Home Novel Keluarga SUAMIKU HEROKU (Sayang You Kerana Dia)
CHAPTER 16

Penyata-penyata bil Maxis tercampak ke atas meja kaca di tengah-tengah ruang tamu. Ke depan batang hidungnya yang mancung. Namun sedikit tersasar ke hujung meja. Hampir sahaja jatuh ke atas permaidani yang terhampar.

Tangan kurus Adriana perlahan-lahan mengambil bil-bil itu yang sudah terdampar itu. Cuba dibacanya angka-angka di kotak ‘amount due’. RM834.50, RM907.80, 955.32… eh, menggeletar juga jemarinya. Bentuk graf yang meningkat.

Tidak sanggup melihat bil-bil yang seterusnya kerana dia sudah dapat mengagak angkanya. Dalam beraninya, Adriana masih akan ketar jika berbuat kesalahan. Dan Adriana akui, dia memang bersalah dalam hal ini.

Benarlah kata pepatah, berani kerana benar, takut kerana salah…

“Awak cuba bagi Mama lima alasan kenapa bil telefon Adriana ni banyak macam ni?” Syarifah Adirahana tidak memandang Adriana. Sebaliknya dia memerangkap Adriani. Anaknya yang seorang ini mudah dilentur.

Hah! Lima? Berkerut dahi Adriani yang sudah mula merenik peluh halus itu saat mendengar guruh di dalam suara Mama. Banyak tu... bolehkah dia menjawabnya?

“Kak Ni… Kak Ni...” tergagap-gagap Adriani bila disoal seperti itu. Wajahnya sahaja sudah memutih. Pucat disergah Mama.

“Kak Ni apa?!” herdik Mama.

“Kak Ni tak tahu?” Syarifah Adirahana meledak bagai gunung berapi yang meletuskan larva sulung.

“Macam mana Kak Ni boleh tak tahu? Atau Kak Ni pura-pura tak tahu?” gertak Syarifah Adirahana dengan suara sedikit keras.

Adriani tertunduk memandang hujung jemari kakinya yang juga sudah dijangkiti putih pucat dek ketakutan. Adriana perasan akan keadaan itu. Terbit pula rasa kasihan di dalam hatinya melihat Adriani. Memang kakaknya itu terlalu tunduk dan takut dengan Mama mereka.

Dulu Abang pun begitu. Tetapi akhirnya dalam diam-diam, berani juga kahwin dengan gadis pilihan hatinya. Nekad dengan pilihannya itu biarpun Mama bertempik laksana guruh di musim tengkujuh.

Abang sulungnya itu, Syed Arman Feysal rela dan redha dibuang dari keluarga dan keturunan Syed Syarifah sekaliannya. Sanggup bersusah di atas dua belah kakinya sendiri. Tidak terkilan biarpun Mama dengan serta-merta menggugurkan namanya dari wasiat pengagihan hartanya yang melaut, menggunung dan berkepuk itu. Marah betul Mama!

Abang teguh dengan pendiriannya. Sekalipun, Siti Sarah bukan pilihan Mama. Biarpun Siti Sarah adalah pilihannya yang tidak direstui oleh keluarga Syed Syarifahnya, abang tetap nekad dengan kepercayaan dan keyakinan yang kental di dalam jiwanya.

Hanya dia yang hadir di majlis pernikahan serba sederhana abang sulungnya itu dulu. Kak Ni tidak ikut walaupun Adriana tahu Kak Ni menangis dalam hati. Dia takut dan bimbang untuk mengikut Adriana ke majlis Abang Feysal.

Kalau Mama tahu habislah… katanya dulu. Tapi Adriana tidak peduli. Hatinya sama keras atau kurang sedikit kerasnya berbanding hati abangnya, Syed Arman Feysal.



“Sampai hati Mama dan Papa tak mahu datang. Adriani pun…” luah Feysal perlahan usai majlis pernikahan malam itu di rumah keluarga kak Siti Sarah.

Hati Adriana sayu. Namun dia tidak mahu menunjukkan kesayuan itu kepada Abang. Lantas dia mempamer wajah cerianya sambil mereka alasan bagi pihak kembarnya.

“Kak Ni nak ikut tapi Mama dan Papa ada di rumah. Dia tak dapat cari alasan. Dik Na memang dari hostel, tak kisahlah kalau Mama bagi ke tak..”

Feysal cuma mengangguk lesu. Nafasnya ditarik panjang. Pandangan matanya menembusi dinding rumah. Mungkin merenung masa depan yang bakal dilaluinya mulai detik itu.

Setelah bergelar suami, kini abang akan memikul tanggungjawab yang lebih berat. Tidak lagi sekadar menjadi khalifah kepada dirinya sendiri. Tetapi juga menjadi khalifah kepada isteri tercinta serta bakal keluarga yang akan dibinanya.

Abang harus berdikari kerana tidak akan ada satu sen pun bantuan yang akan dihulurkan oleh Mama dan Papa lagi. Itulah natijahnya jika ingkar dengan kehendak dan kemahuan Syarifah Adirahana.

“Sekarang abang dah tak ada sesiapa. Abang sekarang hidup sebatang kara…” luah Feysal perlahan. Sayu.

“Abang kan dah ada Kak Sarah sekarang, Dik Na pun kan ada?” nadanya ceria sekadar menggembirakan hati abangnya itu.

Kakak iparnya, Siti Sarah yang setia di sisi abangnya itu kelihatan manis dan jelita bertudung serta berbaju kurung warna peach. Sedondon dengan suaminya. Dalam hatinya, Adriana berkata-kata sendiri.

Apalah salahnya dengan Kak Siti Sarah ini? Orangnya malah cantik juga. Pada pandangan mata hati Adriana, Kak Siti Sarah lebih cantik dari Syarifah Alis Aneesa, anak Mak cik Syarifah Amnah, yang menjadi pilihan hati Mama untuk abang dulu.

Namun dia tahu rupa paras bukanlah ukuran sebenar yang membuatkan hati abang terpaut pada wanita itu. Pastinya ada lebih banyak perkara yang baik lagi indah pada Kak Siti Sarah yang telah mencuri hati abangnya itu.

Lagipun orang kata kecantikan itu adalah isu yang subjektif. The beauty is in the eyes of the beholder kan? Suka hati dialah...

Pun rasanya kalau that beauty is in the eyes of abangnya itu, dia setuju jugalah. Samalah juga dengan ‘the beauty in her eyes’ juga. Adriana renung Siti Sarah. Riak wajah kakak iparnya itu lebih tenang dan lembut. Selembut tutur dan tingkahnya.

Hendak dikatakan tidak punya kelulusan, Kak Siti Sarah ada PhD dalam Business Admin. Kalau hendak dipersoalkan kerjayanya, Kak Siti Sarah merupakan seorang pensyarah di UiTM. Di kampus induk di Shah Alam. Sama seperti abang Feysal juga. Eloklah dari kerjayanya sebagai jururawat yang selalu Mama pandang rendah sangat-sangat itu.

Hendak dipersoalkan asal usulnya? Keluarga Kak Siti Sarah tidak dinafikan memang orang-orang yang berperibadi semuanya. Seharusnya Mama dan Papa yang merasa segan kalau peribadi mereka yang dijadikan ukuran.

Kita hidup di muka bumi Tuhan ini seharusnya sentiasa bersikap hamba. Merendah diri. Tapi baginya Mama sudah menjadi manusia yang taksub dengan duniawi. Dan Papa... Papa masih belum punya kekuatan seorang khalifah untuk membimbing keluarga mereka.

Adriana jadi malu tiba-tiba. Siapalah Mama dan Papa mereka kalau dibandingkan dengan orang tua kak Siti Sarah itu. Ayahnya merupakan Imam di kawasan tempat tinggalnya. Seorang yang berilmu agama dan selayaknya dihormati.

Ibunya pula seorang bekas guru agama. Kini ibu mertua abang itu mengajar tajwid dan taranum kepada budak-budak dan orang dewasa di kawasan itu. Ibu bapanya orang baik-baik. Kak Siti Sarah juga merupakan anak perempuan tunggal. Yang bongsu. Satu-satu saudara lelakinya, adalah Koordinator Pelajar yang kini sedang berada di UAE.

Jadi, Adriana tidak mampu untuk mencari dan mencerna apa lagi salah atau kurangnya Kak Siti Sarah untuk menjadi menantu keluarga mereka di mata Mama? Mungkin salahnya, Kak Siti Sarah adalah Siti Sarah. Bukannya Syarifah Siti Sarah.

Yang paling Adriana kesali adalah sikap berkecuali Papa yang tidak pernah berubah.Papa pun tidak pernah mahu bersuara dalam hal ini. Malah semuanya Papa serahkan pada keputusan Mama.

Papa diam sahaja saat Mama membuang anak sulungnya itu. Namun masih juga Adriana tahu Papa menangis dalam hati lelakinya. Kasihan Papa...

“Apa dah jadi dengan kamu ni, Adriana?!”

Hush semangat! Adriana urut dada. Serta-merta wajah Abang Fesal, Kak Siti Sarah dan majlis nikah terpelanting keluar dari ruang matanya.

Tempikan lantang Mama bergemuruh dalam dada Adriana. Wajah Mamanya juga sudah berona kemerahan. Tetapi semakin Mama panas, semakin pula Adriana terbakar.

Adriana sudah tidak gentar lagi. Cuma dia tidak rasa hendak melayan Mamanya tika itu. Tanpa kata, dia hanya melangkah pantas menaiki anak-anak tangga menuju ke biliknya.

Jeritan Mamanya semakin hilang dari pendengaran. Pun memang dia tidak mahu ambil peduli. Apa nak jadi, jadilah. Mama marahpun, takkan sampai tergamak menyakitinya? Membunuhnya.

Aku kan anak dia? Lagipun takkanlah Mama sanggup nak bunuh anak dia ni? Mama pasti takut dengan penjara...

Ah Mama... mana bisa hidup susah rasanya.



“Itulah Dik Na...”

Mulut Adriana sudah mula muncung saat mendengar ulang kata-kata itu.

“Kan Kak Ni dah pesan banyak kali jangan bergayut lama-lama sangat. Tengok tu bil telefon dah melambung, tengok pulak macam mana Mama melenting tadi,” leter kembarnya itu sewaktu mereka berbaring di atas katil masing-masing.

“Tak nak percaya tau cakap orang...”

Mata Kak Ni masih merah. Bekas menangis tadi. Sedu dari esakannya pun masih kedengaran sekali sekala.Adriana muncung. Leteran Mama tadi masih berbekas di cupingnya.

Adriana buat pekak sahaja. Bukan dia tidak mahu dengar. Tetapi dia sudah bosan mendengarnya. Tidak perlu lagi Kak Ni ulang. Setiap patah perkataan yang terbit dari mulut Mamanya yang laksana bertih digoreng itu memang sudah sebati melekat dalam ruang kokleanya.

”Itupun nasib baik mama belum tahu pasal si Navin tu... kalau tidak tak tahulah apa nak jadi dengan dunia ni... tolonglah Dik Na...”

Muncung lagi. Malas hendak dia layan ratapan dan rintihan kembarnya itu. Kak Ni pun sama macam Mama juga, tidak pernah mahu faham akan hati dan perasaannya!

“Lagipun apa bendalah yang awak bualkan dengan si Navin tu sampai berjam-jam? Tak ingat ke awak tu nak bekerja ke nak rehat ke nak buat apa-apa benda lain ke?”

Masih juga Adriana senyapkan dirinya. Langsung tidak ada hati hendak bertikam lidah dengan Kak Ni. Penat menelan butir-butir leteran Mamanya tadi pun masih belum reda. Takkanlah hendak tambah lagi sebakul bebelan Kak Ni pula? Aduh, antara siksaan-siksaan dunia yang buat dia sengsara.

Kadang-kadang Adriana rasa kembarnya sedikit sebanyak mewarisi mulut becok Mamanya. Eloklah tu, esok-esok di hari tuanya ada juga orang yang boleh jadi ‘Mama’ kepadanya bila Mama sudah tidak ada lagi.

Ish! Adriana? Apa pula sampai ke situ fikirnya... getus hatinya sendiri.

“Dik Na! Dengar tak apa Kak Ni kata ni?” Adriani menggoncang bahunya. Tapi Adriana tetap mahu membatukan diri.

“Dengar…” lambat kemudian dia membalas juga. Sepatah. Lalu menarik selimut menutupi tubuhnya hingga separas dada.

Adriana toleh ke penghawa dingin. “Sejuknya, Kak Ni pasang suhu berapa ni?” dia mengomel.

Adriani geleng kepala lalu melangkah mendapatkan remote penghawa dingin yang dilekatkan ke dinding. Dia mengurangkan suhu penghawa dingin itu. Rasa hairan terbit di hatinya.

Tidak pernah-pernah pula manusia itu mengadu sejuk. Biasanya suhu takat beku kutubpun dia masih boleh berpeluh-peluh. Waktu tengah dinasihatkan itu pulalah datang angin sejuknya.

Sengajalah tu, macamlah kita ni tak faham dengan perangai dia…Adriani mengomel di dalam hati.

“Lagi satu yang Kak Ni hairan. Asyik awak je yang telefon dia, si Navin tu tak ada handphoneke?”

“Ada…” jawabnya. Sepatah juga.

“Dah tu, kenapa dia tak nak pakai handphone dia untuk telefon awak?”

“Dia guna prepaid. Kesianlah kat dia kalau nak suruh dia yang telefon selalu…”

Adriana baring mengiring di atas katil. Sengaja. Supaya dia dapat membelakangi kembarnya yang masih berminat untuk berleter itu. Kalau boleh dia tidak mahu memandang muka Kak Ni. Takut kak Ni korek semua rahsianya. Tak macholah kalau Kak Ni tahu semua rahsianya itu.

“Tahu kasihan kat orang lain?Habis, kat keluarga sendiri tak kesian?” tempelak Adriani.

Navin bukan orang lainlah... protes Adriana dalam hati.Kan dia akan jadi adik ipar Kak Ni. Akan jadi menantu Mama dan Papa? Akan juga menjadi sebahagian daripada keluarga ini.

“Kak Ni pun sama macam Mama, kedekut…”

“Eh, bukan kedekut tau… berjimat. Tahu ke tidak yang membazir tu pekerjaan syaitan?”

“Membazir apa pulaknya?” protes Adriana sambil mengerling wajah Adriani dengan hujung matanya.

“Dik Na cuma callNavin, borak-borak.Kak Ni tau tak kerja Dik Na ni penat sangat, sakit tau otak ni.Bila dapat berbual dengan dia hilanglah sikit sengsara Dik Na ni…”

“Macam tak ada orang lain yang awak boleh berbual dalam dunia ni. Macamlah awak tu tak ada keluarga?” tukas Adriani.

Tergelak kecil dalam selimut. Sinis bunyinya, “Keluarga?”

“Siapa?” soalnya lagi.

Lalu Adriana bingkas bangun. Pandang muka Kak Ni sedikit waktu. Hatinya sudah mula terbakar.Sikit lagi kalau Kak Ni masih mahu meneruskan provokasi ini, pasti hatinya akan rentung.Tengoklah kalau tak percaya...

“Cuba Kak Ni bagi tau kat Dik Na sikit. Manusia mana dalam rumah ni yang ada masa nak entertain Dik Na ni?”

Kembarnya itu seraya terdiam mendengar semburannya.

“Mama?” Adriana dekatkan wajahnya ke wajah Adriani yang terkedu.“Papa?” dia tarik kembali wajahnya lalu duduk tegak.

“Heh, lebih baik diorang duduk dengan Tun Tan Sri, Datuk Nenek, Toh Moh Meh ntah apa-apa, Tuan Syed Syarifah diorang tu. Ada gak faedahnya kan…” Adriana terus mengomel.

“Bibik?” lehernya dia panjangkan seolah Bibik ada di ambang pintu bilik mereka.

“Daripada dia melayan Dik Na, baiklah dia masak ke, mengemas ke, membasuh ke, menyiram pokok bunga ke. Petik buah limau kasturi kat belakang tu ke buat sambal belacan. Kalau tak nanti dikatakan dia makan gaji buta pulak,” kata Adriana panjang dan sinis.

“Kak Ni?” Dia tenung muka kakak kembarnya dalam-dalam. Kembang-kempis hidungnya menahan geram dengan sikap lurus bendul perempuan yang serupa wajah dengannya itu.

“Lagilah… Kak Ni lebih suka tengok buku-buku Kak Ni tu daripada tengok muka Dik Na ni hah. Pun nak tengok buat apa, ye tak? Sebijik macam rupa Kak Ni juga. Tak ada maknanya…”

Dia dengar Adriani tertawa perlahan.

“Orang cakap betul-betul, dia ketawa…” Adriana kerling tajam.

Terpaksa Adriani hentikan tawa, “Tak adalah, Dik Na ni kalau bercakap macam M16.”

“Sekarang orang dah tak pakai M16 lah Kak Ni. Ada banyak lagi senjata canggih dalam dunia ni. Senjata yang tak berupa senjata pun dah banyak. Tak ada M16-M16 lagi dah tau!” wajah Adriani dia kerling.

“Itulah, baca jelah buku-buku perubatan awak tu. Sampai apa jadi kat dunia pun tak tau…” kata Adriana dengan geram.

“Dah, melalut pula dia. Kak Ni nak pesan ni, awak tu perempuan. Janganlah asyik awak je yang memberi. Esok kalau dia dah terbiasa menerima je, payah…”

Adriani menghela nafas. Demi Tuhan dia tidak berniat untuk menghalang perhubungan adiknya dengan pemuda India yang bernama Navin itu. Cuma perasaannya menjadi tidak enak tiap kali memikirkan bahana jika Mama dapat menghidu percintaan dua dunia itu.

“Dia kan lelaki… kalau nak seribu daya. Kalau dia rindu kat Dik Na, biarlah dia yang telefon. Masa ni lah pun nak tengok keikhlasan hati orang lelaki. Jangan sebab dia tahu Dik Na ni anak orang berada, dia nak ambil kesempatan pula…”

Adriana tarik selimut, kali ini terus melepasi hujung kepalanya. Enggan mendengar Kak Ni berceloteh yang bukan-bukan tentang kekasih hatinya itu. Bukanlah dia hendak mendabik dada. Tetapi sehingga saat itu dia lebih tahu hati budi Navin.

Lagipun bukan salah Kak Ni kalau prejudisnya itu mengambil sedikit ruang. Kak Ni pun belum lagi mengenali Navin sepenuhnya. Oleh itu apa sahaja dakwaan dan prasangka Kak Ni terhadap Navin adalah tidak relevan sama sekali.

Apapun, Adriana masih rasional. Tidak ada gunanya dia bertegang urat semata-mata untuk mempertahankan perkara yang dia sendiri tahu tidak akan memberi apa-apa makna kepada ahli keluarganya itu.

Pucuk pangkalnya setiap ahli keluarganya itu pastinya tidak akan rela dan tidak pernah akan mengizinkan perhubungannya dengan Navin. Adriana tahu sangat patah-patah kata yang akan diungkapkan oleh Mamanya.

Tidak. Titik. Fullstop! No! Never! Jangan harap!

Matanya sudah separuh terpejam. Dia tidak sabar menanti suria esok. Dia berdoa agar mentari bersinar dan memutar hari dengan cepat. Tidak sabar untuk ketemu lagi kekasih hati yang dirindui.

Previous: CHAPTER 15
Next: CHAPTER 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.