Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,337
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
3

      “Sampai bila Along nak membujang?” tanya ibu di atas tikar sejadah.  Wajahnya kelihatan bersih memandangku dengan penuh kasih sayang.  Susuk tubuhnya semakin mengecil kian hari terselindung di balik telekung putihnya itu.  Aku sering bertemu dengannya tatkala dia sedang berada di atas tikar sembahyang ataupun di ruang tamu hadapan semasa dia sedang mengaji.

      “Entahlah ibu.  Along tak terfikir perkara – perkara macam itu.  Tak berkesempatan pun nak memikirkannya,” jawab aku dengan malas sambil bersila di sebelahnya.  Lama sungguh aku tidak menjenguk ibu dan ayah. Hampir dua bulan lamanya.  Hidup aku terasa lintang – pukang dengan kesibukan yang memanjang.

      “Ibu bukan apa.  Fikirkan nanti siapa nak jaga Along selepas ibu dengan ayah tiada esok,” ujar ibu sambil memandang tepat ke wajahku.

      Aku ketawa secara tiba – tiba.  Tidaklah berniat untuk memperkecilkan maksud ibu tetapi ayat itu terasa lucu.  Terutama pada usia begini apabila aku sudah berupaya meneraju syarikat dan bekerja keras menanggung lapan puluh pekerja.  Lapan puluh keluarga.  Didarab dengan empat mulut bagi purata satu keluarga.  Tiga ratus dua puluh mulut yang perlu disuap tiap – tiap bulan dan dijaga.

      Ibu memandangku lagi.  Kali ini mengerutkan dahinya.  Kerisauan jelas terpancar dari sepasang matanya yang sudah tua.  Yang sudah melalui pelbagai onak dan duri kehidupan untuk membesarkan aku adik – beradik.  Dialah tonggak keluargaku.  Sungguhpun dia tidak banyak bercakap, tetapi kami adik – beradik selalu mengadu dengannya apabila berdepan dengan masalah.  Dia amat memahami kerenah anak – anaknya.  Itu sebabnya dia jarang berleter atau memaksa aku pulang ke rumah melawatnya lantaran memahami tuntutan kerjayaku.  Hanya sekali – sekala dia akan menelefon menanyakan khabar.  Itupun adakalanya secara pesanan ringkas supaya jadual kerjaku tidak terganggu.

      Aku terdiam kembali menyedari kerisauan di sebalik soalannya itu.  Sejujurnya aku tidak punya apa – apa alasan untuk diberikan kepada ibu.  Untuk menyedapkan hatinya supaya dia tidak lagi risau.  Kata – kata ibu tadi ada benarnya bila aku fikir – fikirkan semula.

      Aku menarik nafas panjang dan mengeluh.  Bagaimana harus aku katakan pada ibu bahawa hati ini masih tidak terbuka.  Boleh sahaja aku minta ibu pilihkan sahaja mana – mana gadis yang ibu rasakan sesuai bagiku, tetapi itu seolah – olah menipu diriku sendiri.

      “Agaknya jodoh Along sesat barat agaknya, tak sampai – sampai lagi,” aku cuba berseloroh.  Dari hujung mata aku melihat ibu tersenyum.

      “Entah – entah sekolah pun belum habis lagi agaknya,” kali ini aku tersengih sendiri.

      Ibu hanya menggelengkan kepala.  Begitulah anak sulungnya ini.  Perkara yang serius sebegini sentiasa sahaja dibuat main.  Langsung tidak boleh dibawa berbincang.

Previous: 2
Next: 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.