6
DUA minggu
selepas kedatanganku ke rumah besar keluarga Rizan, aku dan Zila sama-sama
keluar untuk membeli barang keperluan pengajian kami. Sedang aku menunggu Zila
keluar dari tandas di pusat membeli-belah, tanpa disangka seorang lelaki telah
meragut beg tanganku dengan begitu pantas sekali membuatkan aku terpinga-pinga
sebelum menjerit sekuat hatiku. |
Dalam
rasa cemas dan panik, aku tidak sedar bahawa ada orang sedang berlari pantas
mengejar peragut beg tersebut. Beberapa orang di sekelilingku hanya sekadar
memandang. Mereka juga seperti aku seolah-olah tidak mampu melakukan apa kerana
keadaan itu berlaku dalam sekelip mata sahaja. Malah ketiadaan Zila seketika
itu, membuatkan aku lebih cemas. Saat itu aku sudah tidak peduli dengan orang
sekeliling. Aku mahu beg aku dikembalikan. Segala milik peribadiku ada di
dalamnya. Ya Allah, aku begitu
cuai!
Di
saat aku cuba mengawal diriku yang hampir menangis, aku terpaku melihat Megat
berjalan menuju ke arahku. Aku gugup seketika. Mahu meminta bantuan daripadanya
ataupun sebaliknya. Tiada secalit senyuman di bibirnya. Renungannya menusuk,
seolah-olah sedang marah. Aku mula rasa takut.
Sebaik
dia menghampiriku, dia menghulurkan beg tanganku semula. “Lain kali jangan
cuai, boleh tak? Kalau tak tahu nak jaga diri, duduk aje kat rumah tu. Jangan
keluar,” marahnya kepadaku.
Aku
terkejut. Dia yang mengejarnya? Saat itu aku tersedar ada luka di tepi
bibirnya. Dia jatuh ke? Atau bertumbuk? Ya ALLAH. Aku cemas kembali. “Ada darah
kat bibir abang.”
Dia
mengerut dahi sedikit dan membawa jarinya ke bibir.
Saat
itu pula aku segera mengeluarkan tisu dari dalam beg tanganku dan cuba mengesat
darah tersebut. Namun Megat segera menepis. Tindakan aku membuatkan dia semakin
marah. “Eh, pergi baliklah! Kau ni... memang menyusahkan, kau tau tak?”
herdiknya padaku di khalayak ramai. “Lagi satu, jangan panggil aku abang!
Berapa kali aku nak cakap dengan kau?” Megat mendengus keras dan tiba-tiba dia
meninggalkan aku.
Itulah
saat paling memalukan diriku ketika itu. Tak semena-mena tindakannya memarahi
dan mengherdikku membuatkan air mataku berlinangan tanpa aku sedar.
Lelaki
itu sememangnya menakutkan aku. Namun jauh di sudut hati, aku sedar dalam
dirinya itu ada sikap yang sangat mulia dan aku perlu menyanjunginya biarpun
dia tidak menyukai aku dalam keluarganya.
KEDATANGAN aku kali ketiga ke rumah
besar ini pada hari terakhir Megat berada di Malaysia sebelum berlepas ke
Perancis pada malam itu. Rizan memberitahuku bahawa Megat akan berada di sana untuk kursus jangka
pendek sambil bekerja mencari pengalaman di sana. Rizan seakan-akan tidak ambil
endah bila abangnya akan pulang ke Malaysia dan tidak tahu di mana abangnya itu
akan bekerja. Apatah lagi dengan Mama Hamidah, langsung tidak menunjukkan minat
tentang anak lelaki tirinya itu.
Debaran
di dada tidak pernah reda setiap kali aku ke rumah besar ini. Malah berdegup
kencang sebaik aku berjanji dengan Rizan bahawa aku akan ke rumahnya. Aku
berdebar untuk bertemu dengan lelaki itu lagi. Aku berdebar untuk bertentangan
mata dengannya.
Degupan
jantungku semakin laju tatkala aku melangkah masuk ke rumah itu. Aku cuba
menenangkan perasaan. Cuba lari daripada tanggapan bahawa tiada apa yang
menarik tentang lelaki sombong itu, aku memberanikan diri melangkah masuk.
Malah, dia hanyalah abang tiri kepada Rizan dan Rizan adalah temanku. Tiada apa
yang menarik tentangnya. Tiada apa yang membuat aku tertarik tentangnya.
Tetapi
kenapa begitu sukar untuk jiwaku menafikan debaran itu? Kenapa perasaanku makin
resah bila hampir setengah jam aku berada di situ, dia masih tidak menampakkan
dirinya?
“Ada
apa-apa yang tak kena ke, Ju?” tegur Rizan tatkala menghulurkan aku segelas
minuman sejuk kepadaku.
Aku
cuba melemparkan semanis senyuman. “Tak ada apa. Ju risaukan tentang Zila. Dia
tak tahu Ju nak datang sini.”
Rizan
melihat jam di tangan. “Tak apalah. Lepas kita makan malam, I hantar you balik,
okey?”
Aku
mengangguk.
Uncle
Rashid berada di tingkat atas. Mungkin sedang berbicara dengan anaknya itu.
Sementara Mama Hamidah pula sibuk melihat-lihat persiapan makan malam untuk
kami semua, apatah lagi malam ini adalah malam terakhir Megat menikmati makan
malamnya bersama keluarga.
PUKUL 8.30 malam. Aku sudah mengambil
tempat duduk di kerusi makan. Begitu juga Rizan dan Mama Hamidah. Nasi sudah
berada di dalam pinggan masing-masing. Hanya menunggu Uncle Rashid, Rizky dan
Megat untuk turun.
Ketika
aku berbual dengan Mama Hamidah, perbualan kami terhenti bila melihat Rizky
menerpa ke meja makan, sambil diikuti Uncle Rashid menuruni anak tangga sambil
membawa bagasi pakaian Megat yang besar itu.
“Hello
my future sister in law!” tegur Rizky di belakangku dengan muka comelnya.
Dia tidak betah dengan ayat itu setiap kali kami bertemu.
Aku
ketawa kecil. Tetapi tawaku terhenti bila di belakang Uncle Rashid, Megat
membawa beg pakaian yang agak kecil di tangannya. Riak wajahnya bertukar
tatkala menyedari kehadiranku. Namun dalam sekelip mata juga, wajahnya kembali
tenang. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Seolah-olah aku tidak terlihat
reaksi spontan yang dilakarnya. Ataupun, semuanya mainan mataku sahaja? Atau
sekadar perasaanku yang mahukan dia sedar akan kehadiranku?
Lantas
aku teringat kejadian di pusat membeli-beli tempoh hari. Aku tidak pernah
menceritakan apa yang berlaku kepada Rizan dan aku turut sedar dia juga tidak
pernah memberitahu pada sesiapa tentang apa yang berlaku kerana Rizan tidak
pernah bertanyakan aku hal itu. Kecuali dia pernah mengeluh tentang bibir Megat
yang lebam biru dan luka itu. Rizan menuduh Megat lelaki liar hanya kerana dia
bertumbuk dengan orang.
“Jomlah
kita makan sama-sama, Megat. Megat pun tak tahu bila balik KL semula. Kita
makan sama-sama sebelum pergi, ya?” Suara Mama Hamidah seakan-akan memujuk.
Aku
menarik nafas. Sedikit lega mendengar suara lembut Mama Hamidah bila berbicara
dengan lelaki itu.
“Abang,
kita makan sama-sama,” sapa Rizan.
“Come,
Megat.Kita makan dulu sebelum papa hantar ke airport.” Giliran
Uncle Rashid mempelawa anaknya makan bersama di meja makan.
Antara
mahu dengan tidak, Megat perlahan-lahan datang ke meja makan. Dia mengambil
tempat setentang dengan diriku, di sebelah Rizky.
Aku
terperangkap dengan situasi ini. Terperangkap dengan pandangan matanya yang
merenungi jauh ke dasar hatiku biarpun hanya untuk tempoh beberapa saat itu.
“Bila
ada kat sana nanti, kalau ada apa-apa masalah, telefon papa. Nanti papa cuba
selesaikan dari sini,” pesan Uncle Rashid kepadanya.
Aku
menundukkan wajahku ke pinggan. Jelas dari nada suara Uncle Rashid bahawa dia
menyayangi anaknya itu tanpa berbelah bahagi.
Megat
terus-terusan mengamati diriku.
“Kawan
papa kat sana, Datuk Mazlan dah uruskan tempat tinggal Megat. Kalau ada
apa-apa, beritahu dia. Nanti papa calldia sekejap lagi, ingatkan dia
balik flight Megat sampai kat sana pukul berapa.”
Megat
sekadar mendiamkan diri.
Aku
mendongak.
Kami
bertentangan mata sekali lagi.
Kenapa
hatiku seakan tidak merelakan? Kenapa perasaanku tiba-tiba jadi sedih. Kenapa
aku boleh rasa ingin menjerit sahaja pada mereka semua?
SAAT pemergian dia, aku hanya menjadi
pemerhati.
Dia
dipeluk oleh Rizan, kemudian sekadar bersalaman dengan Mama Hamidah. Uncle
Rashid dan Rizky yang menghantarnya ke Lapangan Terbang KLIA.
Rizan
menarik beg bagasinya ke kereta. Beg yang satu lagi itu betul-betul di sisiku.
Aku mengangkatnya. Menunggu untuk dihulurkan kepadanya. Rizan dan kesemua ahli
keluarga sudah beransur-ansur ke kenderaan pacuan empat roda yang bersedia
untuk membawa lelaki itu pergi.
Saat
itu, perasaanku sebak. Jiwaku dipalit rasa pilu. Perlahan-lahan pandanganku
mulai kabur. Berkaca-kaca. Dia berdiri, menghulurkan tangannya untuk mengambil
beg pakaiannya daripada peganganku. Kami bertentangan sekali lagi. Buat kali
terakhir.
“Selamat
tinggal, Julianna Isabelle,” ucapnya perlahan. Buat kali pertama dalam
perkenalan kami, bicaranya kepadaku begitu lembut dan romantis. Aku tidak
percaya apa yang aku dengar saat ini. “Aku nak minta maaf pasal hari tu. Aku
tahu aku tak patut marah kau.”
Ya
ALLAH... Aku tidak sedar air mataku menitis. Tersentuh akan sikapnya yang
sangat berlembut bila berkata-kata denganku buat kali terakhir. Kali pertama
untuknya dan kali terakhir untuk aku mendengarnya. Dia akan pergi. Dan aku
tidak tahu bila dia akan pulang. Segala-galanya jadi tidak pasti. “Selamat
jalan Megat,” ucapku perlahan.
Dia
menggeleng perlahan. “Tak... abang,” katanya, lembut sekali. “Aku nak kau
panggil aku abang supaya aku sedar siapa diri aku dan siapa kau pada aku.”
Fikiranku
keliru. Aku tidak mengerti. Kenapa malam ini dia sudah menyentuh hati dan
perasaanku tanpa aku undang? Caranya melemahkan segala benteng yang aku bina
terhadapnya. Dan benteng itu runtuh begitu sahaja dalam sekelip mata.
Dia
mengambil beg pakaiannya dari tanganku. Sentuhannya terasa di jariku. Aku tidak
tahu sama ada dia sengaja ataupun sebaliknya dan kemudian dia segera
meninggalkan aku terkapai-kapai keseorangan, tidak mengerti dengan maksud yang
cuba disampaikan.
SEPANJANG malam, fikiranku tidak
tenteram.
“Zila?”
panggilku.
Rizan
sudah sejam menghantar aku pulang ke asrama penginapanku. Kini hanya aku dan
Zila di dalam bilik. Fikiranku sendat dengan lelaki yang sudah pastinya berada
di dalam pesawat, semakin jauh meninggalkan bumi Malaysia. Suaranya,
pandangannya, sentuhannya, aku kalut. Aku keliru dengan perasaanku. Aku takut
dengan apa yang sedang aku rasa. Buku di hadapanku bagaikan penghias yang tidak
bererti.
“Hmm?”
sahut Zila ringkas. Endah dan tidak.
“Macam
mana rasanya bila jatuh cinta?” soalku sepi. Sesepi hatiku lewat malam ini.
Saat
itu Zila memandangku sambil mengerutkan dahinya. “Dah tiga tahun kau bercinta
dengan Rizan sejak kau first yearkat sini. Sekarang baru kau tanya aku
macam mana rasa bila jatuh cinta?” Dia seakan-akan tidak mempercayai
pertanyaanku kepadanya.
Aku
menarik nafasku dalam-dalam. Ya ALLAH, kenapa sukar sekali untuk aku bernafas.
“Kau
ni kenapa?”
Air
mataku menitis buat kali kedua malam yang sama. Aku segera menyembunyikan
wajahku. Tanpa dijemput, tanpa dipelawa, air mataku menitis tanpa segan silu.
Aku pantas mengesatnya dengan selimutku. Aku tidak mahu Zila menyedari titisan
air jernih ini.
“Kau
ni menangis apa hal?”
Aku
ketawa kecil. Aku sedar aku tidak sepatutnya terlalu emosi di hadapan temanku.
“Mana pulak aku menangis? Kau ingat menangis ni bila sedih aje ke?”
“Jangan
tipulah. Aku tak perlu tengok air mata kau tu. Dari tempat duduk aku ni, aku
dah tahu kau menangis. Cakap cepat, kenapa kau menangis?”
Aku
ketawa kecil. Megat Iskandar Zulkarnain, aku tidak pernah kenal siapa diri kau
sebenarnya. Dan kau tidak pernah tahu siapa diriku. Malah, kita tidak pernah
sekalipun bertukar kata dan suara kecuali malam terakhir itu. Tetapi kenapa
sedalam ini perasaan aku pada dirimu? “Aku rindu kat dia, Zila,” bisikku.
“Laa...
kau rindu kat Rizan ke sampai menangis-nangis macam ni? Kau kan baru jumpa dia
tadi?”
Aku
mengetap bibir. Kalaulah Zila tahu rahsia yang tersimpan jauh di lubuk hatiku.