Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
89,015
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

5

AKU melihat Mama Hamidah dan Rizan dalam perbualan yang kurang selesa saat aku keluar dari bilik persalinan. Mama Hamidah kelihatan seperti marah-marah. Bila aku memandang kepada mama dengan seribu macam persoalan, mama sekadar menggelengkan kepalanya. Nada suara Mama Hamidah begitu keras dan meninggi. Dia menunjukkan kemarahannya.

Aku tersentak. Apa sebabnya? Bukankah sebentar tadi semuanya elok sahaja? Atau sikapku yang tidak berkenan di hati? Tetapi apa sikapku yang membuatkan dia jadi marah tiba-tiba?

“Mama, tak adil mama buat begitu.” Rizan seolah-olah tidak menyetujui apa sahaja kata-kata Mama Hamidah.

Aku mengerutkan dahiku kerana semakin tidak mengerti apa yang berlaku. Aku sempat melemparkan pandangan hairanku kepada Rizan. Apa yang sebenarnya berlaku? Tapi Rizan tidak mengendahkan pertanyaanku ini. Aku melihat wajah mama pula. Tapi mama terus menatap majalah di pangkuan.

“Mama tak suka! Tak suka! Ini final!”

Aku terkejut. Begitu keras nada suara itu. Aduh! Ini mesti benar-benar ada perkara yang tidak disukainya. Namun aku tidak dapat menangkap isu mereka yang sebenar.

Mama Hamidah mengangkat wajahnya dan terus kami berdua berpandangan. Pandangan itu terkunci tiba-tiba. Aku dengan persoalan yang bermain di fikiran dan begitu jelas di wajah, sementara Mama Hamidah pula penuh dengan rasa tidak puas hati dan marah. Mama yang bersama mereka juga agak terpinga-pinga. Apa yang sebenarnya berlaku?

“Mama tengah marah ni, Julia,” getus mama keras. Dadanya sedikit berombak. “Mama tak suka betul papa buat begini.”

Ya ALLAH! Tidakkah mereka tahu mereka meletakkan aku dalam keadaan berteka-teki? Apa sebenarnya yang papa Rizan telah lakukan?

Rizan lantas berdiri dan berjalan ke arah Huzaimi untuk membayar pakaian yang ditempah. Mungkin dia sudah tidak tahan dengan kerenah ibunya yang marah-marah itu.

Mama Hamidah mendengus.

Aku mengambil tempat Rizan, berhadapan dengan Mama Hamidah kerana aku ingin tahu apa masalah yang sedang berlaku secara tiba-tiba.

Mama menggelengkan kepalanya kepadaku. Seolah-olah memberitahuku supaya tidak masuk campur hal mereka.

“Mama tengah marah dengan papa ni!” Dia meluahkan rasa marah itu kepadaku.

Aku serba salah. Mama sudah mengisyaratkan aku untuk tidak masuk campur, tetapi Mama Hamidah pula mengheret aku masuk ke dalam masalahnya.

“Kenapa, ma?” tanyaku. Suara perlahan. Sebenarnya aku serba salah bertanya pertanyaan itu.

Dia menghela nafas. Lantas memandangku. “Di saat kau orang berdua nak bertunang, nak berkahwin... masalah lain datang! Bala! Bala!”

“Hah?! Bala apa?” Aku terkejut dengan kata-kata Mama Hamidah. Bala? Bala apa? Perkataan itu keterlaluan untukku. Apa yang membuatkan Mama Hamidah berkata sedemikian?

“Tahu tak mama tak suka dia balik? Kenapalah dia tak duduk di sana sampai mati?! Tak ada siapa pun yang nak dia balik. Kalau dia balik pun menyakitkan hati mama. Mama tak suka dia balik.”

Nafasku seolah-olah terhenti. Mataku berpinar-pinar. Aku tercari-cari suaraku sendiri.

Aku terdengar suara Rizan. “Mama, sabar. Tak elok marah macam ni,” pujuknya menenangkan hati mamanya yang sedang menghangat.

Aku alih pandangan mataku pada Mama Hamidah. Siapa yang dia tidak suka? Siapa yang balik?

“Mama tak suka Megat balik!”

Jantungku bagaikan terhenti seketika.

11 Januari 2008 - imbas kembali

“BETUL ke you nak bawak I balik rumah you ni?” tanyaku kepada Rizan. “Mama you dah tahu ke? Papa you ada rumah?”

Rizan ketawa dan terus memandu.

Aku gugup, serba salah dan resah gelisah. Ini kali pertama aku bertandang ke rumah Rizan. Pertama kali juga untuk bertemu dengan kedua-dua orang tua Rizan serta adik-beradiknya. Meskipun hubungan aku dengan Rizan sekadar teman biasa, namun keterujaan Rizan untuk memperkenalkan aku kepada kedua-dua orang tuanya membuatkan aku rasa tidak sedap hati. Aku tidak pasti apa rancangan sebenar Rizan mempertemukan aku dengan keluarganya hari ini.

Adakah aku sudah bersedia dengan semua ini?

Aku menggenggam jari-jemariku. Mengulis-ulis sehingga sehingga aku terasa sakitnya. Ya ALLAH, dadaku berdebar. Jantungku berdegup kencang. Aku benar-benar berharap kereta ini terkandas di tengah jalan atau ada hal kecemasan dari mama meminta aku pulang segera. Namun semakin lama aku berdoa di dalam hati, kenderaan ini semakin menghampiri ke destinasinya.

Ya ALLAH... permudahkanlah urusan hamba-MU ini.

“Hei, relakslah, Ju! Mama I bukan puntianak. Bapak I pulak bukan toyol,” seloroh Rizan.

Kata-katanya buat aku ketawa. “Apalah you cakap ni? Puntianak? Toyol? Tak baik betul.” Aku menggeleng-geleng kepalaku lantas mengakhiri tawaku dengan senyuman. Entah kenapa, aku merasakan senyumanku agak tawar. “Siapa lagi ada kat rumah you?” tanyaku. “Rizky ada?” dugaku. Aku tahu Rizan mempunyai seorang adik daripada cerita-cerita yang pernah diceritakan kepadaku. Papanya, mamanya, Rizky, Mak Yam, seorang pembantu rumah lagi yang aku tidak tahu siapa namanya dan Pak Abu, pemandu papanya. Itulah keluarga Rizan

Dia mengangguk. “Abang pun ada juga,” ucap Rizan seolah-olah berhati-hati.

“Abang?” Aku terkejut dengan berita ini. Selama kami berkawan, Rizan tidak pernah memberitahuku yang dia mempunyai seorang abang.

Dia tersenyum. Pendek sahaja senyumannya. Riak wajahnya nampak tidak berapa gembira dengan apa yang baru sahaja diberitahunya kepadaku.

“Selama ni I tak tahu you ada abang. You tak pernah cerita pun pada I you ada abang.” Aku hairan. “Kenapa selama ni you tak pernah beritahu pun tentang dia?” Aku tekan lagi persoalan itu.

Dia tersenyum hambar sambil terus memandu keretanya tanpa kata kali ini. “Ada satu perkara you kena tahu tentang abang I ni. Dia sebenarnya, abang tiri I. Kami sebapa, tapi lain mama,” terangnya ringkas.

Oh? Begitu ceritanya sehingga dia seolah-olah menyembunyikan abang tirinya itu. “Umur abang you berapa tahun bila mama kahwin dengan papa you?”

“Lebih kurang lima, enam tahun macam tu.”

Secara tiba-tiba, perasaanku diulit sayu. Kecil lagi sudah kehilangan ibu kandung. Menumpang kasih pada ibu tiri sahaja. Cukupkah? Apakah layanan yang diterima daripada ibu tiri setanding dengan kasih sayang yang Rizan terima daripada ibunya?

“Dia buat apa sekarang ni?” tanyaku.

“Dia nak ke Perancis.” Kemudian Rizan tergelak kecil tanpa sebab. Ada benda yang menggelikan hatinya.

“Kenapa gelak?”

“Kononnya nak jadi chef. Ala-ala Chef Wan.” Dia mencebir bibirnya. Meluat?

Aku pandang Rizan. Kenapa aku tidak berapa berkenan dengan nada suara itu dan caranya mencebir seolah-olah memperkecilkan cita-cita abangnya?

“Tak ada sebab you nak ketawa bila abang you nak jadi chef. Kerja tu bagus, kerja halal apa?! Kerja chef bukan mudah yang you fikir. Ini bukan tukang masak biasa-biasa. Ada tatatertibnya... ada seninya. You tahu tak?” Aku tidak suka dia merendah-rendahkan karier sebagai tukang masak apatah lagi abangnya sendiri.

Rizan masih terus ketawa sinis. “Tapi yang peliknya, papa tak marah pulak tu!” Tambahnya lagi, “Cuma papa ada kata, dia harap sangat Abang Megat ambil alih bisnes dia satu hari nanti. Tapi kalau itu minat Abang Megat, papa tak kisah.”

Dari satu ke satu perkara membuatkan aku terpinga-pinga. “Abang Megat? You adik-beradik semua ada title Megat tu. Tapi kenapa dia seorang yang panggil Megat?”

Rizan tersenyum kali ini. “Arwah nenek yang mula-mula panggil dia Megat walaupun Megat tu pangkat dari keturunan aje. Bila arwah nenek dah panggil Megat, yang lain pun panggil Megat jugaklah. Kita orang yang lain, panggil nama saja,” terang Rizan panjang lebar.

“Siapa nama penuh dia?” tanyaku lagi.

“Kenapa nak tahu?”

“Nak tahu pun tak boleh?” Aku tersengih.

Rizan ketawa kecil. “Boleh. Apa saja untuk you, biarpun I kena berenang lautan api pun I sanggup!”

Aku menjuih. “Gelinya!”

Dia ketawa. Kemudian menjawab akhirnya, “Megat Iskandar Zulkarnain.”

Seraya jiwaku mengulangi nama penuh itu dalam diam. Ada getaran bersamanya. Malah tiba-tiba juga ada getaran dalam perasaanku yang aku tidak mengerti sebabnya.

Rizan segera menyambung topik asal kami walaupun tanpa aku memintanya. “Mama tak peduli apa saja pilihan Abang Megat. Abang Megat tu dari dulu macam tu perangai dia... dia tak pernah nak peduli apa yang orang lain cakap pasal dia. Dia nak buat, dia buat. Tak kisah kalau papa marah ke... atau keluarga rasa malu dengan perangai dia ke... dia tak pernah peduli pun.”

Oh, begitukah ceritanya yang sebenar? Lebih baik aku tidak mencampuri urusan keluarga Rizan. Aku sudah tidak tahu apa yang dibicarakan oleh Rizan sebaik mendengar nama itu. Megat Iskandar Zulkarnain. Kenapa hatiku jadi resah sebaik nama itu terucap? Kenapa dadaku berdebar tiba-tiba tanpa sebab? Hanya sekadar mendengar nama itu, jiwaku bagai dipalu.

Rizan masih berkata sesuatu ketika aku kembali memandangnya. Dan aku cuba menghayati setiap bait perkataan yang dikatakannya. “Abang Megat enam tahun lebih tua dari I.”

Aku mengangguk sahaja. Aku sebut namanya perlahan-lahan. Di dalam mindaku dan juga dalam perasaan... Megat Iskandar Zulkarnain. Kenapa nama itu seolah-olah memberi satu perasaan gemuruh di hatiku? Satu perasaan yang agak menakutkan aku tapi jiwaku bagai dicuit-cuit pula. “Jadi, dia akan ke Perancis tak lama lagilah?” Aku perlu tahu, tanpa alasan yang pasti.

“Katanya nak pergi, tapi dia tak pernah beritahu kita orang pun bila dia akan pergi. Abang terlalu berahsia dengan kami. Dia jarang bergaul dengan kami, apatah lagi dengan adik-beradik. Abang macam hidup dalam dunia dia sendiri,” jelas Rizan kepadaku. “Dia tu pelik sikit.”

Aku menghela nafasku perlahan-lahan. Tarik nafas, lepas nafas. Tarik nafas, lepas nafas. Sememangnya, aku rasa sungguh berdebar dengan pertemuan kali pertama dengan keluarga Rizan. Aku tidak tahu apa reaksi mereka bila melihat aku kali pertama nanti. Ya. Berdebar. Berdebar untuk mengenali siapa mama dan papa Rizan. Berdebar untuk bertemu Megat Iskandar Zulkarnain.

SEBAIK tiba di rumah yang tersergam indah ini, aku termangu sebentar dengan keadaan rumah milik orang tuanya. Selama ini, aku sekadar kenal Rizan sebagai anak orang yang berada. Tetapi sejauh mana kekayaan keluarga ini, baru hari ini aku nampak.

Dia bukan sekadar kaya, tetapi mewah. Ada tukang kebun yang merapikan kawasan lapang dan hiasan bunga-bungaan di persekitarannya. Ada beberapa kereta berjenama di pekarangan rumah. Ada CCTV di setiap sudut binaannya. Ada kolam renang. Ada gazebo besar. Ada pokok-pokok bunga yang menghiasi rumah besar ini.

Ini rumah ke atau istana? Aku termangu melihat bangunan di hadapanku ini.

Rizan memberhentikan keretanya betul-betul di pintu masuk rumah. Seorang wanita yang sungguh anggun biarpun wajahnya sudah berusia bersedia menanti menyambut kami tiba. Di bibirnya sudah tersedia dengan senyuman manisnya.

“Itu mama I.” Rizan sempat memperkenalkan wanita itu kepadaku tatkala aku membuka pintu kereta.

Aku tersenyum. Cuba untuk tidak menampakkan darah gemuruh atau cemas di mata orang tuanya.

“Assalamualaikum, Datin,” ucapku tatkala melangkah mendapatkan wanita yang terus-terusan dengan senyumannya.

“Waalaikumussalam.” Dia menghulurkan tangannya kepadaku dan aku segera mendapatkannya. Aku kucup tangannya. “Tak nak panggil Datin. Panggil mama saja,” ujarnya dengan penuh mesra. “Oh, ini rupanya Julianna Isabelle yang Rizan asyik cerita pada kami sekeluarga. Patutlah dia tak pernah berhenti bercerita tentang Julia pada mama. Lawa rupanya,” ujar wanita yang bernama Datin Hamidah itu dengan usikannya. Aku tidak tahu, siapa yang diusiknya. Aku atau Rizan. Dia mengerling ke arah anaknya dengan jelingan matanya, namun jelas penuh kasih sayang. “Jom, jemput masuk rumah mama ni. Uncle ada kat dalam. Jom, jangan takut-takut. Buat rumah sendiri. Si Rizky ada kelas tambahan. Kita berempat ajelah ya?”

Aku tersenyum lantas berjalan seiringan dengan mama Rizan sementara Rizan yang pulang dari kerja itu menjemputku dari kolej, mengekori dari belakang kami.

Aku diperkenalkan dengan bapa Rizan, lelaki yang cukup berprofil tinggi, cukup betah berkata-kata dan mesra. Agak merendah diri bila berkata-kata walaupun dialah ketua keluarga yang memiliki empayar perniagaannya sendiri.

Kami berbual seketika, tentang keluargaku, pelajaranku dan apa yang aku ingin lakukan sebaik selesai belajar nanti. Lebih kurang setengah jam kemudian, kami beredar ke meja makan untuk hidangan makan malam.

Saat itulah, buat kali pertama aku dipertemukan lantas diperkenalkan dengan lelaki yang bernama Megat Iskandar Zulkarnain itu. Orangnya tinggi lampai, berbadan tegap, rambut pendek kemas, wajahnya serius sekali, tidak sedikit pun melemparkan senyumannya kepadaku saat kami bertentangan mata ketika diperkenalkan.

Dan apabila matanya menatap wajahku, aku tidak tahu kenapa perlu jantung ini seperti mati. Aku bagaikan lupa untuk bernafas. Pandangan matanya seperti sedang merenungi jauh ke dasar hatiku. Pantas aku mengalihkan pandangan mataku ke hidangan di hadapanku.

“Megat...” Suara Uncle Rashid lantang menegur anaknya. “Duduk sini, makan sekali dengan kawan Rizan.”

Aku mula tidak selesa. Aku cuba untuk tidak bertentang matanya sekali lagi namun aku tidak sedar bahawa aku kembali menatap wajahnya. Lelaki itu memandangku tetapi kali ini giliran dia mengalihkan pandangannya dariku.

“Dia bukan tetamu Megat.”

Jiwaku tersentak. Marahkah dia kepadaku? Entah kenapa rasa kecil hati diperlakukan sebegitu. Julianna! Sedar diri awak tu sikit. Kalau dia bukan kawan awak, awak juga bukan kawan dia. Lagipun dia tidak berminat untuk berada di tengah-tengah di mana awak berada.

Mama Hamidah bersahaja sikapnya seolah-olah sedikit pun tidak berminat dengan anak dan bapa. “Makan, Julia. Jangan malu-malu. Jangan ambil kisah dengan dia.”

Suara garau dengan nada angkuh kedengaran kembali. Jelas tutur katanya. “Megat nak keluar.”

“Megat baru balik, dah nak keluar semula?” Suara si ayah mula agak tegas dengan anaknya itu.

Rasa takut tiba-tiba menyelubungi perasaanku dan aku tidak suka dengan keadaan ini.

“Megat dah tak ada masa.” Dalam sekelip mata, dia hilang begitu sahaja.

“Megat!” Kali ini suara Uncle Rashid agak tinggi sehingga membuatkan aku kecut perut mendengarnya.

“Megat tak ada masa, pa. Kawan Megat dah tunggu kat luar tu.” Suara itu kedengaran sayup-sayup dari luar rumah. Dengan kata-kata itu, dia terus menghilangkan diri ke tingkat atas dan tidak sampai sepuluh minit kemudian, kedengaran kereta terus memecut laju meninggalkan kawasan rumah besar ini.

Aku tidak sepatutnya berada di sini! Ayat itu berlegar-legar di dalam benak fikiran.

“Jangan kecil hati dengan perangai abang Rizan tu, Julia. Dia memang macam tu, jenis tak reti nak campur orang,” ujar Uncle Rashid menenangkan perasaanku dengan sikap anaknya yang menjengkelkan perasaanku.

“Tak reti nak campur orang? Itu bukan tak campur orang, tapi anak kurang ajar namanya!” sampuk Mama Hamidah pantas. Dia tidak segan-silu menunjukkan rasa marahnya kepada suami dan Rizan, termasuk aku juga. Aku mula rasa tersepit di tengah-tengah persengkataan keluarga ini.

“Mama...” seru Rizan perlahan.

“Yang, jangan cakap anak kita begitu,” tegur Uncle Rashid.

Mama Hamidah diam serta-merta. Mungkin tatkala melihat aku di hadapannya, dia bagaikan tersedar bahawa dia sebenarnya ada tetamu. “Mama minta maaf, Julia. Tapi Megat tu memang lain sikit dari Rizan dengan Rizky. Dia tu, entahlah. Susah nak dibentuk dari kecil lagi,” jelas Mama Hamidah kepadaku.

Aku diam sahaja.

“Tak payah fikir-fikir lagi pasal abang Rizan tu. Dah, makan kenyang-kenyang. Mama sediakan ni semua untuk Julia. Makan, jangan tak makan. Lepas makan, Rizan hantar semula Ju ke asrama.”

Aku mengangguk sahaja dan senyum. Kalau boleh, saat itu juga aku mahu pulang ke bilikku.

Dan sepanjang kami menikmati hidangan malam itu, ternyata fikiranku diasak dengan pelbagai jenis soalan. Cuma satu yang membuatkan aku tertanya-tanya mengapa sikapnya begitu. Seolah-olah memberontak, marah dan kurang puas hati terhadap keluarganya sendiri? Tetapi, bukankah setiap tindakan ada sebabnya? Menurut Rizan dan Mama Hamidah, perangainya sebegitu sejak kecil.

Sejak keci? Bukankah anak kecil tidak sepatutnya berperangai begitu? Hidup anak-anak kecil penuh keindahan, keriangan dan kegembiraan. Dunia mereka penuh warna-warni. Mereka tidak tahu masalah hidup ketika itu.

MALAM itu, aku resah di kamar tidurku. Aku cuba melelapkan mata, namun betapa sukar mata ini untuk dipejamkan. Perasaanku tidak menentu. Gundah, gelisah tanpa sebab. Inilah kali pertama aku dilanda perasaan begini. Berpaling ke arah kiri, aku menghadap tingkap. Berpaling pula ke arah kanan, aku melihat sekujur tubuh tidak bergerak. Mungkin Zila sudah lena tidur agaknya.

Dan aku tidak dapat menafikan bahawa lelaki bernama Megat Iskandar Zulkarnain itu yang menyebabkan aku begini.

“Zila?” seruku kepada teman sebilikku. “Kau dah tidur?

Sepi.

Aku mengeluh. Dia sudah belayar entah ke mana saat ini.

“Hmm...” Suaranya kedengaran akhirnya.

“Kau dah tidur ke?” Aku mengulangi pertanyaanku.

“Kenapa? Kau tak boleh tidur?” Suara itu ternyata memberitahuku dia sudah terlelap. Aku rasa sungguh bersalah.

“Tak apalah. Kau tidurlah balik.”

Zila mengalihkan tubuhnya menghadap diriku. “Kau kenapa?”

“Aku nak beritahu kau sesuatu pasal Rizan.”

Mata yang terpejam terus terbuka. “Oh, kenapa pakwe kau tu?”

Kali ini, aku tidak mampu untuk bertelagah dengannya seperti biasa setiap kali dia menggelarkan Rizan itu pakwe. “Kau tahu kan tadi aku ke rumah orang tua dia?”

“Hmm...”

Aku diam. Ya, aku sudah bercerita hal itu dengannya. Tentang mama Rizan, tentang papanya, tentang rumah yang tersergam bak istana tetapi aku tidak bercerita cerita sepenuhnya.

“Tadi aku jumpa abang sulung Rizan.” Aku memulakan cerita dalam kegelapan malam di bilik kami.

Suasana hening seketika.

“Rizan ada abang? Aku tak pernah tahu pun.”

Saat itu aku sudah membayangkan lelaki itu. Paling kacak yang pernah aku temui dan paling berperwatakan di antara kenalan lelaki yang aku tahu.

Ah! Tidak! Dia bukan kenalanku. Tapi sekadar abang pada Rizan. Bukan abang, tetapi abang tiri. Sombong, angkuh, kurang ajar. Itu sikap yang tidak sepatutnya untuk menjadi lelaki sejati. Mujur Rizan tidak begitu. Mujur Rizan tidak pentingkan diri sendiri. Bukan aku seorang yang membenci lelaki seperti Megat Iskandar Zulkarnain, tetapi mungkin semua manusia yang berfikiran waras tidak ambil pusing sama sekali dengan lelaki yang berperangai seperti itu.

Cuma ada sesuatu yang tidak mampu aku leraikan daripada fikiran ini.

Ada sesuatu tentang dirinya yang terpahat dalam fikiran.

Auranya. Daya tarikannya. Pandangan matanya yang menusuk kalbuku. Kali pertama aku merasai perasaan itu. Kali pertama seorang lelaki telah membuatkan jiwaku berdebar, jantungku berdegup kencang dan tidurkan tidak mampu lena! Di sebalik keangkuhan dan kesombongannya itu, Megat Iskandar Zulkarnain ternyata memiliki aura yang mempersonakan yang tidak ada pada mana-mana lelaki yang pernah aku temui, termasuk Rizan sendiri!

Apa sudah jadi denganku?

“Kau jumpa dengan abang Rizan ke tadi?”

“Hmm... Aku pun tak sangka Rizan ada abang,” ujarku perlahan.

Zila mendengus. “Kalau kau sendiri dia tak pernah bagitahu, kau fikir Rizan nak bagitahu kat kau ke?”

“Aku rasa kalau tak kerana aku datang rumah dia, Rizan takkan cerita yang dia ada abang,” balasku jujur.

“Kenapa?” Suara Zila menunjukkan rasa minat ingin tahu tiba-tiba.

“Aku rasa pelik.” Aku tidak dapat menghabiskan ayatku. Sudahlah aku tadi aku menceroboh privasi keluarga Rizan dan melihat kepelikan sikap kekeluargaan mereka, aku rasa bersalah pula jika aku berkongsi cerita dengan Zila tentang apa yang aku lihat pada pandanganku.

“Kenapa?”

Aku diam. Enggan mengulas panjang. Mungkin aku yang bersangka demikian. Tidak baik aku menilai seseorang tanpa mengetahui hal sebenar. Bukankah begitu?

Handsome?” tanya Zila lagi. Namun kali ini, soalan itu mula menyimpang.

“Siapa?” Aku pura-pura bodoh.

“Abang Rizanlah.”

Aku menarik nafasku. “Aku rasa...” Aku memandang Zila yang berada di katil bujang bersebelahan denganku. “... kalau kau jumpa abang Rizan, sebelah mata pun kau tak sudi pandang kut?”

“Kenapa pulak?”

“Sombong betul. Dengan aku kalau dia nak menyombong, aku tak ada hal. Tapi dengan mak bapa dia, sanggup dia meninggi suara. Depan aku pulak tu!”

“Ya ke?” Kini aku sudah mendapat perhatian sepenuhnya daripada Zila.

“Abang tiri. Satu bapa, tapi lain mak.”

“Patutlah pun. Rasa tersisih kut?”

“Entahlah.”

Suasana sepi.

“Eh, jomlah tidur. Esok pukul lapan kita dah ada kelas. Goodnight, Ju!” Zila terus menarik selimutnya ke paras dada. Enggan melayani diriku lagi. Enggan mendengar ceritaku.

Tapi aku tidakkan menceritakan apa-apa lagi tentang Megat dan apa yang sedang berlaku di hatiku tatkala ini. Ini sekadar lamunan asmara yang tidak sepatutnya berlaku selain antara aku dan Rizan. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku perlu ada debaran ini.

Megat Iskandar Zulkarnain.

Kenapa setiap kali mengungkap namanya di fikiran, jantungku pasti berdegup kencang? Kenapa pandangan matanya itu, menghangat seluruh jiwa? Apa yang sedang berlaku pada diriku saat ini? Kerana aku ingin benci perasaan ini, tetapi aku sukar untuk menimbulkan rasa benci tersebut.

“Mama ajak you datang rumah,” kata Rizan di corong telefon seminggu selepas pertemuan aku dengan keluarga Rizan di rumahnya.

Aku terkejut seketika. “Kenapa?”

“Saja. Ajak you temankan dia di rumah.”

Aku terdiam. Aku tidak mampu untuk bersuara kerana saat itu aku terus teringatkan abang tiri Rizan. Bagaimana nanti sekiranya aku bertembung dengan lelaki sombong tu? Dan apa pula hendak aku panggil dia nanti? Megat. Atau Abang Megat? Ah! Aku sendiri tidak tahu apa yang perlu aku panggil. Fikiranku keliru dengan semua ini.

Aku malas. Malas untuk berhadapan dengan orang tua Rizan lagi dalam tempoh terdekat ini. Bukankah beberapa hari yang lepas kami bertemu? Takkanlah mahu bertemu lagi?

“Lepas lunch, I ada kelas sampai petang. Lagipun kertas kerja I dengan Zila tak habis lagi, Rizan. I takut tak sempat siap.” Aku memberi alasan.

“I tolong you,” katanya tiba-tiba.

“You tolong I buat apa?” Aku kehairanan.

“Bukan ke you pernah jadi junior I dulu? Dah tentu-tentu I tahu macam mana nak buat.”

Aku tergelak. Sungguh! Masakan aku boleh lupa yang dia senior aku. Kerana hubungan senior dan juniorlah, kami tersangkut berdua. Itupun Rizan yang paling baik di antara semua kenalan lelakiku dan Rizan juga lelaki yang sering mendekati diriku!

Kebetulan hari itu juga kelas pukul 2.00 dibatalkan. Tiada alasan untuk tidak pergi, aku bersiap sedia untuk ke rumah orang tua Rizan tanpa dirinya menemaniku. Jika aku terus-terusan menolak, pasti ada yang terasa hati. Menunggu Rizan untuk pulang dari pejabat petang nanti, entah bila pula nanti aku dapat kembali ke asrama. Ditambah pula panggilan telefon dari mama Rizan yang menyuruh aku segera datang, kerana mahu aku menemaninya membeli-belah.

Tepat pukul 1.00 petang, seorang pemandu datang menjemputku, sepertimana yang telah diaturkan oleh mama Rizan untukku. Sekejap kemudian, aku sudah pun tiba di rumah besar itu. Debaran di dada semakin kencang saat aku keluar dari kereta. Bagaimana kalau aku bertembung dengan lelaki itu? Aku takut dengan dirinya. Tetapi aku lebih takut dengan diriku sendiri.

“Assalamualaikum,” ucapku berdiri di hadapan muka pintu, tidak berani melangkah masuk tanpa dijemput oleh tuan rumah hatta pembantu rumah mereka.

Sekujur tubuh menuruni anak tangga.

Megat Iskandar Zulkarnain!

Kami bertentangan mata sebentar. Tubuhku kaku sebaik melihat kelibatnya di pandangan mata. Dadaku berdebar. Jantungku berdegup pantas. Lelaki ini begitu mudah menggundahkan perasaanku, jiwaku dan hatiku!

Dia turut sama terpegun melihat aku berdiri di situ.

Entah kenapa, setiap detik yang berlalu ketika itu, bagaikan terhenti. Suasana kaku membeku. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang sedang berlaku antara aku dengan lelaki itu. Menyedut aku masuk ke satu ruang yang sungguh menyesakkan, tapi dalam pada masa yang sama, mewarnai indah dunia yang terlalu asing buatku.

Aku takut untuk berada sendirian di ruang tersebut, tetapi tetapi dalam pada yang sama ruang itu cukup mempersonakan. Inilah kali pertama aku dibawa suasana seperti itu. Jantung berdegup lebih pantas dari biasa. Debaran semakin menyukarkan aku untuk terus berdiri di tempat aku berada. Namun, aku bagaikan terpesona dan menikmati apa yang sedang aku lihat.

Menyakitkan, tetapi mengasyikkan.

Dia merapati ke arahku. Matanya tidak lepas dari terus menatapku. Begitu juga denganku. Aku tidak tahu kenapa aku tidak mampu melarikan pandanganku daripadanya. Ini bukan caraku. Ini bukan sikapku terus-terusan menatap pandangan seseorang kepadaku. Tiga saat sahaja sudah cukup. Tapi kali ini, aku terasa seperti satu keabadian yang dinikmati kali pertama.

“Kenapa kau pandang aku macam tu? Ada hutang?”

Aku terkejut. Kata-katanya kesat. Perasaanku tercalar sama sekali. Bahasanya kasar. Aku kembali ke dunia nyata lantas memeluk erat beg yang tersandang di bahuku. Aku menggeleng.

“Kau datang ni, apasal? Kau teringin sangat nak duduk rumah ni ke?”

Aku sekadar memandangnya dengan perasaan kucar-kacir. Kenapa dia berkata sebegitu sekali kepadaku?

Dia mengeluh. Memerhatiku dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Lantas, dia mengambil kasut sukannya dan menyarungnya sebaik mengenakan stoking. Dia sedang memakai seluar jean biru sedikit lusuh dan T-shirtberwarna putih kosong dan jaket denim.

Hanya itu sahaja, tapi kekacakannya tidak sedikit pun berkurangan. Malah semakin santai pemakaiannya, semakin mempersonakan di mataku.

Dia bangun dan merapikan pakaian tubuh dan kembali memandangku. “Yang kau berdiri kat situ, buat apa? Pergilah masuk. Nak jadi jaga kat situ?” Suaranya keras sekali.

Mataku membulat melihat dia melangkah menuju ke kereta Fordnya tanpa menoleh sekalipun ke arahku. Kenapa dia tidak cuba bercakap dalam bahasa berhemah ataupun dengan suara yang lebih lembut ketika denganku? Apa salahku pada dia? Bukankah aku ini tetamu di rumah ini? Teman baik Rizan? Teman baik kepada adiknya? Kalau aku telah melakukan kesalahan yang telah menimbulkan rasa tidak puas hatinya terhadapku, aku berhak diberi peluang untuk membetulkan kesilapanku. Bukan dibiarkan berteka-teki dan menerima kata-kata kesat begitu sahaja.

Tiba-tiba, dia kembali semula ke rumah dan terkejut kerana aku masih tidak berganjak dari muka pintu rumahnya. Dahi berkerut. Dia kehairanan. “Kau ni kenapa? Dah jadi patung cendana pulak kat situ?”

Dia kembali merapati diriku sebaik meninggalkan kasut Nikenya di anak tangga. Kali ini betul-betul rapat. Aku tahu, aku seorang gadis yang paling tinggi di kalangan keluarga dan juga teman-teman. Tetapi bila berada dekat dengan Megat, aku terasa sungguh kecil sekali.

Lelaki itu benar-benar tinggi. 5 kaki 10 inci? Mungkin. Sedangkan aku 5 kaki 7 inci. Tanpa berkata sepatah pun, dia mengambil beg sandangku dari bahu dan membawanya masuk. Aku terkapai-kapai kehairanan.

“Apa lagi yang berdiri di situ?” Marahnya dia sebaik berpaling menghadapku yang berdiri kaku. “Kau nak aku dukung kau ke?!” tanya dia. Suaranya meninggi.

Bagai terkena sihir penangan daripada dia, aku akur akhirnya. Melangkah ke masuk ke ruang tamu. Segera aku kembali ke alam nyata. Entahlah, bagaikan ada satu tarikan darinya untuk aku mengamati setiap langkahnya biarpun dari ekor mataku. Aku cuba menghentikan pandanganku padanya. Aduhai, begitu sukar untuk aku melepaskan mata ini darinya. Tarikan Megat pada mataku ini terlalu kuat sekali.

Saat aku mengambil tempat duduk di mana beg aku diletakkan, aku terdengar kucing mengiau dari entah mana.

“Mak Yam!” laung lelaki itu lantang dan terus ke dapur. Panggilan itu tenggelam bila dia menghilangkan dirinya di dapur.

Rizan tidak pernah memberitahuku mereka ada membela kucing di rumah. Begitu juga dengan Mama Hamidah. Hairan. Aku tidak mampu membendung rasa ingin tahu lantas mencari-cari di mana kucing itu berada.

Namun, apa yang aku lihat ketika itu menjadikan aku terkedu seketika.

Ya, dia sememangnya seorang lelaki sombong yang aku pernah kenal. Bukan sekadar sombong, tetapi kurang ajar kepada kedua-dua orang tuanya juga.

Namun, lelaki yang sombong itu tidak pernah meletakkan harga dirinya pada seekor binatang yang begitu manja sekali. Kucing itu dibelainya penuh kasih sayang. Malah sebaik dia menyediakan semangkuk makanan untuk binatang tersebut, dia juga menyediakan sebekas air untuk kucingnya minum. Tangannya tidak pernah lepas daripada membelai kucing Parsi tersebut. Penuh kelembutan. Penuh kasih sayang. Acap kali dikucupnya kepala kucing tersebut. Perasaan kasih sayangnya jelas kelihatan di mataku.

Aku terpesona dengan luahan hatinya walaupun sekadar terhadap seekor kucing. Dia benar-benar menunjukkan kasih sayangnya, membelai tanpa henti, mengucup kucing itu tanpa ragu-ragu. Walhal, bukankah itu hanya seekor kucing? Bukankah lebih baik kasih sayang itu ditunjukkan kepada keluarganya sebelum dia mencurahkan kasih sayangnya itu pada haiwan belaannya?

Adakah lelaki ini memiliki dua personaliti yang berbeza?

“Eh, Julia! Buat apa kat sini? Pergi duduk kat ruang tamu. Nanti Mak Yam buatkan air ya?” Pembantu rumah ini menegurku.

Aduhai! Silap. Aku tersilap langkah. Mata aku dengan dia bertentangan secara tak langsung. Aku dengan wajah terpahat rasa bersalah yang amat sangat, kerana diam-diam mencuri lihat pada dirinya. Dia pula terpaku kerana baru tersedar dirinya sedang diperhatikan.

Dia meluru keluar sepantas kilat, dengan rasa penuh kemarahan terpamer pada wajahnya! Malah bahuku dilanggar begitu rakus sehingga aku hampir terhumban ke belakang. Sakit. Tubuhku dilanggar dengan sengaja dan aku rasa sungguh sakit dengan perbuatannya.

“Megat... kalau berjalan tu, cuba elok-elok sikit. Mujur Julia tak jatuh,” tegur Mak Yam, sedikit kuat, tapi tiada langsung perasaan marah.

“Tak apa, Mak Yam. Abang Megat tak sengaja,” balasku.

Dan sekali lagi aku terkejut bila dia kembali mendapatkan aku. “Siapa kau dengan aku? Kau bukan adik aku. Dan aku bukan abang kau. Jangan sekali-kali panggil aku abang!”

Dengan angkuhnya, dia meninggalkan aku terkapai-kapai di situ.

Pipiku mula menghangat. Apa salahku? Aku tidak sedikit pun cuba untuk memprovok dirinya, jauh sekali untuk memarahi sikapnya tadi. Tetapi kenapa aku pula yang dipersalahkan? Pandanganku mulai kabur.

“Kenapa, Julia? Apa bising-bising tadi, Yam?” Suara Mama Hamidah kedengaran dan akhirnya wajahnya tersembul di ruang dapur. “Yam, kenapa biarkan Julia di dapur? Kenapa tak suruh dia duduk aje di ruang tamu?”

“Tadi si Megat tu... nasib baik...”

Dan aku pantas memotong kata-kata mak Yam, “Tak ada apa, ma. Ju terlanggar dia. Memang patut di tegur Ju, jalan tak pandang orang..” Lantas aku teringat kata-kata kesatnya pada aku. ‘Jangan sekali-kali panggil aku abang.’ Aku tidak dibenarkan memanggilnya abang sama sekali. Mengingatkan kembali wajah angkuhnya itu, aku rasa tidak patut aku menggunakan perkataan abang biarpun dalam ketiadaan dirinya saat itu.

Mak Yam sekadar menjeling matanya penuh makna. Aku berharap sangat agar mak Yam tidak menceritakan hal yang sebenar. Tidak sanggup rasanya mendengar bebelan Mama Hamidah tentang Megat lagi. Setiap patah perkataan, mampu mencalarkan jiwa sesiapa yang mendengar.

“Huh! Terlanggar sedikit pun tak boleh,” omel Mama Hamidah dengan rasa tidak puas hati. Dalam sekelip mata kemarahannya menyelinap. “Budak tu, memang ada angin. Kurang ajar pun ada. Tak sedar diuntung. Cepatlah dia ke Perancis. Tak payah balik ke sini, lagi bagus.”

Aku terkedu dengan kata-kata Mama Hamidah. Apa sebenarnya yang telah berlaku antara anak tiri dan ibu tiri?

Mengingatkan aku pada perasaan yang terabai tetapi penuh kasih sayang. Hakikatnya, Megat Iskandar Zulkarnain bukan lelaki yang sombong, angkuh dan kurang ajar. Di sebalik itu semua, dia seorang lelaki yang lembut dan penyayang. Mesti ada sebab hatinya penuh dengan kesumat yang menjadikan dirinya menjauhkan dari seluruh ahli keluarga yang ada.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.