7
“TAK APALAH, Rizan. I ikut mama I
balik. Abang you baru sampai. Biarlah malam pertama ni hanya untuk keluarga.
Esok-esok I datang pun tak apa, kan?” Aku berbasa-basi memberi alasan kepada
bakal tunangku itu. |
Rizan
mengangguk namun wajahnya jelas kecewa bila melihat aku tetap berdegil tidak
mahu mengikutnya pulang.
“Mama
I ada dengan kita. Kalau I biarkan dia balik seorang diri, nampak tak elok
pulak. Banyak masa lagi, kan?”
Rizan
melemparkan senyumannya kepadaku. Makin menerima alasanku ini.
Aku
pulang bersama mama. Aku cuba kuatkan perasaanku. Aku cuba kuatkan hatiku.
Megat Iskandar Zulkarnain pulang akhirnya. Bertahun-tahun dia merantau, hari
ini dia sudah kembali ke tanah air. Saat aku cukup yakin mampu mengatasi
perasaan yang pernah wujud terhadapnya, aku merasakan diriku belum bersedia
untuk menemuinya, apatah lagi untuk berhadapan dengannya. Aku masih perlukan
masa untuk lenyapkan perasaan yang mengganggu jiwaku.
SEPANJANG perjalanan pulang ke rumah,
aku dilanda resah gelisah. Kali terakhir aku bertemunya, enam tahun yang lalu
ketika dia mahu ke Perancis. Sejak itu dia tidak pernah balik ke Malaysia.
Biarpun sekali.
Waktu-waktunya
hanya berada di perantauan, dari satu negara ke satu negara di jejakinya. Dia
bekerja tidak kira siang dan malam semata-mata untuk menimba ilmu, mencari
wang, memantapkan kemahirannya dalam bidang masakan. Kata Rizan, tidak pernah
sekali pun dia menelefon papa mereka, jauh sekali untuk mengadu masalah. Mereka
berhubungan hanya bila Syawal menjelma.
Selebihnya,
masing-masing mengikut haluan kehidupan masing-masing. Tidak banyak hal yang
mereka tahu tentang lelaki itu. Dari Perancis menimba pengalaman dan
pengetahuan, kemudian berhijrah pula ke kota London dan hidup di Dubai selama
tiga tahun sebelum kembali ke Perancis. Dan kini, dia kembali mahu menetap
selamanya di tanah air. Apa yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk
pulang? Jantungku berdegup pantas.
“Ju,
perlahan sikit bawa kereta,” tegur mama.
Astaghfirullahalazim.
Fikiranku menerawang jauh, membuatkan aku tidak sedar yang aku sedang memandu.
Ya
ALLAH, jangan KAU huru-harakan perasaanku ini lagi. Jauhkanlah aku dari segala
bencana yang mendatang, tidak kira yang mencacatkan tubuh badanku ataupun yang
boleh menghancurkan hati dan perasaan. Berikanlah aku kekuatan fikiran.
Berikanlah aku ketetapan iman. Amin.
Aku
tidak mahu apa yang pernah aku rasa enam tahun lalu kembali bertaut di jiwa.
Katakan apa sahaja, kerana aku tidak mahu menyakiti hati Rizan dan mengecewakan
keinginan orang tua kami yang ingin melihat kami bersatu dalam waktu terdekat
ini.
“Kenapa
ni, Ju? Senyap aje? Apa yang tak kena lagi ni?” tegur mama melihat aku sesekali
meramas stereng kereta.
Aduh!
Sebelum orang tua itu menghidu sesuatu yang tidak sepatutnya dia hidu, lebih
baik aku alihkan perhatiannya. “Ju tak berapa setuju kalau kita cepat sangat
nak tempah baju nikah atau baju kahwinlah, ma.”
Orang
tua itu mendengus keras. “Itu cakap Ju. Orang lain, setahun sebelum kahwin dah
kalut mencari kain nak menempah, cari bunga telur lagi. Kita, satu apa pun tak
beli lagi. Jangan ambil mudah, Ju. Benda dah siap. Ambil ajerlah.”
Suasana
sepi seketika sebelum mama kembali bertanya, “Abang Rizan balik hari ni?”
“Hmm...”
“Bertahun
dia duduk kat luar negara. Tak ada angin, tak ada hujan, tiba-tiba nak balik.
Rizan tak kata apa-apa ke kenapa abang dia nak balik? Mama Rizan memang tak
suka Megat balik ke?”
Aku
mula lemas. Di saat aku cuba melupakan Megat dan kenangan lama, mama mahu
menimbulkan kembali kenangan itu tanpa disedarinya. “Ma, dia tetap abang
Rizan.”
“Mama
pun tak suka dia balik. Bukan ke Rizan anak sulung Uncle Rashid dengan Mama
Hamidah? Dia ada hak untuk semua tu.”
“Mama,
dia tetap anak Uncle Rashid yang sulung.”
“Yalah...
tapi kalau dia nak jadi tukang masak, bisnes Rashid pastinya jatuh ke tangan
Rizan.”
Aku
bosan mendengar alasan sebegini. “Kalau kaya, hati tak bahagia tak guna jugak,
ma,” komenku.
“Sedikit
sebanyak, duit boleh membantu kita bahagia, Ju. Tak ada duit, ingat boleh hidup
selesa ke? Orang sanggup gantung diri kalau tak ada duit, jatuh bankrap. Ju nak
hidup melarat macam tu?” cabar mama dengan suara lantang.
“Mama
ni fikir sampai ke situ pulak.”
“Mama
cakap aje. Mama tak nak Ju hidup melarat bila kahwin nanti. Anak perempuan
mama, Ju seorang aje. Mama nak jugak anak mama senang bila dah berkahwin
nanti.”
“Duit
bukan segala-galanya, mama.”
Mama
mengeluh lantas memandangku. “Tak suka ke kalau kahwin dengan Rizan? Anak orang
kaya, boleh hidup senang. Ju hidup senang, mama pun tumpang senang tau.”
“Ju
setuju terima Rizan sebab mama dengan mama Rizan nakkan kami berdua bersama.
Bukan sebab Ju nakkan Rizan sebab dia anak orang kaya ke, tapi sebab mama
dengan mama Rizan,” desisku perlahan.
“Kenapa
pula mama? Kalau Ju betul-betul tak sukakan Rizan, Ju tak peduli dengan
kemahuan mama dengan mama Rizan. Ju boleh buat keputusan sendiri. Ju boleh kata
‘tidak’. Jangan salahkan mama.” Suara mama mula meninggi. Dia mula kurang puas
hati dengan kata-kataku.
Aku
mengeluh. Aku melihat pandangan di hadapanku. Mama takkan faham. Mama berkata
sedemikian kerana kami bukan dari keluarga mewah, walaupun bukan hidup susah.
Mungkin mama fikir mahukan yang terbaik untuk satu-satu anak perempuannya ini.
AKU sengaja mematikan talian telefon
bimbitku malam itu. Aku mahu menjarakkan diriku buat seketika dengan mereka di
sekelilingku. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku berbuat demikian. Seolah-olah
aku mahu lari jauh dari sini. Aku mahu pergi jauh ke langit... ke bintang.
Entahlah, ada sesuatu yang cuba aku sisihkan dari diriku sendiri. Cuma satu
sahaja yang tidak mampu aku sisihkan.
Kenangan
lama...