2
BUNYI hon kereta menghentikan
lamunanku. Tersentak. Aku sedar itu panggilan Rizan terhadapku. Tidak adil
untuk aku menarik muka masam kerana kelewatannya sedangkan dia juga tidak mahu
perkara sebegini berlaku. Aku paksakan diriku tersenyum. Sekurang-kurangnya,
aku bersyukur dia selamat tiba menjemputku. |
Aku
segera mengambil tempat duduk di sisinya dalam kereta BMW miliknya itu.
“Lama
tunggu?”
“Lamalah!
You suruh I tunggu you pukul lima. Tengoklah sekarang dah pukul berapa?” Aku
menuding jariku ke arah jam di hadapan kami. “Janji pukul lima setengah jumpa
mama kat butik. Kalau mama you marah, I kata you yang datang lewat jemput I.”
Rizan
ketawa. Dia kelihatan tenang sahaja. “Jangan risau. Mama kita berdua tengah
melepak kat kedai kopi. Dia orang berdua kopi-kopi dulu sambil menunggu kita
sampai.”
Aku
tersengih macam kerang busuk mendengar ceritanya. Baru lima minit perjalanan
kami, kenderaan yang dipandu oleh Rizan mula menyusuri jalan raya yang
dibanjiri dengan pelbagai kenderaan yang membuatkan pemanduan lelaki ini
terhad. Dari perjalanan yang lancar, kemudian bertukar menjadi perlahan dan
akhirnya terhenti-henti.
“Macam
nilah tadi. Bilalah Kuala Lumpur tak jam?” Dia mengomel tiba-tiba.
Perlahan.
Aku
mengeluh. Melihat jalan raya yang sesak dan hampir tidak bergerak, sememangnya
mudah untuk aku hilang sabar. Apatah lagi sudah ada temu janji dengan waktu
yang perlu ditepati. “Kalau I tahu lambat macam ni, lebih baik I seorang aje
yang pergi jumpa dia di butik. Tak payah you susah-susah datang jemput I. I
keluar pejabat terus aje ambil teksi ke sana. Bukan ke you kata tengah hari
tadi, you banyak kerja kat pejabat?” Aku memandangnya penuh pengertian. Sedikit
pun tidak mahu membebankannya, apatah lagi tatkala dia memang perlu menghabiskan
kerja-kerjanya setelah seminggu berada di luar daerah. Paling penting dia tetap
tenang, tetap tersenyum manis biarpun dalam keadaan stres di kiri dan kanannya.
Di sebelah kanan, kerja yang melambak. Di sebelah kiri pula, terpaksa menempuh
jam semata-mata mahu bersamaku ke butik pakaian.
“Tak
apa. I ada pembantu. Buat apa ada pembantu kalau tak boleh nak membantu
habiskan kerja-kerja ketua?”
Aku
menarik nafas. Aku cuba untuk tidak tersenyum. Rizan tetap tenang di mana
sahaja. Kerja melambak ke... terkandas di dalam kesesakan jalan raya ke... atau
terlewat menjemput aku pulang, ketenangan dia tiada batasan. Kalau aku, boleh
haru-biru jadinya!
“Macam
mana kerja tadi? Okey?” Dia memulakan bicaranya denganku. Senyumannya sudah
tersedia di bibirnya tatkala aku kembali menoleh menatap wajahnya.
Aku
mengeluh perlahan. “Macam tulah.”
“Ada
lagi masalah?” tanya dia menduga. “Yang pasal payroll tu, dah propose
pada bos you untuk dapatkan softwarebaru?”
“Belum,”
gumamku perlahan lantas melemparkan kembali pandanganku ke jalan raya yang
tidak mahu bergerak. Mujur ada lagu-lagu yang berdendangan melalui radio di
dalam kereta lelaki ini.
“Streslah
tu?” Dia sekali lagi mengusikku.
Aku
menjeling. “I bukan bos macam you. Kalau I bos, dah lama I ganti segala barang
antik kat ofis tu dengan yang baru.”
Kata-kataku
mengundang geli di hatinya. “Tak apa. Nanti bila lepas kita kahwin, kita
sama-sama fikirkan masalah you tu. Kalau bos you tu buat perangai kedekut dia
lagi, berhenti kerja. Tak payah nak stres-stres lagi. Okey?”
Aku
tergelak. Entah kenapa, aku terasa lucu. “Ya ke kita nak kahwin?” Ayat itu
benar bahawasanya kami akan berkahwin tidak lama lagi. Tetapi aku tetap masih
tidak mampu untuk mempercayainya.
“Kenapa?
Tak percaya lagi ke?”
Aku
sengaja membiarkan tawaku terus kedengaran.
“Bukan
senang nak pujuk you tu.”
Aku
memandangnya. Ah! Mungkin ini takdir yang terbaik untuk aku. “Perempuan kenalah
jual mahal sikit. Takkanlah lamaran datang terus nak cakap ya.
Sekurang-kurangnya, perlulah fikir dulu. Kira untung ruginya... baik buruknya.
Alahai, cik abang... takkanlah itu pun tak boleh nak fikir?”
“Aik?
Itu yang sebenarnya sampai I kena tunggu berbulan-bulan lamanya untuk jawapan
you?”
Aku
diam sahaja.
“Cara
you cakap, macamlah kita baru kenal.” Dia menebak aku lagi dengan kata-katanya.
“Baru
tak barunya, Encik Rizan... ini bukan hal main-main. Sekali dah terikat,
terikat sampai bila-bila.”
“You
buat hal perkahwinan, pernikahan ni macam satu urus niaga.”
Aku
tersengih. “Mestilah. You beli, I jual.”
Rizan
memandangku. Kemudian dia menggeleng-geleng kepalanya. “Jangan fikir macam tu.
Perkahwinan tu satu perkara yang baik. Perkahwinan satu ikatan. Ikatan antara
lelaki dan perempuan yang sayang menyayangi, cinta mencintai antara satu sama
lain. Ikatan itu untuk membolehkan dia menyentuh isteri dia dengan cara halal,
menyanjungi, memelihara, melindungi orang yang paling dia sayang dalam
hidupnya. Dan I tak pernah rasa I membeli you dari mama dan abah you. Lebih
tepat kalau I cakap I nak memiliki you. Memiliki sesuatu yang I idamkan dan
hidup bersama sehingga kita mati. I jadi milik you, you jadi milik air. Adil
kan? Itu pun kalau jodoh kita kuat dan diizinkan ALLAH.”
Aku
tersentak. Kenapa aku tidak berfikir sepertimana dia berfikir? Dan kenapa aku
tidak berkata-kata sepertimana dia berkata-kata? Rizan sangat memahami dalam
hal ini. Aku terasa diriku seperti wanita yang tidak berguna. Tidak langsung
peka dengan hubungan kami berdua. Hakikatnya, aku bukan begitu. Aku bukan
wanita yang sedang dilamun cinta dengan lelaki yang dicintainya. Aku bukan
wanita yang benar-benar di alam percintaan.
Fikiranku
mula semakin jauh meninggalkan diriku setiap kali berfikir tentang cinta. Apa
maksud cinta bila aku di sisi Rizan? Mampukah aku berbicara tentang cinta
sedangkan aku sendiri tidak mengetahui apa itu cinta yang sebenarnya biarpun
aku kini berada di pertengahan jalan menuju gelaran sebagai seorang isteri
kepadanya? Enam tahun mencari cinta, tapi jika apa yang aku rasakan ini adalah
cinta, maka tiada yang istimewa tentangnya. Aku akur dengan rancangan yang
telah ditetapkan oleh kedua-dua orang tua kami. Bukankah ada ganjaran dan
hikmahnya jika seorang anak itu patuh dengan apa yang ditetapkan oleh kedua-dua
orang tuanya ke atas dirinya?
Tiba-tiba,
aku dibawa kembali ke seminggu yang lalu. Ketika aku sedang menikmati makan
tengah hari bersama Zila, teman baikku.