11
MALAM itu, Rizan datang ke rumah
semata-mata mahu menjemput aku ke rumahnya dengan tujuan makan malam bersama
keluarganya di rumah. |
“Tak
apalah. I tak ada pun tak apa, kan?” rayuku padanya. Aku tetap tidak mahu
pergi. Aku tidak mahu bertemu dengan lelaki yang baru kembali dari perantauan
itu bersama anak dan isteri. Ya, aku tahu lambat-laun aku pasti akan menemui
mereka. Tapi bukan sekarang. Aku belum bersedia.
“I
dah datang ni, Ju,” keluh Rizan beria-ia mengajak aku. “Mama yang suruh I
jemput you.”
Aku
terkesima. Aku tidak tahu bagaimana mahu mengelak lagi. Mama sudah melemparkan
pandangan tajam padaku.
“Next
time, kalau nak ajak orang keluar, tolong beritahu awal sikit, ya? I tak
suka datang cara mengejut macam ni. Lepas tu paksa-paksa orang suruh keluar.
It is not me, okay?!” getusku, keras kepada Rizan.
Rizan
mengerut dahinya. “Kenapa dengan you ni?”
“I
penat, Rizan. Banyak kerja kat ofis tadi.”
“Julia,
I ni siapa? Tak lama lagi kita nak kahwin. Masalah besar sangat ke kalau I
minta you keluar dengan I. Sekejap saja. Lagipun kita pergi rumah I. Lepas
makan I hantar you balik. Bukan I suruh you naik bas turun bas.” Dia melepaskan
rasa tidak puas hatinya kepadaku.
Wajah
mama makin menyinga. “Orang dah baik hati datang nak jemput dia, dia pulak tak
nak pergi.”
Aku
pandang emak. Kemudian aku pandang Rizan kembali. “Tunggu sekejap.” Aku
menunjukkan kelima-lima jariku kepadanya mengisyaratkan supaya dia tidak lagi
berkata-kata. “Kita belum kahwin lagi. Bertunang pun belum!” bentakku.
Rizan
mengeluh. “Nak pergi ke tak?” Dia bertanya lagi bila aku masih dengan
selambaku.
Aku
mendengus. Tak termampu aku untuk menyembunyikan marahku itu daripadanya.
Apatah lagi mama terus-terusan memandangku dengan wajah singanya.
“Kalau
I pergi pun bukan sebab you, ya? Semua sebab mama you.” Lantas aku
meninggalkannya menuju ke bilikku.
“Julia?”
Suara abah di ruang tamu kedengaran lantang. Adakah dia mendengar apa yang kami
bualkan sebentar tadi.
“Ya,
bah?”
“Awak
tu masih anak dara. Jangan balik lewat sangat.” Abah berpesan.
Sekurang-kurangnya ada juga yang tidak suka aku keluar di waktu malam sebegini.
Aku
jeling ke arah Rizan, sekadar memastikan dirinya mendengar pesanan abah itu.
Aku kunci bilik. Duduk di hujung katil dan menakup wajahku dengan ke sepuluh
jari. Ya ALLAH, apa yang sedang berlaku ini? Aku seperti tidak percaya apa yang
telah berlaku. Lebih tidak percaya bahawa aku akan bertemu dengannya kali pertama
hari ini!
11
Januari bakal mempertemukan aku dengan dia. Kalau aku mampu mengadakan sayap
pada tubuhku ini, sudah tentu aku akan terbang jauh dari sini. Tapi aku tiada
kuasa untuk melakukannya, jauh sekali untuk terbang dari sini. Dan yang paling
penting, aku tiada kuasa untuk melarikan diri.
‘Beranilah
menghadapinya. Jika esok atau lusa pasti kau akan ketemu dengannya kembali, kau
tetap akan dipertemukan. Cuma, pertemuan yang akan berlangsung hari ini tidak
membenarkan kau bersedia. Itu sahaja!’
Aku
bersiap berseluar jean dan blaus berwarna biru tua dengan rambut panjang diikat
satu. Aku mahu kelihatan ringkas, tidak menunjuk-nunjuk bahawa aku berdandan
untuk malam ini. Aku mahu mereka semua tahu, jemputan ke atasku adalah yang
sangat pantas dan jemputan yang tidak terduga olehku.
“Hantar Julia cepat. Kalau boleh, sebelum pukul dua
belas. Esok kerja. Lagipun kamu berdua masih belum bertunang lagi. Uncle tak
suka.” Abah masih mengingatkan lagi pesanannya kepada Rizan sebelum kami
melangkah keluar.
Aku
diam sahaja. Tanggungjawab itu aku serahkan kepada Rizan. Bukan aku.
“Baik,
uncle. Saya hantar Julia awal sebelum pukul dua belas. Insya-ALLAH,” ujar
Rizan, berjanji. “Kalau selepas pukul dua belas, saya takut saya jadi katak
pula!” Dia berseloroh. Mama tergelak kecil manakala abah pula sekadar
memandangnya tanpa emosi sama sekali.
Pesanan
orang tua itu bukan sekadar pesanan, jauh sekali boleh dibuat main. Dan aku
bersyukur abah menitip pesanan supaya aku pulang awal. Sekurang-kurangnya, abah
tegas dalam hal ini dan aku juga ada alasan kukuh untuk pulang awal!