Home Novel Keluarga SUAMIKU HEROKU (Sayang You Kerana Dia)
CHAPTER 15

Navin memberhentikan Wiranya di bahu jalan. Di bawah pohon ceri liar yang tinggi. Rerantingnya yang berdaun hijau merendang begitu pemurah meredup dan meneduhi pinggir jalan. Pun buah-buah ceri yang kecil itu sudah ada yang meranum. Teringat Adriana yang memang pantang jumpa pokok ceri liar. Habis dikutipnya buah ceri kecil yang sudah kuning atau merah itu lalu dimakannya.

Enjin keretanya tidak dia matikan. Sengaja dia biarkan terus hidup. Hanya radio yang bernyanyi sejak tadi dia perlahankan segera. Jam di dashboard dia kerling sekilas. 7.29pm. Dia tahu sebentar lagi azan pasti akan berkumandang.

Cermin kereta dia turunkan sedikit. Mahu mendengar laungan seruan azan itu sejelas-jelasnya. Sambil menunggu, matanya tidak lepas memerhati ke arah masjid yang begitu indah tersergam itu. Jemaah yang lengkap berpakaian baju melayu dan bertelekung putih kelihatan bergegas melangkah masuk ke dalam masjid. Begitu indah dan damainya panorama itu pada pandangan seorang Navin.

Akhirnya azan maghrib yang dia tunggu-tunggu itupun kedengaran seketika kemudian. Berkumandang lantang dan jelas di telinganya. Nafasnya dia hela dengan sepenuh rasa takjub dalam diri.

Begitulah dia kebelakangan ini. Setiap kali shift petangnya habis, seboleh mungkin dia akan cuba singgah di sini. Berhenti di tepi jalan masjid ini.Saban hari dia ingin mendengar kalimah azan itu. Hingga Navin sudah tahu makna setiap kalimahnya.

Buku-buku agama pemberian Adriana pun banyak membantunya mengenali Islam. Dia senyum tipis bila Adriana melayang ke dalam ingatannya.

Ah Adriana... beria-ia benar menyuruhnya mempelajari Islam.Tetapi gadis itu sendiri belum cukup Islam. Navin selalu sindir Adriana tentang hal itu. Tetapi jawapan Adriana buat dia berfikir.

“Kalau yourasa Ini belum cukup Islam dear...cepat-cepatlah youmasuk Islam. Nanti sebagai suami, youyang kena bimbing Ijuga.”

Navin selalu berfikir peranannya nanti sebagai suami, dan perkara membimbing gadis itu. Bukan dia takut untuk memikul tanggungjawab itu. Adriana pun bukan sukar dilentur. Cuma nampak seperti dia harus sentiasa diperingatkan sahaja.

Bukan juga kerana memperkecilkan permintaan Adriana yang kelihatan sedikit janggal. Dia seorang yang tidak percaya pada setiap agama diminta untuk membimbing seorang Islam? Dirinya itu?

She must be out or her mind...

Di sebalik semua kebimbangan itu, sebagai seorang manusia Navin rasa dia belum pernah gentar memikul tanggungjawab. Pun sebagai seorang lelaki, dia memang harus memikul semua tanggungjawab di pundaknya.

Kalaupun Adriana bukanlah perempuan yang hendak dia kahwini, tetap juga dia punya tanggungjawab untuk menjaga isteri dan keluarga. Biarpun nanti yang dia kahwini itu gadis China atau India atau orang putih sekalipun.

Cuma bezanya adakah insan yang akan dia kahwini itu membenarkan dia membuktikan keupayaannya untuk menjalankan tanggungjawab? Sedangkan Navin begitu sedar akan kedudukan dan limitasi dirinya.

Kadang-kadang Navin cuba bertanya dengan diri sendiri. Kenapa sukar benar semua ini menjadi pasti untuknya. Dia menyayangi gadis Islam itu. Kebanyakan detik dan saat dalam hidupnya, Navin memang pasti akan itu. Adriana seperti degupan jantungnya. Adriana seperti hembusan nafasnya.

Semangatnya membara setiap kali mendengar suara gadis itu. Kesakitannya menjadi tawar setiap kali melihat sinar dalam senyuman di wajah Adriana. Gelisah rasanya selalu hilang bila Adriana memujuk dan menasihatinya.

Tetapi bila setiap kemungkinan itu dia tekuni, Navin jadi takut dengan perasaan kasihnya itu terhadap Adriana. Bukan setakat memikirkan betapa dia dengan Adriana seperti pipit dan enggang. Jurang kedudukan dan harta, berlainan bangsa dan agama. Warna usah kata lagilah...

Penerimaan masyarakat? Penerimaan keluarga yang paling penting. Malah yang kritikal sekarang adalah penerimaan dirinya sendiri. Apakah dia sanggup menukar pendiriannya hanya kerana mencintai Adriana yang beragama Islam?

Berkahwin selalunya tidak semudah menjalani proses bercinta, walaupun pada dasarnya tidak mudah juga untuk melalui episod cinta itu sendiri. Perkahwinan itu sendiri nanti bukanlah seindah percintaan dan impian. Apatah lagi kalau perkahwinan itu perkahwinan campur.

Mix-marriage.

Selama ini dia cuba untuk mencari satu titik dalam hatinya. Selalu mencari titik itu. Fikirnya, kalau dia ketemu titik itu mungkin dia sudah mampu memberikan jawapan kepada persoalan yang sering berlegar dalam benaknya sendiri.

Rasa kepinginnya untuk bercerita kepada seseorang selalu melonjak dalam dada. Dia perlu untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam dada ini. Dia perlu mendengar seseorang memberikan dia beberapa pilihan. Seseorang yang menunjukkan jalan untuk dia tuju dalam kemelut yang melingkari dirinya.

Dia mahu mencari seseorang yang bukan sekadar memahami tetapi juga jujur mengungkapkan kata. Navin tidak hanya mahu disuap dengan indahnya impian tanpa diyakinkan bahawa mencapai impian itu kadangkala boleh menjadi terlalu sukar. Kadang juga mustahil.

Semustahil menggapai bintang di dada malam?

Life is just not a bed of roses...



Adam selesai memberi salam terakhir dalam jemaah mengikut Imam. Suara lantang Imam yang mengalunkan puji-pujian terhadap Allah yang Maha Besar dia hayati dengan penuh dalam.

Astaghfirullah Rabbal Baroya, Astaghfirullah Minal Khatoya,

Rabbi zidni ‘ilman naa fi’a, Wawa fiqni ‘amalan maqbula, Wawahabli rizqan waa si’a, Watub ‘alaiya taubatan nausuha, Watub ‘alaiya taubatan nasuha

Betapa kesedaran itu menusuk tangkai hatinya. Dalam usia begini dia sudah dapat merasakan kematangan diri semakin meranum.Tidak lagi seperti zaman remaja bila darah muda menggelegak dalam jiwa. Nafsu dan nafsi membuak tidak mampu dibendung.

Adam membetulkan sila. Meraup wajah yang masih lembab dek wudhu’. Mulutnya kumat kamit menyebut zikir dan tahmid. Subhanallah, Walhamdulillah, Laillahaillallah, Allahuakbar!

Imam mula memanjatkan doa. Para jemaah mengangkat kedua belah tangan masing-masing. Dia tidak akan pernah mahu ketinggalan. Dalam mengaminkan doa yang dibacakan oleh Imam, dia turut memanjatkan doa untuk kedua ibubapanya. Ibubapa yang membesarkan dia dan ibubapa lain itu yang telah melahirkan dia tanpa pernah dia tahu siapa sejak kecilnya.

Alhamdulillah Ya Rahman Ya Rahim. Sekali lagi dia berkesempatan untuk bersama-sama dalam solat berjemaah Maghrib itu. Sebentar nanti ada majlis bacaan Yassin beramai-ramai. Itu yang diberitahu oleh seorang rakan makmumnya tadi sewaktu bersedia di dalam barisan jemaah.

Ya lah, malam ini kan malam Jumaat. Esok penghulu segala hari itu akan menjelang lagi seperti minggu-minggu yang sudah. Setiap waktunya hadir tanpa kegagalan. Dan tengah harinya nanti akan bergegas pula dia untuk menunaikan solat Jumaat. Kewajiban yang selalu dia tunggu-tunggu untuk ditunaikan.

Tentang majlis bacaan yassin itu pula, memang hatinya selalu kepingin untuk turut serta. Tetapi dia sudah dijadualkan untuk menjalankan satu pembedahan di hospital nanti. Pembedahan untuk mengeluarkan tumor otak seorang pesakit wanita yang berusia lewat tiga puluhan.

Pembedahan itu nanti memang sudah dirancang dari minggu lepas. Pesakitpun sudah berpuasa sepanjang petang tadi. Semoga Allah mengampuni ketidak-mampuannya itu. Tuntutan tugasnya seringkali membuat dia tidak berdaya untuk melakukan apa yang ingin dia laksanakan.

Selesai mengaminkan doa, dia bersalaman dengan beberapa orang jemaah. Kemudian dengan berat hati meninggalkan heningnya majlis bacaan Yassin yang baru hendak bermula itu.

Di atas anak tangga yang terakhir, dia duduk menyarungkan stoking dan kasut. Sambil itu matanya menyeluruhi kawasan perkarangan masjid yang dipenuhi kenderaan.Gelap malam yang semakin menjelang itu diterangi oleh lampu-lampu jalan yang tinggi.

Matanya kemudian terpandang sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam. Kalau tidak silap ingatannya, telah dua tiga kali juga dia terpandang kereta itu.Setiap kali itu juga kereta itu terparkir di tepi jalan sana. Di hadapan masjid ini.

Atau apakah itu cuma perasaannya sahaja? Bukan ada satu sahaja Proton Wira berwarna hitam dalam Malaysia ni, fikir Adam lagi.Lalu cepat-cepat dia sudahkan menyarung kasut.

Adam melangkah perlahan ke arah keretanya. Kunci sudah siap dipegang. Namun anak matanya masih tidak lepas memerhatikan Wira hitam itu. Entah mengapa hatinya seperti merasakan sesuatu. Macam detektif penyiasatanlah pula, fikirnya.

Saat alarm buttonkereta dia tekan, Adam masih keberatan melepas pandang. Dia masih berdiri di sisi pintu keretanya. Jarak dirinya dengan Wira hitam itu tidaklah begitu jauh. Plat nombor kenderaan itu pun dia boleh nampak dari tempatnya berdiri.

Masih juga hatinya berbisik yakin, ia nombor plat yang sama pernah dia lihat sewaktu memandu keluar dari kawasan masjid setiap usai solat maghrib. Hatinya begitu terdorong untuk mengetahui. Pelik...

Dia tekan alarm sekali lagi untuk kembali mengunci kereta. Dalam hatinya ada rasa was-was. Tetapi langkahnya tanpa disuruh-suruh terus sahaja dipandu hati berjalan perlahan keluar dari kawasan masjid. Menuju ke arah Wira hitam itu.

Dari seberang jalan, jelas pada penglihatannya seorang pemandu sedang duduk termenung di dalam kereta itu. Termenung begitu jauh nampaknya, bisik hati Adam. Tekun berteleku.

Namun tatkala pemandu itu berkalih pandang, hati Adam berdetak. Pemandu yang berkulit gelap itu tersenyum memandangnya. Dan Adam juga menghulur senyum sebagai bahasa hormat.

Orang India... getus hatinya.

Dengan itu dia memusingkan langkahnya kembali ke dalam perkarangan masjid. Melangkah agak pantas berbanding tadi menghampiri keretanya. Orang India rupanya pemandu kereta itu.

Mungkin rakan atau pemandu kepada salah seorang jemaah yang sedang mengikuti kuliah masjid agaknya, bisik hati Adam. Dia sudah masuk ke dalam perut keretanya. Dengan senyum yang masih tersungging di bibirnya dia menghidupkan enjin kereta.

Namun saat dia memandu keluar dari perkarangan masjid, matanya bertemu pandang dengan pemandu Wira hitam itu lagi. Entah mengapa hatinya masih berasa akan sesuatu. Ada detak dalam hatinya yang sukar dia tafsirkan.

Ya Allah, apakah yang sebenarnya berlaku dalam hatiku ini? Firasat apakah yang sedang Engkau tanamkan ke dalam hati hamba-Mu ini Ya Allah...

Kaki kanannya tenang menekan pedal minyak. Dan matanya masih memandang Wira hitam itu melalui cermin pandang belakangnya.

Previous: CHAPTER 14
Next: CHAPTER 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.