Home Novel Keluarga SUAMIKU HEROKU (Sayang You Kerana Dia)
CHAPTER 8

Malam minggu yang membosankan.

Beribu butir bintang yang bertabur di dada langit malam mengerlipkan sinarnya. Leka dia merenung keindahan malam di sebalik langsir jendela. Bertemankan sang bayu malam yang tidak berwajah namun sentuhannya tetap mengasyikkan. Mendesah lembut melagukan irama malam.

Subhanallah, tenangnya suasana… getus hatinya.Di mana pula sang bulan? Adriana tercari-cari. Oh, di situ pun dia… Adriana tersenyum sendiri. Sejak berkenalan dengan Navin, dia menyedari hatinya semakin lembut.

Tetapi tidaklah selembut puding laici yang selalu dia buat untuk Kak Ni. Terutama sekali kalau dengan Dr. Firas, entah ke mana hatinya yang lembut itu. Sifatnya juga kini agak berubah. Sudah menjadi seorang yang berbunga-bunga, sebiji macam Kak Ni.

Malam minggu itu sepasang kembar seiras itu hanya berehat di banglo besar mereka. Pasangan Tuan Syed dan Puan Syarifah telah keluar lewat petang tadi. Menghadiri majlis meraikan anak Syed Budrizzaman dan Syarifah Fauzan yang baru pulang dari Amsterdam. Itulah yang diberitahu serba ringkas oleh Mama tadi.

Apa namanya ye?Adriana cuba mengingatkan kembali nama itu.Oh ya, Syed Muzaffar Asyraf. Hmm… sikit-sikit macam nama angkasawan pertama Malaysia tu saja bunyinya.

 

Adriana teringat cakap-cakap teman-teman di hospital tidak berapa lama dulu. Kononnya Dr. Syed Muzaffar itu tidak layak digelar angkasawan kerana bukan dia yang mengemudi pesawat. Kata mereka lagi, Dr. Syed Muzaffar cuma menjadi salah seorang dari penumpang pesawat angkasa sahaja waktu itu.

 

Entah dari manalah mereka mendengar cerita-cerita begitu. Kalau pun betul, bukankah Dr. Syed Muzaffar itu masih juga seorang angkasawan? Dah namanya naik ke angkasa lepas, angkasawanlah namanya. Takkan hendak panggil plumberatau taxi driver!Lagipun takkanlah pulak satu pesawat angkasa lepas itu harus dikemudi oleh sepuluh pemandu. Tentulah setiap dari mereka ada tugas tersendiri.

Apa mereka fikir hendak duduk di mana-mana kerusi di dalam pesawat angkasa lepas tu senang? Tidak kisahlah kerusi penumpang ke, kerusi pemandu ke hatta duduk di kerusi kecil dalam pesawat. Itupun kalau adalah kerusi kecil...

Kalau disuruhlah pun mereka yang bercakap itu menawarkan diri suka rela siap tandatangan akuan berani mati pun belum tentu mereka dapat menaikinya. Bukan setakat nak jadi penumpang, entah-entah nak tengok livepun pesawat tu entah kurun ke berapa baharu dapat!

 

Inilah masalahnya orang-orang Melayu yang Adriana cukup tidak berkenan. Bukan dia sesuka hati hendak berperasaan begitu sementelah pula dia kononnya dikatakan berdarah kacukan bangsa Nabi. Cuma rasa sedih dan terkilan dengan tahap mentaliti segelintir anak bangsa tidak mampu untuk dia nafikan.

 

Ah, Adriana tidak mahu jadi patriotik pula di malam yang tenang begitu. Pun dia bukan siapa-siapa. Bukan pejuang, jauh sekali penguatkuasa. Tetapi kalau dia memang ada jodoh dalam bidang politik, rasa-rasanya dia sudah punya idea dan agenda untuk dijenamakan. Give change a chance.

Hah! Sudah ke lain pula fikirannya.

 

Petang tadi sewaktu berselisih dengan Mama dan Papa di garaj, terkedip-kedip mata mereka memandang baju si Puan Syarifah. Mengerlip dan mengerlap bak bintang jatuh ke padang. Silau!

 

Bergegas-gegas kedua orang tua mereka itu bagaikan pelari antarabangsa yang harus memecah rekod dunia 120km sejam. Kalau tidak disapa, pasti kelibat mereka dua beradik itu langsung tidak menarik perhatian Mama dan Papa.

Sesekali balik hujung minggu, mereka berdua hanya ditemani Bibik di dalam banglo yang besar itu. Umi sudah tidak bersama mereka lagi. Umi telah lama kembali ke Rahmatullah, sejak mereka di tingkatan satu dulu.

Umi menghidap penyakit kanser otak yang berjaya disembunyikan selama Umi bekerja di rumah mereka. Kasihan arwah Umi. Bergelut dan bertarung sendirian mengharungi sisa kehidupannya dulu.

 

Umi… terasa rindu benar Dik Na kepada Umi yang lebih dekat dalam hidupnya berbanding Mama. Kekosongan yang ditinggalkan oleh Umi itu kini walaubagaimanapun sudah terisi oleh Navin. Walaupun belum cukup mengisi kekosongan jiwanya, namun cukuplah untuk menjadi perawat dan penawar.

Kalau dulu, ada sahaja aktiviti keluarga yang dirancang Umi. Pikniklah, makan di tamanlah, jogginglah. Kadang-kadang Umi mengajar mereka memasak, membuat kek dan cookies. Malah pelbagai aktiviti yang tidak pernah dia dan Kak Ni jangka turut Umi lakukan.

Argh... indahnya saat itu.

Biarpun Mama tidak pernah berkesempatan untuk menyertai aktiviti mereka, namun si kembar tidak pernah hairan. Malah kalau dia imbas, mungkin kehadiran Mama tidak juga mereka alu-alukan waktu itu dulu.

Kalau Mama ada, mungkin keseronokan itu tidak akan sama.Maklumlah Mama, banyak sangat dontsdari donya.Cukuplah ada Umi dan Bibik. Hidup mereka sudah penuh dan ceria.

 

Kini tiada sebarang aktiviti kekeluargaan yang boleh memberi keriangan kepada mereka berdua. Jauh sekali memori yang boleh menjadi rindu-rinduan bila mereka di kejauhan. Semuanya sudah malap dan semakin sirna bila Umi tidak bersama mereka lagi. Umi sudah berehat di dunianya yang abadi.

Orang lain bila berpisah dengan keluarga, tidak sabar-sabar menanti waktu dan peluang untuk pulang ke rumah. Menghitung detik untuk pulang ke pangkuan ayah ibu dan keluarga yang tercinta. Yang dirindui.

 

Tapi mereka? Ahh, betapa bosan dan sunyinya kehidupan di dalam sangkar emas seperti ini. Patutlah pun orang memberi perumpamaan sangkar emas begini. Barulah dia faham akan maksudnya itu dalam-dalam. Bukan sekadar memahami malah sudah mengalaminya jua.

 

“Dik Na, awak ni serius ke dengan si Navin tu?”

 

Tiba-tiba terdengar sebaris ayat tanya dari mulut Adriani. Kakak kembarnya itu sedang berdiri di atas pengelap kaki yang terhampar di hadapan pintu bilik mandi kamar beradu mereka yang besar itu.

Biarpun banglo itu mempunyai banyak bilik kosong yang lain, dan biarpun mereka mampu memiliki bilik sendiri namun Adriana dan Adriani tidak mahu berpisah. Sekalipun bilik bersebelahan yang berkongsi bilik mandi, mereka tetap tidak mahu.

Satu bilik sudah cukup untuk mereka isi dengan segala keriuhan yang diharapkan dapat melontar jauh kesunyian, kesepian dan kekosongan. Biarlah mereka punya sesama mereka agar keheningan suasana yang tidak pernah diisi oleh Papa dan Mama tidak akan begitu ketara rasanya.

Entah apa sahaja yang difikirkan oleh Adriani sewaktu mandi tadi hingga persoalan itu terkeluar sebaik sahaja dia selesai membersihkan diri. Adriani sedang mengesat rambutnya yang basah dengan tuala kecil di hadapan cermin solek.

“Kenapa?” tanya Adriana pendek sambil berpaling dari jendela lalu melangkah ke katilnya.

 

Sebiji epal merah segar yang tergolek di tepi bantal dicapai lalu digigit. Rangupnya. Acuh tidak acuh sahaja nada dan gayanya. Dia kemudian menyibukkan diri membelek majalah CLEO yang terhampar di atas bantal.CLEO bulan itu.

“Kak Ni ni kan suka sangat mandi malam-malam,” tegurnya.

“Tak eloklah. Nanti dapat sakit tulang. Kak Ni pun kan ke ada lelah?” dia terus menyambung bicara dan tanya. Berbaur leteran pula. Mungkin juga sengaja untuk menukar tajuk perbualan.

“Kak Ni mandi air panaslah…” dalih Adriani.

“Air panas pun, tak eloklah mandi memalam macam ni. Nanti menjelang tua besok, semua tulang sakit-sakit, lenguh-lenguh. Jangan buat selalu.”

There is no such thing in medical termlah…” Adriana tertawa halus.

“Oi, cik kak doktor.Yang medical termtu medical termjuga.Tapi petua orang lama tu pun terbukti juga keberkesanannya. Pun rugi sangat ke kalau ikut je apa orang tua kata?” tempelak Adriana.

“Yelah…”

Malas Adriani hendak bertegang urat leher.Lagipun teguran si kembar sememangnya suatu kebenaran.Apa lagi yang hendak didebatkan? Kalaupun dia tidak mahu ikut, dengar sahajalah. Tidak akan rebeh pun telinganya.

“Dik Na,” panggil Adriani sambil mengenakan krim pelembab muka waktu malam ke wajahnya.

“Papa bising awak punya phone bill dah cecah sembilan ratus ringgit bulan lepas,” Adriani mengerling kelibat kembarnya di cermin.

 

Kata-kata kembarnya itu hanya Adriana balas dengan cebikan. Sekali lagi menggigit epal merah. Berderup bunyinya. Lalu giginya yang putih itu menggigit dan mengunyah epal sehingga menjadi halus sebelum ditelan masuk ke dalam esofagusnya.

“Alah, baru sembilan ratus je. Belum sembilan ribu. Papa tu kedekut banget,” protes Adriana pula dalam slang yang selalu digunakan oleh Bibik.

Terbuntang mata Adriani mendengar patah-patah jawapan itu, “Hah? Sembilan ratus awak kata tak banyak?”

Jari-jemari Adriani yang sedang meratakan krim ke pipinya terhenti. Dipandangnya si adik kembar menerusi bilasancermin kaca di hadapannya itu. Macam tidak percaya pula dia mendengar kata-kata Dik Na itu.

Inilah masalahnya kalau menjadi anak hartawan. Sembilan ratus dan sembilan ribu itu terasa seperti sembilan sen saja. Takkanlah Adriana tidak belajar matematik di sekolah kot? Ada berapa kosong dan tempat perpuluhan pada setiap nilai nombor? Sampai sa, puluh, ratus dan ribu semua sama nilai sahaja padanya.

“Itu belum awak dengar Mama punya guruh campur petir lagi tau. Kalau tak Tsunami pun boleh jadi Taufan Black Rose, bukan setakat Melur lagi dah,” kata Kak Ni.

“Dik Na dahlah duduk hostel, pulak tu jarang-jarang balik, tak apalah. Ni telinga Kak Ni yang jadi mangsa. Dari carik dah nak jadi robek tau!” Kak Ni tunjuk telinganya berkali-kali. Ada juga yang kena cubit sampai berbekas malam ini nampaknya.

“Alah, Kak Ni buat pekak sudahlah…”

Adriana masih membelek majalah. Dari satu halaman ke satu halaman lain. Langsung tidak memandang si kakak kembar yang sudahpun siap berbaju tidur kuning cair dalam pada membebel itu.

“Hish, tak baik. Nanti Allah pekakkan terus telinga Kak Ni. Tak moh lah,” terjungkit kedua bahu Adriana. Ngeri dengan akibat balasan itu.

Si kakak kembar sudah membetulkan tuala kecil yang menutupi rambutnya yang masih belum cukup kering. Tidak berhasrat untuk menggunakan pengering rambut. Sama seperti Adriana. Takut rambut cepat rosak.

“Dik Na, dalam laptopDik Na ada gambar Navin ye? Handsome juga eh…” dia kemudian mengusik sambil duduk berjuntai kaki di birai katil Adriana. Marahnya tadi tentang nilai sa, puluh dan ribu sudah mereda. Memang Adrianisikapnya begitu, marahnya tidak lama.

 

“Mana Kak Ni tau?” soalnya dengan riak terperanjat.Epal yang tadi sedang melalui proses kunyahan, terhenti di dalam mulut.

 

“Hah, Kak Ni ceroboh ye? Tak baik tau… itu kan rahsia peribadi Dik Na?” kedua-dua belah pipinya yang putih gebu bertukar kemerahan.

Dia bukan marah tetapi lebih kepada merasa malu dan segan. Apa lagi yang telah diketahui oleh kakak kembarnya itu?Sudah jadi macam gaya wanita James Bond pula Kak Ni.

“Eleh, rahsia konon,” cebik Adriani.

“Eh, awak lupa ke saya ni kembar awak?Kak Ni taulah semua rahsia Dik Na tu. Awak selalu dating dengan dia ya?” dipiatnya bahu si adik perlahan.

 

Adriana tepis piatan Kak Ni sambil mengusap-usap bahunya yang terasa sakit sedikit itu, “Sakit dong kak, jangan dipiatin dagingku ini,” usik Adriana dalam slang Bibik.

“Adalah seminggu sekali. Kekadang seminggu dua kali.”

“Mak ai, seminggu dua kali?Eh, sampai hati Dik Na dera Navin macam tu. Kan dia kerja kat JB. Ulang alik KL?”

“Alah, tak pun memang dia nak balik kampung dia kat Raub.Kan dia tu Amma punya anak soleh…” jawabnya dalam gelengan kepala gaya orang India dengan batang leher dilembikkan.

“Yang Kak Ni asyik tanya orang je, Kak Ni punya boyfriend macam mana pulak?”

 

Pertanyaannya mengundang suatu riak di wajah Adriani. “Mana ada… dah tutup buku,” perlahan sahaja suaranya menafikan. Wajahnya pun sudah panjang. Sugul.

 

“Kak Ni kena habiskan course ni dulu.Mama dah warningawal-awal. Selagi tak jadi doktor, there will be no boyfriend...” Adriani melangkah perlahan ke meja komputer.Cuba menghindar pandangan Adriana. Takut terburai segala rahsianya.

“Tapi tak apalah, Kak Ni pun bukan suka sangat dengan mamat tu. Possessivegila... elok juga ikut cakap Mama, studydulu, baru fikir benda lain.”

“Ye lah, ikutlah cakap mama tu. Jangan pula nanti dapat kanser sebab makan hati berulam jantung. Pun jangan sampai masuk kelab andartu sudah,” perli Adriana sambil terus menyelak halaman majalah. Wajah Adriani yang sedang terbongkok menghidupkan suis komputer itu dikerlingnya sekilas.

“Eh, kita ni kan sebagai anak, wajib ikut cakap orang tua tau. Kak Ni tak nak jadi anak derhaka. Nanti tak masuk syurga…” dalih Adriani berlandaskan hukum.

“Lah, siapa pulak yang suruh Kak Ni jadi si malin kundang, anak derhaka tu?” Adriana tertawa dengan gelagat kembarnya itu.

“Ye lah kalau tak dengar cakap Mama dengan Papa, bukan ke anak derhaka namanya tu?” pantas Adriani membalas tanpa sebarang motif dan niat.

Dia sudah duduk di atas katilnya pula. Tuala yang hampir terlerai dikemaskan semula untuk membalut rambut di atas kepalanya. Skrin komputer yang sedang mencerah dia tenung sahaja.

Suasana tiba-tiba berganti sunyi. Adriana terdiam sejenak. Entah mengapa hatinya sedikit terasa dengan kata-kata itu. Biarpun dia tahu Adriani tidak punya sebarang niat namun entah mengapa dia tidak mampu memujuk hati agar kekal rasional. Bicara Adriani seolah mengingatkan dirinya kepada perkara yang lepas.

“Kak Ni nak kata Dik Na ni anak derhakalah ye?” perlahan sahaja nadanya menuturkan pertanyaan itu.

Terkesima. Sedar adik kembarnya itu seorang yang amat sensitif. Pasti kata-katanya tadi telah sedikit sebanyak meninggalkan kesan mendalam kepada Adriana.

“Eh, apa pulak ni? Bila masa Kak Ni kata Dik Na anak derhaka?” cepat-cepat Adriani menenangkan gelombang yang nampaknya mula hendak beralun geloranya.

 

“Ye lah, Kak Ni kata kalau tak ikut cakap Mama dengan Papa, kan namanya anak derhaka. Dik Na bukan ke tak ikut cakap mama dan papa dari dulu?Instead of taking course to be a doctor like you, I enrolled for nursing programme.Mama kan tak restu?spontan sahaja kata-kata itu terluah dari Adriana.

Giliran Adriani pula terdiam kali ini. Demi Tuhan dia tidak bermaksud langsung untuk membangkitkan hal itu. Mahu sahaja ditepuk bibir nipisnya. Bukankah sudah dikatakan oleh orang tua-tua yang bijak bestari. Bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar.

Pada malam yang permai dan sunyi begitu, tanpa sedar dan niat dia telah mengguris perasaan halus gadis itu. Sesal bertamu dalam hati kerana telah membuat adik kembarnya itu berkecil hati. Sumpah dia tidak sengaja.

Perlahan-lahan dia menapak menghampiri Adriana yang sedang berwajah muram di katilnya. Adriani menggigit bibir lalu duduk di birai katil. Aduhai...

Sorry...” ujarnya perlahan sambil memegang belakang kepada Adriana,“Kak Ni tak bermaksud begitu…” dalam hatinya terasa gentar.

 

But it is a factkan Kak Ni?” nada Adriana seakan hiba.

 

“Dik Na ni bukan anak yang baik,” dia paling wajah memandang kakak kembarnya.

“Dik Na selalu tak nak ikut kemahuan mama dan papa.Dik Na pentingkan hati dan fikiran sendiri je. Dik Na selfish.Tak macam Kak Ni yang sanggup berkorban untuk bahagiakan Mama dan Papa. Sebab tu Mama lebih sayangkan Kak Ni...” luahnya.

 

“Ye...” Adriani pandang cermin solek yang besar. Tembus.

“Sampai diri dan perasaan sendiri yang terkorban…” bicara Adriani itu terlalu perlahan dalam keluhannya yang hampir tidak kedengaran.

 

Memang perlahan, kerana Adriana tidak mampu mendengarnya.

“Mama dan papa tak suka Dik Na jadi jururawat.Yelah, kerja Dik Na ni kotor, kelas kedua.Tak sesuai dengan status dan taraf keluarga kita…”

Tetap juga Adriani membisukan diri. Memberi ruang untuk adik kembarnya itu meluahkan rasa hati. Selama ini mereka selalu mengelakkan perkara itu. Dia sendiri tidak pernah mahu bertanya. Bimbang hanya akan menambah luka di hati Adriana.

Tetapi malam itu, mungkin yang terpendam harus diluah agar ia tidak terus berkudis dan menjadi nanah.

Previous: CHAPTER 7
Next: CHAPTER 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.