Home Novel Keluarga SUAMIKU HEROKU (Sayang You Kerana Dia)
CHAPTER 13

Maka benarlah seperti apa yang telah abah perkatakan kepadanya tentang suatu perkara itu yang merimaskan dirinya selama ini. Perkara yang melemaskan sanubari dalam seluruh usianya ini. Betullah seperti apa yang dikatakan oleh abah. Selagi dia tidak berubah, dia akan terus hidup terhukum begini.

Ya, Firas tidak akan kenal erti kehidupan sebenar selagi dia tidak belajar untuk hidup dengan sekeping hati yang normal. Dengan hati yang redha. Bertawakal dan berserah. Ah, semua istilah sudah dia ajarkan ke dalam sekeping hati itu.

Tetapi masih belum membibitkan kelembutan. Masih juga dia berperang antara hati dan rasa. Antara yang patut dan tidak. Antara wajar dan bukan. Persoalan siapa yang bersalah dan berhak ke atas sebuah hukuman masih juga Firas cuba bangkitkan dalam hati dan dirinya.

Mengapa dia pula yang harus merasa terhukum? Yang berdosa itu bukan dirinya! Dia adalah mangsa. Orang yang menzalimi dirinya itulah seharusnya merasa terhukum dan dihukum.

Abah juga adalah seorang mangsa. Tetapi mengapa abah begitu mudah bersikap redha di atas segalanya yang telah berlaku itu? Seolah abah sudah penat untuk mengharungi peperangan perasaan ini. Berat keluhnya untuk mengakui bahawa dirinya juga sejujurnya begitu. Cuma rasa itu telah dia benamkan dalam-dalam dalam lubuk penafian.

Sekuat manapun Firas memberitahu diri bahawa dia hidup seadanya begitu. Bahagia seadanya begitu. Hanya berdua, dia dan abah. Lelaki-lelaki tabah yang mengharungi ranjau serba mencabar.

Kasihan abah. Bertahun bergelut dengan perasaan. Bukan sekadar perasaan tetapi juga keyakinan. Alhamdulillah, abah masih kekal dengan pegangan dan keyakinannya. Biarpun telah kehilangan cinta seorang wanita yang bergelar isteri, abah masih yakin pada cinta Allah. Maha Pencipta. Abadi.

Seketika rasa sayu menyayat kalbu. Syukur abah kuat. Kalau tidak hari ini dia mungkin bukan lelaki yang bernama Muhd Firas Adam Bin Hanafiah Tan. Entah apa akan terjadi dengan dirinya saat ini kalau tidak kerana ketabahan abah mengharungi detik-detik itu dulu.

Jiwanya sejenak rusuh. Cuba memberi ruang kepada sebuah pertimbangan yang dewasa. Penafian yang telah dilapikkan sebagai lantai hidupnya selama ini rupanya terlalu menyeksakan.

Dahulu, setiap kali dirinya menjadi tumpuan, Firas akan pamerkan segala kelebihannya. Dia tersenyum puas bila dirinya dikejar begitu ramai gadis yang terpesona dengan karismanya.

Lalu bila setiap hati itu dia patahkan dengan begitu mudah, bangganya akan menduduki tahap tertinggi dalam diri lelakinya. Seolah dia telah membalas setiap perbuatan perempuan yang seorang itu.

Dan dalam setiap ketika, dia hujankan berulang-kali kata-kata benci terhadap perempuan itu. Sudah acap kali Firas tujahkan kata bahawa dia tidak perlu wanita untuk tegak berdiri dan berbahagia di dalam kehidupan. Dia sudah punya segala-galanya yang dia mahu dalam kehidupannya ini.

Tetapi masih juga dia digores oleh tajamnya sebuah perasaan. Tajamnya belati rindu. Setiap kali dia melukakan, akan ada sejalur perit yang mengiringi kebanggaannya. Setiap kali dia tersenyum puas setelah mematahkan hati-hati wanita itu, akan bergalurlah rasa rindu yang menyayat.

Mengapa walaupun setelah begitu banyak keping hati yang dia lukakan,masih tidak mampu membunuh kepedihan akibat dilukakan oleh wanita yang seorang itu? Masih belum mampu menghapuskan rasa rindu yang mendalam di hatinya untuk dibelai dan dikucup seorang wanita yang seharusnya dia panggil ibu itu?

Mengapa semua kepuasan yang dia peroleh dari melukakan hati-hati wanita lain itu tidak pernah memberikannya sebuah ketenangan yang hakiki? Semakin dia melukakan hati-hati itu, semakin pula hatinya menjadi tidak tenteram.

Semakin dia melukakan, semakin itu pula hatinya berdarah. Tidak pernah puas. Pun tidak pernah tenang. Sehingga kemuncaknya bila dia terlalu membenci seorang perempuan lagi di saat ini.

Ya, dia bencikan perempuan itu! Perempuan yang bernama Syarifah Adriana Fidzriah. Tidak tahu kenapa biarpun motifnya sudah terlalu jelas warnanya. Pun Firas tidak ingat akan kewajaran yang memberi izin untuk hatinya membenci ciptaan Allah yang lain.

Apakah mungkin kerana wajahnya? Rasanya tidak. Apakah kerana kelebihan dan kebolehannya? Pun Firas rasa tidak. Firas tidak pernah ada sifat cemburi, dengki mahupun iri. Tetapi mengapa dengan gadis yang seorang itu hatinya jadi begitu panas?

Mengapa dalam hatinya yang ada cuma rasa marah, benci dan sebagainya yang Firas sendiri tidak mampu tafsir. Apatah lagi untuk dia luahkan. Atau mungkinkah kerana nama keluarganya yang telah menjadi pencetus kepada amarah dan rasa benci Firas?

Syarifah. Biarpun dia ingat-ingat lupa akan rupa ibunya dulu tetapi namanya masih kekal dalam ingatan. Kerana nama itu yang selalu dia nampak pada sijil kelahirannya. Yang selalu dia tuliskan dengan tangan berat pada borang-borang yang pernah dia isi.

Di sebalik kebenciannya yang meluap terhadap Adriana, Firas sedar dia tidak menjadi dirinya yang sebenar di hadapan gadis itu. Di hadapan Adriana, perasaannya berperang. Antara lelaki sejati dan lelaki pendendam.

Adriana umpama lambang penentangan seorang perempuan terhadap kuasa lelakinya. Di dalam diri gadis itu, dia melihat kelopak egonya luruh satu demi satu. Firas telah menjadi seorang lelaki yang sering gagal di hadapan mata Adriana.Semua yang dia lakukan serba tidak kena. Entah mengapa?

Namun setelah apa yang diperkatakan oleh abah sedikit sebanyak telah membuat mata hatinya seperti terbuka luas. Mahu tidak mahu, minda sedarnya mahu dia akur pada sebuah rasa. Ya, dia mempunyai suatu rasa pada gadis itu. Walaupun dia belum pasti adakah ianya pesona mata atau panahan hati. Atau sebuah sumpahan?!

Abah kata manusia tidak boleh hidup seorang diri selamanya. Manusia memerlukan teman. Seperti sirahnya Adam yang memerlukan Hawa.Dihukum Tuhan pun mereka redha. Dan terus bersama hingga ke generasinya kini. Generasi manusia.

Apakah mungkin segala sesak dan lemas di dalam dada ini akan menghurai bila dia akur pada ketentuan itu? Firas masih keliru. Dia belum sampai kepada sebuah jawapan penentuan yang pasti.

Dan hujan itu masih berirama. Memberi suatu alunan melodi yang mengiringi sebuah pertimbangan seorang insan.



Dua tiga hari lamanya dia menganalis kata-kata abah. Dia bandingkan kata-kata abah yang banyak mengandungi maksud tersirat dengan segala teori berkenaan dirinya sendiri.

Abah tahu pembawaan dan sikapnya. Abah betul-betul prihatin biarpun tidak pernah meluahkan dengan kata atau tindakan selama ini. Abah takut anaknya ini hidup dengan sekeping hati yang beku. Jiwa pendendam.

Betulah tu… dan hakikatnya dia sendiri tidak pernah sanggup untuk berterusan menjadi manusia begitu. Tanpa sedar hatinya meronta untuk hidup seperti manusia biasa. Lelaki yang normal.

Malam tadi pun hujan turun. Sama seperti malam kelmarin ketika abah datang ke biliknya membawa dua mug kopi-o panas. Malam di mana abah secara halus menegur peribadinya.

Secara simbolik menyedarkan dia bahawa hidup ini tidak ada makna tanpa kasih. Tanpa sayang. Tanpa cinta. Dan tanpa teman. Semua itu membuatkan dia teringatkan hanya kepada seorang gadis itu. Adriana.

Mengapa pula mesti gadis itu yang hadir di kotak minda? Sudah acap kali Firas mengajukan soalan itu kepada dirinya sendiri. Mengapa tidak ada nama lain? Mengapa tiada wajah yang lain?

Namun pada setiap kali dia memerah hati dan rasa, Firas sedar bahawa memang tidak pernah ada nama dan wajah lain dalam hidupnya melainkan yang satu itu.

Yang ada cuma ada satu nama. Satu wajah. Yang sebenarnya memang sudah sempurna melantai dan melangit hidupnya. Yang telah wujud dalam setiap detik nafas dan degupan jantungnya.

Sejak pertama kali dia memulakan tugas di pusat perubatan itu.Pertama kali membaca tag nama gadis itu. Pertama kali menerima laporan pesakit dari gadis itu. Semuanya pertama kali buat Firas.

Pertama kali yang juga merupakan saat di mana dia telah memaksa hati dan jiwa menyenarai hitam Syarifah Adriana Fidzriah dalam kamus hidupnya. Firas ajar hati untuk membenci gadis itu. Firas ajar lidah biar hanya kata-kata keras dan kasar yang terlafaz. Suatu jalan penafian yang paling selamat.

Ketika dia melangkah keluar dari rumahnya awal pagi tadipun, hujan masih lagi menitis dari hujung dedaun pohon. Membasahi kelopak-kelopak dan kuntum-kuntum bebunga abah yang berbaris kemas di halaman. Menenggelamkan rumput-rumpuk renek di lantai bumi perkarangan halamannya yang tidak seluas mana itu.

Kini di perkarangan hospital, dia masih dapat melihat rintik-rintik hujan. Menenggelamkan riuh rendah suara orang ramai yang memenuhi ruang lobi. Juga menenggelamkan tangisan insan yang sedang menanggung derita perasaan.

Dia masih mahu menunggu gadis itu di situ. Biarpun dia tidak pasti jadual shiftAdriana untuk hari ini. Untuk bertanyakan kepada jururawat lain, terasa segan pula. Takut akan timbul gosip-gosip liar pula nanti. Bukan Firas tidak tahu perihal konflik antara dirinya dan jururawat yang popular itu sudah menjadi seakan gossip selebriti di PPRM.

Persoalan semalam yang menghuni minda kelirunya sudah terhurai biarpun tidak semuanya. Kesannya pagi itu dia menurut sahaja arahan hati tanpa dipengaruhi oleh minda. Dia hanya mendengar kata hatinya.

Apa-apapun langkah kakinya telah membawa dia ke suatu tempat.Dan di situlah dia berdiri saat ini. Hatinya berkata kalau dia mahu berubah, ini adalah langkah pertama yang harus dia orak.

Dan dia sedang membawa dirinya untuk untuk berhadapan dengan Adriana. Malah di benaknya juga sudah terangka kemas bicara untuk memohon kemaafan yang akan diungkapkan kepada gadis itu.

“Syarifah Adriana Fidzriah….” dia menyebut nama itu dalam hati yang sarat memberat.

Firas tidak tahu ekspresi apa yang sedang terlukis di wajahnya. Apakah pada wajahnya terlukis perasaannya yang keliru dan celaru itu? Walaupun hakikat yang sebenar adalah kehendak hatinya untuk memperbaiki semua kepincangan ini lebih kuat dari segala rasa negatif yang tidak pernah jemu menghasut.

Sudah terlalu banyak salah dan silapnya terhadap Adriana. Setiap bicara yang keluar dari mulutnya terhadap gadis itu terlalu tidak wajar. Apatah lagi dengan sikap kasarnya terhadap Adriana.

Sesalan-sesalan itulah yang telah menggugat ketenangannya. Yang menyebabkan lenanya entah ke mana semalaman kelmarin walaupun didodoi melodi hujan. Kata-kata abah telah sedikit-sebanyak membuka hati dan minda.

Sudoku perasaannya pada Adriana telah dia cuba untuk selesaikan. Biarpun Sudoku itu mampu dihuraikannya, namun ia sekadar nombor yang boleh diatur dengan pengetahuan dan strategi.Atau firasat?

Firasat.

Ya, kerana firasatlah dia telah dengan rela mengenepikan ego lelakinya saat . Wah, selama ini bukan main gahnya dia.Sesuka hatinya menempelak dan memarahi gadis itu. Ada saja yang tidak kena di matanya. Biarpun pada setiap kali, kesalahan itu memang mutlak haknya.

Gadis pintar.Selayaknya Adriana menjadi seorang pakar, bukan sekadar menjadi tenaga yang menyokong pakar perubatan. Diakuinya gadis itu memang bijak. Malah Firas turut mengakui kebenaran pada kata-kata setiap pakar perubatan yang selalu memberikan kredit kepada gadis itu.

Tetapi entah mengapa antara dirinya dan Adriana, seolah tiada keserasian antara mereka. No chemistry, kata orang Inggeris. Biarpun dia tahu orang lain memandang serong penilaian dan tingkahnya terhadap gadis itu. Namun apalah dayanya bila hati lebih kuat ingin melakukan semua itu sebagai penzahiran palsu demi melindungi sebuah perasaan.

Tetapi penzahiran perasaannya itu satu penjajahan maha kejam lagi tidak bertamadun. Melampiaskan dendam terhadap orang lain kepada seorang manusia lain yang tidak pernah ada kesalahan dan dosa terhadapnya.



Dari tempat dia berdiri, Firas dapat melihat gadis itu sedang berjalan menghampiri mesin ATM BSN. Seketika kemudian sudah berdiri tegak di hadapan mesin pengeluar wang itu.

Sekadar berpakaian biasa, dengan T-Shirt berwarna ungu muda yang dipadankan dengan jean Denim. Mungkin Adriana tidak bekerja hari ini. Sama seperti dirinya juga. Day-off.

Firas mengucapkan syukur di dalam hati kecilnya. Terus mengorak langkah melewati beberapa orang yang sedang menuju ke klinik rawatan am. Keramaian manusia di situ tidak langsung disedarinya. Hanya Adriana yang terlihat di ruang mata.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Gadis itu berpaling memandangnya. Lalu mereka bertemu pandang untuk seketika. Aduh, lidahnya tiba-tiba menjadi kelu. Renungan sepasang mata Adriana benar-benar menyebabkan mindanya kosong seketika.

Hati jadi berdebar-debar. Entah mengapa. Gadis itu masih memandangnya dengan sekeping kad di tangan. Kelihatan seperti hendak mengeluarkan wang dari mesin ATM.

Yes, anything doc?”

Sapaan Adriana berkumandang di pendengarannya. Buat pertama kali dia merasakan Adriana bersuara kepadanya dengan nada yang lembut. Bebas dari ketegangan tugas di hospital.

Salah tu Firas! Bukannya Adriana yang baru pertama kali bersuara dengan lembut. Tetapi kau yang selalu membuat provokasi tidak bertamadun! Teguran hatinya kedengaran di gegendang telinga.

Terkedu. Lidah kelu.

Doc?

“Hah?Hmm…” Firas telan liur.

Withdrawing your pay?” hish, soalan apa yang dia ajukan?

Adriana sekadar mengangguk sedikit kehairanan. Pastinya Firas tidak dapat melihat perasaan geram dan menyampah yang menggigit tangkai hati Adriana tika itu.

I pun,” cepat-cepat Firas menyambung katanya biarpun dia sedar Adriana tidak memerlukan maklumat itu.Ingin sahaja ditepuk dahinya tika itu bila Adriana kembali mendepani mesin ATM itu. Membelakanginya.

Come on man…” bisiknya kepada dirinya sendiri.

Jari-jemarinya yang terasa lembab dek peluh digenggam erat-erat. Bibirnya bergerak-gerak mengungkapkan baris-baris kata yang telah direkanya semalaman.

Okay, I can do this…” dia pasti sudah memperolehi keyakinannya kembali. Malah dia sudah hafal akan baris kata-kata itu.

“Adriana…” panggilnya dengan nada sedikit kuat.Dia berdehem sekali sekadar menghindarkan gemuruh yang melanda tebing dada.

Adriana berpaling sambil menyimpan beberapa helai wang lima puluh dan kad bank ke dalam beg sandang berwarna merah yang biasa di bawanya ke mana-mana itu. Kemudian dia memandang wajah Firas yang masih tercegat merenungnya itu.

“Ya doc?”

“Err…”

Renungan sepasang mata Adriana sekali lagi memadamkan baris-baris kata yang telah dihafalnya itu.Argh! Not again

“Hmm… dah ke?”

“Hah? Yeah, I am done. Your turn. Sorry…”

Adriana melangkah sedikit ke sisi Firas. Kemudian berpaling untuk pergi. Tidak sanggup berlama-lamaan di situ. Hairan dengan sikap doktor lelaki itu yang berbeza benar kelihatannya saat itu.

Buang tabiat apa, tak pernah-pernah menyapa aku. Gaya baik lagi… bisik hati kecil Adriana. Dia terus melangkah pergi. Laju meninggalkan Firas yang sedang termangu memerhatikan lantai putih yang basah dek tempias rintik-rintik hujan.

Mission accomplished. Unfortunately it was not very successful.

Previous: CHAPTER 12
Next: CHAPTER 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.