4
“YANG ini cantik, Datin.” Lelaki yang
bernama Huzaimi melayan kami, menunjukkan satu per satu hasil kreativiti
ciptaan pakaian pengantin yang terdapat di butiknya. Lelaki ini ternyata sangat
kreatif menghasilkan pakaian pengantin yang begitu sederhana tapi eksklusif.
Setiap jahitannya cukup melambangkan wanita Melayu biarpun dihiasi dengan
manik-manik atau pun sulaman Inggeris yang dijahit dengan penuh teliti. |
Mama
Rizan iaitu Datin Hamidah atau panggilan mesranya padaku ‘mama’ sejak dahulu
lagi, membelek-belek pakaian pengantin yang dihulurkan oleh Huzaimi. Sepasang
baju kebaya tetapi diperbuat daripada kain chiffon renda warna kuning
keemasan.
Sedangkan
aku, tidak bersetuju sama sekali. Pakaian tersebut bukan cita rasaku tetapi
lebih kepada citarasa orang tua itu! Tambahan pula, terlalu awal untuk memilih
pakaian persandingan.
“Macam
mana ni, kak?” Mama Rizan menghulurkan baju tersebut kepada mamaku. “Lawa,
kan?”
Mata
mama membulat besar ke arahku kerana dia sedar aku tidak bersetuju dengan
pilihan mama Rizan itu. “Cantik.” komennya ringkas sahaja. Pandangannya tajam
menusuk. Marah.
Mama
Hamidah menghulurkannya kepadaku. “Cuba Ju pakai yang ini.”
“Untuk
apa?” Aku pura-pura bodoh. Takkanlah dia mahu aku memakai gaun buruk ini di
hari persandingan kami? Tolonglah!
Mama
Hamidah ketawa kecil. “Eh? Untuk apa lagi? Untuk hari kahwin awaklah nanti. Dah
pergi cuba baju ni.”
Aku
sempat menjeling ke arah mamaku, kemudian pada Rizan. Perlukah semua ini?
Tidakkah ini terlalu awal?
“Huzaimi,
Julia nak cuba baju ni,” panggil Mama Hamidah. Wanita ini sememangnya ada gaya
dan kelasnya yang tersendiri. Sesiapa sahaja yang bertemu dengannya akan
memberi sepenuh kerjasama dan kehendaknya. Sebaik Mama Hamidah berkata
demikian, Huzaimi segera menundukkan kepalanya sedikit tanda hormat walhal pada
pandanganku dia tidak perlu melakukan seperti itu.
“Boleh...
boleh...” Huzaimi segera mengambil gaun pengantin tersebut sambil mengiringiku
ke arah bilik persalinan seolah aku tidak pernah tahu di mana bilik tersebut
berada. Aku boleh buat sendiri, getusku di dalam hati.
Sebelum
aku meninggalkan tempat duduk kami, aku sempat menjeling ke arah Rizan. Dahiku
berkerut. Pandanganku tajam. Aku sengaja menunjukkan rasa tidak puas hati aku
kepadanya. Bukankah kami di sini untuk mencuba pakaian pertunangan, tetapi
kenapa seawal ini mahu menempah baju pengantin?
Tidak
sampai seminit kemudian, aku keluar dengan pakaian kuning keemasan yang
dikatakan cantik itu. Ternyata kuning bukan pilihan warnaku. Warna itu
keterlaluan buatku. Kini empat pasang mata sedang mengamati diriku. Setiap dari
mereka melontar emosi yang agak berbeza.
Rizan
merenungku dengan senyuman sambil mengangguk.
Mama
diam. Tiada reaksi.
Mama
Hamidah pula sesekali mengerut dahinya. Kemudian menelengkan kepalanya ke kiri
sedikit, cuba mencari titik di mana dia mahu memuji. Kemudian dia memandangku
dan berkata, “Mama tak fikir warna ni sesuai untuk Ju. Apa kata Ju cuba yang
lain.” Lantas dia meluru ke tempat di mana pakaian-pakaian pengantin
bergantungan. Dia mengeluarkan sepasang baju kurung moden warna keperangan.
“Yang ini cantik.”
Aku
lega tetapi jiwaku meronta apabila dipaksa menukar pakaian dan mencuba pakaian
yang lain pula untuk memuaskan hati orang tua itu. Bila melihat diriku di
cermin, perasaan benci menerpa sekali lagi. Kali ini bukan kerana warna, tetapi
reka bentuknya yang tidak sesuai.
Mama
sekadar mengangkat bahu.
Rizan
mengangkat ibu jarinya tanda bagus.
Mama
Hamidah menggeleng.
Begitu
juga dengan dua lagi gaun pengantin yang berikutnya. Semuanya tidak memuaskan
hati bakal ibu mentuaku itu. Dan aku semakin letih melayani kehendak dirinya.
“Mungkin
bukan masanya kita nak cari baju kahwin kut?” Aku menutur kata-kata penuh
hati-hati supaya tiada hati yang tersinggung.
Mama
Hamidah tersenyum. Tetapi rona wajahnya menunjukkan dia tidak setuju dengan
kata-kataku. “Tak boleh, Ju. Kita kena pilih dari sekarang. Kalau saat-saat
akhir baru terhegeh-hegeh nak cari... entah apa-apa baju pulak yang tinggal.
Mama tak nak menantu mama pakai baju tak elok bila bersanding atas pelamin nanti.”
“Betul
tu. Bila-bila masa saja orang datang dan beli. Sekarang ni orang kahwin bukan
tunggu cuti sekolah saja. Hari kerja pun ada majlis kahwin,” sampuk mama,
mengeyakan kata-kata Mama Hamidah.
Mama
Hamidah mengangguk. Rasa besar hati bila ada orang yang menyokong kata-katanya.
Aku
menceber pada mama. Asyik sokong sahaja pendapat mama Rizan!
Tiba-tiba
Huzaimi datang mencelah. “Datin, I ada satu design baru. Design
ni pun belum sempat I nak keluarkan lagi. Mungkin yang itu boleh membantu.”
Oh
tidak!
Huzaimi
hilang di celah-celah bilik peribadinya, kemudian tidak sampai beberapa saat
kemudian dia datang membawa sepasang baju warna kelabu yang kelihatan sedikit
berkilauan bila cahaya memantulkan sinarnya pada batu-batu yang terdapat di
baju tersebut. Aku terkaku sebentar. Dari jauh aku sedar pakaian tersebut bukan
murah harganya.
Huzaimi
tersenyum simpul bila melihat kami seakan terdiam melihat rekaan terbarunya
ciptaannya. “Ini I buat untuk mereka yang inginkan outstanding.”
“Wah,
ini betul-betul outstanding!” seru Mama Hamidah. Sambil menunjukkan
kepada anak lelakinya, dia berkata, “Mama suka sangat yang ini, Rizan.”
Kemudian orang tua itu mengalih pandangannya padaku. “Kalau Ju pakai ni, tak
ubah macam keturunan bangsawan. Cantik sangat ni, mama suka.” Pujian diberi
tanpa bertapis lagi. Terus terang dia mengagumi pakaian pengantin yang berwarna
kelabu bertakhtakan kemasan manik-manik putih seperti mutiara dengan beberapa
kilauan batu putih seakan berlian serta renda Perancis.
Huzaimi
tersenyum senang. Bangga bila dipuji dengan hasil yang dilakukan.
Buat
seketika, aku mengamati potongan baju tersebut. Tidakkah baju ini agak terdedah
di bahagian bahu dan jarang pula di bahagian belakang? Perlukah aku mengenakan
pakaian ketat begini dan mempamerkan susuk tubuhku pada khalayak? Jarang,
mendedahkan dan ketat bukan gaya aku.
“Kain
apa you pakai ni?” tanya mama Rizan kepada Huzaimi sambil mengusap perlahan
kain yang berada di hadapannya. Mama juga begitu, mengangguk beberapa kali
tanda setuju dengan kain yang digunakan untuk rekaan Huzaimi yang sangat cantik
itu.
“Oh,
yang ini I guna khas dari kain Itali, Datin. Ini dari jenis satin sutera. Kalau
Julia pakai, memang mantap. Dia tinggi, cantik, touch-up sikit pada
rambut, Julia memang nampak cantik!” Huzaimi mula menambah keterujaan kedua-dua
orang tua kami.
Aku
pandang kedua-dua wanita ini. Mama aku dan mama Rizan. Rizan pula sedang
mengamati setiap tindak-tandukku.
Perlukah
kami terus menatap baju-baju pengantin, sedangkan kami belum pun bertunang
lagi? Ya, tarikh pertunangan kami akan berlangsung dalam tempoh 17 hari lagi
dan seperti yang dirancangkan oleh kedua-dua belah pihak keluarga, pernikahan
dan persandingan seterusnya berlangsung dalam tempoh enam bulan berikutnya
pula. Bukankah memilih pakaian-pakaian persandingan masih ada banyak masa?
Aku
pandang tajam ke arah Rizan agar dia mengerti maksud lemparan yang aku cuba
sampaikan. Perlukah ini semua?
Rizan
sekadar mengangkat bahu, tanda tidak mahu melayani kerenahku. Baginya segala
keputusan ibunya adalah yang terbaik. Ya, semuanya.
Aku
sedar diriku tiada pilihan jauh sekali mengharapkan Rizan membantu aku dalam
hal ini. Aku pandang wajah mamaku. “Mama, rasanya lambat lagi kita nak tempah
baju nikah... baju kahwin ni semua. Pejabat Ju dekat dengan butik ni. Tak
perlulah kita fikirkan baju nikah ni lagi.”
Belum
sempat mama meluahkan jawapannya, mama Rizan sudah lantang bersuara, “Tak boleh
tunggu lama-lama lagi. Dewan hotel pun kena tempah setahun lebih awal, apatah
lagi nak kena tempah baju.”
Tiba-tiba
mataku meleret ke arah sepasang pakaian yang sedikit tersorok dari mata umum,
tergantung di suatu sudut seolah-olah bersendirian menunggu siapa-siapa sahaja
menyedari kewujudannya di situ. Aku terkesima bila melihat baju tersebut.
Bagaikan jatuh cinta pandang pertama. Sangat cantik. Baju putih susu itu
mempunyai potongan dan hiasan yang tidak keterlaluan, tetapi ternyata
kecantikannya sangat menonjol. Malah pakaian itu tidak mendedahkan tubuh badan
dan pertama kali melihatnya aku pasti, baju inilah yang sesuai untukku. Tidak
perlu untuk mencuba kerana aku tahu baju itu sangat selesa dipakai.
Dan
kecantikan tersebut membawa tanganku mengusap perlahan baju tersebut. Aku
sungguh terpesona dengan rekaan Huzaimi yang ini. Betapa cantiknya aku jika
mengenakan pakaian ini di hari pernikahanku nanti...
“Eeii...
tak cantik. Simple sangat, Ju,” komen Mama Hamidah.
Aku
tersentak. Aku lempar pandangan padanya dengan hati gundah. Kemudian secara
tidak langsung memandang ke arah Rizan yang sedang menggeleng kepalanya,
seolah-olah setuju dengan kata-kata ibunya.
“Tapi
Ju berkenan yang ini,” gumamku perlahan. Aku cuba meyakinkan mereka namun aku
sedar saat itu, keyakinan aku cuba terapkan ke dalam hati Mama Hamidah, akan
jadi sia-sia sahaja. Ketika ini, Mama Hamidah dan Rizan mengawal keadaan.
“Kita
ambil saja baju ni.” Mama Hamidah menunjukkan baju kelabu di tangannya.
Kata-kata Mama Hamidah muktamad. Tiada sesiapa pun yang berani membantah.
Walaupun mama sekalipun yang sekadar tersenyum mengangguk dengan cadangan bakal
besannya.
Selama
ini perancangan pertunangan hanya dilakukan oleh mama Rizan. Mama hanya sebagai
pemerhati. Dari hampir semua segi, mama menyerahkan segala keputusan kepada
mama Rizan. Mama lebih senang mendiamkan diri. Selagi idea Mama Hamidah itu
baik dan boleh diterima, mama sekadar mendiamkan dirinya sahaja. Tetapi kali
ini, dia bersetuju dengan cadangan mama Rizan.
Kenapa
aku tidak dibenarkan untuk membuat keputusan? Kenapa pandangan aku tidak pernah
diminta sama sekali?
Rizan
datang duduk di hadapanku. Memandangku dengan penuh erti. “Kalau kita buat
persiapan dari sekarang, taklah nanti kita terkejar-kejar dengan benda-benda
lain pula, Ju. Banyak benda lain yang kita kena fikirkan selain baju-baju ni
semua,” jawab Rizan tenang, lembut dan penuh mengharap agar aku menerima apa
yang sedang dilakukan oleh mamanya itu.
Aku
sekadar memandang jauh wajah Rizan. Sudah acap kali aku berperasaan begini
kerana sikapnya yang tidak pernah mahu ambil endah apa yang aku mahu. Tidak
tahu apa yang perlu aku rasakan saat ini. Marah, kecewa, gembira, lega, satu
pun tiada yang masuk akal. Aku seolah-olah berada di dunia lain rasanya.
“Jangan
risau, Datin... kami di sini sedia terima tempahan pakaian perkahwinan.”
“Memanglah
terima tempahan, tapi masalahnya kami nak designyang sama macam ni.
Boleh ke kalau saya buat book
baju ni?”
Kenapa
aku sahaja yang mereka fikirkannya? Kenapa Rizan tidak terlibat sama? Bukankah
kami berdua yang akan berkahwin?
“Dah,
pergi cuba pakaian ni. Mana tahu kalau tak berapa kemas ukurannya, Huzaimi
boleh betulkan potongan baju ni.” Giliran mama pula.
Aku melihat diriku pada cermin besar di
hadapanku di dalam bilik persalinan. Melihat dari rambut yang panjang separuh
ikal hingga ke pinggang sehinggalah tubuh badan yang kurus sekeping ini dan hujung
kaki dengan kasut yang bertumit 2 inci. Aku sedar, aku bukan wanita yang
menarik pada mata diriku sendiri. Sekadar ketinggian 5 kaki 7 inci dan
mempunyai wajah darah campuran yang jelas pada setiap mata yang memandang, aku
dikira wanita yang menarik dan cantik. Warna kelabu menenggelamkan aku. Warna
yang tidak ceria, muram, suram... seperti suramnya perasaanku ketika itu.
Apakah ini yang mereka katakan cantik?