Home Novel Cinta Ex Aku Gila!
Ex Aku Gila!
liza nur
13/11/2013 02:26:23
91,143
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 14

Bab 14

Tangannya mendakap peha, rapat ke dada. Postur tubuhnya membulat atas tilam bagaikan tenggiling. Sudah hampir dua jam dia berbaring tapi matanya belum jua dipejamkan. Dia memikirkan Izam, memikirkan masa depannya. Adakah dia patut melepaskan Izam dan mencari cinta yang lain? Mampukah dia jatuh cinta lagi setelah berkali-kali dikhianati dan dilukai. Luka yang lama sendiri belum sembuh. Sufi memandang skrin handphone, tak ada mesej dari Izam.

Ding dong! Ding dong!

Bunyi doorbell mengejutkan Sufi. Dia menyapu tapak tangan dibawah mata. Kononnya, mahu mengesat air mata sedangkan air matanya sudahpun kering. Tak ada apa yang perlu hendak dikesat. Dia mengengsot ke pinggir katil sebelum berlari ke tingkap. Tak ada sesiapa yang sedang menanti di luar pagar. Tapi, dia tidak berpuas hati. Barangkali dia tidak perasan. Barangkali Izam ada di sana untuk memujuknya.

Tanpa berlengah, Sufi berlari turun ke tingkat bawah. Dia mengintai dari lubang kecil atas pintu. Tak ada sesiapa di luar. Adakah dia berangan? Atau barangkali ada makhluk lain yang cuba mengusiknya. Bulu tengkuk Sufi rasa meremang semacam. Dia menelan sisa air liur yang ada ke dalam anak tekak. Haus pula rasanya.

Sufi baru hendak melangkah ke dapur apabila ada ketukan kecil di pintu. Dia mengintai lagi tetapi tak ada sesiapa di luar.

“Fi!”

Panggilan itu membuatkan mata sepetnya membulat sedikit. Tanpa berfikir panjang, dia terus menarik daun pintu dengan laju.

“Hash?”

Hashir senyum.

“Hash buat apa kat sini? Macam mana boleh sampai sini? Mana dapat baju tu? Hash curi ya?” soal Sufi bertalu-talu terkejut melihat Hashir mengenakan pakaian attendant hospital.

Bagaimana Hashir boleh mendapatkan pakaian seragam seperti itu? Bukankah Hashir sepatutnya ditahan di wad kerana suhu badannya yang tinggi.

“Entah,” jawab Hashir sambil tersengih, bagaikan semuanya itu hanya gurauan. Sedangkan mata tertutup, letih dengan perjalanan panjangnya tadi. Letih memikirkan cara untuk menyusahkan hidup Sufi. Letih. Letih. Letih. Hashir membuka mata kembali perlahan-lahan.

“Pergi balik, boleh? Jangan datang sini lagi,” tengking Sufi, cuba menyinga meskipun nada suaranya masih perlahan kerana takut akan mengejutkan jiran-jirannya yang barangkali sudah terlena.

“Nak makan. Lapar,” ucap Hashir.

“Nak makan, pergilah kedai!” suruh Sufi.

“Tak ada duit,” luah Hashir.

Kalau dia punya wang, tidaklah dia terpaksa menumpang sebuah lori untuk sampai ke rumah Sufi. Mujurlah pemandu lori itu sanggup mempercayai cerita autanya. Kalau tidak, tidur di kaki limalah jawabnya.

Ah, Hashir memang ada banyak idea bernas untuk kelentong orang! Menipu mamanya, Amira adalah kepakarannya sejak kecil. Walaupun Amira peka, dia selalu tertipu, percayakan Hashir sebelum Adelia memecahkan tembelang Hashir.

“Pergilah bank!” suruh Sufi.

“Bank mana buka. Dah pukul 12 malam. System dah shut down. Lagipun, mana ada wallet Hash dengan Hash. Mama pegang. Semua kad kat dalam wallet,” jelas Hashir. Dia tahu Sufi masih prejudis.

“Ish, menyusahkan orang!” jerit Sufi. Dia mencangkung berdekatan Hashir, cuba membantu lelaki gila itu bangun.

“Fi, nak cium sikit,” usik Hashir nakal.

Pang! Satu tamparan melekap di mukanya. Berbekas lima jari Sufi atas pipi Hashir yang kemerahan. Hashir terus terhantuk ke dinding. Matanya hanya terbuka segaris. Pipi kanannya masih melekat di dinding, tidak diangkat. Buat seketika, dia tidak mampu melihat atau mendengar.

“Hash?” panggil Sufi.

Hashir tidak menjawab.

“Hash!” jerit Sufi.

Hashir masih kaku di situ.

Sufi menyeret Hashir masuk ke dalam rumah dan membiarkan dia terbaring atas karpet di ruang tamu. Pintu depan dibiarkan ternganga supaya orang yang lalu-lalang tampak kelibat mereka. Takut pula nanti diserkup JAIS. Manalah hendak diletakkan batang hidungnya nanti.

Langkah kalang-kabutnya diatur ke ruangan dapur. Dia cepat-cepat membasah tuala buruk yang diambil di sebelah sinki. Tuala tadi dibawa ke depan dan ditempek ke muka Hashir. Terbatuk-batuk Hashir apabila lubang hidungnya diserkup dengan bau-bauan tidak enak dari tuala buruk itu. Dia hampir lemas.

“Nasib baik hidup lagi,” luah Sufi sambil menghela nafas lega.

“Hoi!” jerkah Hashir. Dia menggagahkan diri untuk bangun duduk, bersandar dekat meja kayu di ruang tamu.

“Mana ada orang revive orang macam ni. Gunalah CPR ke. Bantuan dari mulut ke mulut ke. Ni tempek kain buruk basah kat muka! Kau ni bodoh ke apa?!” jerkah Hashir, terlupa yang dia ke situ tanpa izin Sufi. Dia sepatutnya bersyukur Sufi tidak membiarkan dia terbaring di luar sendirian sampai ke esok pagi.

“Bantuan mulut ke mulut? Bukannya kau tu lemas!” tempelak Sufi.

“Heeee... geramnya aku! Jadi, gila aku dengan kau ni!” luah Hashir, tidak dapat menahan rasa geram.

“Dah memang kau tu gila,” balas Sufi semula.

Hashir menjegilkan mata.

“Dah, pergi balik!” suruh Sufi.

Hashir mengeluh.

“Kau tengoklah aku ni. Kau ingat aku berdaya nak balik rumah dalam keadaan macam ni? Bagilah aku makan dulu,” luah Hashir dalam nada suara yang lebih rendah, cuba meyakinkan Sufi yang dia tidak berkudrat.

“Isy, datang sini, larat! Balik tak larat pulak! Sekali aku tempeleng baru tau!” ugut Sufi, marah.

“Kan dah tempeleng tadi. Dua kalilah tempeleng, bukan sekali,” luah Hashir mengingatkan Sufi.

“Kau yang cari pasal,” balas Sufi, menegakkan keadilan untuk diri sendiri. Tak ada sesiapa di situ untuk menegakkan keadilan bagi pihaknya.

“Tolonglah, Fi. Kau ingat aku teringin nak cium pipi keding kau tu? Apa kau ingat kau lawa? Tolonglah jangan buat aku muntah kat sini,” ejek Hashir.

Sufi merengus geram.

“Hah, kalau dah muka aku ni buruk sangat kat mata kau, pergilah balik! Nyah kau dari sini! Nyah! Nyah!” marah Sufi.

“Memang nak balik. Tapi, lepas makanlah. Sekarang aku nak jalan pun tak larat tau,” luah Hashir.

“Eeee!” luah Sufi, geram. Kalaulah diikutkan hatinya, mahu dicekaknya rambut Hasyir. Mahu dihantukkan kepala lelaki itu ke meja berkali-kali. Ah, alangkah indahnya kalau dia dapat berbuat begitu sekarang. Tetapi, sayang. Dia masih dibengkung dengan pemikiran rasional. Dia tak boleh tunduk pada telunjuk hawa nafsu.

“Cepatlah masak!” suruh Hashir.

Sufi mengatur langkah ke dapur semula. Dia mendoakan ada baki bubur dan sup yang dimasaknya tadi tertinggal dalam periuk untuk dipanaskan. Tetapi, harapannya hanya tinggal harapan. Akma sudah menghabiskan semua makanan yang ada. Dia terpaksa memasak semuanya semula. Kerja potong-memotong dimulakan sekali lagi. Nasib baiklah ada sup bunjut Adabi dalam kabinet dapur. Mudah sedikit kerjanya.

Selepas mereneh sup dan sambil menunggu sehingga ia masak, Sufi membasuh beras untuk menyediakan bubur nasi. Dia menggunakan periuk manual, takut kalau dia menggunakan rice cooker, bubur nasinya akan menjadi keras seperti nasi. Mengikut resepi mamanya, dia memasukkan lobak merah, ubi, bawang dan ikan bilis ke dalam bubur nasinya untuk menambah perisa.

Lebih setengah jam Sufi di dapur. Hashir sudahpun menjadikan ruang tamu rumahnya seperti rumah sendiri. Dia sudah melabuhkan punggung atas sofa sambil menonton DVD yang diambilnya dari dalam laci yang bertajuk Freedom Writers. Cerita yang boleh dijadikan inspirasi hidup seperti selalu. Sufi gemar kisah-kisah seperti Freedom Writers, Crash, Coach Carter, October Sky, I’am Sam dan Fat Albert. Cerita yang kononnya banyak iktibar. Berbeza dengan Hashir yang lebih gemarkan action movies. Tak mengapa kalau cerita itu tidak mempunyai pengajaran. Asalkan ada scene tembak-menembak, terjun-terjun dan barang-barang meletup, Hashir akan teruja untuk menontonnya.

“Dah boleh makan,” suruh Sufi yang sedang menatang sebuah dulang ke meja makan makan.

“Aku nak makan kat sini,” balas Hashir.

“Meja makan ada. Nanti tumpah susah. Kau tu bukan larat sangat kan,” ujarnya sambil menyusun beberapa majalah dekorasi yang berselerak atas meja.

“Kau suap,” luah Hashir, mengada.

“Nak kena pelempang lagi?” soal Sufi dalam nada mengugut. Dia meletakkan dulang yang diimbanginya dengan satu tangan ke atas meja.

“Kalau kau tak nak suap, aku tak makan. Kalau aku tak makan, aku tak kenyang. Kalau aku tak kenyang, aku tak balik. Kau ada dua opsyen untuk halau aku. Satu, suap aku makan. Dua, kau boleh panggil polis untuk tahan aku dan buat riuh satu kawasan perumahan ni,” luah Hashir.

Sufi mengeluh.

“Aku tak tau macam mana mama kau bela kau dari kecil,” sungut Sufi sambil menggelengkan kepala.

“Sebab tu syurga bawah tapak kaki ibu,” balas Hashir tanpa berfikir panjang. Dia menyandarkan tubuh ke belakang.

“Isy,” luah Sufi sepatah, melepaskan geram.

Sabarlah wahai hati. Kau tak mahu bergelar pembunuh. Jangan musnahkan masa depan kau kerana si gila ini, luah hati Sufi. Dia mengangkat dulang berisi semangkuk bubur, semangkuk sup dan segelas air ke ruang tamu. Dulang tadi dilabuhkan ke atas meja kayu di depan Hashir.

“Aaaa...” luah Hashir sambil mengangakan mulut.

Sufi duduk di sofa yang terletak sembilan puluh darjah dari Hashir. Dia menyudu bubur nasi ke dalam sudu.

“Nah,” ucapnya sambil memasukkan bubur tadi ke dalam mulut Hashir.

“Ah!” luah Hashir sambil mengibas-ngibas mulut, menahan hangat yang teramat. Bubur nasi yang disediakan Sufi masih panas. Masih belum sesuai untuk dimakan. Rasa bagaikan hendak melecur lidah.

“Panas!” marah Hashir.

Sufi menunjukkan riak wajah selamba meskipun sebenarnya hati Sufi dikocak rasa bersimpati.

“Sakit,” keluh Hashir.

Sufi menghulurkan gelas air masak yang sudah dituangnya.

“Okay?” soal Sufi.

Hashir tidak menjawab.

Mengada, tempelak hati Sufi. Sufi menyudu bubur nasi yang dimasaknya. Kali ini, dia mendekatkan ia ke bibir dan menghembusnya perlahan-lahan, cuba menurunkan suhunya. Hashir tersentak melihat perbuatannya. Setelah selesai dihembus, barulah dia menghulurkan kepada Hashir.

“Hembus kuat-kuat macam tu. Entah-entah dengan hingus dan air liur pun tertumpah atas makanan,” ejek Hashir.

Sewaktu Sufi mahu menarik sudu tadi semula, Hashir cepat-cepat mengangakan mulut dan makan isinya. Sufi pula yang tersentak kali ini.

“Tadi, geli sangat,” ejek Sufi semula.

Hashir hanya membatukan diri, berpura-pura tidak mendengar. Matanya difokuskan ke kaca televisyen, melihat riak wajah tabah Hillary Swank. Hanya mulutnya sahaja yang dingangakan setiap kali Sufi mahu menyuapkan bubur dan sup.

“Dah habis,” luah Sufi setelah setengah jam menyuapkan Hashir sup dan bubur nasi tanpa henti.

“Kejap, movie belum habis,” luah Hashir.

Sufi melepaskan sudu ke dalam mangkuk kosong. Lepas satu satu pula. Tadi, Hashir cakap dia akan pulang selepas habis makan. Sekarang, dia mahu menonton filem Freedom Writers yang tak pernah diminatinya selama ini sampai habis.

Macam-macam kerenah lelaki itu. Mujurlah dia masih sakit. Kalau tidak pasti Sufi sudah menolaknya keluar sekarang. Sufi bersandar ke belakang, penat. Kemudian, dia duduk tegak semula, takut kalau-kalau terlelap di depan Hashir. Lelaki itu bukannya boleh dipercayai sangat.

Berat pula rasa matanya. Kalau tadi dia tak boleh tidur. Sekarang, dia tak sabar-sabar pula hendak tidur. Bilalah Hashir hendak balik? Tak bolehkah kalau dia menekan saja butang forward pada remote control.

“Kenapa kau lari dari hospital?” soal Sufi sebelum menguap.

“Kenapa kau kena sibuk? Suka hati akulah nak lari hospital ke apa. Kau kerja kat hospital?” soal Hashir kembali.

“Fine. Malas aku nak layan kau!” ngomel Sufi.

“Dasar pemalas,” balas Hashir tanpa memandang Sufi.

“Kau ni kan... Susah tau. Cakap tu tak kena. Cakap ni tak kena,” tempelak Sufi, geram.

Hashir tersengih.

Sufi menyandarkan tubuhnya ke belakang kembali. Dia memejamkan mata sekejap. Kemudian, membuka mata semula. Tak lama kemudian, dia menutup mata kembali. Ya Tuhan. Mengapa berat sungguh matanya hendak terus berjaga. Tadi, hatinya resah. Risau dan takut bercampur-baur sampai matanya senantiasa celik. Sekarang, entah mengapa pula rasa mengantuknya datang. Adakah hati yang resah kini kembali tenang? Tenangkah? Atau barangkali dia terlalu letih.

Pandangan Hashir jatuh pada Sufi yang sudah terlelap. Sesekali dia menggerakkan jari-jemarinya di atas peha sendiri, seolah-olah dia masih sedar. Tetapi, Hashir tahu dia sudah lena. Sejak tadi, dia langsung tidak mengangkat kelopak mata. Adakah dia bermimpikah sesuatu yang indah? Atau barangkali semua mimpi yang mengulit tidurnya hanyalah mimpi ngeri sejak Hashir hadir semula ke dalam hidupnya?

Previous: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.