Penyata-penyata bil Maxis tercampak ke atas
meja kaca di tengah-tengah ruang tamu. Ke depan batang hidungnya yang mancung.
Namun sedikit tersasar ke hujung meja. Hampir sahaja jatuh ke atas permaidani yang terhampar.
Tangan kurus Adriana perlahan-lahan mengambil
bil-bil itu yang sudah terdampar itu. Cuba dibacanya angka-angka di kotak ‘amount
due’. RM834.50, RM907.80, 955.32… eh, menggeletar juga jemarinya. Bentuk
graf yang meningkat.
Tidak sanggup melihat bil-bil yang
seterusnya kerana dia sudah dapat mengagak angkanya. Dalam beraninya, Adriana
masih akan ketar jika berbuat kesalahan. Dan Adriana akui, dia memang bersalah
dalam hal ini.
Benarlah kata pepatah, berani kerana
benar, takut kerana salah…
“Awak
cuba bagi Mama lima alasan kenapa bil telefon Adriana ni banyak macam ni?”
Syarifah Adirahana tidak memandang Adriana. Sebaliknya dia memerangkap Adriani.
Anaknya yang seorang ini mudah dilentur.
Hah!
Lima? Berkerut dahi Adriani yang sudah mula merenik peluh halus itu saat
mendengar guruh di dalam suara Mama. Banyak tu... bolehkah dia menjawabnya?
“Kak Ni… Kak Ni...” tergagap-gagap Adriani
bila disoal seperti itu. Wajahnya sahaja sudah memutih. Pucat disergah Mama.
“Kak Ni apa?!” herdik Mama.
“Kak Ni tak tahu?” Syarifah Adirahana
meledak bagai gunung berapi yang meletuskan larva sulung.
“Macam mana Kak Ni boleh tak tahu? Atau
Kak Ni pura-pura tak tahu?” gertak Syarifah Adirahana dengan suara sedikit
keras.
Adriani tertunduk memandang hujung jemari
kakinya yang juga sudah dijangkiti putih pucat dek ketakutan. Adriana perasan akan keadaan itu. Terbit pula
rasa kasihan di dalam hatinya melihat Adriani. Memang kakaknya itu terlalu
tunduk dan takut dengan Mama mereka.
Dulu Abang pun begitu. Tetapi akhirnya
dalam diam-diam, berani juga kahwin dengan gadis pilihan hatinya. Nekad dengan
pilihannya itu biarpun Mama bertempik laksana guruh di musim tengkujuh.
Abang sulungnya itu, Syed Arman Feysal
rela dan redha dibuang dari keluarga dan keturunan Syed Syarifah sekaliannya.
Sanggup bersusah di atas dua belah kakinya sendiri. Tidak terkilan biarpun Mama
dengan serta-merta menggugurkan namanya dari wasiat pengagihan hartanya yang
melaut, menggunung dan berkepuk itu. Marah betul Mama!
Abang teguh dengan pendiriannya.
Sekalipun, Siti Sarah bukan pilihan Mama. Biarpun Siti Sarah adalah pilihannya
yang tidak direstui oleh keluarga Syed Syarifahnya, abang tetap nekad dengan
kepercayaan dan keyakinan yang kental di dalam jiwanya.
Hanya dia yang hadir di majlis pernikahan
serba sederhana abang sulungnya itu dulu. Kak Ni tidak ikut walaupun Adriana
tahu Kak Ni menangis dalam hati. Dia takut dan bimbang untuk mengikut Adriana
ke majlis Abang Feysal.
Kalau Mama tahu habislah… katanya dulu.
Tapi Adriana tidak peduli. Hatinya sama keras atau kurang sedikit kerasnya
berbanding hati abangnya, Syed Arman Feysal.
“Sampai hati Mama dan Papa tak mahu datang.
Adriani pun…” luah Feysal perlahan usai majlis pernikahan malam itu di rumah
keluarga kak Siti Sarah.
Hati Adriana sayu. Namun dia tidak mahu
menunjukkan kesayuan itu kepada Abang. Lantas dia mempamer wajah cerianya
sambil mereka alasan bagi pihak kembarnya.
“Kak Ni nak ikut tapi Mama dan Papa ada di
rumah. Dia tak dapat cari alasan. Dik Na memang dari hostel, tak kisahlah kalau
Mama bagi ke tak..”
Feysal cuma mengangguk lesu.
Nafasnya ditarik panjang. Pandangan matanya menembusi dinding rumah. Mungkin
merenung masa depan yang bakal dilaluinya mulai detik itu.
Setelah bergelar suami, kini abang
akan memikul tanggungjawab yang lebih berat. Tidak lagi sekadar menjadi
khalifah kepada dirinya sendiri. Tetapi juga menjadi khalifah kepada isteri
tercinta serta bakal keluarga yang akan dibinanya.
Abang harus berdikari kerana tidak
akan ada satu sen pun bantuan yang akan dihulurkan oleh Mama dan Papa lagi.
Itulah natijahnya jika ingkar dengan kehendak dan kemahuan Syarifah Adirahana.
“Sekarang abang dah tak ada
sesiapa. Abang sekarang hidup sebatang kara…” luah Feysal perlahan. Sayu.
“Abang kan dah ada Kak Sarah
sekarang, Dik Na pun kan ada?” nadanya ceria sekadar menggembirakan hati
abangnya itu.
Kakak iparnya, Siti Sarah yang
setia di sisi abangnya itu kelihatan manis dan jelita bertudung serta berbaju
kurung warna peach. Sedondon dengan suaminya. Dalam hatinya, Adriana
berkata-kata sendiri.
Apalah salahnya dengan Kak Siti
Sarah ini? Orangnya malah cantik juga. Pada pandangan mata hati Adriana, Kak
Siti Sarah lebih cantik dari Syarifah Alis Aneesa, anak Mak cik Syarifah Amnah,
yang menjadi pilihan hati Mama untuk abang dulu.
Namun dia tahu rupa paras bukanlah
ukuran sebenar yang membuatkan hati abang terpaut pada wanita itu. Pastinya ada
lebih banyak perkara yang baik lagi indah pada Kak Siti Sarah yang telah
mencuri hati abangnya itu.
Lagipun orang kata kecantikan itu
adalah isu yang subjektif. The beauty is in the eyes of
the beholder kan? Suka hati dialah...
Pun rasanya kalau that beauty is in the eyes of abangnya itu, dia
setuju jugalah. Samalah juga dengan ‘the beauty in her eyes’ juga. Adriana
renung Siti Sarah. Riak wajah kakak iparnya itu lebih tenang dan lembut.
Selembut tutur dan tingkahnya.
Hendak dikatakan tidak punya kelulusan, Kak Siti Sarah ada PhD dalam
Business Admin. Kalau hendak dipersoalkan kerjayanya, Kak Siti Sarah merupakan
seorang pensyarah di UiTM. Di kampus induk di Shah Alam. Sama seperti abang Feysal
juga. Eloklah dari kerjayanya sebagai jururawat yang selalu Mama pandang rendah
sangat-sangat itu.
Hendak dipersoalkan asal usulnya? Keluarga Kak Siti Sarah tidak
dinafikan memang orang-orang yang berperibadi semuanya. Seharusnya Mama dan
Papa yang merasa segan kalau peribadi mereka yang dijadikan ukuran.
Kita hidup di muka bumi Tuhan ini
seharusnya sentiasa bersikap hamba. Merendah diri. Tapi baginya Mama sudah
menjadi manusia yang taksub dengan duniawi.
Dan Papa... Papa masih belum punya kekuatan seorang khalifah untuk
membimbing keluarga mereka.
Adriana jadi malu tiba-tiba. Siapalah Mama
dan Papa mereka kalau dibandingkan dengan orang tua kak Siti Sarah itu. Ayahnya
merupakan Imam di kawasan tempat tinggalnya. Seorang yang berilmu agama dan
selayaknya dihormati.
Ibunya pula seorang bekas guru agama. Kini
ibu mertua abang itu mengajar tajwid dan taranum kepada budak-budak dan orang
dewasa di kawasan itu. Ibu bapanya orang baik-baik. Kak Siti Sarah juga
merupakan anak perempuan tunggal. Yang bongsu. Satu-satu saudara lelakinya,
adalah Koordinator Pelajar yang kini sedang berada di UAE.
Jadi, Adriana tidak mampu untuk mencari
dan mencerna apa lagi salah atau kurangnya Kak Siti Sarah untuk menjadi menantu
keluarga mereka di mata Mama? Mungkin salahnya, Kak Siti Sarah adalah Siti
Sarah. Bukannya Syarifah Siti Sarah.
Yang paling Adriana kesali adalah sikap
berkecuali Papa yang tidak pernah berubah.Papa pun tidak pernah mahu bersuara dalam hal ini.
Malah semuanya Papa serahkan pada keputusan Mama.
Papa diam sahaja saat Mama membuang anak
sulungnya itu. Namun masih juga Adriana tahu Papa menangis dalam hati
lelakinya. Kasihan Papa...
“Apa dah jadi dengan kamu ni, Adriana?!”
Hush semangat! Adriana urut dada.
Serta-merta wajah Abang Fesal, Kak Siti Sarah dan majlis nikah terpelanting
keluar dari ruang matanya.
Tempikan lantang Mama bergemuruh dalam
dada Adriana. Wajah Mamanya juga sudah berona kemerahan. Tetapi semakin Mama
panas, semakin pula Adriana terbakar.
Adriana sudah tidak gentar lagi. Cuma dia
tidak rasa hendak melayan Mamanya tika itu. Tanpa kata, dia hanya melangkah
pantas menaiki anak-anak tangga menuju ke biliknya.
Jeritan Mamanya semakin hilang dari
pendengaran. Pun memang dia tidak mahu ambil peduli. Apa nak jadi, jadilah.
Mama marahpun, takkan sampai tergamak menyakitinya? Membunuhnya.
Aku kan anak dia? Lagipun takkanlah Mama
sanggup nak bunuh anak dia ni? Mama pasti takut dengan penjara...
Ah Mama... mana bisa hidup susah rasanya.
“Itulah Dik Na...”
Mulut Adriana sudah mula muncung saat mendengar
ulang kata-kata itu.
“Kan Kak Ni dah pesan banyak kali jangan
bergayut lama-lama sangat. Tengok tu bil telefon dah melambung, tengok pulak
macam mana Mama melenting tadi,” leter kembarnya itu sewaktu mereka berbaring
di atas katil masing-masing.
“Tak nak percaya tau cakap orang...”
Mata Kak Ni masih merah. Bekas menangis
tadi. Sedu dari esakannya pun masih kedengaran sekali sekala.Adriana muncung. Leteran Mama tadi masih
berbekas di cupingnya.
Adriana buat pekak sahaja. Bukan dia tidak
mahu dengar. Tetapi dia sudah bosan mendengarnya. Tidak perlu lagi Kak Ni
ulang. Setiap patah perkataan yang terbit dari mulut Mamanya yang laksana
bertih digoreng itu memang sudah sebati melekat dalam ruang kokleanya.
”Itupun nasib baik mama belum tahu pasal
si Navin tu... kalau tidak tak tahulah apa nak jadi dengan dunia ni...
tolonglah Dik Na...”
Muncung lagi. Malas hendak dia layan
ratapan dan rintihan kembarnya itu. Kak Ni pun sama macam Mama juga, tidak
pernah mahu faham akan hati dan perasaannya!
“Lagipun apa bendalah yang awak bualkan
dengan si Navin tu sampai berjam-jam? Tak ingat ke awak tu nak bekerja ke nak
rehat ke nak buat apa-apa benda lain ke?”
Masih juga Adriana senyapkan dirinya. Langsung
tidak ada hati hendak bertikam lidah dengan Kak Ni. Penat menelan butir-butir
leteran Mamanya tadi pun masih belum reda. Takkanlah hendak tambah lagi sebakul
bebelan Kak Ni pula? Aduh, antara siksaan-siksaan dunia yang buat dia sengsara.
Kadang-kadang Adriana rasa kembarnya
sedikit sebanyak mewarisi mulut becok Mamanya. Eloklah tu, esok-esok di hari
tuanya ada juga orang yang boleh jadi ‘Mama’ kepadanya bila Mama sudah tidak ada
lagi.
Ish! Adriana? Apa pula sampai ke situ
fikirnya... getus hatinya sendiri.
“Dik Na! Dengar tak apa Kak Ni kata ni?”
Adriani menggoncang bahunya. Tapi Adriana tetap mahu membatukan diri.
“Dengar…” lambat kemudian dia membalas
juga. Sepatah. Lalu menarik selimut menutupi tubuhnya hingga separas dada.
Adriana toleh ke penghawa dingin.
“Sejuknya, Kak Ni pasang suhu berapa ni?” dia mengomel.
Adriani geleng kepala lalu melangkah
mendapatkan remote penghawa dingin yang dilekatkan ke dinding. Dia
mengurangkan suhu penghawa dingin itu. Rasa hairan terbit di hatinya.
Tidak pernah-pernah pula manusia itu
mengadu sejuk. Biasanya suhu takat beku kutubpun dia masih boleh
berpeluh-peluh. Waktu tengah dinasihatkan itu pulalah datang angin sejuknya.
Sengajalah tu, macamlah kita ni tak faham
dengan perangai dia…Adriani
mengomel di dalam hati.
“Lagi satu yang Kak Ni hairan. Asyik awak
je yang telefon dia, si Navin tu tak ada handphoneke?”
“Ada…” jawabnya. Sepatah juga.
“Dah tu, kenapa dia tak nak pakai handphone
dia untuk telefon awak?”
“Dia guna prepaid. Kesianlah kat
dia kalau nak suruh dia yang telefon selalu…”
Adriana baring mengiring di atas katil.
Sengaja. Supaya dia dapat membelakangi kembarnya yang masih berminat untuk
berleter itu. Kalau boleh dia tidak mahu memandang muka Kak Ni. Takut kak Ni
korek semua rahsianya. Tak macholah kalau Kak Ni tahu semua rahsianya itu.
“Tahu kasihan kat orang lain?Habis, kat keluarga sendiri tak kesian?”
tempelak Adriani.
Navin bukan orang lainlah... protes
Adriana dalam hati.Kan dia
akan jadi adik ipar Kak Ni. Akan jadi menantu Mama dan Papa? Akan juga menjadi
sebahagian daripada keluarga ini.
“Kak Ni pun sama macam Mama, kedekut…”
“Eh, bukan kedekut tau… berjimat. Tahu ke
tidak yang membazir tu pekerjaan syaitan?”
“Membazir apa pulaknya?” protes Adriana
sambil mengerling wajah Adriani dengan hujung matanya.
“Dik
Na cuma callNavin, borak-borak.Kak Ni tau tak kerja Dik Na ni penat sangat, sakit
tau otak ni.Bila dapat berbual
dengan dia hilanglah sikit sengsara Dik Na ni…”
“Macam tak ada orang lain yang awak boleh
berbual dalam dunia ni. Macamlah awak tu tak ada keluarga?” tukas Adriani.
Tergelak kecil dalam selimut. Sinis
bunyinya, “Keluarga?”
“Siapa?” soalnya lagi.
Lalu Adriana bingkas bangun. Pandang muka
Kak Ni sedikit waktu. Hatinya sudah mula terbakar.Sikit lagi kalau Kak Ni masih mahu meneruskan
provokasi ini, pasti hatinya akan rentung.Tengoklah kalau tak percaya...
“Cuba Kak Ni bagi tau kat Dik Na sikit.
Manusia mana dalam rumah ni yang ada masa nak entertain Dik Na ni?”
Kembarnya itu seraya terdiam mendengar
semburannya.
“Mama?” Adriana dekatkan wajahnya ke wajah
Adriani yang terkedu.“Papa?” dia tarik kembali wajahnya lalu duduk tegak.
“Heh, lebih baik diorang duduk dengan Tun
Tan Sri, Datuk Nenek, Toh Moh Meh ntah apa-apa, Tuan Syed Syarifah diorang tu.
Ada gak faedahnya kan…” Adriana terus mengomel.
“Bibik?” lehernya dia panjangkan seolah
Bibik ada di ambang pintu bilik mereka.
“Daripada dia melayan Dik Na, baiklah dia
masak ke, mengemas ke, membasuh ke, menyiram pokok bunga ke. Petik buah limau
kasturi kat belakang tu ke buat sambal belacan. Kalau tak nanti dikatakan dia
makan gaji buta pulak,” kata Adriana panjang dan sinis.
“Kak Ni?” Dia tenung muka kakak kembarnya
dalam-dalam. Kembang-kempis hidungnya menahan geram dengan sikap lurus bendul
perempuan yang serupa wajah dengannya itu.
“Lagilah… Kak Ni lebih suka tengok
buku-buku Kak Ni tu daripada tengok muka Dik Na ni hah. Pun nak tengok buat apa,
ye tak? Sebijik macam rupa Kak Ni juga. Tak ada maknanya…”
Dia dengar Adriani tertawa perlahan.
“Orang cakap betul-betul, dia ketawa…”
Adriana kerling tajam.
Terpaksa Adriani hentikan tawa, “Tak
adalah, Dik Na ni kalau bercakap macam M16.”
“Sekarang orang dah tak pakai M16 lah Kak
Ni. Ada banyak lagi senjata canggih dalam dunia ni. Senjata yang tak berupa
senjata pun dah banyak. Tak ada M16-M16 lagi dah tau!” wajah Adriani dia
kerling.
“Itulah, baca jelah buku-buku perubatan
awak tu. Sampai apa jadi kat dunia pun tak tau…” kata Adriana dengan geram.
“Dah, melalut pula dia. Kak Ni nak pesan
ni, awak tu perempuan. Janganlah asyik awak je yang memberi. Esok kalau dia dah
terbiasa menerima je, payah…”
Adriani menghela nafas. Demi Tuhan dia
tidak berniat untuk menghalang perhubungan adiknya dengan pemuda India yang
bernama Navin itu. Cuma perasaannya menjadi tidak enak tiap kali memikirkan
bahana jika Mama dapat menghidu percintaan dua dunia itu.
“Dia kan lelaki… kalau nak seribu daya.
Kalau dia rindu kat Dik Na, biarlah dia yang telefon. Masa ni lah pun nak
tengok keikhlasan hati orang lelaki. Jangan sebab dia tahu Dik Na ni anak orang
berada, dia nak ambil kesempatan pula…”
Adriana tarik selimut, kali ini terus
melepasi hujung kepalanya. Enggan mendengar Kak Ni berceloteh yang bukan-bukan
tentang kekasih hatinya itu. Bukanlah dia hendak mendabik dada. Tetapi sehingga
saat itu dia lebih tahu hati budi Navin.
Lagipun bukan salah Kak Ni kalau
prejudisnya itu mengambil sedikit ruang. Kak Ni pun belum lagi mengenali Navin
sepenuhnya. Oleh itu apa sahaja dakwaan dan prasangka Kak Ni terhadap Navin
adalah tidak relevan sama sekali.
Apapun, Adriana masih rasional. Tidak ada
gunanya dia bertegang urat semata-mata untuk mempertahankan perkara yang dia
sendiri tahu tidak akan memberi apa-apa makna kepada ahli keluarganya itu.
Pucuk pangkalnya setiap ahli keluarganya
itu pastinya tidak akan rela dan tidak pernah akan mengizinkan perhubungannya
dengan Navin. Adriana tahu sangat patah-patah kata yang akan diungkapkan oleh Mamanya.
Tidak. Titik. Fullstop! No! Never! Jangan
harap!
Matanya sudah separuh terpejam. Dia tidak
sabar menanti suria esok. Dia berdoa agar mentari bersinar dan memutar hari
dengan cepat. Tidak sabar untuk ketemu lagi kekasih hati yang dirindui.