13
IKIRANKU melayang-layang tentang
kejadian tempoh hari itu. Kejadian makan malam di rumah orang tua Rizan
sememangnya tidak mampu aku padamkan dari kotak ingatan. Walaupun sudah
beberapa hari berlalu, namun marahku tidak pernah sedikit pun surut dan reda.
Lelaki
itu benar-benar keterlaluan. Tidak tahu bagaimana mahu menghormati orang dan
tetamu. Senang-senang aku dijerkahnya, ditempik di hadapan ahli keluarganya.
Itulah saat-saat yang amat memalukan dalam hidupku. Kalau ikutkan hati, hendak
sahaja aku lontar ayam di pingganku ke wajahnya. Sikap dan caranya amat kurang
ajar.
Entah
apa ketuaku di hadapan berkata, aku sendiri tidak tahu. Tindakan Megat
sememangnya tidak mampu aku buang begitu sahaja. Kepulangannya meresahkan semua
orang, tetapi sikap dan caranya masih begitu juga. Menyakitkan!
“Julianna,
ada apa-apa komen?” Suara Encik Dahari bergema di bilik mesyuarat, menghentikan
khayalanku yang sudah jauh meninggalkan mereka.
Azwa
di sisiku segera menghulurkan sekeping nota di hadapanku dan aku sempat mencuri
baca secara lalu.
Nak
software baru untuk payroll. Yang ada sekarang menyusahkan kita
semua!
Oh
ya, sudah tentu!
“Encik
Dahari, kami di bahagian payroll perlukan software baru untuk
syarikat ini. Kakitangan makin ramai. Softwareyang ada sekarang tak
boleh nak menampung lebih dari lima ratus pekerja, Encik Dahari. Kadang-kadang
pemprosesan gaji tak dikira dengan betul.”
“Berapa
kali jadi begitu?”
“Sejak
dua, tiga bulan yang lepas. Pekerja yang terbabit dalam lebih kurang lima
hingga sepuluh orang. Walaupun jumlah nampak kecil, tapi kalau dah tiap-tiap
bulan begitu, kerja kami jadi kelam-kabut.”
Encik
Dahari memandangku.
Azwa
pula terus mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Saya
serahkan awak untuk selesaikan masalah ni. Cari apa sahaja software yang
bagus untuk syarikat kita. Kemudian, report pada saya,” ujar Encik
Dahari.
Aku
mengerling ke arah Azwa. Dialah penyelamatku!
Keluar
dari bilik mesyuarat, aku menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya, satu masalah
selesai juga. Tapi masalah untuk aku melenyapkan kejadian malam semalam, tidak
semudah itu.
“Nanti
kita aku tunjukkan brosur pasal software baru untuk payroll tu.
Aku dah ada dua, tiga jenis software yang bagus untuk company.Kita
bincang, kemudian pilih dua... kasi Encik Dahari pilih yang mana dia nak.”
Azwa
sememangnya bukan sekadar kerani dan pembantu aku di sini, tetapi dia juga
penyelamat. “Aku pun ada jugak satu brosur dalam laci. Tak apa, nanti kita
kumpulkan. Kita discuss, kemudian kita panggil wakil masing-masing
demokan untuk kita. Kemudian baru kita finalise, masa tu kita minta
Encik Dahari approvalyang mana satu yang terbaik.”
Azwa
mengangguk, setuju. “Kau nak balik?”
Aku
melihat jam di tangan. Sudah pukul 6.00 petang. Aku mengetap bibir. “Aku nak
bereskan kerja sikit. Kemudian aku turun.”
“Boyfriend
tak jemput ke hari ni?”
Aku
tersengih. Boyfriend? Pelik benar mendengar perkataan itu. “Dia
outstation hari ni. Tadi dia dah call. Ada kerja urgent kat
Penang.”
Azwa
membeliakkan matanya. “Urgent?”
Aku
pandang wajah Azwa dengan rasa lucu. Sejak bila pula dia berminat dengan Rizan?
“Kata dia urgent. Dua, tiga hari jugaklah dia di sana.”
“Boleh
pulak pergi macam tu?”
Eh!
Apasal pulak budak ni? Aku yang rapat dengan Rizan, dia pula yang bimbang?
“Pergi macam tu? Maksudnya?”
“Yalah...
tiba-tiba nak pergi. Selalu kalau orang nak ke outstation... dua, tiga
hari sebelum tu dah tahu dah. Kau ni jenis percaya seratus peratus kat lelaki
ke?”
Aku
tergelak kecil. “Dah dia kerja dengan bapak dia, mestilah percaya seratus
peratus.”
Dia
sekadar mengangguk.
Aku
kembali ke mejaku. Menghabiskan baki kerja yang belum dilangsaikan.
Menyelesaikan secepat mungkin kerana abangku akan menjemput aku pulang. Aku mahu
berehat lebih masa di rumah.
SEDANG aku berdiri sambil
tercari-cari kereta Honda Civic milik abang long di hadapan tempat aku bekerja
selama lebih dua tahun itu, tiba-tiba sebuah kereta BMW mewah berhenti di
hadapanku. Pada mulanya aku enggan melayani kereta tersebut kerana menyangkakan
kemungkinan kereta itu sekadar berhenti dan menunggu penumpangnya sahaja.
Tiba-tiba tingkap kereta diturunkan.
“Julia!”
Ada suara memanggilku.
Aku
segera menoleh ke arah suara itu. Tubuhku terpaku. Terpana melihat apa yang
sedang aku lihat. Benarkah dia yang berada di hadapanku? Yang sedang
memanggilku? Dan jiwaku bergelora hebat. Kejadian di meja makan tempoh hari
segera menerpa dalam kotak ingatanku sebaik melihat wajahnya di hadapanku.
Sememangnya bukan senang untuk aku buang begitu dari ingatanku.
“Masuk.”
Arahnya, lagak bagai ketua CEO.
Aku
masih tidak berganjak. Namun kali ini, bukan kerana aku terkejut dengan
suaranya memberi arahan kepadaku, tetapi marah dengan sikapnya terhadapku malam
itu.
Dia
segera melepaskan tali pinggang keledarnya dan keluar dari kereta bila melihat
aku terus-terusan berdiri di situ. Lantas dia membuka pintu sebelah pemandu
lalu menolak tubuhku masuk ke dalam keretanya bila aku sedikit pun tidak
mengendahkannya. Bodohlah aku jika menuruti kata-kata dari lelaki sombong
bongkak ini setelah apa yang dia telah lakukan kepadaku tempoh hari. Aku bukan
Nadia, anaknya. Aku bukan perempuan yang boleh disuruh-suruh begitu sahaja.
Dia
memandangku. “Ju, orang sekeliling ramai yang belum balik. Semua tengah tengok
kita.”
Aku
memandang ke sebelah kananku. Ya, terdapat empat orang wanita sedang
memerhatikan kami. Belum termasuk dua orang pengawal keselamatan yang bila-bila
sahaja mahu mengusir kami terutama sekali pada Megat yang meletakkan keretanya
di tempat yang tidak sepatutnya.
Kami
bertentangan mata sekali lagi. Kenapa saat ini aku tidak lihat wajah sombongnya
seperti selalu, tetapi redup, mata yang bersinar, senyuman hanya untukku?
Aku
tiba-tiba bagaikan terpukau. Perasaanku hanyut dengan senyuman itu. Kali
pertama senyuman itu untukku. Aku mengalah. Terpaksa mengalah kerana tidak mahu
menjadi tontonan umum di sekeliling akan ‘lakonan’ kami. Lelaki itu menutup
rapat pintu kereta sebaik aku melabuhkan tubuhku di atas kerusi. Sesaat
kemudian, dia duduk di sebelahku, melepaskan brek tangan dan kereta kembali ke
jalan raya.
“Pakai
seatbelttu,” tegurnya.
Aku
mencebik bibir, protes dengan arahannya sekali lagi. Tetapi tetap akur kerana
waktu puncak sebegini polis trafik boleh berada di mana-mana sahaja di jalan
raya.
Jantungku
semakin berdegup kencang. Aku duduk tanpa bersuara atau menggerakkan tubuh,
hanya mata sahaja yang cuba mencuri-curi pandang pada lelaki yang tenang
memandu keretanya, tenang seolah-olah tanpa berlaku apa-apa. Dia seperti yang
aku nampak semalam dan enam tahun yang lalu. Kacak, tampan, dengan rambutnya
yang pendek dan kemas walaupun kini bila usia meningkat. Ada sedikit perbezaan
bila dahinya mula menjadi sedikit luas. Kulitnya yang agak gelap dari kali
terakhir kami bertemu, sesuai dengan usianya yang sudah melangkaui 35 tahun.
Tidak
kira apa yang telah berlaku pada dirinya, auranya tetap sama. Masih mendebarkan
jiwa, daya tarikannya mempersonakan aku. Pandangan mataku tidak pernah lekang
dan jemu memandangnya. Asyiknya aku sehingga tidak tersedar dia menangkap cara
aku memandangnya.
Tercetus
tawa kecil di bibirnya. “Kenapa Ju pandang abang macam tu?”
Tersirap
darahku. Abang? Aku pantas mengalihkan pandanganku kembali ke jalan raya.
Dadaku bergelora paling hebat. Abang long! Ya, abang long. Aku segera
mengeluarkan telefon bimbitku dari dalam beg tangan dan menekan nombor abang
long. Megat sekadar memerhatiku dari ekor matanya.
“Abang?
Ini Ju.”
“Where
are you? Abang nak sampai ni.”
“Hmm...
tak payah jemput Ju. Ju dah dalam perjalanan balik rumah ni,” balasku.
Abang
long mendengus. “Kenapa tak cakap awal lagi? Tak payah abang masuk simpang ke
ofis Ju.”
“I’m
sorry,” gumamku perlahan. Tidak mahu orang di sebelahku mendengar setiap
bait perkataanku.
“Okey.
Siapa yang hantar?”
“Kawan.”
Perkataan itu semakin perlahan. Hampir berbisik. Aku tidak mahu Megat
memikirkan begitu mudah aku menganggap dia sebagai teman tetapi terpaksa
menggunakan perkataan ‘kawan’ kerana tidak mahu menimbul rasa bimbang abang
long.
“Kawan
lelaki atau kawan perempuan?” Dia mengasak aku dengan soalan yang tak termampu
aku jawab ketika ini. Apatah lagi di hadapan Megat. Sebagai satu-satunya
seorang adik perempuan yang dia ada, aku tidak menyalahkan dirinya ataupun
abang-abang aku yang lain untuk menjadi ‘pak sibuk’ ke mana aku pergi. “Okey,
tapi jangan balik lewat. Abah bising nanti!”
“Okay.
Sorry, bang. Bye!” Aku segera mematikan talian dan kembali memasukkan
telefon bimbit ke dalam beg tangan. Aku melemparkan pandanganku sekali lagi ke
jalan raya sebelum memberanikan diri melihat ke arahnya. Aku bersuara sinis,
“Apa mimpi awak jemput saya tiba-tiba?”
Dia
diam tenang. Setenang dirinya sedang memandu kereta yang kami naiki. Namun
diamnya makin mencetuskan amarahku yang meluap-luap.
“Awaklah
lelaki paling sombong, angkuh, pentingkan diri sendiri, melampau, tak pernah
hormat pada orang lain, sinis dan saya nak awak tahu dan ingat sampai
bila-bila, yang saya adalah perempuan yang paling bencikan awak!”
Tulang
rahang di pipinya bergerak-gerak. Jelas ada sesuatu yang mahu disampaikan
kepadaku tetapi lebih memberi ruang untuk aku meluahkan rasa marahku
terhadapnya.
Kali
ini dadaku berombak dengan alasan yang berbeza. Marah! Aku tersangat marah
padanya! Inilah masanya untuk aku lontar kemarahan itu.
Dia
memandangku bila kereta yang dipandu terpaksa berhenti di persimpangan lampu
isyarat. “Apa lagi?”
“Saya
benci awak!”
“Lagi?”
“Benci
sangat!”
Dia
menarik nafas dalam. “Lagi?” Suaranya makin jauh. Apa sudah jadi dengan
kemarahannya kepadaku kerana Nadia malam semalam?
“Benci!
Benci! Benci. Saya lebih rela jalan kaki balik rumah dari duduk dengan awak
dalam satu kereta!” kataku marah. Jika semalam aku tidak mampu melepaskan
amarahku terhadapnya, tetapi saat ini adalah peluang keemasan buatku.
Suasana
sepi. Aku membisukan diri. Dia juga bagaikan terkunci mulutnya. Tiada reaksi.
“Jadi,
kenapa tak jalan kaki aje?” Dia mendugaku.
Sebaik
mendengar kata-katanya, tanpa menunggu sesaat aku menggapai beg tanganku dan
sebaik jariku cuba membuka pintu keretanya, di pantas menahanku. Jari-jarinya
di lenganku. Menahanku. “Abang minta maaf, abang cuma nak mengusik Ju.”
Senyuman terpahat di bibirnya. Namun senyuman itu hambar sekali.
Marahku
meluap-luap. Sakit hati ini bukan sedikit. Sakit hati kerana kejadian tempo
hari masih bersisa, dia menambah pula marah baru.
“Ju,
please...bukan sekarang. Abang tak nak Ju pergi macam tu saja,” pintanya
padaku.
Aku
cuba menahan perasaan. Sabarku sudah menipis. Tapi bila dia merayu, aku kalah
juga dalam kemarahan itu. Suasana sepi seketika. Dan aku makin kurang selesa dengan
kesunyian di dalam keretanya itu. “Hah! Tak ada benda nak cakap? Awak kan
pandai bercakap? Pandai keluarkan ayat yang menyakitkan hati. Sekarang hanya
kita berdua kat sini. Saya tak perlu nak jaga hati keluarga awak. Peduli apa
orang nak kata saya biadab, tapi kalau awak tak mulakan dulu, saya juga takkan
jadi begini!” tempikku lagi kepadanya, sakit hati bila dia mematungkan dirinya.
Lagi sakit hati bila dia lebih senang mendiamkan diri sedangkan di hadapan
keluarga, dialah yang paling hebat menunjuk taringnya!
“Abang.”
“Hah?”
Aku terpinga-pinga dengan kata-katanya yang satu itu.
“Panggil
abang. Abang tak mahu dengar Ju bahasa awak-saya, apatah lagi aku-kau. Abang
tak suka,” ucapnya perlahan denganku.
Aku
rasa tubuhku melayang-layang sebaik mendengar kata-katanya. Terbuai-buai
mendengar nada suaranya. “Awak bukan saudara-mara saya, jauh sekali abang saya.
Jadi jangan fikir awak boleh arah-arah saya!” Ingatkah dia ayat ini seperti
yang pernah dia gunakan kepadaku suatu ketika dahulu?
Dia
menghela nafasnya. Raut wajahnya sedih. “Ju,” panggilnya padaku dengan suara
lembut sekali. Itulah kali pertama aku mendengar suara yang mencairkan jiwa.
“Abang mintak maaf.”
Aku
terdiam. Mengamati wajahnya penuh persoalan. Kenapa dengan dia ini? “Mana
lelaki yang sombong, angkuh, sinis? Mana? Helo...? Ini betul ke Megat Iskandar
Zulkarnain yang sombong, berlagak, angkuh tu? Atau yang tengah bawa kereta ni
orang lain?”
“Ju,
jangan macam ni. Jangan nak sindir abang pula.” Dia menegurku. Nadanya mula
berbeza.
Wah!
Ini baru betul Megat. Tidak boleh diusik. Tidak boleh disindir. “Sindir apa?
Saya bukan sindir. Ini betul-betul cakap. Awak kan dah biasa?”
Megat
segera meraih jari-jariku lantas digenggam kemas. “Jangan buat abang macam ni,
Ju,” pintanya.
Aku
tersentak dengan perbuatannya. Mulutku, fikiranku, terkunci serta-merta.
Tindakan refleksku mati begitu sahaja bila melihat jemariku digenggam. Dengan
pantas aku merentap jari-jariku itu daripada pegangannya.
Kalau
aku diberitahu awal pagi tadi bahawa Megat yang akan menjemput aku pulang dan
berakhir dengan begini, aku pasti akan ketawa terbahak-bahak. Tapi, ini
sememangnya tidak disangka. Hidup mati semula, juga aku tidak akan
mempercayainya. Bagai terpukau dengan sentuhannya, aku termangu. Ini tidak
patut berlaku! “Awak tahu tak siapa saya?”
Keluhan
tercetus di bibirnya. “Seorang perempuan yang pernah abang jumpa enam tahun
yang lalu.”
Aku
memejamkan mataku. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Apa yang dia lakukan
pada diriku? Nafasku jadi pendek. Sesak. Sikapnya keterlaluan terhadapku. “Apa
sebenarnya awak nak dari saya?” Suaraku hampir tidak kedengaran. Ya ALLAH, apa
yang sedang berlaku padaku? Rizan tidak pernah melakukan apa yang dia lakukan
terhadapku sejak hari pertama aku kenal dia. Rizan tidak pernah melukakan jauh sekali
untuk menyakiti hatiku sejak kali pertama aku kenal dirinya.
Malah,
yang lebih utama Rizan tidak pernah membuat apa yang aku rasa sekarang
sepertimana dia lakukan kepadaku!
Perasaan
ini... sakit, gundah, mencengkam tetapi dalam pada masa yang sama jauh di lubuk
hati, perasaan itu sangat aneh. Jiwaku kacau, namun dalam kekacauan aku
merasakan sesuatu yang sangat luar biasa. Perasaan yang cukup menjentik naluri
wanitaku. Sangat istimewa!
“Seorang
perempuan yang mampu melenyapkan kewarasan abang setiap kali abang jumpa dia,”
tambah Megat dalam nada yang membuai-buai perasaanku.
Aku
mengetap bibirku. Melontar pandangan ke tingkap. Jiwaku masih bergelora dan
degupan jantung laju menggila! Aku tidak pernah merasakan apa yang sedang aku
rasakan. Sungguh. Aku tidak pernah merasainya.
Apakah
ini yang Zila sering maksudkan kepadaku? Apakah ini yang Zila asyik perkatakan
tentang... cinta?
Ini
tidak boleh berlaku! Ini tidak boleh berlaku!
“Saya
akan bertunang dengan adik awak dalam tempoh kurang dari tiga minggu. Awak tak
boleh buat begini pada saya!” tegasku. Aku hampir menjerit kepadanya.
“Kenapa
baru sekarang, Ju? Kenapa tak dulu Ju kahwin dengan Rizan?”
“Awak
tak ada hak sikit pun untuk tanya soalan tu!” marahku.
“Kenapa
Ju?” Suara itu tetap perlahan, lembut dan menggores perasaanku.
“Suka
hati saya! Apa awak kisah kalau saya kahwin dulu ataupun sekarang?!” tempikku
kepadanya.
Dia
mengeluh. “Ju, apa yang abang rasa, yang Ju rasa... dah ada sejak kali pertama
kita bertentangan mata... enam tahun yang lalu. Kalau Ju tak rasa apa yang
abang rasa, enam tahun abang pergi merantau, Ju pasti dah kahwin dengan Rizan,
kan?”
Adakah
ini benar-benar berlaku? Adakah benar itu yang diucapkan kepadaku? Ini pasti
aku sedang bermimpi.
Dia
menghelakan nafasnya. Panjang. “Abang tak izinkan Ju kahwin dengan Rizan.”
Aku
menggengam jari-jemariku. Kuat. Ini benar-benar keterlaluan untukku.
“Kali
ni, abang takkan tinggalkan Ju. Abang takkan sakitkan hati Ju.”
“Awak
boleh tinggalkan saya berapa banyak awak nak dan awak boleh sakitkan hati saya
berapa kali awak nak... tetapi saya tetap akan kahwin dengan Rizan. Awak peduli
apa!” jeritku kepadanya.
Dia
menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Abang dah balik. Dan abang akan ambil
apa yang terbaik untuk abang dan untuk Ju,” katanya. Muktamad.
Aku
pelik. Apa maksud dia sebenarnya?
Kami
bertentangan mata bila kereta diberhentikan di bahu jalan raya. Aku termangu
seketika. Apa yang ingin diberitahu kepadaku sehingga memaksa dia
memberhentikan kenderaan di jalan penuh sesak dengan kenderaan yang lain?
“Ju,
hidup Ju bukan dengan Rizan tapi dengan abang.”
Hah?
Adakah benar apa yang aku dengar?
“Abang nak Ju jadi isteri abang.”