Home Novel Keluarga SUAMIKU HEROKU (Sayang You Kerana Dia)
CHAPTER 1
Syarifah Adriana Fidzriah alias Dik Na tekun membaca halaman CLEO sambil mulutnya kumat-kamit mengunyah Nata deCoco. Sesekali tersengih-sengih sendirian. Pasti ada di antara artikel yang ditulis di dalamnya menarik hati.

Selalunya memang begitulah Dik Na. Dia akan tersenyum sumbing seorang diri jika ada tulisan artikel yang dibacanya itu bersangkut paut dengan diri dan kehidupannya. Ciri-ciri gadis remaja yang masih tebal dalam dirinya walaupun umur sudah bertambah hingga ke puluhan angka.

Seorang lagi gadis tinggi lampai yang sedang duduk mengadap desktop itu pula bernama Syarifah Adriani Fidzriah alias Kak Ni. Dia pula sedang menyudu sedikit demi sedikit puding caramel laici yang Dik Na buat pagi tadi bersama Bibik.

Sesekali lidahnya perlahan membasahkan ulas bibir. Boleh tahan juga rasanya. Terasa sungguh enak di tekak kurusnya itu. Halus di lidah. Sejuk dan manis sekali. Nampaknya sekarang Dik Na memang sudah pandai buat puding laici. Itupun setelah beratus kali mencuba.

Dik Na memang begitu, tidak pernah kenal erti putus asa. Dia tetap akan cuba lakukannya sehingga benar-benar berjaya. Barulah dia puas hati. Barulah nyenyak tidur dan selera makannya. Selagi tidak berjaya, telinga Adrianilah yang kena menadah berkarung bebelan dan sungutan itu.

Kalau awal-awal dulu, puding laici yang Dik Na buat selalu sahaja serba tidak kena rasa dan bentuknya. Kadang-kadang cair, paling teruk kalau pudingnya jadi keras. Macam cekodok batat kata Bibik.

Ajaibnya kali ini puding laici yang Bibik kata air tangan Dik Na sendiri itu terasa begitu sempurna sekali. Rasanya kalau tidak salah kak Ni lebih kurang sama seperti air tangan arwah Umi dulu.

Bukan sekadar almost perfectlagi dah. It is already perfect! Congratulation my dear sister!

Sambil menyudu puding, Adriani masih juga duduk berteleku dengan tapak tangannya kirinya memanggung pipi.Pandangannya tidak lepas dari skrin komputer. Menunggu signal dari kotak Yahoo Messengger.

Tiba tiba!

Pling!

CcHantu : Hi there…!

OK, itu dia… bisik hati Adriani yang sedang berbunga senyum. Bibirnya melebar segaris tatkala membaca nama samaran yang digunakan olehchatter itu.

Hmm... CcHantu? Quite interesting,bisik hatinya lagi. Teruja untuk meneruskan perbualan dengan CcHantu.

Diletakkannya sudu ke dalam gelas bulat yang masih berisi sedikit puding itu. Berdenting bunyinya bila sudu besi itu berlaga dengan dinding kaca gelas. Signal untuk dia menaip mesej balasan membuatkan Adriani terpegun sejenak.

Bukan kerana dia tidak punya idea untuk menaip kata balas. Tetapi nama samaran Dik Na itu yang buat dia terasa pelik. Geli hati pun ada. Walaupun dia cuba untuk menerima sahaja nama samaran yang Dik Na gunakan itu, masih juga dia tidak mampu menahan perut yang menggeletek.

Dik Na... gaya sahaja kononnya brutal. Tetapi nama samaran yang dia gunakan buat orang rasa hendak ketawa besar. Sampai boleh terburai isi perut. Berulang kali dia membaca nama samaran si adik yang tertera di skrin komputer.

“Ikan parang?”

Dengan pantas dia toleh ke arah gadis itu yang sedang duduk santai di sofa bulat hampir berbentuk cendawan yang berwarna merah hati di tepi meja solek. Masih tekun membelek majalah CLEO bulan itu sambil mengunyah Nata deCoco.

Kedua-dua telinga Dik Na dipekap dengan earphone.Kepalanya pula terangguk-angguk. Ralit. Itu memang sudah pastilah sedang mendengar lagu kegemarannya. Volumnya pula hingga mampu Adriani dengar dari tempat duduknya itu.

Kuatnya!?

Adriani geleng kepala melihat gadis yang seusia dan seiras dengannya itu. Syarifah Adriana Fidzriah, adik kembarnya yang berusia lewat beberapa minit itu membuatkan mulutnya terherot ke kiri dan kanan.

Apa punya namalah yang minah ni pakai….

Ikan parang? Ikan lain tak boleh ke?Ikan emas ke, ikan kelisa ke... kan lagi sedap disebut dan didengar. Lebih relevan dengan jantina. Kalau lelaki bolehlah gunakan ikan jerung atau ikan jaws. Hih hih...

Adriani tertawa sendiri. Tidak sampai hati pula untuk mengejutkan si kembar itu dari ralitnya. Diaberkalih tubuh lalu kembali mendepani skrin komputer. Dalam masa yang sama jari-jemarinya masih terus pantas menaip di atas keyboard.

Ikanparang : Hi hantu...

“Dik Na, cepatlah… ada orang dah masuk ni,” gesa Adriani biarpun pandangannya masih tidak berkalih dari skrin.

Adriana yang kini sudah tegak duduknya di atas sofa menyudu kiub-kiub Nata deCoco yang bersisa di dalam gelasnya itu hanya mengerutkan dahi. Tidak berhasrat langsung untuk mempedulikan pangilan si kakak. Seolah nikmat kelazatan makanan kegemarannya itu lebih bermakna dari segalanya.

“Dik Na, cepatlah…” gesa Adriani lagi bila sunyi masih bertamu di dalam ruang.

“Tak maulah, Dik Na penat ni… Kak Ni aje lah yang layan,” dia menolak dengan gaya dan nada suara malasnya.

Dia bangun dari sofa kecil itu lalu membaling tubuh kurus tingginya ke atasempuk tilam yang terhampar di atas katil kayu berukir. Bersalut cadar Mickey Mouse yang bertanahkan warna biru laut.

Berbeza dengan cadar katil kakaknya Adriani yang lebih bertemakan alam flora. Bukan sekadar cadar tilam sahaja yang berbeza. Malah tata rias meja studymereka juga berlainan nada.

Melihat pada bahagian Adriani, mata akan tenang memandang corak-corak abstrak yang masih kelihatan corak bunga-bunganya. Begitu juga dengan poster-poster yang tertampal di dinding itu. Semuanya bernada motivasi.

Berbeza dengan bahagian katil dan meja studyAdriana. Penuh kartun di sana-sini. Masih ada sifat keanak-anakan dalam dirinya. Malah di atas katilnya penuh dengan pelbagai bantal kartun.

Dari spongebob,sampai ke mickey mouse,hingga ke bantal ulat. Doraemon dengan teddy bear, usah cakaplah. Sudah berekor-ekor tergolek-golek di atas katilnya.Sekali fikir, di mana pula Adriana tidur sudahnya di alam fauna itu. Tempat itu sudah lebih kelihatan dan bersuasana seperti petting-zoo pula.

Sedang Adriani cuma ada seekor teddy bearyangbesar.Tidak pernah lekang dari pelukan tidurnya. Sudah tentulah pemberian istimewa sebagai hadiah hari jadi dari teman lelakinya. Pasti sahaja punya nilai yang sentimental.

Adriani memang sayang sangat teddy bearnya itu. Sering kali sahaja Adriani jadi gila meroyan bila teddy bearbesar itu hilang dari atas katilnya.Disorokkan Adriana.Dua kembar seiras, tetapi berlainan sikap dan citarasa.

“Kak Ni lagilah, ada assignmentnak kena buat,” ujar Adriani. Betullah tu, dia memang harus menyiapkan tugasan untuk serahan esok hari. Sebelum jam lima petang lagi.

Bukan dia tidak biasa menyiapkan tugasannya dalam tempoh-tempoh terakhir. Last minute.Pernah saja dia terkial-kial menaip, mencetak dan bind tugasan di kampus. Tetapi esok jadual kelasnya terlalu padat. Back to back.

Dari pagi sehinggalah petang esok, dia punya tigakuliah yang harus dihadiri.Without fail!Kalau tidak mahu pecah kepalanya untuk catch upsemula. Setiap satunya akan berlangsung selama dua jam. Di mana pula harus dia cekau masa seminit dua yang terluang untuk menyudahkan tugasan itu esok di kampus. Mahu tidak mahu dia harus juga berjaga malam itu.

Adriani sedang menuntut dalam tahun akhir jurusan perubatan di UKM. Seperti yang ramai orang tahu, jurusan perubatan bukanlah mudah. Memang benar, hambatan jadual kuliah, tutorial, latihan makmal dan tugasan khas begitu melelahkan. Tambah-tambah lagi dengan subjek perubatan yang begitu mencabar.

Sepatutnya dia sudah mula melakukantugasannyasejak awal tadi. Kalau bermula awal, adalah juga masa untuk menyemak semula tugasan itu. Paling penting tidak perlulah dia bersengkang mata sampai dinihari nanti. Kalau tidak, tentu saja dia terlentok dalam kuliah Prof. Cassandra esok.

Sebaliknya yang terjadi, Adriani tersangkut pula di depan komputer ini. Bukannya menyiapkan atau menaip tugasannya. Tetapi untuk pertama kalinya menjadi setiausaha tidak bertauliah Dik Na, menjawab semua soalan chatters.Ada gaji ke ni?

“Hmm… Kak Ni nak pergi dapur sat. Tengokkan mamat ni tau,” suruhnya sambil mencapai gelas kosongnya itu.

Lalu Adriani bingkas meninggalkan kerusinya lalu beredar dari bilik. Hendak ke dapur menghantar mangkuk puding yang sudah kosong.

“Kak Ni, tolong ambilkan Dik Na sikit lagi Nata deCoco dengan honey dew ye!” laungnya bila Adriani sudah hampir menutup pintu bilik mereka.

Adriana tersengih, menyerlahkan barisan giginya yang kemas teratur. Putih bersih. Sihat dan kuat. Kesan penggunaan ubat gigi Sensodyne. Adriana tersengih lagi dengan iklan yang terlintas di fikiran nakalnya itu.

“Makan je kerjanya...” si kakak mengomel lalu menutup rapat daun pintu.

Sengih Adriana melebar. Memang dia kuat makan walaupun tubuhnya kurus. Semua rakan-rakannya juga hairan. Kalau mereka perlu mengamalkan diet sehingga menjeruk perasaan dan melelehkan air liur untuk kekal ramping, Adriana pula sebaliknya.

Selera makannya boleh dikatakan luarbiasa. Namun masih tidak perlu bimbang akan mengalami lebihan berat badan. Kadar metabolisme dalam tubuhnya memang tinggi. Kadang-kadang mencecah tahap luar biasa pun pernah.

Adriana tersengih sendiri sambil mengunyah baki Nata deCoco. Kakinya yang lenguh bersilang sejak tadi, dia lunjurkan pula. Sesekali memandang ke pintu bilik mengharapkan kakaknya segera muncul dan membawakannya bekalan Nata deCoco lagi.

Hanya pada kakak kembarnya itu sahajalah tempat dia bermanja. Segalanya memang mereka kongsi bersama. Lumrah sejak usia mereka kecil. Dengan siapa lagi dia hendak merengek dan meminta perhatian? Pun siapa lagi yang akan tahan dengan perangainya yang overmengada-ngada itu.

Takkan dia hendak merengek depan Mama pula. Kalau dia buat juga perangai itu, maknanya dia memang sudah tidak tidak ada benda lain hendak dibuat. Merengek depan Mama begitu sekadar membuang masa ibunya itu. Dan yang paling dia tidak sanggup adalah untuk membuang masanya sendiri.

Mama tidak pernah ada ruang bernafas walau untuk dirinya sendiri pun. Sentiasa dihambat waktu. Busy24 , 7 and 365. Semua keperluannya dan Adriani, Umi dengan Bibik yang sempurnakan.

Tambah-tambah lagi Puan Sharifah Adirahana dan Tuan Syed Al-Malik Faizal tidak pernah tidak sibuk dengan urusan perniagaan dan sosial mereka. Jarang ada masa untuk anak-anak yang hanya dua tiga kerat itu. Semua urusan dilepaskan kepada pembantu rumah, pengasuh dan pemandu.

Pernah juga terlintas di fikiran Adriana mungkin dia, Kak Ni dan abang cuma anak angkat bagi pasangan Tuan Syed dan Syarifah itu. Kalaulah betul begitu, sudah lama dia ajak kakak dan abangnya itu pergi mencari ibu bapa mereka yang sebenar.

Biarlah tidak berharta dan semewah Tuan Syed Syarifah ini asalkan mereka dapat merasai dan menikmat kasih sayang yang mereka dambakan. Tetapi apa yang hendak dibuat lagi? Mereka memang sah biological twins and children kepada Mama dan Papa. Bukan setakat ujian darah. Kalau dia hendak buat DNA testsekalipun mesti confirm approved!

Dahulu mereka punya seorang pengasuh yang paling mereka sayang.Mereka panggil dia Umi. Umilah yang menguruskan mereka sejak lahir. Makan, pakai, pampers, tidur semua tanggungjawab Umi.

Mama dan Papa hanya melengkapkan segala keperluan mereka dalam bentuk ringgit dan sen. Tidak pernah gagal menyediakan segala keperluan. Ya lah, wang ringgit bukan masalah bagi mereka. Yang ada pun tak habis pakai.

Hari pertama meniarap, duduk, tumbuh gigi, berjalan dan berlari semuanya disaksikan oleh Umi dan Bibik.Pak Man, si pemandu akan menumpang gembira kerana Pak Man tidak ada anak. Dia bujang terlajak.

Malah perkataan pertama yang keluar dari mulut merekapun adalah sebutan Umi. Bukan Mama. Pun bukannya Papa. Kini si kembar seiras yang waktu kelahirannya berbeza selama lima minit sahaja itu sudahpun menginjak usia dua puluh tiga tahun. Sudah menjadi anak-anak gadis paling manis dalam legasi keluarga dan keturunan Mama dan Papa. Namun kedua orang tuamereka tidak pernah berubah.

Hmm... mungkin kerana itu Adriana lebih bersifat rebellious.Asalnya dia hanya mahu menarik perhatian Mama dan Papa sewaktu kecil dulu. Tetapi sikap itu akhirnya menjadi kebiasaan dalam dirinya. Sampai sekarang pun. Protes sahaja yang dia tahu kalau kehendak hatinya tidak dipenuhi.

Berbanding Kak Ni yang lebih reservedan cool,Adriana lebih pelik hormonnya. Moodnya selalu tidak dapat dijangka. Ada masanya dia akan menjadi terlalu sensitif. Dan ada kalanya pula dia menjadi cepat marah. Lebih-lebih lagi dengan hambatan tugasnya sebagai jururawat di Wad 5U Neuro-ICU PPRM yang terlalu melelahkan.

Hmm... gandingan kembar yang hebat. Adriani bakal menjadi seorang doktor perubatan dan Adriana pula jururawat terlatih yang paling cantik dan paling glamour di hospitalnya. Tetapi Mama selalu mengeluh bila berkata ’kan elok kalau dua-dua pun doktor’.

Mama...

Adriana sangat mencintai tugasnya sebagai seorang jururawat perubatan. Jiwanya kental biarpun saban hari berdepan dengan begitu banyak kesakitan, rintihan, ratapan dan kesengsaraan. Bergelut dengan debar dan gentar. Berlumba dengan detik kematian yang tidak pernah lengah dan gagal untuk menjemput.

Pesakit-pesakit yang didaftar masuk ke dalam wadnya itu rata-rata mengalami kecederaan kepala atau tumor otak yang parah. Itu belum lagi dengan pesakit yang separuh koma.

Paling parah kalau terpaksa menjaga pesakit-pesakit yang berada dalam keadaan vegetative.Koma. Yang hanya terlantar di atas katil, tidak sedar-sedar dalam suatu jangka masa yang tidak dapat ditentukan.

Dia harus memberikan sepenuh tumpuannya kerana pesakit begini perlu diberi perhatian yang teliti dan rapi. Mesin penyambung hayat mereka harus sentiasa di teliti dan diperiksa.

Manalah tahu tanpa mereka sedari atau jika terlewat diperiksa, mesin itu gagal berfungsi atau mengalami masalah-masalah teknikal lain. Pasti itu akan menjejaskan peluang pesakit untuk sembuh. Malah maklumat perkembangan pesakit harus direkod dengan tepat untuk membantu analisa dan keputusan yang bakal dibuat oleh para doktor.

Plinggg!!

Bukan Adriana tidak dengar bunyi pling pling itu sejak tadi. Tetapi dia masih dudukmelunjur, menyudu saki baki kiub-kiub kecil di dalam gelasnya. Tidak mempedulikan bunyi-bunyi itu yang menandakan mesej sebelumnya tadi telah dibalas. Dia jadi tidak berminat untuk menyambung aktiviti itu lagi.

Setiap rakan chatter yang dia temui tidak mampu menepati kriteria pilihan dan citarasanya. Bagaimana mungkin dia mahu meneruskan perbualan dengan orang-orang yang tidak belajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang sopan. Orang cakap A dia cakap Z. Orang kata putih dia kata bangku. Tidak ada kena-mengena langsung! Kan tak serasi namanya tu?

Dia cuma ingin mencari teman yang berbudi bahasa walaupun sedikit, ada IQ dan boleh memahaminya. Arwah Umi dahulu pernah berpesan kalau hendak mencari kawan, carilah mereka yang boleh membawa kita ke arah kebaikan dan kebenaran.Tetapi kalau ada kawan-kawan yang perlukan kebaikan dan kebenaran dari diri kita, jangan pula kita nafikan.

Sebab itu kawan-kawannya kata dia high-taste.

Ye ke?

Adriana hanya garu hidungnya.

Previous: PROLOG
Next: CHAPTER 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.