10
“JU, nanti lepas balik ofis, datang
rumah mama sekejap. Mama nak tunjuk barang hantaran sama ada Ju suka atau tak.” |
Fail
di tangan terlepas. Langkahku terhenti kaku.
“Julianna!” Suara Encik Zulhaimi menegurku. Aku lihat
dia cepat-cepat membantuku mengambil fail yang terjatuh dan menyerahkannya
kepadaku. “Lain kali hati-hati,” ujar lelaki yang berumur dalam lingkungan
50-an itu dengan senyuman manis sebelum meninggalkan aku terpinga-pinga di
situ.
“Thanks,”
ucapku masih mamai dengan apa yang sedang berlaku.
“Ju!”
Suara Mama Hamidah menegurku kembali di corong telefon. “Kenapa, Ju? Ju okey?”
Aku
dibawa kembali ke alam nyata. “Okey, ma. Ju... Ju okey. Mama cakap apa tadi?”
“Inilah
dia kalau tak fokus apa yang mama cakap. Mama cakap tadi, lepas balik kerja
hari ni, datang rumah mama. Mama nak tunjukkan barang-barang hantaran pada Ju.”
“Hah?
Hari ni?”
“Ya,
hari ni. Kita dah tak ada masa lagi ni. Lagi cepat kita selesai barang-barang
hantaran ni, lagi senang fikiran mama. Datang ya, mama tunggu!”
“Ma,
Ju...” Aku terdiam. Talian diputuskan begitu sahaja. Wanita itu memang tidak
suka berlengah dan juga tidak suka mendengar perkataan ‘tidak’. Aku menarik
nafas sedalam-dalamnya. Kemudian aku lepaskan helah begitu sahaja. Nampaknya,
mesyuarat bersama staf terpaksa aku tangguhkan hingga hari esok. Petang ini aku
harus ke rumah mama.
Sudah
acap kali Rizan mengajak aku ke rumahnya. Tetapi pelbagai alasan aku berikan.
Semuanya kerana aku enggan bertemu dengan abangnya yang baru pulang itu. Aku
tidak mahu. Aku tidak mahu bertemu dengannya sekurang-kurangnya sehingga hari
pertunangan aku dengan Rizan. Ini tidak boleh berlaku! Bukan sekarang masanya.
“Rizan,
mama you suruh I datang rumah. Tengok barang-barang hantaran. Kenapa hari ni?”
keluhku pada Rizan di hujung talian.
“Mama
call ke?”
“Ya!”
dengusku keras tapi perlahan.
“Selama
ni kalau mama callyou, tak pernah pun you mengeluh kat I. Sekarang ni
dia call suruh you tengok barang-barang hantaran, maknanya urgentlah
tu! Pergilah... sekejap saja pun,” pujuknya.
Aku
terkedu. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi.
“I
trybalik awal. I jumpa you kat rumah, okey? Malam ni kita dinner
sama-sama dengan Abang Megat.”
Oh,
tidak! Bukan dengan abangnya yang sombong, angkuh itu. “Okay, fine. I
jumpa mama you kat rumah. I tunggu you sampai you balik. Tapi I tak boleh dinner
dengan you sebab I dah janji dengan abah dan mama I nak kena bawa dia orang
pergi beli barang,” dengusku pantas dengan perasaan tidak senang hati namun aku
akur juga dengan permintaan mereka. Mujur idea untuk pulang awal kerana abah
dan mama datang spontan.
“Oke...
okey... okey... tapi janji dengan I, tunggu I balik sebelum you balik, boleh?”
Lelaki ini tetap cuba memancing aku biarpun dalam keadaan moodku yang
tidak baik.
Aku
terpaksa mengalah. Bukankah dia juga bakal suamiku nanti? “Ya! Tapi lepas
maghrib, I balik. You ada atau tidak, I tetap kena balik.”
“Fine!”
Kemudian aku terdengar tawa kecilnya di hujung talian.
“Okay,
I’ll see you!”
Dan
kami sama-sama mematikan talian kami.
Aku
menarik nafas sedalam yang boleh. Aku harus berani dengan apa yang berlaku
nanti. Aku terasa pelik tiba-tiba. Kenapa aku perlu jadi berani sedangkan tiada
apa yang harus aku takutkan? Apa yang membuatkan diriku enggan menjejak masuk
ke rumah itu? Apa yang aku takutkan sebenarnya?
Megatkah?
Megat hanya sekadar kenangan lama. Itu pun bagai bayangan silam untukku. Aku
bakal bertunang dengan adiknya dan dia juga sudah berumah tangga, jadi apa lagi
yang aku gentarkan untuk berhadapan dengannya? Segala-galanya akan baik-baik
sahaja. Segala-galanya pasti biasa-biasa sahaja. Enam tahun sudah berlalu. Dia
dah berubah dan aku juga sudah berubah. Dia sudah tiada lagi dalam kamus
hidupku.
Aku
terus melangkah menuju ke bilik kerjaku kembali dengan fikiran kosong.
Tiba-tiba entah mana datangnya satu suara di benak fikiran menyoal kembali
kenyataan yang telah aku katakan. Adakah benar sememangnya dia tidak ada lagi
di dalam kamus hidupku?
SEBAIK jarum jam menunjukkan ke pukul
5.00 petang, aku bergegas mengemas meja. Hanya aku seorang sahaja yang beria-ia
pulang, sedangkan yang lain masih tekun bekerja.
Lebih
kurang setengah jam kemudian aku tiba di rumah besar orang tua Rizan. Suasana
sekeliling begitu sepi tatkala aku melangkah masuk. Tiada sesiapa di sini.
“Assalamualaikum.
Mama!” laungku separuh lantang.
Sepi.
Aku
masuk sahaja biarpun tiada sesiapa yang kelihatan. Bukan tidak biasa melangkah
masuk ke rumah itu tanpa dijemput, tetapi hubungan aku dengan keluarga mereka
selama ini menjadikan aku terbiasa keluar masuk seolah-olah rumah ini adalah
rumah keduaku. “Mama? Ju dah sampai,” laungku sekali lagi.
Bila
melihat tiada siapa yang menyambut ketibaanku, aku terus menuju ke dapur dengan
harapan untuk menemui mama ataupun mak Yam atau sesiapa sahaja. “Mama! Mak
Yam!” laungku bila aku terus menuju ke dapur. Pembantu rumah itu pasti ada di
sana. “Mak Yam! Ju ni,” ujarku.
Sepi
juga. Tiada sesiapakah di rumah ini? Bukankah aku disuruh datang ke mari?
Takkanlah sesiapa pun tidak tahu menahu langsung bahawa aku datang ke sini atas
permintaan mama?
Sebaik
aku tiba di ruang dapur rumah ini, entah kenapa inilah kali pertama aku terbau
aroma yang cukup berbeza dari hari-hari biasa. Aroma wangi dan manis dan sudah
tentu aroma yang membuka seleraku. Sedapnya. Perutku mula berkeroncong sedikit.
Lapar. Tiada apa-apa di dapur yang boleh aku sumbat ke perut sementara menunggu
makan malam. Aku mengambil sebiji gelas dan membawa ke peti ais dengan harapan
untuk membasuh tekak dengan jus ataupun minuman sejuk.
Sebaik
membuka pintu peti ais, alangkah terujanya aku bila melihat dua biji kek yang
sederhana besar berada di hadapan mata. Seperti memanggil-manggil untuk aku
merasa kesedapannya, perutku kembali berkeroncong. Mungkin inilah aroma yang
aku hidu sebentar tadi. Pasti kek ini lazat. Dihiasi pula dengan buah stroberi
segar menjadikan aku sudah tidak sabar untuk merasakannya.
Aku
mencuit sedikit krim kek tersebut dengan jari telunjuk lalu menyua masuk ke
dalam mulut. Sebaik krim kek bertemu lidahku, aduh... Aku mula tidak keruan.
Sedap sekali. Lebih sedap dari apa yang pernah aku rasa dan lebih sedap yang
pernah aku beli di mana-mana kedai.
Dari
manakah kek ini datang? Kenapa baru hari ini sahaja mama ada kek sesedap ini di
peti sejuknya? Aku cuit lagi sedikit krim itu. Mungkin sepotong kek ini mampu
mengalas perutku. Mungkin tidak mengapa jika aku mengambil sepotong darinya.
Mama takkan marah, jauh sekali papa. Biarpun masih bersisa di jari, aku masih
mampu merasa kesedapannya seolah kelazatan kek tersebut sudah melekat di hujung
jariku.
Sebaik
aku berdiri tegak untuk mencari sebilah pisau, aku hampir menjerit bila sekujur
tubuh berada di belakangku. Aku terpegun. Jantungku berdegup kencang. Aku masih
ingat wajahnya itu dan wajahnya itu masih serupa dengan apa yang aku tatap saat
ini.
Dia
merenung tajam.
Aku
masih merenungi dirinya. Seperti dipukau, aku masih berdiri tidak berganjak.
Tatkala pandangannya jatuh ke bibirku, ketika itulah kami mula tersedar dan aku
pula yang masih menghisap jariku bagaikan anak kecil. Aduh! Malunya.
“Apa
kau dah buat dengan kek aku ni?!” Dia bertanya. Suara kasar. Dia membuka pintu
peti ais lebar. Terkejut. Dia kembali memandangku. “Kau buat apa dengan kek
ni?!”
Ya,
suara itu sama seperti yang ada dalam ingatanku, di dalam mimpiku. Tidak
berubah, tidak pernah berbeza dari dulu. Sama. Segala-galanya masih sama.
“Aku
tanya dengan patung ke?!” jerkahnya kepadaku.
Mulutku
seakan-akan terkunci.
Wajahnya
berubah. “Kau makan kek ni tanpa minta izin tuan rumah.”
Kali
pertama bertemu selepas enam tahun, perasaanku masih begini. Biarpun aku bakal
menjadi tunangan orang, kenapa masih ada debaran tetap sama seperti dulu?
Dia
kembali merenungku. “Kau! Aku tanya, kau makan kek tanpa minta izin tuan rumah?
Kau ingat rumah ni, rumah siapa?”
Aku
paksa diriku memberi respons kepadanya. “Saya tak tahu kek ni ada orang yang
punya.”
Matanya
terjegil memandangku. Dia semakin marah. “Kau ingat kek ni saja-saja ada di
rumah?! Tak ada orang yang punya?!”
Aku
terdiam. Mulut bagai ditampal plaster!
Dia
menjengahkan wajahnya menghampiri kek-kek di dalam peti ais. Aku dan dia
semakin dekat. Bauan minyak wangi di tubuh begitu semerbak sekali. Sesuatu yang
sedikit keras, tetapi masih berbau lembut di hidungku. Ya ALLAH, betapa
mudahnya tarikan ini biarpun sekadar tubuh beraromakan minyak wangi.
“Ju
minta maaf. Ju tak tahu,” ujarku takut-takut.
Dia
diam. Kemudian memandangku tajam sebelum mengeluarkan kek yang telah aku usik
krimnya dan membawanya ke atas meja dapur. “Next time, tanya dulu
sebelum pandai-pandai nak usik hak orang!” Dia lantas beredar ke kabinet
pinggan mangkuk.
Aku
diam sahaja. Hanya kami berdua di situ. Dan aku tetap seperti patung, berdiri
tanpa berganjak. Dia membawa piring dan sudu kecil dan meletakkannya di sisi
kek. Kemudian dia memandangku. Entah berapa lama kami berpandangan sebegitu,
sebelum dia meninggalkan aku keseorangan.
ALLAHUAKBAR!
Apa yang sedang berlaku pada diriku? Kenapa dengan diriku? Apa tujuan dia
mengeluarkan piring dan sudu di atas meja? Kenapa dia mengeluarkan kek ini?
Siapa yang mahu makan? Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Bukan, ini semua
bukan untukku. Aku melangkah ke singki lantas segera membasuh tanganku.
“Ju?
Ju dah sampai rupanya.” Suara Mama Hamidah kedengaran ceria di dapur.
Aku
terkejut lantas menoleh. Aku membalas senyumannya. “Baru jugak.”
Matanya
meleret ke atas meja. “Siapa punya kek ni? Siapa nak makan?”
Aku
terdiam. Menutup pulas air dan mengelap tanganku dengan tuala kecil yang
tersedia. Aku pura-pura tidak tahu.
“Jom,
Ju. Mama nak tunjuk gambar-gambar barang hantaran yang butik pinjamkan pada mama.
Mama nak Ju tengok mana yang sesuai untuk hari bertunang nanti,” ujar Mama
Hamidah lalu hilang di sebalik pintu dapur.
“Okey,
ma,” ujarku. Mataku meleret kembali ke sebiji kek di atas meja. Cuba meredakan
degupan jantung ini, cuba membuang ingatan terhadap apa yang baru berlaku.
Mampukah aku?
SETIAP detik yang berlaku membuatkan
aku semakin sukar untuk fokus tentang apa yang Mama Hamidah sedang tunjukkan
dan bicaranya kepadaku bila dia mundar-mandir di ruangan yang sama denganku.
Aku tidak mampu fokus bila mataku asyik mencuri pandang ke arah dirinya. Cara
dia berjalan, cara dia mengamati kertas di tangannya, cara dia berbicara di
telefon bimbitnya, cara dia menguak rambut seperti melepaskan tekanan kerja,
cara dia memegang sebatang pen di jarinya dan sekali itu mata kami bertentangan
secara tidak sengaja, semuanya membuatkan aku lemas!
Belum
termasuk jantungku berdegup kencang sejak dia menyergah aku di hadapan peti
sejuk dapur rumahnya. Aku lebih rela ditelan bumi dari terus-terusan berada di
sini. Bicara Mama Hamidah ketika ini bagai angin lalu. Aku sudah hilang dalam
duniaku sendiri yang mana hanya ada lelaki itu sahaja. Ini semua tidak boleh
berlaku!
Kenapa
dengan aku ini? Astaghfirullahalazim.
“Assalamualaikum.”
Suara Rizan di ambang pintu.
Aku
dan Mama Hamidah segera menjawab salam tersebut. Senyuman Rizan melebar bila
melihat aku. “Lama sampai?” tanya dia kepadaku.
“Dah
nak balik pun,” balasku acuh tak acuh.
Kenapa
mesti ada perasaan sebegini terhadap bakal tunanganku? Kenapa aku tidak senang
dengan Rizan tiba-tiba? Malah paling ketara, kehadiran Rizan tidak sedikitpun
mampu menggetarkan perasaan? Aku renung seketika di hadapanku, seolah-olah
pura-pura membelek gambar-gambar yang Mama Hamidah tunjukkan kepadaku.
“Helo,
sayang.” Suara Megat kedengaran sedikit lantang, memecahkan keheningan saat
itu. Mencuit perasaanku dengan perkataan keramat tersebut.
Sayang?
Dengan siapa sayangnya itu? Oh, bukankah dia sudah berkahwin? Sudah tentu
sayangnya itu untuk isteri. Dia kelihatan sangat ceria. Inikah kali pertama aku
melihat wajah kegembiraannya sepanjang aku kenal dengannya. Sudah tentu
panggilan tersebut dari isteri yang dicintainya. Sudah tentu kegembiraan yang
terpancar di wajahnya untuk isteri yang disayanginya.
Aku
perlu keluar dari sini!
“Mama,
Ju minta diri dulu. Ju dah janji dengan mama dan abah Ju nak dinner kat
luar. Lepas tu nak beli barang sikit.” Secara spontan aku bangun meminta izin
untuk pulang sebelum aku sedar tindakanku ini.
“Duduklah
dulu. Rizan baru sampai. Mak Yam pun belum buat air lagi,” ujar Mama Hamidah
sambil memegang erat pergelangan tanganku.
Aku
tersenyum. Hatiku jadi tawar entah kenapa. “Ju dah janji dengan mama dan abah
nak bawa dia orang keluar beli barang malam ni. Lagipun dia orang tak tahu Ju
ke sini. Kesian pulak kalau Ju batalkan sebab mama dah beria-ia pesan pagi tadi
suruh Ju balik cepat.” Aku beralasan lagi. Aku mahu segera pulang. Aku mahu
segera keluar dari rumah ini. Aku tidak peduli dengan rayuan mama lagi.
“Duduklah
sekejap. I baru sampai Ju,” pujuk Rizan.
Aku
tersengih. “Tak apalah. Macam kita tak boleh nak jumpa lagi,” ujarku lalu
segera beredar dari situ.
“Yalah.
Apa-apa pun gubahan hantarannya, biar mama yang tentukan ya, Ju? Tapi warna
pink tu dah okey, kan?” tanya Mama Hamidah tatkala aku mencapai beg tanganku di
atas sebuah kerusi, tidak berapa jauh dari tempat aku berada.
Merah
jambu? Warna yang paling aku benci. Tapi aku sudah tidak peduli lagi. Saat ini,
apa yang aku mahu adalah untuk keluar dari situ. “Okey, warna apa-apa pun okey
pada Ju.” Perlahan-lahan aku melangkah keluar. Aku harus kawal diriku sebelum
perasaan ingin berlari itu menguasai diri.
“Nanti
kita sama-sama dinner di sini ya sempena Abang Megat balik dari
oversea?” ujar Rizan kepadaku.
Oh,
tidak! Tak mungkin makan malam bersama keluarga mereka.
“Ya,
Ju. Kita dinner sama-sama,” ujar mama Rizan pula.
“Insya-ALLAH.”
Itu sahaja yang mampu aku ucapkan. Aku sedar ada mata yang sedang mengiringiku
pulang. Tapi aku tidak peduli lagi kerana dia sudah berkahwin. Dan aku
cepat-cepat meninggalkan rumah itu dan bergegas pulang.
SEPANJANG perjalanan, aku
menyumpan-nyumpah diriku kerana begitu cepat lupa diri.
Julianna
Isabelle, lelaki itu sudah berkahwin. Kenapa kau masih begini terhadap dirinya?
Kenapa kau lupa dengan kenyataan bahawa dia sudah berpunya?
Ini
semua keterlaluan buatku! Ah! Dia masih dengan perangai sombong dan angkuh. Aku
yang berdiri di hadapannya bagaikan gadis yang terpesona dengan diri dan
kehadirannya. Eeii... memalukan! Semua yang berlaku sungguh memalukan aku.
Aku
fikirkan segala-galanya berhenti di situ sahaja. Tiada lagi yang boleh
mengingatkan aku terhadapnya, jauh sekali untuk aku ingin mengembalikan
kenangan tersebut. Aku bakal bertunang dan bakal berkahwin dengan adiknya tidak
lama lagi. Mengenangkan atau mengingatkan, apatah lagi menginginkan seseorang
yang bukan hak aku adalah satu kesilapan dan kesalahan besar. Tidak sepatutnya
ini berlaku.
Ya
ALLAH! Apa yang telah aku lakukan? Lenyapkanlah perasaanku ini kerana dia
sememangnya bukan milikku. Aku akan bertunang tidak lama lagi dan bakal
dimiliki oleh lelaki lain. Bukan dia. Kerana dia sudah beristeri!
DUA hari selepas kejadian itu, aku
keluar dari pejabat untuk makan tengah hari bersama seorang teman. Ketika
melangkah masuk ke restoran entah kenapa aku bagaikan terasa begitu aneh
sekali. Tidak pernah aku merasakan perasaan sebegitu bila melangkah masuk ke
restoran yang sering menjadi tempatku dan teman-teman sepejabat untuk makan
tengah hari kami.
Jantungku
tiba-tiba berdegup kencang, tetapi bukan kerana aku takut. Cuma perasaan itu
yang begitu luar biasa sama seperti apa yang aku rasakan baru-baru ini. Aku
jadi resah, seolah diperhatikan.
“You
okey, Julia?” tanya temanku, Natrah, bila melihat aku bagaikan tercari-cari
sesuatu.
Aku
tersenyum cuba menarik perhatiannya dari terus-menerus menilai diriku ketika
itu. “Ramai hari ni.”
“Ha’ah.
I pun perasan juga. Dapat gaji kut dia orang ni semua,” komen Natrah, tersengih
lebar menampakkan barisan giginya yang memakai pendakap gigi.
“Gaji
apa?” komenku sambil mencebik sedikit. “Baru berapa hari bulan hari ni?”
Kami
memesan makanan. Natrah atau panggilan ringkas kami kepadanya Nat memesan mi
kari sementara aku pula nasi ayam tiba di atas meja kami. Selang beberapa minit
kemudian disertai dengan minuman sejuk kami. Sebaik pelayan meninggalkan kami,
ketika itulah mataku tertumpu pada sepasang anak mata yang sedang merenungku.
Aku yang sedang mengikat rambutku terpandang dirinya di hujung sana.
Megat!
“Kau
tau tadi, Encik Daud mengamuk,” cerita Nat melepaskan keluhannya.
Mengamuk?
Hatiku sedang mengamuk sakan saat ini. Kenapa dia di sini? Kenapa dia berada di
sini? Bagaimana dia tahu aku bekerja di sini?
Tambah
Nat lagi, “Cek dah hantar tapi barang tak sampai.”
Aku
mula rasa tidak ada selera untuk menjamah nasi ayam di hadapanku walaupun itu
adalah kegemaranku. “Barang tak sampai? Kenapa lewat?”
“Katanya
kastam tak lepas lagi. Mana boleh tak lepas? Selama ni tak ada masalah, tapi
hari ni benda urgent nak pakai, boleh pulak lewat,” cerita Nat.
Aku
mengetap bibirku. Aku sangat yakin bahawa aku sedang diperhatikan biarpun
seperti aku, dia juga sedang ditemani oleh seorang temannya. Aku menghirup
menyedut minuman sirap. Tak semena-mena mata kami kembali bertentangan.
Ya
ALLAH! Sampai bilakah permainan ini dapat dihentikan? Pandangannya tajam dan
sombong namun pandangan itu tetap sampai ke jiwaku. Segera aku melarikan mataku
dan cuba mengalihkan seluruh pancainderaku kepada temanku ini.
Natrah
masih berkata-kata, tetapi aku masih tidak mampu fokus. Perhatianku hanya pada
dia seorang. Lelaki yang sedang duduk di sekitar 15 meter dari tempat dudukku.
Walaupun kami tidak duduk berdua, aku tidak mendengar sebutir perkataan
daripada bibirnya, tapi kenapa aku merasakan seolah-olah aku dan dia sahaja
yang berada di restoran ini?
“Boleh
tak kita cepatkan makanan kita ni? Aku baru teringat, aku ada kerja nak kena
habiskan.” Aku memberi alasan. Sudah tidak sanggup menyeksa perasaan sebegini
selagi salah seorang dari kami tidak berganjak dari situ.
“Kau
tak cakap aku pun tadi,” ujar Natrah memandangku.
“Aku
terlupa. Baru teringat ni,” balasku sama sekali tidak memandang dirinya kerana
sedar dia masih mengamati tajam. Ya, dia terus memerhati diriku seolah teman
bersamanya hanya sekadar ilusi.
“Okey,”
ujar Natrah sambil menyedut minumannya buat kali terakhir, menghabiskan yang
berbaki kemudian dia segera bangun.
Aku
turut sama bangun. Enggan sedikit pun mengalih pandangan. Enggan sedikit pun
menyapa dirinya. Biarlah kami sebagai orang asing di luar, tetapi di dalam
rumahnya, dia bakal abang iparku.
Tatkala
berjalan keluar meninggalkan premis tersebut, kami terpaksa mengambil laluan
bersebelahan dengan bangunan tersebut. Dan kebetulan meja yang didudukinya
bersama temannya berada paling tepi di cermin dinding restoran tersebut.
Untuk
kembali ke pejabat, kami terpaksa meredah melalui pejalan kaki di situ. Aku
tiada pilihan lain. Jika aku mahu melalui laluan yang berbeza, pastinya
menimbulkan rasa kehairanan pada Natrah nanti. Mahu atau tidak, aku tidak punya
pilihan lain. Aku berjalan dengan perasaan yang bergelojak. Aku sedar dan aku
juga percaya bahawa dia juga sedar tatkala itu hanya dinding kaca yang
memisahkan kami berdua.
Dan
saat aku mendongak, mata kami berpandangan lagi buat kali terakhir. Jantungku
semakin berdegup kencang. Jiwaku makin bergelora. Kali ini, pandangannya terus
menusuk kalbu. Yang jelas, jantungku berdegup kencang hanya untuk dirinya.
Tidak pada Rizan. Entah kenapa pandangannya itu melenyapkan tanggapan sombong
dan angkuh dia kepadaku. Apa yang kelihatan hanya ketenangan, rindu dan cinta.
Rindu? Cinta? Apakah itu yang aku fikirkan sebentar tadi? Dan aku sudah berada
jauh daripada dirinya.