukkan ke arah televisyen. Kata-kata Encik
Nordin turut menjemput perhatian Ubek. Matanya sudah disorot ke arah skrin
televisyen plasma 42 inci di hadapannya.
“Seorang
pemilik syarikat agen hartanah iaitu Syafika Nordin menjadi wirawati membantu
pihak polis memujuk salah seorang lelaki yang bertindak mahu membunuh diri hari
ini. Dalam satu kejadian di bangunan Wisma Anson pagi tadi, lelaki yang
dikenali sebagai Mat bin Topup dikatakan kecewa apabila diberhentikan kerja
oleh majikannya. Beliau telah datang ke firma guaman Aaziz & Co untuk
memfailkan saman ke atas Kilang Biskut Ting Tong. Tapi setelah diberitahu oleh
pihak guaman yang beliau tidak mempunyai cukup bukti untuk menyaman kilang
terbabit kerana pemberhentian beliau mengikut saluran yang betul, lelaki itu
tiba-tiba mengamuk lalu mengugut mahu membunuh diri. Tapi tindakan berani
Syafika telah berjaya menyelamatkan lelaki tersebut dan membantu usaha-usaha
pihak polis….”
Gambar
Cika sedang ditemuramah oleh wartawan turut dipaparkan seiring dengan isi
berita yang disampaikan.
Ubek
berpaling ke arah ibubapanya. Kedua-duanya sudah terlopong sambil memandang ke
arah skrin televisyen. Mulut ibunya paling luas terbuka dengan wajah
terkebil-kebil hampir tidak percaya. Ubek hanya mampu menarik nafas panjang.
Wow, Cika sudah jadi hero hari ini! Not
bad sis!
*
* * *
SELESAI isi berita itu dipaparkan,
dia terus menutup televisyen dengan remote
controldi tangannya. Bibirnya segera menguntum senyuman. Lucu sebaik
teringatkan gadis di dalam televisyen itu. Gadis yang aneh! Sepanjang hidupnya,
baru kali ini dia jumpa seorang gadis yang serupa itu.
Satu
Malaysia
sibuk kecohkan gadis itu sebagai wirawati yang membantu menyelamatkan orang
yang kononnya mahu membunuh diri. Tapi tidak ada seorang pun yang mahu
bertanya, apa gadis itu buat di serambi yang sama ketika itu. Jangan kata gadis
itu sekadar makan angin di beranda itu, kerana itu alasan yang paling bodoh.
Sama bodoh dengan alasan gadis itu sengaja memanjat dari pejabatnya ke arah
bangunan firma guaman itu semata-mata mahu menyelamatkan lelaki itu. Siapa yang
percaya? Hanya orang bodoh sahaja yang akan percaya!
Sewaktu
kejadian dia berada di situ. Bunyi riuh rendah di situ membuatkan dia seperti
orang lain juga, turut berasak-asak mahu melihat apa sebenarnya yang berlaku.
Ketika itulah dia melihat gadis itu. Syafika Nordin!
Mulanya
dia tidak mengecam siapa gadis itu. Tapi semakin lama dia memerhatikan gadis
itu dari penjuru tingkap, barulah dia mengenali gadis itu. Gadis yang sama yang
bertekak dengannya tempohari di Jumbo Jeep.
Asalnya dia sekadar berseronok
memerhatikan gadis itu cuba
memujuk lelaki tua itu. Tapi menyedari bahaya yang datang, dia yang paling
hampir di seberang tingkap yang satu lagi sempat menarik tangan gadis itu
sebelum gadis itu tergelincir dan mungkin jatuh.
Sedar tak sedar, semua orang sudah
meluru ke arah mereka. Dia pula terpaksa melepaskan tangannya lalu cepat-cepat
beredar dari situ. Dia tahu gadis itu ada melihatnya. Dia nampak jelas wajah
gadis cengil itu berubah sebaik melihat kemunculannya.
“Now
kau berhutang budi dengan aku.” Bisiknya seraya tersenyum.
Dengan
langkah malas dia segera menuju ke arah akuarium kecil yang terletak di atas
meja. Akuarium itu diangkat tinggi sambil matanya meninjau isi akuarium itu. Labi-labi
peliharaannya sedang enak tidur setelah diberi makan daun kangkung sebentar
tadi.
“Nemo,
aku tahu kau dah kenyang, tapi kenapa kau asyik tidur aje sepanjang hari ni?
Aku pun tak tahulah kenapa kau jadi malas dua tiga menjak ni!” Rungutnya sambil
menjentik-jentik permukaan akuarium itu. Sengaja mahu mengejutkan si labi-labi
yang tak bergerak-gerak sejak tadi.
“Look Nemo, kalau kau tak nak dengar
cakap aku, jangan harap aku cari pallettu
lagi kat Pejabat Haiwan. Sampai ke tualah kau makan kangkung rebus aje.”
Terkelip-kelip
matanya memerhatikan Nemo. Tapi Nemo tetap buat muka sardin tanpa ada
tanda-tanda mahu bergerak. Nemo memang pemalas. Dia tiba-tiba ketawa kecil. Apa
yang aku buat ni? Right now kau
tengah mengugut seekor labi-labi, Nadim. Memang sah, kau dah gila!
Dia
menjegilkan biji matanya ke arah Nemo. “Bad
Nemo. Kau yang buat tuan kau jadi gila.” Dia menyalahkan labi-labi itu
seratus peratus. Sejenak kemudian dia ketawa lagi. Dia menghindar dari akuarium
Nemo lalu mencapai gitar akustiknya. Tubuhnya dihempas ke arah sofa bulat yang
sengaja diletakkan di beranda apartmen, betul-betul menghadap ke arah bangunan
Menara KL yang ditaburi lampu-lampu penyeri malam.
Sambil
menyandarkan tubuhnya, Nadim mula memetik tali gitarnya sambil mengalunkan
senikata Touch My Hand, nyanyian David Archuleta.
Saw you from a distance
Saw you from the stage
Something about the look in your eyes
Something about your beautiful face
In a sea of people
There is only you
I never knew what the song was about
But suddenly now I do
Trying to reach out to you, touch my hand
Reach out as far as you can
Only me, only you, and the band
Trying to reach out to you, hold my hand
“Come on, don’t be afraid. Hold my hand. You
can do it.” Suatu suara tiba-tiba bergema di dalam kepalanya. Serentak
petikan tali gitarnya tiba-tiba terhenti. Jari-jemarinya tiba-tiba kaku.
“Nadim, come on sayang. You can do it, trust
me.” Suara itu terus hadir bersama fragmen seraut wajah yang tersenyum
manis ke arahnya.
“I can’t swim.”
“Mesti boleh, trust me.”
Dia
memejamkan matanya. Buih-buih air terbayang di fikirannya. Tubuhnya bagaikan
dapat merasakan puing-puing arus yang menolaknya.
“Nadim…you love the music, but I’m fallen in
love with the sea.” Bisikan itu terus bergema dan bergetar di sanubarinya.
Sesaat dua dia membuka matanya. Pandangannya melurus, merenung kegelapan malam
pekat yang kian kelam di matanya. Satu wajah, satu suara dari masa silamnya
ingin dilenyapkan, tapi dia tidak mampu. Tidak walau sepicing pun dia mampu
menghalau lembaran kenangan yang mengikat dirinya pada sebuah nama. Naomi…
‘Tut. Nadim,
ini kakak. Where have you been lately? Kakak dah bosan bercakap dengan mesin
perakam suara ni. If you get my message, please call me back. Tut.’
Dia
tidak mempedulikan suara dari mesin perakam telefonnya. Marseila selalu sahaja
mencarinya jika hal itu bersangkut-paut dengan ayahnya. Dan saat ini dia tidak
mahu berfikir apa-apa pun. Tubuhnya tidak berganjak dari sofa bulat itu.
Matanya dipejamkan. Dia ingin tidur sebentar! Namun wajah Naomi terus menerpa
ke ruang ingatan, membuatkan dia mengeluh panjang. Sakitnya rasa ini bila cinta
menjadi racun berbisa! Naomi, I missed
you a lot!
* *
* *
Dia
tidak mampu tidur walau sepicing. Biliknya terasa sunyi sepi. Meski dia
kadangkala tidur bertemankan bunyi muzik dari siaran radio, namun entah kenapa
malam ini suara DJ bagai angin lalu. Anehnya dia seperti tidak mendengar
langsung suara DJ berceloteh itu dan ini.
Puas
terpisat-pisat di dalam selimut tebal, Cika bingkas bangun. Dia duduk di birai
katil. Tangannya segera menyeluk sesuatu dari dalam beg bimbitnya di tepi
katil. Sebuah buku tebal berwarna hitam dan sebatang pen dikeluarkan dari dalam
beg tersebut.
Kini
dia menconteng-conteng sesuatu di dalam buku tersebut. Mulanya ia hanya
contengan biasa. Namun dari contengan biasa, muncul satu imej lain, terlakar di
paparan kertas. Imej-imej tidak sempurna itu mula berubah menjadi seraut wajah.
Dari seraut wajah muncul pula sepasang mata yang sedang merenungnya. Serta
sekelumit senyuman yang kelihatan dingin.
Pen
yang dipegang Cika tiba-tiba jatuh. Dia terkedu sambil memerhatikan imej yang
dilukisnya. Gila! Kenapa tiba-tiba sahaja kau melukis wajah lelaki itu Cika?
Apa relevennya dia dalam hidup kau? Suara hatinya bertanya. Cepat-cepat dia
mencampakkan buku itu ke atas meja. Hatinya kesal kerana dia berbuat sesuatu
yang tidak wajar. Damn it Cika! Stop it!Jangan
asyik memikirkan perkara yang bukan-bukan. Lelaki itu hanya penyelamat, tidak
lebih dari itu!
Sebentar
tadi Ubek menjenguknya di bilik. Abangnya itu tak sudah-sudah memujinya kerana
tindakannya hari ini. Kata Ubek, babah dan umi mereka juga turut berbangga
dengan dirinya. Tapi kata-kata Ubek sedikit pun tidak tercerna di ruang minda,
Dia tidak perlukan pujian-pujian itu. Bahkan dia langsung merasa dirinya tidak
layak menerima pujian itu lantaran menyelamatkan Pak Mat tadi bukan agenda
utamanya. Agenda sebenarnya ialah melarikan diri dari Datuk Fakhri. Itu baru
betul!
Bodoh
betul kau ni Cika! Kerana tindakan tak fikir panjang itu, nyaris-nyaris kau
hilang nyawa hari ini. Dia meraut wajah. Gerun memikirkan hari ini dia telah
menempah maut.
No! Fikir dari sudut positif Cika. Kalau
bukan kerana kejadian hari ini, tak mungkin kau akan menemui lelaki itu semula.
Tak mungkin dia akan jadi penyelamat kau! Bukankah itu bagus? Cika berpeluk
tubuh di katilnya. Masih teringat-ingat renungan tajam yang mengasyikkan itu! Damn it Cika! Kau memang sudah angau
terhadap lelaki itu.