Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Prolog

IRAMA piano yang dimainkan begitu menusuk ke hati sehingga dia terhenti di tepi pintu, memerhatikan ke arah kelibat seorang wanita yang sedang memainkan irama lagu yang ternyata sayu dan hiba bagi telinga sesiapa sahaja yang mendengar. Selalunya dia mendengar ibunya memainkan irama yang menggembirakan, tapi kali ini berbeza sekali. Didorong rasa ingin tahu dia sekadar mengintai di sebalik sudut, merenung penuh syahdu pada wajah yang kelihatan muram dan sedih.

Hendak diterpa ke arah wanita itu, pasti ibunya akan tersenyum seperti biasa. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, dia sering merasa senyuman ibunya seperti dipaksa-paksa. Gembira wanita itu seperti sengaja dibuat-buat. Hakikatnya dia tahu ibunya tidak gembira. Wajah itu berladung duka.

Sedang dia asyik termenung, tiba-tiba ibunya menoleh. Sepasang mata ibunya yang indah kini tertumpu ke arahnya. Mahu tak mahu dia turut melemparkan senyuman lalu keluar dari tempat persembunyian.

Gotcha.” Ibunya ketawa.

Dia masih tersenyum. Iya, wanita itu pintar mencari kelibatnya. Sejak dulu jika dia bermain sembunyi-sembunyi dengan ibunya, wanita itu sentiasa tahu di mana mahu mencarinya. Tapi itu dahulu sewaktu dia berusia 6 atau 7 tahun. Sekarang dia sudah berusia 16 tahun. Badannya yang tinggi cukup sukar mahu disembunyikan dari penglihatan si ibu.

Still number one.” Komennya.

“Mama nampak Ammar dari tadi.”

“Mama asyik mainkan lagu sedih tu aje. Lepas tu nangis sorang-sorang. Horrible!” komennya.

Ibunya tiba-tiba terdiam. Agak lama renungan ibunya singgah di wajahnya sehingga dia jadi serba salah. MASYA ALLAH! Mama tersinggungkah?

Sorry, Ammar tak sengaja.” ujarnya dengan rasa bersalah.

Ibunya menggeleng. “It was just a song. Sesekali main lagu sedih, tak salah kan?” tanya ibunya.

Dia mengangguk. Bukan setuju, hanya mahu mengambil hati. Sejujurnya dia tahu lagu sedih yang dimainkan ibunya bukan hanya sekadar lagu seperti yang dicanang wanita itu. Ia lebih dari itu. Lagu itu melambangkan apa yang sedang dirasai ibunya saat ini.

“Mama masih marahkan ayah?” tanyanya lagi.

Wanita itu terkedu. “Ammar dengar ke?”

Dia ketawa kecil. Masakan dia tidak mendengar suara ayahnya yang menengking ibunya dua malam yang lalu. Dia sendiri tidak tahu kenapa pasangan bahagia seperti ayah dan ibunya boleh bergaduh sampai begitu sekali. Hendak memasang telinga, tentulah tidak sopan jika dia berbuat sedemikian rupa. Silap-silap haribulan boleh digertak ayahnya yang agak garang.

“Mustahil tak dengar. Ammar bukan pekak.” Jawabnya selamba.

Wanita itu terdiam mendengar bicaranya. Sejurus kelopak mata ibunya mencari wajahnya lagi.

“Mama mahu tanya sesuatu pada Ammar.”

“Tanya apa mama?” Dia bingung. Wajah mamanya cukup serius kali ini.

“Apa Ammar suka kalau suatu hari nanti Ammar akan ada seorang abang?” Pertanyaan wanita itu membuatkan dia terpegun. Bulat biji matanya memandang si ibu yang menatapnya tidak berkelip. Abang? Apa maksud ibunya?

“Ammar tak faham.” Dahinya berkerut memandang si ibu.

Terkelip-kelip mata wanita itu memandangnya. Dia nampak kesuraman di wajah itu semakin jelas. Ada apa sebenarnya dengan pertanyaan itu? Mama dan ayah tidak pernah miliki anak lelaki lain selain dirinya. Dia tidak pernah punyai seorang abang, kecuali Marseila kakaknya yang sedikit tomboy.

* * * *

KAIN yang menutup wajah ibunya disingkap sedikit demi sedikit. Terserlah wajah tenang ibunya yang kini tertidur lena. Di dahi ibunya terdapat plaster putih yang digunakan untuk menutup luka besar di dahinya akibat kemalangan yang telah meragut nyawa wanita itu. Dia terduduk lemah seraya menatap sekujur tubuh di hadapannya yang sedang diuruskan beberapa orang saudara terdekatnya. Hatinya masih enggan percaya. Mama yang selalu mendakap tubuhnya dan mengajarnya bermain piano sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Marseila memegang bahunya. Merenung wajahnya yang basah oleh tangisan. Wajah Marseila lebih tenang berbanding dirinya.

“Sabar dik, izinkan mama pergi dengan tenang.” bisik Marseila.

Ketika mereka saling memujuk hati yang kesedihan, muncul seorang anak muda di situ, berusia dalam awal 20an. Wajah anak muda itu kelihatan sedih seraya merenung mayat ibunya yang ditempatkan di tengah-tengah ruang. Agak lama pandangan anak muda itu tertumpu ke arah mayat ibunya. Sesekali kelihatan air jernih bergenang di kelopak sepasang mata bundar itu.

Mata Marseila terpaku pada wajah lelaki muda itu. Dia juga tidak berkecuali, Perasaan hairan menjengah diri saat melihat tangisan lelaki muda itu benar-benar untuk arwah ibu mereka. Siapa dia?

“Siapa tu dik?” Marseila membisikkkan pertanyaan tanpa disedari. Wajah lelaki muda itu agak kacak. Tubuhnya tinggi lampai bergaya atlit dengan rambut pendek yang kemas.

Dia menggeleng. Tidak pernah sekalipun dia melihat wajah lelaki muda itu sebelum ini.

“Sekali pandang macam kenal.” Sambung Marseila sedikit kaget. Iras wajah lelaki muda itu jika direnung betul-betul, seperti pernah dilihatnya selama ini. Tapi di mana ya?

Tak semena-mena lelaki muda itu tiba-tiba menoleh ke arah mereka berdua. Rentak kakinya mula diatur ke arah mereka. Marseila kaget. Dia pula hanya menanti lelaki itu menghampiri mereka.

“Takziah dari saya. Sabar ya dik.” pujuk lelaki itu seraya tersenyum hambar. Di kelopak matanya masih terkesan sisa-sisa air mata yang sudah diseka sejak awal. Selepas menepuk bahunya dua tiga kali, lelaki muda itu beransur pergi. Dia mahu menghalang tetapi tidak berupaya. Apatah lagi apabila dia mula menyedari kelibat ayahnya muncul tidak jauh dari situ, sedang merenung tajam ke arah lelaki muda yang sudah beredar dari situ.

* * * *

“DIA ada kat sini tadi. What should I do?” Suara itu muncul separuh berbisik, menyapa gegendang telinganya. Dia yang melintasi pejabat ayahnya mahu ke dapur mencari air untuk menghilangkan haus, kini terhenti di hadapan muka pintu bilik kerja ayahnya. Suara ayahnya terdengar gementar.

“You tak faham. I tak boleh terima dia, not in this way. Evenarwah juga tahu apa sebabnya. It can’t be done, Datuk.” Keluh lelaki itu.

Dia semakin tertarik mahu mencuri dengar perbualan ayahnya di talian. Dengan siapa sebenarnya lelaki itu berbual? Dan siapa sebenarnya yang sedang diperkatakan lelaki itu?

“Dia bukan anak I. I hanya ada seorang anak lelaki, and he’s not the one.” Sambung lelaki itu lagi.

Kali ini darahnya meruap ke wajah. Kata-kata ayahnya membuatkan dia terkedu. Nafasnya bergetaran seribu. Apa maksud kata-kata lelaki itu?

Belum sempat dia mahu melunaskan rasa ingin tahunya, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia tersentak. Marseila merenungnya dengan wajah dibayangi tanda-tanya. Dia meletakkan jari telunjuknya ke bibir, meminta Marseila berdiam diri. Malangnya usaha itu tidak berhasil lantaran, ayahnya tiba-tiba menguak daun pintu yang renggang itu. Kedua-dua mereka tergaman. Wajah mereka yang pucat lesi itu semakin gerun melihat renungan si ayah yang tajam serta wajah yang masam mencuka.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh