Home Novel Cinta DIALAH CINTA HATIKU
DIALAH CINTA HATIKU
7/8/2014 13:29:47
88,701
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

14

‘ABANG nak Ju.’

Hanya tiga perkataan ringkas, aku berasa lucu. Entah mana datangnya perasaan lucu itu, aku tidak pasti. Melihat dari air mukanya atau kata-katanya yang sungguh serius membuatkan aku terasa ingin ketawa. Aku cuba sembunyikan perasaan geli hati ini yang bermula dengan senyuman. Namun, bila senyuman semakin melebar dan tawa kecil tercetus, ketawa itu tidak mungkin dapat aku simpan lagi, lantas merebak dengan tawa yang terbahak-bahak. Sudah tidak kira sopan, malu atau waras. Yang aku mahu hanya melepaskan tawa yang sudah tidak tertahan-tahankan lagi.

Ya ALLAH, apa sudah jadi ni? Dia waras atau tidak?

“Awak ni waras ke tidak?” Aku terus ketawa.

Dia tersenyum meleret. Aduh! Senyuman itu seperti jarang sekali aku lihat. Mungkin inilah kali pertama. “Ju buat abang tak waras setiap kali Ju depan abang.”

Ketawaku makin menjadi-jadi. Aku cuba kawal tawaku. “Astaghfirullahalazim,” ucapku perlahan bila tawa mula sedikit reda. Aku pandang wajahnya. “Kenapa saya tak boleh kahwin dengan Rizan? Apa hak awak nak menahan saya daripada kahwin dengan Rizan? Dia adik awak. Awak sepatutnya sokong keputusan dia! Awak ni gilalah!”

“Abang tak akan lepaskan Ju pada Rizan. Kali pertama kita jumpa, abang tahu Ju untuk abang. Abang takkan sokong keinginan Rizan kalau Ju lebih layak untuk abang!”

Dari rasa geli hati, lucu dan lawak, aku kembali menjadi berang dengan kata-katanya itu. Aku menepuk tanganku. “Bravo!Hebat! Yakin! Saya sendiri tak seyakin awak.”

Dia tersenyum meleret. Namun pandangannya penuh erti. “Ju... Ju dah dua kali menangis kerana abang. Abang tak nak buat Ju menangis lagi. Ju mudah terasa hati bila abang cakap sesuatu. Kenapa, Ju? Kalau abang bukan dalam hati Ju, dah tentu Ju tak kisah apa yang abang cakap. Ju anggap abang, biasa-biasa saja, kan?”

Aku tersentak dengan kata-katanya. “Sesiapa pun yang dengar, akan terasa hati. Bukan Ju seorang. Orang yang dengar pun boleh terkejut dengan cara abang...” Oops! Aku sudah terlepas kata, lantas aku segera membetulkan ayatku, “Awak kurang ajar. Langsung tak hormat perasaan orang lain.” Aku mengetap bibirku.

Aku nampak dia cuba menyembunyikan senyumannya, tapi apakah itu benar-benar senyuman? “Terus terang dengan abang, kenapa Ju tak kahwin-kahwin dengan Rizan selama enam tahun ni?”

Aku terkapai-kapai dengan soalan tersebut. Ya, kenapa aku mengambil masa selama enam tahun akhirnya baru bersetuju untuk bertunang dengan Rizan? “Sebab jodoh belum sampai. Mungkin tempoh enam tahun itu untuk saya dengan Rizan mengenali hati budi masing-masing.”

“Enam tahun?” Dia seakan tidak percaya ceritaku.

Aku diam sahaja. Ya, enam tahun terlalu lama. Orang tua aku berkata begitu, Zila pun komen begitu. Zila dan tunangnya, Imran tidak perlu menunggu sehingga enam tahun bila mengetahui mereka mencintai satu sama lain. Mereka tidak perlu seminit pun untuk mengambil keputusan untuk bertunang dan berkahwin. Kata Zila, bila cinta mengikat dua hati, masa bukan penentunya. Yang penting kekuatan cinta antara dua manusia yang saling memerlukan.

“Abang tak fikir Ju perlukan masa untuk terima lamaran Rizan kalau Ju betul-betul sayangkan dia... cintakan dia.”

“Apa hak awak untuk menilai cinta saya pada Rizan? Awak sama sekali tak ada hak untuk campur hal saya dengan Rizan apatah lagi dalam hal-hal peribadi kami berdua. Awak tak tahu apa-apa pun pasal saya.”

“Rizan adik abang.”

“Hohohooo!!!” Aku seru separuh tawa. Sinis. “Sebab tu awak fikir awak boleh senang-senang nak campur urusan peribadi dia!”

“Sebab abang tahu Ju tak cintakan Rizan.” Dia menghela nafasnya.

Suasana membeku. Setiap saat berlalu. Namun di antara kami tidak berganjak daripada saling berpandangan. Merenungi sesama sendiri.

Dia menambah, “Abang tahu, ingatan Ju hanya pada abang selama ni. Sebab tu, Ju tak pernah yakin dengan hubungan Ju dan Rizan, kan?”

“Sebab tu, awak fikir saya cintakan awak? Encik Megat Iskandar Zulkarnain, saya bukan jenis gelojoh untuk berkahwin. Saya tak percaya perkahwinan yang berlandaskan cinta semata-mata. Kalau betul awak cintakan isteri awak, kenapa awak bercerai?”

Wajah Megat sama sekali bertukar. “Oh? Sekarang kisah rumah tangga abang pulak nak jadikan topik perbualan kita?” Jelas sekali dia tidak menyenangi sikapku mengungkit hal peribadinya.

“Saya cuma bercakap benda yang benar!”

“Abang jugak bercakap benda yang benar!” tempiknya kembali kepadaku.

Aku terkedu dengan nadanya itu.

Suasana hampir senja. Rona-rona senja mulai mewarnai pemandangan mata. Suasana di jalan raya tetap hingar-bingar. Tapi aku yang berada di dalam kereta ini bersama dengannya begitu sepi dan sunyi. Kami kembali di tengah-tengah kesibukan jalanraya.

“Abang ingat, hubungan Ju dengan Rizan serius. Bila abang di sana nanti, Ju dengan Rizan akan bernikah. Abang tak mampu nak fikir apa. Abang tak mahu kalah dengan Rizan. Itu sebab abang bernikah,” katanya, mula bercerita.

Aku tersentak. Hakikat yang membuatkan seolah-olah tubuhku dihentak jatuh ke bumi. “Awak kahwin disebabkan saya?”

Dia menarik nafas dalam sebelum menghela nafas itu kembali dan menjawab, “Abang tak boleh bayangkan Rizan jadi suami Ju, lelaki yang akan Ju hidup sampai tua, ada anak dengan Ju, hidup bahagia dengan Ju. Abang tak sanggup tengok Ju dengan lelaki lain.”

Aku termangu. Sekali lagi terlalu payah untuk menelan ceritanya itu. Sukarnya aku untuk mempercayai perangai lelaki. Gilakah dia? Apakah dia sedar apa yang dia lakukan? “Awak ni betul-betul gila, kan?”

“Ju... Ju yang buat abang macam ni. Abang jatuh hati pada Ju sejak kali pertama kita jumpa. Di rumah abang. Masa tu, Ju baru sembilan belas atau dua puluh tahun? Ya, abang jatuh cinta pada Ju masa tu. Masa kali pertama Rizan bawak Ju kenalkan pada kami semua,” akuinya satu per satu dengan begitu jelas dan yakin.

Aku menarik nafas perlahan-lahan. Apakah benar apa yang aku dengar dari dia? “Mana pergi isteri awak?”

Tidak sesaat pun dia lepas daripada pandanganku. Aku mahu lihat reaksinya. Dan aku yakin dia turut sama mahu melihat reaksiku juga. “Dah tak ada.”

“Hah? Dah tak ada? Kenapa dah tak ada? Hilang? Kena kebas? Atau cara awak yang sombong berlagak tu buatkan dia tak tahan nak hidup dengan awak? Ubah-ubahlah perangai tu kalau ada keinginan nak kahwin lain.” Bersahaja ayatku tercetus daripada bibirku. Giliran aku menyindirnya cukup-cukup!

“Dia bukan lagi isteri abang. Rumah tangga kami tak bertahan lama,” jawabnya tenang. Tidak sedikit pun dia terganggu dengan kata-kata bisaku. “Dia yang minta cerai dari abang.”

Aku terdiam. Benarkah?

“Kami buat haluan masing-masing. Dia tak mampu nak jaga Nadia. Hanyut dengan kehidupan yang lebih bergaya.”

“Orang mana?” tanyaku.

“Orang Indonesia.”

Aku diam lagi. Dan terus diam untuk selama mungkin sehinggalah dia berhenti di hadapan sebuah kedai yang masih dalam pembikinan. Namun kelihatannya reka bentuk restoran ini hampir siap.

Ketika enjin kereta turut dimatikan, dia memandangku. “Jom. Abang nak tunjuk pada Ju restoran yang abang baru bina ni.”

Aku memerhati suasana di hadapanku. Terdapat beberapa pekerja berlegar-legar di dalamnya.

“Abang sewa the whole lot. Dari bawah sampai ke atas.”

Aku diam.

“Ju orang pertama yang abang bawak ke sini.”

Serius? Si sombong ini mula mahu ‘mengayat’ aku. Apa, dia fikir aku cair dengan kenyataan ‘aku orang pertama yang dibawanya ke sini’? Silap!

Wajahnya terlalu sukar untuk aku baca ketika itu. Dia membuka pintu kereta dan aku juga begitu.

“Baik-baik jalan. Sisa kayu, paku masih bersepah sana sini.” Dia mengingatkan aku.

“Saya bukan buta. Saya bukan budak kecil!” balasku tajam kepadanya. Namun aku bersyukur dia memberitahuku kerana aku sebenarnya tidak sedar serpihan kayu dan saki-baki paku yang agak bertaburan yang mungkin membahayakan diri.

Megat menghulurkan tangannya.

Jiwaku gundah lagi.

Kami berpandangan. Aku enggan lantas meninggalkan dirinya terkapai di situ. Dia tetap orang asing kepadaku.

Dia membawa aku ke tengah-tengah ruang restorannya yang boleh dikatakan 90% hampir siap. Ruangnya tidak terlalu besar dan juga tidak terlalu kecil.

Do you like it?” tanya dia kepadaku.

Aku mengerutkan dahiku. Kenapa perlu tanya pendapatku sedangkan pengubahsuaiannya sudah jelas di mata? “Kalau saya kata saya tak suka? Awak nak ubah balik?”

Dia tersenyum. Ya ALLAH... senyumannya itu. Kalaulah aku ditemani senyuman seperti itu sehingga hari tuaku, pastinya akulah orang paling bahagia tidak kira apa jua pun cabaran datang menjengah. Julianna, jangan melencong fikiran itu! Pantas aku mengalihkan pandangan mata. Tidak mahu tenggelam dalam pesona senyumannya. Namun jauh di sudut hati, ada suara yang memberitahu diri yang aku tidak akan lupa senyumannya itu padaku sampai bila-bila.

Sekali lagi dia meminta aku mengekorinya. Kali ini ke ruang dapur. Terdapat beberapa orang juga sedang membersihkan meja-meja dan dapur besar ruang memasak.

Aku mengangkat kening lalu memandangnya sambil menunjuk mereka yang ada. “Pekerja awak?”

Dia mengangguk. Lantas berdiri dekat denganku dan memanggil setiap seorang pekerjanya lalu memperkenalkan aku kepada mereka. Namun ada sesuatu yang membuatkan aku tersentak. Tangannya berada di belakang tubuhku. Kemudian jatuh kepada pinggangku.

Aku tidak senang dengan perlakuannya. Tetapi aku juga tidak membantah. Ah! Kenapa aku terlalu sukar untuk menolaknya?

“Mudanya,” komenku perlahan bila melihat pekerja-pekerja itu. Secara tak langsung, mataku kembali menatap wajahnya.

Dia mengangguk. Buat seketika, pandangan kami seakan-akan terkunci. Pandangannya redup sekali. Dari mataku, beralih ke hidung dan kemudian ke bibir sebelum matanya kembali beralih padaku. “Abang tak perlu yang dah ada banyak pengalaman. Seorang dua dah cukup. Yang penting, budak-budak yang baru ni semua rajin, bertanggungjawab dan yang penting mahu belajar.”

Aku mencemik sedikit bibirku. “Cakap ajelah tak perlu nak bayar gaji mahal-mahal,” sindirku.

Dia mengerut dahinya dengan tanda tanya. Wajahnya sedikit lucu. Dan tidak semena-mena aku ketawa lantas mengalihkan pandanganku ke tempat lain sambil menjarakkan diriku daripadanya. Dia terus mengekoriku dari belakang, mengamatiku yang sedang mengamati suasana ruang dapur yang luas dan penuh dengan perkakasan yang masih belum disusun sepenuhnya.

“Ada apa-apa nak komen?” tanya dia tiba-tiba.

Aku masih mengamati sekelilingku. Dan kemudian berakhir pada wajahnya yang sedang memerhatiku. Aku mengeluh perlahan. “Saya tak tahu nak kata apa. Sebab ini bukan dunia saya,” kataku terus terang. “Tunggulah bila dah siap nanti.”

Matanya bersinar, penuh mengharap. “Maknanya Ju nak datang sini lagi?”

Aku mengetap bibir. Lantas mengusap tengkukku beberapa kali. Salahkah aku berkata sedemikian? Atau dia sengaja berfikir sebegitu? “Buat apa Ju nak datang ke sini? Kalau Ju nak datang pun, Ju datang dengan Rizan dan Ju datang sebagai pelanggan. Tak ada makna Ju nak masuk dapur.”

Bibirnya menguntum senyuman lagi.

Senyuman itu sekali lagi mencuit jiwaku.

“Lapar?”

Aku mendiamkan diri.

“Hmm... abang ambil diam Ju tu yang Ju sememangnya lapar, kan?” tanya dia riang. “Jom, abang dah buat reservation kat restoran kawan abang.” Dan sekali lagi tangannya dihulurkan kepadaku.

Aku menggeleng. Enggan. Namun tatkala aku cuba melangkah selonggok sisa-sisa kayu yang agak bersepah di sepanjang ruang jalan menuju ke pintu keluar, tanganku cuba menggapai dinding yang berdekatan. Tanpa aku sedari jari-jari Megat menyambutku. Tangannya memegang erat jari-jariku. Aku cuba untuk tidak merasakannya, namun semakin aku cuba untuk menafikannya, perasaan itu makin kuat. Jantungku berdegup makin kencang. Lututku bagai tidak mampu untuk terus berdiri bila genggamannya makin erat dan kemas seolah-olah di situlah tempatnya jari-jariku seharusnya berada... bersama pasangannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.