1
SUDAH hampir ke pukul 6.00 petang dan
aku masih berada di sini. Aduh! Boleh jadi gila menunggu dia yang tidak
faham-faham perlu menjemputku tepat pada waktunya. Nanti apa pula kata mamanya
yang sedang menunggu di butik? Apa pula kata mamaku juga yang melihat bakal
menantunya yang seorang itu tidak menepati janji? |
Menantu?
Entah
kenapa, sering aku rasa pelik tiap kali menggunakan perkataan itu. Perkataan
itu masih asing pada diriku. Adakah benar aku bakal menjadi seorang isteri
kepada seorang lelaki yang telah aku kenal selama lebih enam tahun? Cukupkah
tempoh itu yang membuatkan aku bersedia menjadi seorang isteri? Namun aku cuba
buang perasaan itu. Mainan perasaan sering menghantui fikiran. Walaupun aku
cuba untuk menerima takdir yang sudah ditentukan, tapi dalam pada masa yang
sama, mainan perasaan tetap menggoncang keteguhan keyakinan.
Aku
segera memeriksa kad tempahan baju yang aku sisipkan di dalam beg tanganku
selama ini. Aku termangu. Lantas mengeluh perlahan apabila melihat kad yang
berwarna merah jambu itu.
Tiba-tiba
telefon bimbitku berbunyi dan pantas aku menekan butang hijau.
“Helo!
Assalamualaikum.” Suara mama kedengaran di hujung talian.
“Waalaikumussalam,”
jawabku.
“Julia
kat mana ni? Kenapa tak sampai-sampai lagi? Mama dah lama tunggu kat butik ni.”
Aku
mula cemas. Aduh! Silap siapa kalau aku sudah lewat daripada waktu temu janji
yang telah kami tetapkan bersama? “Hah? Mama dah sampai? Cepatnya mama sampai?”
“Aik?
Janji nak jumpa pukul lima setengah? Mama pun sampai lima setengahlah. Tengok-tengok,
kamu semua tak ada lagi. Ke dah balik?” Mama bertanya dengan suara agak tinggi.
Suara itu jelas-jelas menunjukkan dia mula kurang senang dengan keadaan semua
ini.
Aduh!
Ini kes berat. Mama dah sampai, tapi aku masih terkial-kial menunggu Rizan.
“Mama Rizan dah sampai? ke?” Aku cuba mengalih perhatian orang tuaku.
“Belum.
Seorang pun belum sampai lagi. Ju kat mana sekarang ni?”
Aku
dihambat rasa bersalah dan cemas. “Ju tengah tunggu Rizan ni,” jelasku.
“Agaknya jalan jam. Tu yang dia tak sampai-sampai lagi.”
“Hah?
Ju masih di pejabat?” Tak dapatku nafikan lagi, mama ternyata terkejut. Dan
belum sempat aku hendak menjawab, suaranya kembali kedengaran tetapi dengan
nada berbeza. Dia teruja. “Hah! Itu pun mama Rizan. Tak apalah kalau macam tu.
Biar mama dengan mama Rizan tunggu kau orang kat butik. Bila Rizan sampai,
suruh dia cepat sikit. Jangan nak pergi makan minum dulu ke... apa ke... Ingat
tu? Terus aje ke sini,” pesan mama.
Aduhai,
mama! Aku sedar aku sudah terlambat daripada waktu temu janji kami. Mana
mungkin kami akan singgah mana-mana restoran pula? “Tau... tau.”
“Okeylah.
Mama nak pergi jumpa mama Rizan ni. Dia tak tahu mama dah sampai ni. Okay,
ingat, terus saja ke sini.” Lantas mama mematikan talian sebelum sempat aku
berkata-kata.
Aku
menarik nafas lega. Mujur mama Rizan sudah sampai. Sekurang-kurangnya aku tak
perlu lagi mendengar bebelan mama dan mama taklah keseorangan bosan menunggu
kami semua.
Aduhai,
lelaki yang bernama Megat Rizan Kasturi! Di manakah anda sekarang? Terlupakah
anda bahawa kita berdua ada temu janji bersama orang tua kita?
Aku
perhati di kiri kananku, melihat kenderaan yang bersimpang-siur keluar masuk di
pekarangan bangunan tempat aku bekerja. Ya ALLAH, di mana dia? Belum sempat aku
ingin mendail nombor Rizan, telefon bimbitku berdering lagi. Aku mula
berdebar-debar. Mama lagikah? Atau mama Rizan yang turut sama mahu menegur atas
kelewatan kami berdua? Parah! Parah ni! Aku akan cakap anaknya yang terlewat
menjemputku ke sana. Aku sudah tidak kira lagi. Biar dia yang kena marah. Bukan
salah aku kerana aku sudah menunggunya hampir sejam lamanya!
Aku
mendengus keras apabila melihat nama yang tertera pada skrin telefon bimbitku.
Tahu pulak nak telefon, getusku di dalam hati. Aku segera menjawab panggilannya
itu. “You kat mana sekarang ni?”
“Dah
nak sampai dah ni.”
“Cepatlah
sikit. Kaki dah lenguh menunggu you ni.”
“Sabarlah
sikit. Jam teruk ni,” keluhnya. Bicaranya tetap lembut walaupun menegur
ketidaksabaranku.
“You
baru kenal Kuala Lumpur ke? Tengah hari lagi I dah pesan pada you, keluar awal.
Jalan sentiasa jam. Lagi berapa minit nak sampai ni?” Giliranku mengeluh.
“Hmm...
lebih kurang lima hingga sepuluh minit. Tunggulah. I tengah cari jalan pintas
ni.” Dia memujukku.
Aku
mendengus kurang puas hati dengan sikapnya itu. “Yalah, tapi cepat sikit. Bawa
kereta tu hati-hati,” ujarku.
“I
tahu. You takkan ke mana-mana. Tetap tunggu I sampai bila-bila, kan?” Dia
ketawa kecil lantas mematikan talian kami berdua.
Aku
menarik nafas sedalam-dalamnya. Aku tidak tahu apa yang perlu aku rasa saat
ini. Fikiranku berkecamuk. Jiwaku gundah. Ayat itu seperti melemaskan aku. Dia
cuba bergurau. Dia sering bergurau. Hanya aku yang tidak berkenan. Aku
sememangnya tidak berkenan dengan gurauan seumpamanya itu padaku. Namun aku
cuba meredakan rasa itu semua di dalam hati.