14
Hanya
tiga perkataan ringkas, aku berasa lucu. Entah mana datangnya perasaan lucu
itu, aku tidak pasti. Melihat dari air mukanya atau kata-katanya yang sungguh
serius membuatkan aku terasa ingin ketawa. Aku cuba sembunyikan perasaan geli
hati ini yang bermula dengan senyuman. Namun, bila senyuman semakin melebar dan
tawa kecil tercetus, ketawa itu tidak mungkin dapat aku simpan lagi, lantas
merebak dengan tawa yang terbahak-bahak. Sudah tidak kira sopan, malu atau
waras. Yang aku mahu hanya melepaskan tawa yang sudah tidak tertahan-tahankan
lagi.
Ya
ALLAH, apa sudah jadi ni? Dia waras atau tidak?
“Awak
ni waras ke tidak?” Aku terus ketawa.
Dia
tersenyum meleret. Aduh! Senyuman itu seperti jarang sekali aku lihat. Mungkin
inilah kali pertama. “Ju buat abang tak waras setiap kali Ju depan abang.”
Ketawaku
makin menjadi-jadi. Aku cuba kawal tawaku. “Astaghfirullahalazim,” ucapku
perlahan bila tawa mula sedikit reda. Aku pandang wajahnya. “Kenapa saya tak
boleh kahwin dengan Rizan? Apa hak awak nak menahan saya daripada kahwin dengan
Rizan? Dia adik awak. Awak sepatutnya sokong keputusan dia! Awak ni gilalah!”
“Abang
tak akan lepaskan Ju pada Rizan. Kali pertama kita jumpa, abang tahu Ju untuk
abang. Abang takkan sokong keinginan Rizan kalau Ju lebih layak untuk abang!”
Dari
rasa geli hati, lucu dan lawak, aku kembali menjadi berang dengan kata-katanya
itu. Aku menepuk tanganku. “Bravo!Hebat! Yakin! Saya sendiri tak
seyakin awak.”
Dia
tersenyum meleret. Namun pandangannya penuh erti. “Ju... Ju dah dua kali
menangis kerana abang. Abang tak nak buat Ju menangis lagi. Ju mudah terasa
hati bila abang cakap sesuatu. Kenapa, Ju? Kalau abang bukan dalam hati Ju, dah
tentu Ju tak kisah apa yang abang cakap. Ju anggap abang, biasa-biasa saja,
kan?”
Aku
tersentak dengan kata-katanya. “Sesiapa pun yang dengar, akan terasa hati.
Bukan Ju seorang. Orang yang dengar pun boleh terkejut dengan cara abang...”
Oops! Aku sudah terlepas kata, lantas aku segera membetulkan ayatku, “Awak kurang
ajar. Langsung tak hormat perasaan orang lain.” Aku mengetap bibirku.
Aku
nampak dia cuba menyembunyikan senyumannya, tapi apakah itu benar-benar
senyuman? “Terus terang dengan abang, kenapa Ju tak kahwin-kahwin dengan Rizan
selama enam tahun ni?”
Aku
terkapai-kapai dengan soalan tersebut. Ya, kenapa aku mengambil masa selama
enam tahun akhirnya baru bersetuju untuk bertunang dengan Rizan? “Sebab jodoh
belum sampai. Mungkin tempoh enam tahun itu untuk saya dengan Rizan mengenali hati budi masing-masing.”
“Enam
tahun?” Dia seakan tidak percaya ceritaku.
Aku
diam sahaja. Ya, enam tahun terlalu lama. Orang tua aku berkata begitu, Zila
pun komen begitu. Zila dan tunangnya, Imran tidak perlu menunggu sehingga enam
tahun bila mengetahui mereka mencintai satu sama lain. Mereka tidak perlu
seminit pun untuk mengambil keputusan untuk bertunang dan berkahwin. Kata Zila,
bila cinta mengikat dua hati, masa bukan penentunya. Yang penting kekuatan
cinta antara dua manusia yang saling memerlukan.
“Abang
tak fikir Ju perlukan masa untuk terima lamaran Rizan kalau Ju betul-betul
sayangkan dia... cintakan dia.”
“Apa
hak awak untuk menilai cinta saya pada Rizan? Awak sama sekali tak ada hak
untuk campur hal saya dengan Rizan apatah lagi dalam hal-hal peribadi kami
berdua. Awak tak tahu apa-apa pun pasal saya.”
“Rizan
adik abang.”
“Hohohooo!!!”
Aku seru separuh tawa. Sinis. “Sebab tu awak fikir awak boleh senang-senang nak
campur urusan peribadi dia!”
“Sebab
abang tahu Ju tak cintakan Rizan.” Dia menghela nafasnya.
Suasana
membeku. Setiap saat berlalu. Namun di antara kami tidak berganjak daripada
saling berpandangan. Merenungi sesama sendiri.
Dia
menambah, “Abang tahu, ingatan Ju hanya pada abang selama ni. Sebab tu, Ju tak
pernah yakin dengan hubungan Ju dan Rizan, kan?”
“Sebab
tu, awak fikir saya cintakan awak? Encik Megat Iskandar Zulkarnain, saya bukan
jenis gelojoh untuk berkahwin. Saya tak percaya perkahwinan yang berlandaskan
cinta semata-mata. Kalau betul awak cintakan isteri awak, kenapa awak
bercerai?”
Wajah
Megat sama sekali bertukar. “Oh? Sekarang kisah rumah tangga abang pulak nak
jadikan topik perbualan kita?” Jelas sekali dia tidak menyenangi sikapku
mengungkit hal peribadinya.
“Saya
cuma bercakap benda yang benar!”
“Abang
jugak bercakap benda yang benar!” tempiknya kembali kepadaku.
Aku
terkedu dengan nadanya itu.
Suasana
hampir senja. Rona-rona senja mulai mewarnai pemandangan mata. Suasana di jalan
raya tetap hingar-bingar. Tapi aku yang berada di dalam kereta ini bersama
dengannya begitu sepi dan sunyi. Kami kembali di tengah-tengah kesibukan
jalanraya.
“Abang
ingat, hubungan Ju dengan Rizan serius. Bila abang di sana nanti, Ju dengan
Rizan akan bernikah. Abang tak mampu nak fikir apa. Abang tak mahu kalah dengan
Rizan. Itu sebab abang bernikah,” katanya, mula bercerita.
Aku
tersentak. Hakikat yang membuatkan seolah-olah tubuhku dihentak jatuh ke bumi.
“Awak kahwin disebabkan saya?”
Dia
menarik nafas dalam sebelum menghela nafas itu kembali dan menjawab, “Abang tak
boleh bayangkan Rizan jadi suami Ju, lelaki yang akan Ju hidup sampai tua, ada
anak dengan Ju, hidup bahagia dengan Ju. Abang tak sanggup tengok Ju dengan
lelaki lain.”
Aku
termangu. Sekali lagi terlalu payah untuk menelan ceritanya itu. Sukarnya aku
untuk mempercayai perangai lelaki. Gilakah dia? Apakah dia sedar apa yang dia
lakukan? “Awak ni betul-betul gila, kan?”
“Ju...
Ju yang buat abang macam ni. Abang jatuh hati pada Ju sejak kali pertama kita
jumpa. Di rumah abang. Masa tu, Ju baru sembilan belas atau dua puluh tahun?
Ya, abang jatuh cinta pada Ju masa tu. Masa kali pertama Rizan bawak Ju
kenalkan pada kami semua,” akuinya satu per satu dengan begitu jelas dan yakin.
Aku
menarik nafas perlahan-lahan. Apakah benar apa yang aku dengar dari dia? “Mana
pergi isteri awak?”
Tidak
sesaat pun dia lepas daripada pandanganku. Aku mahu lihat reaksinya. Dan aku
yakin dia turut sama mahu melihat reaksiku juga. “Dah tak ada.”
“Hah?
Dah tak ada? Kenapa dah tak ada? Hilang? Kena kebas? Atau cara awak yang
sombong berlagak tu buatkan dia tak tahan nak hidup dengan awak? Ubah-ubahlah
perangai tu kalau ada keinginan nak kahwin lain.” Bersahaja ayatku tercetus
daripada bibirku. Giliran aku menyindirnya cukup-cukup!
“Dia
bukan lagi isteri abang. Rumah tangga kami tak bertahan lama,” jawabnya tenang.
Tidak sedikit pun dia terganggu dengan kata-kata bisaku. “Dia yang minta cerai
dari abang.”
Aku
terdiam. Benarkah?
“Kami
buat haluan masing-masing. Dia tak mampu nak jaga Nadia. Hanyut dengan
kehidupan yang lebih bergaya.”
“Orang
mana?” tanyaku.
“Orang
Indonesia.”
Aku
diam lagi. Dan terus diam untuk selama mungkin sehinggalah dia berhenti di
hadapan sebuah kedai yang masih dalam pembikinan. Namun kelihatannya reka
bentuk restoran ini hampir siap.
Ketika
enjin kereta turut dimatikan, dia memandangku. “Jom. Abang nak tunjuk pada Ju
restoran yang abang baru bina ni.”
Aku
memerhati suasana di hadapanku. Terdapat beberapa pekerja berlegar-legar di
dalamnya.
“Abang
sewa the whole lot. Dari bawah sampai ke atas.”
Aku
diam.
“Ju
orang pertama yang abang bawak ke sini.”
Serius?
Si sombong ini mula mahu ‘mengayat’ aku. Apa, dia fikir aku cair dengan
kenyataan ‘aku orang pertama yang dibawanya ke sini’? Silap!
Wajahnya
terlalu sukar untuk aku baca ketika itu. Dia membuka pintu kereta dan aku juga
begitu.
“Baik-baik
jalan. Sisa kayu, paku masih bersepah sana sini.” Dia mengingatkan aku.
“Saya
bukan buta. Saya bukan budak kecil!” balasku tajam kepadanya. Namun aku
bersyukur dia memberitahuku kerana aku sebenarnya tidak sedar serpihan kayu dan
saki-baki paku yang agak bertaburan yang mungkin membahayakan diri.
Megat
menghulurkan tangannya.
Jiwaku
gundah lagi.
Kami
berpandangan. Aku enggan lantas meninggalkan dirinya terkapai di situ. Dia
tetap orang asing kepadaku.
Dia
membawa aku ke tengah-tengah ruang restorannya yang boleh dikatakan 90% hampir
siap. Ruangnya tidak terlalu besar dan juga tidak terlalu kecil.
“Do
you like it?” tanya dia kepadaku.
Aku
mengerutkan dahiku. Kenapa perlu tanya pendapatku sedangkan pengubahsuaiannya
sudah jelas di mata? “Kalau saya kata saya tak suka? Awak nak ubah balik?”
Dia
tersenyum. Ya ALLAH... senyumannya itu. Kalaulah aku ditemani senyuman seperti
itu sehingga hari tuaku, pastinya akulah orang paling bahagia tidak kira apa
jua pun cabaran datang menjengah. Julianna, jangan melencong fikiran itu!
Pantas aku mengalihkan pandangan mata. Tidak mahu tenggelam dalam pesona
senyumannya. Namun jauh di sudut hati, ada suara yang memberitahu diri yang aku
tidak akan lupa senyumannya itu padaku sampai bila-bila.
Sekali
lagi dia meminta aku mengekorinya. Kali ini ke ruang dapur. Terdapat beberapa
orang juga sedang membersihkan meja-meja dan dapur besar ruang memasak.
Aku
mengangkat kening lalu memandangnya sambil menunjuk mereka yang ada. “Pekerja
awak?”
Dia
mengangguk. Lantas berdiri dekat denganku dan memanggil setiap seorang
pekerjanya lalu memperkenalkan aku kepada mereka. Namun ada sesuatu yang
membuatkan aku tersentak. Tangannya berada di belakang tubuhku. Kemudian jatuh
kepada pinggangku.
Aku
tidak senang dengan perlakuannya. Tetapi aku juga tidak membantah. Ah! Kenapa
aku terlalu sukar untuk menolaknya?
“Mudanya,”
komenku perlahan bila melihat pekerja-pekerja itu. Secara tak langsung, mataku
kembali menatap wajahnya.
Dia
mengangguk. Buat seketika, pandangan kami seakan-akan terkunci. Pandangannya redup
sekali. Dari mataku, beralih ke hidung dan kemudian ke bibir sebelum matanya
kembali beralih padaku. “Abang tak perlu yang dah ada banyak pengalaman.
Seorang dua dah cukup. Yang penting, budak-budak yang baru ni semua rajin,
bertanggungjawab dan yang penting mahu belajar.”
Aku
mencemik sedikit bibirku. “Cakap ajelah tak perlu nak bayar gaji mahal-mahal,”
sindirku.
Dia
mengerut dahinya dengan tanda tanya. Wajahnya sedikit lucu. Dan tidak
semena-mena aku ketawa lantas mengalihkan pandanganku ke tempat lain sambil
menjarakkan diriku daripadanya. Dia terus mengekoriku dari belakang,
mengamatiku yang sedang mengamati suasana ruang dapur yang luas dan penuh
dengan perkakasan yang masih belum disusun sepenuhnya.
“Ada
apa-apa nak komen?” tanya dia tiba-tiba.
Aku
masih mengamati sekelilingku. Dan kemudian berakhir pada wajahnya yang sedang
memerhatiku. Aku mengeluh perlahan. “Saya tak tahu nak kata apa. Sebab ini
bukan dunia saya,” kataku terus terang. “Tunggulah bila dah siap nanti.”
Matanya
bersinar, penuh mengharap. “Maknanya Ju nak datang sini lagi?”
Aku
mengetap bibir. Lantas mengusap tengkukku beberapa kali. Salahkah aku berkata
sedemikian? Atau dia sengaja berfikir sebegitu? “Buat apa Ju nak datang ke
sini? Kalau Ju nak datang pun, Ju datang dengan Rizan dan Ju datang sebagai
pelanggan. Tak ada makna Ju nak masuk dapur.”
Bibirnya
menguntum senyuman lagi.
Senyuman
itu sekali lagi mencuit jiwaku.
“Lapar?”
Aku
mendiamkan diri.
“Hmm...
abang ambil diam Ju tu yang Ju sememangnya lapar, kan?” tanya dia riang. “Jom,
abang dah buat reservation kat restoran kawan abang.” Dan sekali lagi
tangannya dihulurkan kepadaku.
Aku
menggeleng. Enggan. Namun tatkala aku cuba melangkah selonggok sisa-sisa kayu
yang agak bersepah di sepanjang ruang jalan menuju ke pintu keluar, tanganku
cuba menggapai dinding yang berdekatan. Tanpa aku sedari jari-jari Megat
menyambutku. Tangannya memegang erat jari-jariku. Aku cuba untuk tidak
merasakannya, namun semakin aku cuba untuk menafikannya, perasaan itu makin
kuat. Jantungku berdegup makin kencang. Lututku bagai tidak mampu untuk terus
berdiri bila genggamannya makin erat dan kemas seolah-olah di situlah tempatnya
jari-jariku seharusnya berada... bersama
pasangannya.