“Dear…”
“Iye dear…” sahut Adriana
sambil menguis sehelai dua daun kering sesat di atas kertas surat khabar yang
dihampar di atas rumput hijau itu.
Dua bekas polystyreneputih
dikeluarkan dari plastik merah lalu diletakkan di atas surat khabar yang
terhampar. Dua botol air mineral disusun elok-elok di pangkal pokol. Biar tidak
tumbang.
“Youdengan Mama macam mana
sekarang? Dah okay?”
Gulp! Adriana telan liur mendengar
pertanyaan itu. Mesti Navin maksudkan peristiwa dia dimarahi Mama kerana bil
telefon bimbitnya yang melambung itu. Sejak hari itu Adriana merajuk dengan
Mama. Dengan Kak Ni juga.
Navin masih tidak lagi berkalih
pandang ke arah langit yang terang benderang itu.Entah apa yang dia lihat di situ. Burung-burung
pun sudah siap bersantai atas persinggahan mereka. Berteduh dari hawa panas di
atas dahan celahan daun.
Kalau boleh dia tidak mahu menjawab soalan
Navin. Saat itu cahaya suria yang menyilaukan pandangan menjadi bahan
melepaskan diri. Apa hendak dia kata? Beritahu Navin dia masih merajuk dengan
Mama dan Kak Ni? Beritahu Navin yang dia tidak mahu balik ke rumah lagi?
Alah, Adriana sudah tahu sangat reaksi
pemuda itu. Tentu-tentu sahaja telinganya akan menadah ceramah dan motivasi
yang ala-ala leteran panjang lebar dari Navin. Sama macam Kak Ni. Mesti Navin
akan kata lagi ‘syurga kan di bawah telapak kaki Mama...’.
Adriana tidak mahu dengar frasa itu lagi.Sudah penat telinganya menadah
perkataan-perkataan keramat itu. Berilah sedikit lagi kesempatan untuk dia asah
akal dewasanya itu.
“You dah habis ke baca buku agama
yang I bagi kat you tu?”
alih-alih soalan itu pula yang dapat dia suakan sebagai jalan keluar yang selamat.
Harap-harap Navin boleh dia pesongkan seketika.
Navin angguk.
Memang dia sudah habis membaca buku
setebal 357 halaman itu. Buku panduan agama yang lengkap dengan segala macam
isu tentang Islam itu sudah habis dibacanya. Memang sudah lama habis. Cuma dia
tidak memberitahu akan hal itu kepada Adriana.
Bukan sekadar membaca. Malah
dia sudah mengupas dan mendalami setiap isi bacaannya dengan abang Adam. Kalau
sekadar membaca, takut lain pula tafsirannya. Zaman sekarang walaupun ada
kampus yang berorientasikan maya, masih juga sesekali harus bertemu dengan
pensyarah yang sebenar.
Guru itu bukankah sesuatu yang
wajib ada dalam konsep menuntut ilmu? Kebetulan pula bertemu dengan lelaki itu
di luar kawasan masjid yang selalu dia kunjungi. Dari sekadar berbahasa basi,
mereka berkawan.
Sebelumnya, pernah sesekali
Navin terasa diperhatikan setiap kali dia singgah berteleku mencari keyakinan diri
di bahu jalan di depan masjid itu. Rupa-rupanya abang Adamturut terpanggil
untuk dirinya. Besarnya kuasa Tuhan yang menjadikan semesta alam.
Mungkin dari rasa ingin tahu
mengapa seorang pemuda India yang gelap ini sering kali memakir kereta di bahu
jalan di sana. Satu panorama yang rasanya bukan luarbiasa. Hidayah yang
dianugerahkan Allah kepada Adam agar memberi ihsan kepada dirinya yang sedang
terkontang-kanting dalam pegangan.
Mengimbas kronologi itu, Navin
terpandang suluhan cahaya keajaiban. Maha Besar Tuhan...
Dan mungkin juga sudah
takdirnya bergurukan Adam yang telah biasa dia panggil abang. Dengan abang Adam,
di setiap kelapangan dia belajar lebih lanjut tentang Islam. Kadang-kadang
mereka minum lewat malam selepas Adamtamatshifttugasnya di hospital.
Ataupun kalau dia sendiri
tidak punya shiftdi kilang, dia yang akan menelefon Adam. Ajak
minum-minum. Kadangkala pertemuan mereka cukup sekadar di dalam kereta sahaja
setiap kali Adam usai solat maghrib berjemaahnya. Dapatlah juga dia sedikit
ilmu yang selama ini dia dahagakan.
Tiap kali memandang bangunan
masjid yang tersergam itu, hatinya melonjak ingin menjejakkan kaki di atas
lantai masjid itu. Ingin benar melihat bagaimanaAdam dan para jemaah solat
bersama.
Kalau sekadar bacaan solat,
dia sudah seperti hafaz di dalam hati.Sesekali bila mendengar nada Imam membaca
ayat-ayat dalam solat, tubir matanya bergenang. Hatinya terusik. Sukar
untuk Navin susun dalam kalimah kata. Apa
yang dia boleh dia rasai adalah sejalur ketenangan yang menjalar dalam setiap
urat dan saraf. Dalam setiap ruang dan rongga. Dalam setiap molekul air dan
darah.
Terasa segala persoalan dan
pencariannya selama usia ini hampir terungkai. Namun begitu dia masih terlalu segan
untuk mengutarakan hasratnya ingin mengunjungi masjid. Bimbang dia hanya akan
mencemar kesucian tempat itu.
Setiap kali dia bertanyakan
pandangan Adam tentang hasrat untuk memeluk Islam, lelaki itu hanya diam.
Bermenung jauh. Sepertinya hasrat yang Navin nyatakan adalah satu masalah maha
besar buat lelaki itu pula. Paling-paling Adam akan beri sepatah dua nasihat
agar dia berfikir masak-masak. Dalam-dalam.
Sepertinya Adam tidak
mengalu-alukan hasrat murninya itu. Sebaliknya kalau diutarakan hasratnya itu
di hadapan Adriana,gadis itu pasti sudah melompat setinggi langit.
Kadang-kadang dari sinar wajah
dan renungan mata Adam itu, Navin terasa ada sesuatu yang disembunyikan oleh lelaki
itu.Adamseolah sedang menyimpan sebuah cerita.Atau rahsia? Navin selalu ingin
bertanya. Tetapi dia tahan sahaja keinginannya itu. Dia baru sahaja beberapa
bulan mengenali Adam. Takut nanti lelaki itu fikir dia terlalu bersikap mengambil
tahu. Busybody.
Lagi pula Adam belum tahu
antara tujuan dia mempelajari Islam adalah kerana Adriana.Biarlah. Lambat laun dia
mungkin harus merujuk juga kepada Adam berhubung perkara itu nanti.
Kasihan dia melihat Adriana melangut
menanti kata pasti dari mulutnya. Setiap kali bertemu, persoalan itu tidak
pernah ingkar diajukan.Lebih dari itu, Navin ingin membuat segala keputusan demi dirinya sendiri
juga.
Tentang perguruannya dengan
abang Adam juga belum dia khabarkan kepada gadis itu. Dia buat senyap sahaja.
Bukankah Islam menyarankan kalau tangan kanan berbuat kebaikan, tangan kiri
harus disorokkan? Betulkah penggunaan perumpamaan itu, Navin sengih sendiri.
Dia toleh mencari wajah
Adriana. Keluhannya terlepas. Kalau Adriana tahu, tentu gadis itu akan terus
mendesak dia untuk membuat langkah kedua. Melafazkan kalimah syahadah yang maha
suci.
Secara rasmi menjadi seorang
Muslim dengan identiti dan nama yang baru. Gaya dan cara hidup sebagai seorang
Muslim. Pasti ada kecanggungan dan rasa kekok yang akan mengambil suatu jangka
masa untuk disesuaikannya.
Bukan Navin keberatan. Bukan
juga sebab dia enggan ataupun belum bersedia. Masih ada banyak faktor dan
perkara yang perlu dia ambil kira. Yang perlu Navin pertimbangkan
semasak-masaknya, walaupun dia seorang free-thinker, sama seperti
mendiang Appa dulu.
Mungkin inilah sebabnya
mengapa abang Adam selalu menenangkan gelora ghairahnya untuk memeluk Islam.
Abang Adam mungkin mahu dia menyelesaikan setiap satu permasalahan dengan
sebaik mungkin sebelum kakinya meniti ke dalam daerah kehidupan baru. Betul
juga begitu.
Dengan Amma pun Navin belum
punya peluang dan waktu yang sesuai untuk beritahu. Reaksi Amma pun belum
terjangkau lagi dek fikiran Navin. Akan setujukah Amma? Kalau begitu akan
lapanglah dadanya. Akan mudahlah segala urusan yang telah dia susun dan rancang
untuk hidup bersama Adriana.
Tetapi bagaimana pula kalau
Amma tidak setuju? Apa yang akan berlaku kalau Amma tidak izinkan dia memeluk
agama itu? Ah, itu akan jadi ranjau paling berduri dalam hidupnya.
Navin hela nafasnya. Pundak
kepalanya dia ramas perlahan dengan jemari. Pendapat Amma dan ahli keluarganya nanti
tidak harus dia tolak mentah-mentah. Pasti ada satu kewajaran dan alasan kukuh
untuk dia mempertimbangkan apa sahaja keputusan Amma nanti.
Kalau Navin kenang-kenang, selama
ini memang dia yang menjadi tunjang kehidupan mereka sekeluarga. Dia adalah
tulang belakang keluarganya semenjak Appa meninggal dunia. Amma dan
adik-adiknya bergantung hidup dengan pendapatannya yang tidak seberapa itu.
Ada dua kemungkinan sahaja
yang akan berlaku nanti. Pertama, Amma tidak akan sampai hati menolak
permintaannya setelah apa yang dia korbankan buat keluarga. Bukan Navin minta
bayaran untuk setiap lelah dan keringatnya, tetapi kalau Amma rasa belas untuk
menghalang niatnya, itu juga suatu rahmat buat Navin.
Tetapi kemungkinan yang kedua
hinggap di kepalanya saat itu buat Navin tidak senang duduk. Pun peluh yang
memercik bukan sekadar dek panas suria tengah hari yang tinggi atas kepala.
Tetapi memercik kerana rasa bimbang yang tidak mampu dia sangkal.
Kerana dia adalah tunggak
keluarga, Amma mungkin ada sebab yang kukuh untuk menolak hasratnya. Manalah
tahu kalau Amma khuatir Navin berpaling dari tanggungjawab.
Hmm... kalau itulah yang akan
menjadi kebimbangan Amma, Navin akan yakinkan ibunya itu bahawa dia tetap akan
memikul tanggungjawab sepanjang hidupnya. Walaupun setelah dia memeluk Islam
nanti. Dia tahu akan ketetapan hatinya. Dia yakin dirinya mampu melaksanakan
semua tanggungjawab yang telah diletakkan di atas pundaknya.
Memanglah suasana, budaya
hidup dan agama mereka nanti akan berbeza. Tetapi Navin tahu hatinya tidak akan
pernah tega menyisihkan Amma dan keluarganya walaupun setelah memilili Adriana.
Mereka akan selamanya darah daging yang tidak akan pernah boleh bercerai dari
hidupnya.
Walau sedalam mana sekalipun kasih
dan cintanya pada Adriana, masih juga kenyataan bahawa tanpa Amma dia tidak
akan wujud di bumi ini tidak mampu dia nafikan.Tanpa Amma, Adriana juga tidak akan
mampu bertemankan dirinya seperti sekarang ini.
Navin dapat merasakan sejalur
rasa yakin mula menempel di dinding hati. Ya, mungkin Amma akan terpujuk dengan
keyakinan yang cuba dia perlihatkan kepada Amma nanti. Semoga sahaja Tuhan
memudahkan saat itu nanti.
Lagipun selama ini dia tidak
menganut apa-apa agama. Hatta agama yang Amma anuti dan percayai itu. Amma
pasti boleh melihat rasional mengapa dia perlu untuk menganuti sebuah
kepercayaan sekarang.
Takkanlah Amma keberatan kalau
anaknya yang free-thinkerini memilih agama wahyu Islam sebagai kepercayaan
yang hakiki. A settle-down for him.Bukankah Amma juga yang
bising-bising suruh dia pelajari setiap satu agama yang diturunkan di dunia
ini?
Amma kata kalau Hindu bukan
pilihan hati Navin, Amma serahkan sahaja kepada kebijaksanaannya untuk menentukan
mana-mana agama yang Navin rasa terbaik untuk hidupnya. Lalu pada setiap kesempatan yang ada dia
pelajari tentang setiap agama yang dia tahu kewujudannya.
Bible, Al-Quran malah
kitab-kitab Budha juga pernah dibacanya serba sedikit di waktu fikirannya
mendesak untuk mencari sesuatu yang hakiki dalam kehidupan. Nah, sekarang
bukankah dia sudah sampai ke destinasi itu? Dia sudah hampir menemui satu agama
yang menyuluh kebenaran hingga sukar untuk dia menyangkal lagi?
Kalau nanti Amma debatkan
tentang keikhlasannya memeluk agama ini, Navin akan bentangkan kepada Amma
seribu satu sebab. Adriana dan cintanya hanyalah satu di dalam seribu itu.
Tetapi dia tidak akan beritahu Amma bahawa gadis itu juga antara sebab utama
mengapa mata hatinya terbuka kepada Islam. Nanti jadi panjang lebar pula
ceritanya.
Dan kalau Amma tanyakan apakah pula
lebihnya Islam berbanding agama lain? Kalau dilihat di zaman inipun, orang
Islam sudah nampak lebih kurang sahaja dengan orang bukan Islam. Baik dari segi
perbuatan mahupun perawakan. Melampau tak kalau dia kata, orang Islam sekarang
hanya Islam di atas surat beranak sahaja?
Tetapi Navin segera ingat apa yang telah
Adam perkatakan kepadanya. Lelaki yang berkulit putih kemerahan dan bermata
sedikit sepet itu hanya tersenyum sahaja bila dia utarakan soal umat Islam
zaman ini.
Kata Adam, semua agama di dunia ini
menyeru kepada kebaikan. Telah Adamsuruh dia senaraikan agama-agama yang
menyuruh penganutnya bermusuhan, berbunuhan dan melakukan lain-lain perbuatan
keji.
Hmm... memang tiada satupun agama di dunia
ini yang mendorong ke arah haluan kiri. Justeru itu dia setuju bila Adam kata penganut
bukanlah lambang kepada imej sesuatu agama semata-mata.
Aduh, panjang pula capaian fikirnya.
Nantilah, hal Amma akan dia hadapi nanti pada suatu hari yang paling sesuai.
Ini, hal Adriana harus dia tangani sekarang juga. Kalau tidak, alamatnya picnic
tengah hari buta itu akan jadi the most memorable picnicdalam
hidupnya.
“Dah
habis? Bagus…” Adriana terangguk-angguk. Mulutnya herot ke kiri dan ke kanan.
Dahinya berkerut-kerut.
Navin
tergelak kecil. Terpelanting segala monolog sepinya. Dia tahu Adriana pasti
sedang memikirkan cara untuk menguji kebenaran kata-katanya tadi. Bukan dia
tidak kenal siapa Syarifah Adriana Fidzriah itu.
Sekejap lagi terbitlah bintang
di sisi kepalanya itu. Bintang yang mengandungi idea-idea bernas untuk dilontar
dan dikemukakannya. Itulah yang selalu dikatakan oleh Adriana. Selalu berangan dirinya seolah-olah dirinya
itu ada kuasa ajaib laksana si comel Doraemon.
Kadang-kala Navin tergelak
sendirian. Gadis yang luarannya kelihatan agresif, berani dan serius dalam
kerjayanya itu rupa-rupanya seorang gadis mulus yang mempunyai sekeping hati
anak kecil. Meminati ikon kartun Doraemon. Dan lebih melucukan, Adriana sering
membayangkan dirinya juga adalah Doraemon.
Seorang Doraemon?
Inilah masalahnya orang yang
tidak ada adik. Anak bongsu yang terlebih berangan. Navin mengutuk gadis itu di
dalam hatinya. Tidak seperti dirinya yang punya adik-beradik susun paku.
Hidupnya tertumpu untuk menyara keluarga. Tiada masa untuk berangan-angan.
“Ok,
kalau betul dear dah habis baca, hmm… cuba buat rumusan seluruh buku tu.
Rumusan untuk intipatinya sahaja. Penting tu dear…”
Hampir tersedak Navin mendengar
kata-kata Adriana. Oh, itu rupanya idea yang dibawa oleh gelombang Doraemonnya.
“Lah, kenapa tak cakap
awal-awal? Boleh I buat mind-map,senang sikit nak ingat. Ini pop-quiz
macam ni, susah sikit nak lulus ni dear ooi…”
“Dear…” Adriana
menyepetkan matanya. Bibirnya sudah herot ke kiri dan ke kanan. Mencerlung
Navin dengan sorotan mata sepetnya yang tajam.
“Iyelah… hmmm…” Navin garu
kepala. Adriana kalau sudah mahukan sesuatu, waktu itu juga harus diberikan.
Tidak boleh nanti-nanti. Tetapi Navin sudah terbiasa dengan sikap Adriana itu.
Dikerah otaknya untuk memikirkan
cara terbaik bagi merumuskan seluruh isi buku. Matanya memandang ke langit
biru, menyelak kembali helaian demi helaian untuk mengingat semula isi penting
buku itu.