5
AKU melihat Mama Hamidah dan Rizan
dalam perbualan yang kurang selesa saat aku keluar dari bilik persalinan. Mama
Hamidah kelihatan seperti marah-marah. Bila aku memandang kepada mama dengan
seribu macam persoalan, mama sekadar menggelengkan kepalanya. Nada suara Mama
Hamidah begitu keras dan meninggi. Dia menunjukkan kemarahannya. |
Aku
tersentak. Apa sebabnya? Bukankah sebentar tadi semuanya elok sahaja? Atau
sikapku yang tidak berkenan di hati? Tetapi apa sikapku yang membuatkan dia
jadi marah tiba-tiba?
“Mama,
tak adil mama buat begitu.” Rizan seolah-olah tidak menyetujui apa sahaja kata-kata
Mama Hamidah.
Aku
mengerutkan dahiku kerana semakin tidak mengerti apa yang berlaku. Aku sempat
melemparkan pandangan hairanku kepada Rizan. Apa yang sebenarnya berlaku? Tapi
Rizan tidak mengendahkan pertanyaanku ini. Aku melihat wajah mama pula. Tapi
mama terus menatap majalah di pangkuan.
“Mama
tak suka! Tak suka! Ini final!”
Aku
terkejut. Begitu keras nada suara itu. Aduh! Ini mesti benar-benar ada perkara
yang tidak disukainya. Namun aku tidak dapat menangkap isu mereka yang sebenar.
Mama
Hamidah mengangkat wajahnya dan terus kami berdua berpandangan. Pandangan itu
terkunci tiba-tiba. Aku dengan persoalan yang bermain di fikiran dan begitu
jelas di wajah, sementara Mama Hamidah pula penuh dengan rasa tidak puas hati
dan marah. Mama yang bersama mereka juga agak terpinga-pinga. Apa yang
sebenarnya berlaku?
“Mama
tengah marah ni, Julia,” getus mama keras. Dadanya sedikit berombak. “Mama tak
suka betul papa buat begini.”
Ya
ALLAH! Tidakkah mereka tahu mereka meletakkan aku dalam keadaan berteka-teki? Apa
sebenarnya yang papa Rizan telah lakukan?
Rizan
lantas berdiri dan berjalan ke arah Huzaimi untuk membayar pakaian yang
ditempah. Mungkin dia sudah tidak tahan dengan kerenah ibunya yang marah-marah
itu.
Mama
Hamidah mendengus.
Aku
mengambil tempat Rizan, berhadapan dengan Mama Hamidah kerana aku ingin tahu
apa masalah yang sedang berlaku secara tiba-tiba.
Mama
menggelengkan kepalanya kepadaku. Seolah-olah memberitahuku supaya tidak masuk
campur hal mereka.
“Mama
tengah marah dengan papa ni!” Dia meluahkan rasa marah itu kepadaku.
Aku
serba salah. Mama sudah mengisyaratkan aku untuk tidak masuk campur, tetapi
Mama Hamidah pula mengheret aku masuk ke dalam masalahnya.
“Kenapa,
ma?” tanyaku. Suara perlahan. Sebenarnya aku serba salah bertanya pertanyaan itu.
Dia
menghela nafas. Lantas memandangku. “Di saat kau orang berdua nak bertunang,
nak berkahwin... masalah lain datang! Bala! Bala!”
“Hah?!
Bala apa?” Aku terkejut dengan kata-kata Mama Hamidah. Bala? Bala apa?
Perkataan itu keterlaluan untukku. Apa yang membuatkan Mama Hamidah berkata
sedemikian?
“Tahu
tak mama tak suka dia balik? Kenapalah dia tak duduk di sana sampai mati?! Tak
ada siapa pun yang nak dia balik. Kalau dia balik pun menyakitkan hati mama.
Mama tak suka dia balik.”
Nafasku
seolah-olah terhenti. Mataku berpinar-pinar. Aku tercari-cari suaraku sendiri.
Aku
terdengar suara Rizan. “Mama, sabar. Tak elok marah macam ni,” pujuknya
menenangkan hati mamanya yang sedang menghangat.
Aku
alih pandangan mataku pada Mama Hamidah. Siapa yang dia tidak suka? Siapa yang
balik?
“Mama
tak suka Megat balik!”
Jantungku
bagaikan terhenti seketika.
11 Januari 2008 - imbas kembali
“BETUL ke you nak bawak I balik rumah
you ni?” tanyaku kepada Rizan. “Mama you dah tahu ke? Papa you ada rumah?”
Rizan
ketawa dan terus memandu.
Aku
gugup, serba salah dan resah gelisah. Ini kali pertama aku bertandang ke rumah
Rizan. Pertama kali juga untuk bertemu dengan kedua-dua orang tua Rizan serta
adik-beradiknya. Meskipun hubungan aku dengan Rizan sekadar teman biasa, namun
keterujaan Rizan untuk memperkenalkan aku kepada kedua-dua orang tuanya
membuatkan aku rasa tidak sedap hati. Aku tidak pasti apa rancangan sebenar
Rizan mempertemukan aku dengan keluarganya hari ini.
Adakah
aku sudah bersedia dengan semua ini?
Aku
menggenggam jari-jemariku. Mengulis-ulis sehingga sehingga aku terasa sakitnya.
Ya ALLAH, dadaku berdebar. Jantungku berdegup kencang. Aku benar-benar berharap
kereta ini terkandas di tengah jalan atau ada hal kecemasan dari mama meminta
aku pulang segera. Namun semakin lama aku berdoa di dalam hati, kenderaan ini
semakin menghampiri ke destinasinya.
Ya
ALLAH... permudahkanlah urusan hamba-MU ini.
“Hei,
relakslah, Ju! Mama I bukan puntianak. Bapak I pulak bukan toyol,” seloroh
Rizan.
Kata-katanya
buat aku ketawa. “Apalah you cakap ni? Puntianak? Toyol? Tak baik betul.” Aku
menggeleng-geleng kepalaku lantas mengakhiri tawaku dengan senyuman. Entah
kenapa, aku merasakan senyumanku agak tawar. “Siapa lagi ada kat rumah you?”
tanyaku. “Rizky ada?” dugaku. Aku tahu Rizan mempunyai seorang adik daripada
cerita-cerita yang pernah diceritakan kepadaku. Papanya, mamanya, Rizky, Mak
Yam, seorang pembantu rumah lagi yang aku tidak tahu siapa namanya dan Pak Abu,
pemandu papanya. Itulah keluarga Rizan
Dia
mengangguk. “Abang pun ada juga,” ucap Rizan seolah-olah berhati-hati.
“Abang?”
Aku terkejut dengan berita ini. Selama kami berkawan, Rizan tidak pernah memberitahuku
yang dia mempunyai seorang abang.
Dia
tersenyum. Pendek sahaja senyumannya. Riak wajahnya nampak tidak berapa gembira
dengan apa yang baru sahaja diberitahunya kepadaku.
“Selama
ni I tak tahu you ada abang. You tak pernah cerita pun pada I you ada abang.”
Aku hairan. “Kenapa selama ni you tak pernah beritahu pun tentang dia?” Aku
tekan lagi persoalan itu.
Dia
tersenyum hambar sambil terus memandu keretanya tanpa kata kali ini. “Ada satu
perkara you kena tahu tentang abang I ni. Dia sebenarnya, abang tiri I. Kami
sebapa, tapi lain mama,” terangnya ringkas.
Oh?
Begitu ceritanya sehingga dia seolah-olah menyembunyikan abang tirinya itu.
“Umur abang you berapa tahun bila mama kahwin dengan papa you?”
“Lebih
kurang lima, enam tahun macam tu.”
Secara
tiba-tiba, perasaanku diulit sayu. Kecil lagi sudah kehilangan ibu kandung.
Menumpang kasih pada ibu tiri sahaja. Cukupkah? Apakah layanan yang diterima
daripada ibu tiri setanding dengan kasih sayang yang Rizan terima daripada
ibunya?
“Dia
buat apa sekarang ni?” tanyaku.
“Dia
nak ke Perancis.” Kemudian Rizan tergelak kecil tanpa sebab. Ada benda yang
menggelikan hatinya.
“Kenapa
gelak?”
“Kononnya
nak jadi chef. Ala-ala Chef Wan.” Dia mencebir bibirnya. Meluat?
Aku
pandang Rizan. Kenapa aku tidak berapa berkenan dengan nada suara itu dan
caranya mencebir seolah-olah memperkecilkan cita-cita abangnya?
“Tak
ada sebab you nak ketawa bila abang you nak jadi chef. Kerja tu bagus, kerja
halal apa?! Kerja chef bukan mudah yang you fikir. Ini bukan tukang masak
biasa-biasa. Ada tatatertibnya... ada seninya. You tahu tak?” Aku tidak suka
dia merendah-rendahkan karier sebagai tukang masak apatah lagi abangnya
sendiri.
Rizan
masih terus ketawa sinis. “Tapi yang peliknya, papa tak marah pulak tu!”
Tambahnya lagi, “Cuma papa ada kata, dia harap sangat Abang Megat ambil alih
bisnes dia satu hari nanti. Tapi kalau itu minat Abang Megat, papa tak kisah.”
Dari
satu ke satu perkara membuatkan aku terpinga-pinga. “Abang Megat? You adik-beradik
semua ada title Megat tu. Tapi kenapa dia seorang yang panggil Megat?”
Rizan
tersenyum kali ini. “Arwah nenek yang mula-mula panggil dia Megat walaupun
Megat tu pangkat dari keturunan aje. Bila arwah nenek dah panggil Megat, yang
lain pun panggil Megat jugaklah. Kita orang yang lain, panggil nama saja,”
terang Rizan panjang lebar.
“Siapa
nama penuh dia?” tanyaku lagi.
“Kenapa
nak tahu?”
“Nak
tahu pun tak boleh?” Aku tersengih.
Rizan
ketawa kecil. “Boleh. Apa saja untuk you, biarpun I kena berenang lautan api
pun I sanggup!”
Aku
menjuih. “Gelinya!”
Dia
ketawa. Kemudian menjawab akhirnya, “Megat Iskandar Zulkarnain.”
Seraya
jiwaku mengulangi nama penuh itu dalam diam. Ada getaran bersamanya. Malah
tiba-tiba juga ada getaran dalam perasaanku yang aku tidak mengerti sebabnya.
Rizan
segera menyambung topik asal kami walaupun tanpa aku memintanya. “Mama tak
peduli apa saja pilihan Abang Megat. Abang Megat tu dari dulu macam tu perangai
dia... dia tak pernah nak peduli apa yang orang lain cakap pasal dia. Dia nak
buat, dia buat. Tak kisah kalau papa marah ke... atau keluarga rasa malu dengan
perangai dia ke... dia tak pernah peduli pun.”
Oh,
begitukah ceritanya yang sebenar? Lebih baik aku tidak mencampuri urusan
keluarga Rizan. Aku sudah tidak tahu apa yang dibicarakan oleh Rizan sebaik
mendengar nama itu. Megat Iskandar Zulkarnain. Kenapa hatiku jadi resah sebaik
nama itu terucap? Kenapa dadaku berdebar tiba-tiba tanpa sebab? Hanya sekadar
mendengar nama itu, jiwaku bagai dipalu.
Rizan
masih berkata sesuatu ketika aku kembali memandangnya. Dan aku cuba menghayati
setiap bait perkataan yang dikatakannya. “Abang Megat enam tahun lebih tua dari
I.”
Aku
mengangguk sahaja. Aku sebut namanya perlahan-lahan. Di dalam mindaku dan juga
dalam perasaan... Megat Iskandar Zulkarnain. Kenapa nama itu seolah-olah
memberi satu perasaan gemuruh di hatiku? Satu perasaan yang agak menakutkan aku
tapi jiwaku bagai dicuit-cuit pula. “Jadi, dia akan ke Perancis tak lama
lagilah?” Aku perlu tahu, tanpa alasan yang pasti.
“Katanya
nak pergi, tapi dia tak pernah beritahu kita orang pun bila dia akan pergi.
Abang terlalu berahsia dengan kami. Dia jarang bergaul dengan kami, apatah lagi
dengan adik-beradik. Abang macam hidup dalam dunia dia sendiri,” jelas Rizan
kepadaku. “Dia tu pelik sikit.”
Aku
menghela nafasku perlahan-lahan. Tarik nafas, lepas nafas. Tarik nafas, lepas
nafas. Sememangnya, aku rasa sungguh berdebar dengan pertemuan kali pertama
dengan keluarga Rizan. Aku tidak tahu apa reaksi mereka bila melihat aku kali
pertama nanti. Ya. Berdebar. Berdebar untuk mengenali siapa mama dan papa
Rizan. Berdebar untuk bertemu Megat Iskandar Zulkarnain.
SEBAIK tiba di rumah yang tersergam
indah ini, aku termangu sebentar dengan keadaan rumah milik orang tuanya.
Selama ini, aku sekadar kenal Rizan sebagai anak orang yang berada. Tetapi
sejauh mana kekayaan keluarga ini, baru hari ini aku nampak.
Dia
bukan sekadar kaya, tetapi mewah. Ada tukang kebun yang merapikan kawasan
lapang dan hiasan bunga-bungaan di persekitarannya. Ada beberapa kereta
berjenama di pekarangan rumah. Ada CCTV di setiap sudut binaannya. Ada kolam
renang. Ada gazebo besar. Ada pokok-pokok bunga yang menghiasi rumah besar ini.
Ini
rumah ke atau istana? Aku termangu melihat bangunan di hadapanku ini.
Rizan
memberhentikan keretanya betul-betul di pintu masuk rumah. Seorang wanita yang
sungguh anggun biarpun wajahnya sudah berusia bersedia menanti menyambut kami
tiba. Di bibirnya sudah tersedia dengan senyuman manisnya.
“Itu
mama I.” Rizan sempat memperkenalkan wanita itu kepadaku tatkala aku membuka
pintu kereta.
Aku
tersenyum. Cuba untuk tidak menampakkan darah gemuruh atau cemas di mata orang
tuanya.
“Assalamualaikum,
Datin,” ucapku tatkala melangkah mendapatkan wanita yang terus-terusan dengan
senyumannya.
“Waalaikumussalam.”
Dia menghulurkan tangannya kepadaku dan aku segera mendapatkannya. Aku kucup
tangannya. “Tak nak panggil Datin. Panggil mama saja,” ujarnya dengan penuh
mesra. “Oh, ini rupanya Julianna Isabelle yang Rizan asyik cerita pada kami
sekeluarga. Patutlah dia tak pernah berhenti bercerita tentang Julia pada mama.
Lawa rupanya,” ujar wanita yang bernama Datin Hamidah itu dengan usikannya. Aku
tidak tahu, siapa yang diusiknya. Aku atau Rizan. Dia mengerling ke arah
anaknya dengan jelingan matanya, namun jelas penuh kasih sayang. “Jom, jemput
masuk rumah mama ni. Uncle ada kat dalam. Jom, jangan takut-takut. Buat rumah
sendiri. Si Rizky ada kelas tambahan. Kita berempat ajelah ya?”
Aku
tersenyum lantas berjalan seiringan dengan mama Rizan sementara Rizan yang
pulang dari kerja itu menjemputku dari kolej, mengekori dari belakang kami.
Aku
diperkenalkan dengan bapa Rizan, lelaki yang cukup berprofil tinggi, cukup
betah berkata-kata dan mesra. Agak merendah diri bila berkata-kata walaupun
dialah ketua keluarga yang memiliki empayar perniagaannya sendiri.
Kami
berbual seketika, tentang keluargaku, pelajaranku dan apa yang aku ingin
lakukan sebaik selesai belajar nanti. Lebih kurang setengah jam kemudian, kami
beredar ke meja makan untuk hidangan makan malam.
Saat
itulah, buat kali pertama aku dipertemukan lantas diperkenalkan dengan lelaki
yang bernama Megat Iskandar Zulkarnain itu. Orangnya tinggi lampai, berbadan
tegap, rambut pendek kemas, wajahnya serius sekali, tidak sedikit pun
melemparkan senyumannya kepadaku saat kami bertentangan mata ketika
diperkenalkan.
Dan
apabila matanya menatap wajahku, aku tidak tahu kenapa perlu jantung ini
seperti mati. Aku bagaikan lupa untuk bernafas. Pandangan matanya seperti
sedang merenungi jauh ke dasar hatiku. Pantas aku mengalihkan pandangan mataku
ke hidangan di hadapanku.
“Megat...”
Suara Uncle Rashid lantang menegur anaknya. “Duduk sini, makan sekali dengan
kawan Rizan.”
Aku
mula tidak selesa. Aku cuba untuk tidak bertentang matanya sekali lagi namun
aku tidak sedar bahawa aku kembali menatap wajahnya. Lelaki itu memandangku
tetapi kali ini giliran dia mengalihkan pandangannya dariku.
“Dia
bukan tetamu Megat.”
Jiwaku
tersentak. Marahkah dia kepadaku? Entah kenapa rasa kecil hati diperlakukan
sebegitu. Julianna! Sedar diri awak tu sikit. Kalau dia bukan kawan awak, awak
juga bukan kawan dia. Lagipun dia tidak berminat untuk berada di tengah-tengah
di mana awak berada.
Mama
Hamidah bersahaja sikapnya seolah-olah sedikit pun tidak berminat dengan anak
dan bapa. “Makan, Julia. Jangan malu-malu. Jangan ambil kisah dengan dia.”
Suara
garau dengan nada angkuh kedengaran kembali. Jelas tutur katanya. “Megat nak
keluar.”
“Megat
baru balik, dah nak keluar semula?” Suara si ayah mula agak tegas dengan
anaknya itu.
Rasa
takut tiba-tiba menyelubungi perasaanku dan aku tidak suka dengan keadaan ini.
“Megat
dah tak ada masa.” Dalam sekelip mata, dia hilang begitu sahaja.
“Megat!”
Kali ini suara Uncle Rashid agak tinggi sehingga membuatkan aku kecut perut
mendengarnya.
“Megat
tak ada masa, pa. Kawan Megat dah tunggu kat luar tu.” Suara itu kedengaran
sayup-sayup dari luar rumah. Dengan kata-kata itu, dia terus menghilangkan diri
ke tingkat atas dan tidak sampai sepuluh minit kemudian, kedengaran kereta
terus memecut laju meninggalkan kawasan rumah besar ini.
Aku
tidak sepatutnya berada di sini! Ayat itu berlegar-legar di dalam benak
fikiran.
“Jangan
kecil hati dengan perangai abang Rizan tu, Julia. Dia memang macam tu, jenis
tak reti nak campur orang,” ujar Uncle Rashid menenangkan perasaanku dengan
sikap anaknya yang menjengkelkan perasaanku.
“Tak
reti nak campur orang? Itu bukan tak campur orang, tapi anak kurang ajar
namanya!” sampuk Mama Hamidah pantas. Dia tidak segan-silu menunjukkan rasa
marahnya kepada suami dan Rizan, termasuk aku juga. Aku mula rasa tersepit di
tengah-tengah persengkataan keluarga ini.
“Mama...”
seru Rizan perlahan.
“Yang,
jangan cakap anak kita begitu,” tegur Uncle Rashid.
Mama
Hamidah diam serta-merta. Mungkin tatkala melihat aku di hadapannya, dia bagaikan
tersedar bahawa dia sebenarnya ada tetamu. “Mama minta maaf, Julia. Tapi Megat
tu memang lain sikit dari Rizan dengan Rizky. Dia tu, entahlah. Susah nak
dibentuk dari kecil lagi,” jelas Mama Hamidah kepadaku.
Aku
diam sahaja.
“Tak
payah fikir-fikir lagi pasal abang Rizan tu. Dah, makan kenyang-kenyang. Mama
sediakan ni semua untuk Julia. Makan, jangan tak makan. Lepas makan, Rizan
hantar semula Ju ke asrama.”
Aku
mengangguk sahaja dan senyum. Kalau boleh, saat itu juga aku mahu pulang ke
bilikku.
Dan
sepanjang kami menikmati hidangan malam itu, ternyata fikiranku diasak dengan
pelbagai jenis soalan. Cuma satu yang membuatkan aku tertanya-tanya
mengapa sikapnya begitu. Seolah-olah
memberontak, marah dan kurang puas hati terhadap keluarganya sendiri? Tetapi,
bukankah setiap tindakan ada sebabnya? Menurut Rizan dan Mama Hamidah,
perangainya sebegitu sejak kecil.
Sejak
keci? Bukankah anak kecil tidak sepatutnya berperangai begitu? Hidup anak-anak
kecil penuh keindahan, keriangan dan kegembiraan. Dunia mereka penuh
warna-warni. Mereka tidak tahu masalah hidup ketika itu.
MALAM itu, aku resah di kamar
tidurku. Aku cuba melelapkan mata, namun betapa sukar mata ini untuk
dipejamkan. Perasaanku tidak menentu. Gundah, gelisah tanpa sebab. Inilah kali
pertama aku dilanda perasaan begini. Berpaling ke arah kiri, aku menghadap
tingkap. Berpaling pula ke arah kanan, aku melihat sekujur tubuh tidak
bergerak. Mungkin Zila sudah lena tidur agaknya.
Dan
aku tidak dapat menafikan bahawa lelaki bernama Megat Iskandar Zulkarnain itu
yang menyebabkan aku begini.
“Zila?”
seruku kepada teman sebilikku. “Kau dah tidur?
Sepi.
Aku
mengeluh. Dia sudah belayar entah ke mana saat ini.
“Hmm...”
Suaranya kedengaran akhirnya.
“Kau
dah tidur ke?” Aku mengulangi pertanyaanku.
“Kenapa?
Kau tak boleh tidur?” Suara itu ternyata memberitahuku dia sudah terlelap. Aku
rasa sungguh bersalah.
“Tak
apalah. Kau tidurlah balik.”
Zila
mengalihkan tubuhnya menghadap diriku. “Kau kenapa?”
“Aku
nak beritahu kau sesuatu pasal Rizan.”
Mata
yang terpejam terus terbuka. “Oh, kenapa pakwe kau tu?”
Kali
ini, aku tidak mampu untuk bertelagah dengannya seperti biasa setiap kali dia
menggelarkan Rizan itu pakwe. “Kau tahu kan tadi aku ke rumah orang tua dia?”
“Hmm...”
Aku
diam. Ya, aku sudah bercerita hal itu dengannya. Tentang mama Rizan, tentang
papanya, tentang rumah yang tersergam bak istana tetapi aku tidak bercerita
cerita sepenuhnya.
“Tadi
aku jumpa abang sulung Rizan.” Aku memulakan cerita dalam kegelapan malam di
bilik kami.
Suasana
hening seketika.
“Rizan
ada abang? Aku tak pernah tahu pun.”
Saat
itu aku sudah membayangkan lelaki itu. Paling kacak yang pernah aku temui dan
paling berperwatakan di antara kenalan lelaki yang aku tahu.
Ah!
Tidak! Dia bukan kenalanku. Tapi sekadar abang pada Rizan. Bukan abang, tetapi
abang tiri. Sombong, angkuh, kurang ajar. Itu sikap yang tidak sepatutnya untuk
menjadi lelaki sejati. Mujur Rizan tidak begitu. Mujur Rizan tidak pentingkan
diri sendiri. Bukan aku seorang yang membenci lelaki seperti Megat Iskandar Zulkarnain,
tetapi mungkin semua manusia yang berfikiran waras tidak ambil pusing sama
sekali dengan lelaki yang berperangai seperti itu.
Cuma
ada sesuatu yang tidak mampu aku leraikan daripada fikiran ini.
Ada
sesuatu tentang dirinya yang terpahat dalam fikiran.
Auranya.
Daya tarikannya. Pandangan matanya yang menusuk kalbuku. Kali pertama aku
merasai perasaan itu. Kali pertama seorang lelaki telah membuatkan jiwaku
berdebar, jantungku berdegup kencang dan tidurkan tidak mampu lena! Di sebalik
keangkuhan dan kesombongannya itu, Megat Iskandar Zulkarnain ternyata memiliki
aura yang mempersonakan yang tidak ada pada mana-mana lelaki yang pernah aku
temui, termasuk Rizan sendiri!
Apa
sudah jadi denganku?
“Kau
jumpa dengan abang Rizan ke tadi?”
“Hmm...
Aku pun tak sangka Rizan ada abang,” ujarku perlahan.
Zila
mendengus. “Kalau kau sendiri dia tak pernah bagitahu, kau fikir Rizan nak
bagitahu kat kau ke?”
“Aku
rasa kalau tak kerana aku datang rumah dia, Rizan takkan cerita yang dia ada
abang,” balasku jujur.
“Kenapa?”
Suara Zila menunjukkan rasa minat ingin tahu tiba-tiba.
“Aku
rasa pelik.” Aku tidak dapat menghabiskan ayatku. Sudahlah aku tadi aku
menceroboh privasi keluarga Rizan dan melihat kepelikan sikap kekeluargaan
mereka, aku rasa bersalah pula jika aku berkongsi cerita dengan Zila tentang
apa yang aku lihat pada pandanganku.
“Kenapa?”
Aku
diam. Enggan mengulas panjang. Mungkin aku yang bersangka demikian. Tidak baik
aku menilai seseorang tanpa mengetahui hal sebenar. Bukankah begitu?
“Handsome?”
tanya Zila lagi. Namun kali ini, soalan itu mula menyimpang.
“Siapa?”
Aku pura-pura bodoh.
“Abang
Rizanlah.”
Aku
menarik nafasku. “Aku rasa...” Aku memandang Zila yang berada di katil bujang
bersebelahan denganku. “... kalau kau jumpa abang Rizan, sebelah mata pun kau
tak sudi pandang kut?”
“Kenapa
pulak?”
“Sombong
betul. Dengan aku kalau dia nak menyombong, aku tak ada hal. Tapi dengan mak
bapa dia, sanggup dia meninggi suara. Depan aku pulak tu!”
“Ya
ke?” Kini aku sudah mendapat perhatian sepenuhnya daripada Zila.
“Abang
tiri. Satu bapa, tapi lain mak.”
“Patutlah
pun. Rasa tersisih kut?”
“Entahlah.”
Suasana
sepi.
“Eh,
jomlah tidur. Esok pukul lapan kita dah ada kelas. Goodnight, Ju!” Zila
terus menarik selimutnya ke paras dada. Enggan melayani diriku lagi. Enggan mendengar
ceritaku.
Tapi
aku tidakkan menceritakan apa-apa lagi tentang Megat dan apa yang sedang
berlaku di hatiku tatkala ini. Ini sekadar lamunan asmara yang tidak sepatutnya
berlaku selain antara aku dan Rizan. Aku
sendiri tidak tahu kenapa aku perlu ada debaran ini.
Megat
Iskandar Zulkarnain.
Kenapa
setiap kali mengungkap namanya di fikiran, jantungku pasti berdegup kencang?
Kenapa pandangan matanya itu, menghangat seluruh jiwa? Apa yang sedang berlaku
pada diriku saat ini? Kerana aku ingin benci perasaan ini, tetapi aku sukar
untuk menimbulkan rasa benci tersebut.
“Mama ajak you datang rumah,” kata Rizan
di corong telefon seminggu selepas pertemuan aku dengan keluarga Rizan di
rumahnya.
Aku
terkejut seketika. “Kenapa?”
“Saja.
Ajak you temankan dia di rumah.”
Aku
terdiam. Aku tidak mampu untuk bersuara kerana saat itu aku terus teringatkan
abang tiri Rizan. Bagaimana nanti sekiranya aku bertembung dengan lelaki
sombong tu? Dan apa pula hendak aku panggil dia nanti? Megat. Atau Abang Megat?
Ah! Aku sendiri tidak tahu apa yang perlu aku panggil. Fikiranku keliru dengan
semua ini.
Aku
malas. Malas untuk berhadapan dengan orang tua Rizan lagi dalam tempoh terdekat
ini. Bukankah beberapa hari yang lepas kami bertemu? Takkanlah mahu bertemu
lagi?
“Lepas
lunch, I ada kelas sampai petang. Lagipun kertas kerja I dengan Zila tak
habis lagi, Rizan. I takut tak sempat siap.” Aku memberi alasan.
“I
tolong you,” katanya tiba-tiba.
“You
tolong I buat apa?” Aku kehairanan.
“Bukan
ke you pernah jadi junior I dulu? Dah tentu-tentu I tahu macam mana nak buat.”
Aku
tergelak. Sungguh! Masakan aku boleh lupa yang dia senior aku. Kerana hubungan
senior dan juniorlah, kami tersangkut berdua. Itupun Rizan yang paling baik di
antara semua kenalan lelakiku dan Rizan juga lelaki yang sering mendekati
diriku!
Kebetulan
hari itu juga kelas pukul 2.00 dibatalkan. Tiada alasan untuk tidak pergi, aku
bersiap sedia untuk ke rumah orang tua Rizan tanpa dirinya menemaniku. Jika aku
terus-terusan menolak, pasti ada yang terasa hati. Menunggu Rizan untuk pulang
dari pejabat petang nanti, entah bila pula nanti aku dapat kembali ke asrama.
Ditambah pula panggilan telefon dari mama Rizan yang menyuruh aku segera
datang, kerana mahu aku menemaninya membeli-belah.
Tepat
pukul 1.00 petang, seorang pemandu datang menjemputku, sepertimana yang telah
diaturkan oleh mama Rizan untukku. Sekejap kemudian, aku sudah pun tiba di
rumah besar itu. Debaran di dada semakin kencang saat aku keluar dari kereta.
Bagaimana kalau aku bertembung dengan lelaki itu? Aku takut dengan dirinya.
Tetapi aku lebih takut dengan diriku sendiri.
“Assalamualaikum,”
ucapku berdiri di hadapan muka pintu, tidak berani melangkah masuk tanpa
dijemput oleh tuan rumah hatta pembantu rumah mereka.
Sekujur
tubuh menuruni anak tangga.
Megat
Iskandar Zulkarnain!
Kami
bertentangan mata sebentar. Tubuhku kaku sebaik melihat kelibatnya di pandangan
mata. Dadaku berdebar. Jantungku berdegup pantas. Lelaki ini begitu mudah
menggundahkan perasaanku, jiwaku dan hatiku!
Dia
turut sama terpegun melihat aku berdiri di situ.
Entah
kenapa, setiap detik yang berlalu ketika itu, bagaikan terhenti. Suasana kaku
membeku. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang sedang berlaku antara aku dengan
lelaki itu. Menyedut aku masuk ke satu ruang yang sungguh menyesakkan, tapi
dalam pada masa yang sama, mewarnai indah dunia yang terlalu asing buatku.
Aku
takut untuk berada sendirian di ruang tersebut, tetapi tetapi dalam pada yang
sama ruang itu cukup mempersonakan. Inilah kali pertama aku dibawa suasana
seperti itu. Jantung berdegup lebih pantas dari biasa. Debaran semakin
menyukarkan aku untuk terus berdiri di tempat aku berada. Namun, aku bagaikan
terpesona dan menikmati apa yang sedang aku lihat.
Menyakitkan,
tetapi mengasyikkan.
Dia
merapati ke arahku. Matanya tidak lepas dari terus menatapku. Begitu juga
denganku. Aku tidak tahu kenapa aku tidak mampu melarikan pandanganku
daripadanya. Ini bukan caraku. Ini bukan sikapku terus-terusan menatap
pandangan seseorang kepadaku. Tiga saat sahaja sudah cukup. Tapi kali ini, aku
terasa seperti satu keabadian yang dinikmati kali pertama.
“Kenapa
kau pandang aku macam tu? Ada hutang?”
Aku
terkejut. Kata-katanya kesat. Perasaanku tercalar sama sekali. Bahasanya kasar.
Aku kembali ke dunia nyata lantas memeluk erat beg yang tersandang di bahuku.
Aku menggeleng.
“Kau
datang ni, apasal? Kau teringin sangat nak duduk rumah ni ke?”
Aku
sekadar memandangnya dengan perasaan kucar-kacir. Kenapa dia berkata sebegitu
sekali kepadaku?
Dia
mengeluh. Memerhatiku dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Lantas, dia
mengambil kasut sukannya dan menyarungnya sebaik mengenakan stoking. Dia sedang
memakai seluar jean biru sedikit lusuh dan T-shirtberwarna putih kosong
dan jaket denim.
Hanya
itu sahaja, tapi kekacakannya tidak sedikit pun berkurangan. Malah semakin
santai pemakaiannya, semakin mempersonakan di mataku.
Dia
bangun dan merapikan pakaian tubuh dan kembali memandangku. “Yang kau berdiri
kat situ, buat apa? Pergilah masuk. Nak jadi jaga kat situ?” Suaranya keras
sekali.
Mataku
membulat melihat dia melangkah menuju ke kereta Fordnya tanpa menoleh sekalipun
ke arahku. Kenapa dia tidak cuba bercakap dalam bahasa berhemah ataupun dengan
suara yang lebih lembut ketika denganku? Apa salahku pada dia? Bukankah aku ini
tetamu di rumah ini? Teman baik Rizan? Teman baik kepada adiknya? Kalau aku
telah melakukan kesalahan yang telah menimbulkan rasa tidak puas hatinya
terhadapku, aku berhak diberi peluang untuk membetulkan kesilapanku. Bukan
dibiarkan berteka-teki dan menerima kata-kata kesat begitu sahaja.
Tiba-tiba,
dia kembali semula ke rumah dan terkejut kerana aku masih tidak berganjak dari
muka pintu rumahnya. Dahi berkerut. Dia kehairanan. “Kau ni kenapa? Dah jadi
patung cendana pulak kat situ?”
Dia
kembali merapati diriku sebaik meninggalkan kasut Nikenya di anak tangga. Kali
ini betul-betul rapat. Aku tahu, aku seorang gadis yang paling tinggi di
kalangan keluarga dan juga teman-teman. Tetapi bila berada dekat dengan Megat,
aku terasa sungguh kecil sekali.
Lelaki
itu benar-benar tinggi. 5 kaki 10 inci? Mungkin. Sedangkan aku 5 kaki 7 inci.
Tanpa berkata sepatah pun, dia mengambil beg sandangku dari bahu dan membawanya
masuk. Aku terkapai-kapai kehairanan.
“Apa
lagi yang berdiri di situ?” Marahnya dia sebaik berpaling menghadapku yang
berdiri kaku. “Kau nak aku dukung kau ke?!” tanya dia. Suaranya meninggi.
Bagai
terkena sihir penangan daripada dia, aku akur akhirnya. Melangkah ke masuk ke
ruang tamu. Segera aku kembali ke alam nyata. Entahlah, bagaikan ada satu
tarikan darinya untuk aku mengamati setiap langkahnya biarpun dari ekor mataku.
Aku cuba menghentikan pandanganku padanya. Aduhai, begitu sukar untuk aku
melepaskan mata ini darinya. Tarikan Megat pada mataku ini terlalu kuat sekali.
Saat
aku mengambil tempat duduk di mana beg aku diletakkan, aku terdengar kucing
mengiau dari entah mana.
“Mak
Yam!” laung lelaki itu lantang dan terus ke dapur. Panggilan itu tenggelam bila
dia menghilangkan dirinya di dapur.
Rizan
tidak pernah memberitahuku mereka ada membela kucing di rumah. Begitu juga
dengan Mama Hamidah. Hairan. Aku tidak mampu membendung rasa ingin tahu lantas
mencari-cari di mana kucing itu berada.
Namun,
apa yang aku lihat ketika itu menjadikan aku terkedu seketika.
Ya,
dia sememangnya seorang lelaki sombong yang aku pernah kenal. Bukan sekadar
sombong, tetapi kurang ajar kepada kedua-dua orang tuanya juga.
Namun,
lelaki yang sombong itu tidak pernah meletakkan harga dirinya pada seekor
binatang yang begitu manja sekali. Kucing itu dibelainya penuh kasih sayang.
Malah sebaik dia menyediakan semangkuk makanan untuk binatang tersebut, dia
juga menyediakan sebekas air untuk kucingnya minum. Tangannya tidak pernah
lepas daripada membelai kucing Parsi tersebut. Penuh kelembutan. Penuh kasih
sayang. Acap kali dikucupnya kepala kucing tersebut. Perasaan kasih sayangnya
jelas kelihatan di mataku.
Aku
terpesona dengan luahan hatinya walaupun sekadar terhadap seekor kucing. Dia
benar-benar menunjukkan kasih sayangnya, membelai tanpa henti, mengucup kucing
itu tanpa ragu-ragu. Walhal, bukankah itu hanya seekor kucing? Bukankah lebih
baik kasih sayang itu ditunjukkan kepada keluarganya sebelum dia mencurahkan
kasih sayangnya itu pada haiwan belaannya?
Adakah
lelaki ini memiliki dua personaliti yang berbeza?
“Eh,
Julia! Buat apa kat sini? Pergi duduk kat ruang tamu. Nanti Mak Yam buatkan air
ya?” Pembantu rumah ini menegurku.
Aduhai!
Silap. Aku tersilap langkah. Mata aku dengan dia bertentangan secara tak
langsung. Aku dengan wajah terpahat rasa bersalah yang amat sangat, kerana
diam-diam mencuri lihat pada dirinya. Dia pula terpaku kerana baru tersedar
dirinya sedang diperhatikan.
Dia
meluru keluar sepantas kilat, dengan rasa penuh kemarahan terpamer pada
wajahnya! Malah bahuku dilanggar begitu rakus sehingga aku hampir terhumban ke
belakang. Sakit. Tubuhku dilanggar dengan sengaja dan aku rasa sungguh sakit
dengan perbuatannya.
“Megat...
kalau berjalan tu, cuba elok-elok sikit. Mujur Julia tak jatuh,” tegur Mak Yam,
sedikit kuat, tapi tiada langsung perasaan marah.
“Tak
apa, Mak Yam. Abang Megat tak sengaja,” balasku.
Dan
sekali lagi aku terkejut bila dia kembali mendapatkan aku. “Siapa kau dengan
aku? Kau bukan adik aku. Dan aku bukan abang kau. Jangan sekali-kali panggil
aku abang!”
Dengan
angkuhnya, dia meninggalkan aku terkapai-kapai di situ.
Pipiku
mula menghangat. Apa salahku? Aku tidak sedikit pun cuba untuk memprovok
dirinya, jauh sekali untuk memarahi sikapnya tadi. Tetapi kenapa aku pula yang
dipersalahkan? Pandanganku mulai kabur.
“Kenapa,
Julia? Apa bising-bising tadi, Yam?” Suara Mama Hamidah kedengaran dan akhirnya
wajahnya tersembul di ruang dapur. “Yam, kenapa biarkan Julia di dapur? Kenapa
tak suruh dia duduk aje di ruang tamu?”
“Tadi
si Megat tu... nasib baik...”
Dan
aku pantas memotong kata-kata mak Yam, “Tak ada apa, ma. Ju terlanggar dia.
Memang patut di tegur Ju, jalan tak pandang orang..” Lantas aku teringat
kata-kata kesatnya pada aku. ‘Jangan sekali-kali panggil aku abang.’ Aku tidak
dibenarkan memanggilnya abang sama sekali. Mengingatkan kembali wajah angkuhnya
itu, aku rasa tidak patut aku menggunakan perkataan abang biarpun dalam
ketiadaan dirinya saat itu.
Mak
Yam sekadar menjeling matanya penuh makna. Aku berharap sangat agar mak Yam
tidak menceritakan hal yang sebenar. Tidak sanggup rasanya mendengar bebelan
Mama Hamidah tentang Megat lagi. Setiap patah perkataan, mampu mencalarkan jiwa
sesiapa yang mendengar.
“Huh!
Terlanggar sedikit pun tak boleh,” omel Mama Hamidah dengan rasa tidak puas
hati. Dalam sekelip mata kemarahannya menyelinap. “Budak tu, memang ada
angin. Kurang ajar pun ada. Tak sedar diuntung. Cepatlah dia ke Perancis. Tak
payah balik ke sini, lagi bagus.”
Aku
terkedu dengan kata-kata Mama Hamidah. Apa sebenarnya yang telah berlaku antara
anak tiri dan ibu tiri?
Mengingatkan
aku pada perasaan yang terabai tetapi penuh kasih sayang. Hakikatnya, Megat
Iskandar Zulkarnain bukan lelaki yang sombong, angkuh dan kurang ajar. Di
sebalik itu semua, dia seorang lelaki yang lembut dan penyayang. Mesti ada
sebab hatinya penuh dengan kesumat yang menjadikan dirinya menjauhkan dari
seluruh ahli keluarga yang ada.