Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
89,020
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

6

DUA minggu selepas kedatanganku ke rumah besar keluarga Rizan, aku dan Zila sama-sama keluar untuk membeli barang keperluan pengajian kami. Sedang aku menunggu Zila keluar dari tandas di pusat membeli-belah, tanpa disangka seorang lelaki telah meragut beg tanganku dengan begitu pantas sekali membuatkan aku terpinga-pinga sebelum menjerit sekuat hatiku.

Dalam rasa cemas dan panik, aku tidak sedar bahawa ada orang sedang berlari pantas mengejar peragut beg tersebut. Beberapa orang di sekelilingku hanya sekadar memandang. Mereka juga seperti aku seolah-olah tidak mampu melakukan apa kerana keadaan itu berlaku dalam sekelip mata sahaja. Malah ketiadaan Zila seketika itu, membuatkan aku lebih cemas. Saat itu aku sudah tidak peduli dengan orang sekeliling. Aku mahu beg aku dikembalikan. Segala milik peribadiku ada di dalamnya. Ya Allah, aku begitu cuai!

Di saat aku cuba mengawal diriku yang hampir menangis, aku terpaku melihat Megat berjalan menuju ke arahku. Aku gugup seketika. Mahu meminta bantuan daripadanya ataupun sebaliknya. Tiada secalit senyuman di bibirnya. Renungannya menusuk, seolah-olah sedang marah. Aku mula rasa takut.

Sebaik dia menghampiriku, dia menghulurkan beg tanganku semula. “Lain kali jangan cuai, boleh tak? Kalau tak tahu nak jaga diri, duduk aje kat rumah tu. Jangan keluar,” marahnya kepadaku.

Aku terkejut. Dia yang mengejarnya? Saat itu aku tersedar ada luka di tepi bibirnya. Dia jatuh ke? Atau bertumbuk? Ya ALLAH. Aku cemas kembali. “Ada darah kat bibir abang.”

Dia mengerut dahi sedikit dan membawa jarinya ke bibir.

Saat itu pula aku segera mengeluarkan tisu dari dalam beg tanganku dan cuba mengesat darah tersebut. Namun Megat segera menepis. Tindakan aku membuatkan dia semakin marah. “Eh, pergi baliklah! Kau ni... memang menyusahkan, kau tau tak?” herdiknya padaku di khalayak ramai. “Lagi satu, jangan panggil aku abang! Berapa kali aku nak cakap dengan kau?” Megat mendengus keras dan tiba-tiba dia meninggalkan aku.

Itulah saat paling memalukan diriku ketika itu. Tak semena-mena tindakannya memarahi dan mengherdikku membuatkan air mataku berlinangan tanpa aku sedar.

Lelaki itu sememangnya menakutkan aku. Namun jauh di sudut hati, aku sedar dalam dirinya itu ada sikap yang sangat mulia dan aku perlu menyanjunginya biarpun dia tidak menyukai aku dalam keluarganya.

KEDATANGAN aku kali ketiga ke rumah besar ini pada hari terakhir Megat berada di Malaysia sebelum berlepas ke Perancis pada malam itu. Rizan memberitahuku bahawa Megat akan berada di sana untuk kursus jangka pendek sambil bekerja mencari pengalaman di sana. Rizan seakan-akan tidak ambil endah bila abangnya akan pulang ke Malaysia dan tidak tahu di mana abangnya itu akan bekerja. Apatah lagi dengan Mama Hamidah, langsung tidak menunjukkan minat tentang anak lelaki tirinya itu.

Debaran di dada tidak pernah reda setiap kali aku ke rumah besar ini. Malah berdegup kencang sebaik aku berjanji dengan Rizan bahawa aku akan ke rumahnya. Aku berdebar untuk bertemu dengan lelaki itu lagi. Aku berdebar untuk bertentangan mata dengannya.

Degupan jantungku semakin laju tatkala aku melangkah masuk ke rumah itu. Aku cuba menenangkan perasaan. Cuba lari daripada tanggapan bahawa tiada apa yang menarik tentang lelaki sombong itu, aku memberanikan diri melangkah masuk. Malah, dia hanyalah abang tiri kepada Rizan dan Rizan adalah temanku. Tiada apa yang menarik tentangnya. Tiada apa yang membuat aku tertarik tentangnya.

Tetapi kenapa begitu sukar untuk jiwaku menafikan debaran itu? Kenapa perasaanku makin resah bila hampir setengah jam aku berada di situ, dia masih tidak menampakkan dirinya?

“Ada apa-apa yang tak kena ke, Ju?” tegur Rizan tatkala menghulurkan aku segelas minuman sejuk kepadaku.

Aku cuba melemparkan semanis senyuman. “Tak ada apa. Ju risaukan tentang Zila. Dia tak tahu Ju nak datang sini.”

Rizan melihat jam di tangan. “Tak apalah. Lepas kita makan malam, I hantar you balik, okey?”

Aku mengangguk.

Uncle Rashid berada di tingkat atas. Mungkin sedang berbicara dengan anaknya itu. Sementara Mama Hamidah pula sibuk melihat-lihat persiapan makan malam untuk kami semua, apatah lagi malam ini adalah malam terakhir Megat menikmati makan malamnya bersama keluarga.

PUKUL 8.30 malam. Aku sudah mengambil tempat duduk di kerusi makan. Begitu juga Rizan dan Mama Hamidah. Nasi sudah berada di dalam pinggan masing-masing. Hanya menunggu Uncle Rashid, Rizky dan Megat untuk turun.

Ketika aku berbual dengan Mama Hamidah, perbualan kami terhenti bila melihat Rizky menerpa ke meja makan, sambil diikuti Uncle Rashid menuruni anak tangga sambil membawa bagasi pakaian Megat yang besar itu.

Hello my future sister in law!” tegur Rizky di belakangku dengan muka comelnya. Dia tidak betah dengan ayat itu setiap kali kami bertemu.

Aku ketawa kecil. Tetapi tawaku terhenti bila di belakang Uncle Rashid, Megat membawa beg pakaian yang agak kecil di tangannya. Riak wajahnya bertukar tatkala menyedari kehadiranku. Namun dalam sekelip mata juga, wajahnya kembali tenang. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Seolah-olah aku tidak terlihat reaksi spontan yang dilakarnya. Ataupun, semuanya mainan mataku sahaja? Atau sekadar perasaanku yang mahukan dia sedar akan kehadiranku?

Lantas aku teringat kejadian di pusat membeli-beli tempoh hari. Aku tidak pernah menceritakan apa yang berlaku kepada Rizan dan aku turut sedar dia juga tidak pernah memberitahu pada sesiapa tentang apa yang berlaku kerana Rizan tidak pernah bertanyakan aku hal itu. Kecuali dia pernah mengeluh tentang bibir Megat yang lebam biru dan luka itu. Rizan menuduh Megat lelaki liar hanya kerana dia bertumbuk dengan orang.

“Jomlah kita makan sama-sama, Megat. Megat pun tak tahu bila balik KL semula. Kita makan sama-sama sebelum pergi, ya?” Suara Mama Hamidah seakan-akan memujuk.

Aku menarik nafas. Sedikit lega mendengar suara lembut Mama Hamidah bila berbicara dengan lelaki itu.

“Abang, kita makan sama-sama,” sapa Rizan.

Come, Megat.Kita makan dulu sebelum papa hantar ke airport.” Giliran Uncle Rashid mempelawa anaknya makan bersama di meja makan.

Antara mahu dengan tidak, Megat perlahan-lahan datang ke meja makan. Dia mengambil tempat setentang dengan diriku, di sebelah Rizky.

Aku terperangkap dengan situasi ini. Terperangkap dengan pandangan matanya yang merenungi jauh ke dasar hatiku biarpun hanya untuk tempoh beberapa saat itu.

“Bila ada kat sana nanti, kalau ada apa-apa masalah, telefon papa. Nanti papa cuba selesaikan dari sini,” pesan Uncle Rashid kepadanya.

Aku menundukkan wajahku ke pinggan. Jelas dari nada suara Uncle Rashid bahawa dia menyayangi anaknya itu tanpa berbelah bahagi.

Megat terus-terusan mengamati diriku.

“Kawan papa kat sana, Datuk Mazlan dah uruskan tempat tinggal Megat. Kalau ada apa-apa, beritahu dia. Nanti papa calldia sekejap lagi, ingatkan dia balik flight Megat sampai kat sana pukul berapa.”

Megat sekadar mendiamkan diri.

Aku mendongak.

Kami bertentangan mata sekali lagi.

Kenapa hatiku seakan tidak merelakan? Kenapa perasaanku tiba-tiba jadi sedih. Kenapa aku boleh rasa ingin menjerit sahaja pada mereka semua?

SAAT pemergian dia, aku hanya menjadi pemerhati.

Dia dipeluk oleh Rizan, kemudian sekadar bersalaman dengan Mama Hamidah. Uncle Rashid dan Rizky yang menghantarnya ke Lapangan Terbang KLIA.

Rizan menarik beg bagasinya ke kereta. Beg yang satu lagi itu betul-betul di sisiku. Aku mengangkatnya. Menunggu untuk dihulurkan kepadanya. Rizan dan kesemua ahli keluarga sudah beransur-ansur ke kenderaan pacuan empat roda yang bersedia untuk membawa lelaki itu pergi.

Saat itu, perasaanku sebak. Jiwaku dipalit rasa pilu. Perlahan-lahan pandanganku mulai kabur. Berkaca-kaca. Dia berdiri, menghulurkan tangannya untuk mengambil beg pakaiannya daripada peganganku. Kami bertentangan sekali lagi. Buat kali terakhir.

“Selamat tinggal, Julianna Isabelle,” ucapnya perlahan. Buat kali pertama dalam perkenalan kami, bicaranya kepadaku begitu lembut dan romantis. Aku tidak percaya apa yang aku dengar saat ini. “Aku nak minta maaf pasal hari tu. Aku tahu aku tak patut marah kau.”

Ya ALLAH... Aku tidak sedar air mataku menitis. Tersentuh akan sikapnya yang sangat berlembut bila berkata-kata denganku buat kali terakhir. Kali pertama untuknya dan kali terakhir untuk aku mendengarnya. Dia akan pergi. Dan aku tidak tahu bila dia akan pulang. Segala-galanya jadi tidak pasti. “Selamat jalan Megat,” ucapku perlahan.

Dia menggeleng perlahan. “Tak... abang,” katanya, lembut sekali. “Aku nak kau panggil aku abang supaya aku sedar siapa diri aku dan siapa kau pada aku.”

Fikiranku keliru. Aku tidak mengerti. Kenapa malam ini dia sudah menyentuh hati dan perasaanku tanpa aku undang? Caranya melemahkan segala benteng yang aku bina terhadapnya. Dan benteng itu runtuh begitu sahaja dalam sekelip mata.

Dia mengambil beg pakaiannya dari tanganku. Sentuhannya terasa di jariku. Aku tidak tahu sama ada dia sengaja ataupun sebaliknya dan kemudian dia segera meninggalkan aku terkapai-kapai keseorangan, tidak mengerti dengan maksud yang cuba disampaikan.

SEPANJANG malam, fikiranku tidak tenteram.

“Zila?” panggilku.

Rizan sudah sejam menghantar aku pulang ke asrama penginapanku. Kini hanya aku dan Zila di dalam bilik. Fikiranku sendat dengan lelaki yang sudah pastinya berada di dalam pesawat, semakin jauh meninggalkan bumi Malaysia. Suaranya, pandangannya, sentuhannya, aku kalut. Aku keliru dengan perasaanku. Aku takut dengan apa yang sedang aku rasa. Buku di hadapanku bagaikan penghias yang tidak bererti.

“Hmm?” sahut Zila ringkas. Endah dan tidak.

“Macam mana rasanya bila jatuh cinta?” soalku sepi. Sesepi hatiku lewat malam ini.

Saat itu Zila memandangku sambil mengerutkan dahinya. “Dah tiga tahun kau bercinta dengan Rizan sejak kau first yearkat sini. Sekarang baru kau tanya aku macam mana rasa bila jatuh cinta?” Dia seakan-akan tidak mempercayai pertanyaanku kepadanya.

Aku menarik nafasku dalam-dalam. Ya ALLAH, kenapa sukar sekali untuk aku bernafas.

“Kau ni kenapa?”

Air mataku menitis buat kali kedua malam yang sama. Aku segera menyembunyikan wajahku. Tanpa dijemput, tanpa dipelawa, air mataku menitis tanpa segan silu. Aku pantas mengesatnya dengan selimutku. Aku tidak mahu Zila menyedari titisan air jernih ini.

“Kau ni menangis apa hal?”

Aku ketawa kecil. Aku sedar aku tidak sepatutnya terlalu emosi di hadapan temanku. “Mana pulak aku menangis? Kau ingat menangis ni bila sedih aje ke?”

“Jangan tipulah. Aku tak perlu tengok air mata kau tu. Dari tempat duduk aku ni, aku dah tahu kau menangis. Cakap cepat, kenapa kau menangis?”

Aku ketawa kecil. Megat Iskandar Zulkarnain, aku tidak pernah kenal siapa diri kau sebenarnya. Dan kau tidak pernah tahu siapa diriku. Malah, kita tidak pernah sekalipun bertukar kata dan suara kecuali malam terakhir itu. Tetapi kenapa sedalam ini perasaan aku pada dirimu? “Aku rindu kat dia, Zila,” bisikku.

“Laa... kau rindu kat Rizan ke sampai menangis-nangis macam ni? Kau kan baru jumpa dia tadi?”

Aku mengetap bibir. Kalaulah Zila tahu rahsia yang tersimpan jauh di lubuk hatiku.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.