Bab 27

BAB 27

"ALYNA..."

Aku langsung tak berpaling saat dia memanggil namaku. Hati aku bagaikan disiat-siat tika memandang wajahnya itu. Memang dulu aku pernah ungkapkan, sekiranya aku berjumpa dengan dia semula, aku nak dengar penjelasan dia. Tapi entah kenapa sekarang dia berada di hadapan aku, perasaan tu berubah. Sakit. Tak boleh nak terangkan macam mana perasaan sakit itu.

"Alyna... pandang abang...," suruhnya dengan nada lembut.

Kini, kami berada di taman belakang hospital itu. Dia menarik aku sehingga ke situ dan duduk di atas bangku menghadap sebuah tasik yang besar dan cantik. Mata aku hanya terpaku pada air tasik yang tenang itu.

"Alyna, abang tahu Alyna marah dekat abang. Abang pergi tinggalkan..." Belum sempat dia menghabiskan percakapannya, aku menoleh menatap wajahnya yang seperti serba salah itu. Kolam air mataku sudah kembali bertakung saat memandang wajahnya itu.

"Siapa yang tak marah, kalau orang yang dah selalu rapat dengan dia tiba-tiba hilang macam tu? Kalau kat tempat abang, apa perasaan abang? Kita percaya orang tu tapi dia menghilang macam tu tanpa khabar berita. Sakit tau!"

Aku kembali menangis teresak-esak sambil menekup wajahku.

"Ab... abang buat semua ni..."

"Bersebab?" Aku memotong percakapannya sekali lagi. Sungguh hati aku perit dan emosi mula tidak stabil.

"Alyna, pleaseLet me..."

Laju aku menggelengkan kepala.

"No need. I don't need your explanation. Abang dengan Aly dah tak ada apa-apa hubungan. I am not your student anymore and you're not my mentor," ujar aku dengan nada perlahan. Ada sedikit rasa penyesalan tatkala aku mengungkapkan ayat-ayat itu.

Aku dengar dia melepaskan keluhan panjang.

"Aly, abang tak kisah Aly nak benci abang sekali pun tapi hal ni, jangan kaitkan dengan program latihan industri Aly."

Aku terdiam seketika. Apa yang dia cakap memang betul, aku tak boleh tukar tempat latihan industri sesuka hati tanpa sebab. Sudahlah hospital ni tempat praktikal yang selama ini aku impikan, sudah semestinya aku takkan lepaskan.

"Aly akan teruskan," beritahu aku perlahan.

"Baguslah. Abang akan bantu Aly untuk skor latihan industri kali ni tapi satu je abang minta tolong dekat Aly." Perlahan aku menoleh semula ke arahnya. Di bibirnya terlorek satu senyuman. Senyuman yang aku rindui selama ini.

"Apa dia?" soal aku dengan nada dingin. Nampak sangat ego sudah menguasai diri aku.

"Jangan beritahu sesiapa yang abang mentor, Aly. Hanya kita dan pihak hospital saja."

Aku tak bertanya banyak, sekadar menganggukkan kepala. Tetapi, hati aku bertanya juga kenapa nak tak boleh beritahu sesiapa?

"Alyna?"

Aku terasa satu tangan kekar menyentuh bahuku, secara refleks aku menepis perlahan tangannya itu.

"Baiklah, mari kita mulakan," ajaknya. Aku hanya mengekori langkahnya semula masuk ke dalam hospital. Ramai juga yang menyaksikan drama tadi tetapi aku hanya menebalkan wajah aku.

Krekk...

Aku terkejut melihat satu susuk tubuh yang sedang duduk menghadap meja kerja Luqman.

"Firdan?" soal aku seolah-olah tidak percaya. Dia hanya mengukirkan senyuman kecil dan menganggukkan kepala.

"Firdan dan kamu akan menjalani latihan industri di bawah pengawasan saya," beritahu Luqman sambil mengemas meja kerjanya itu.

"Tak sangka pula awak pun praktikal dekat sini." Wajah aku yang tadi keruh bertukar ceria. Aku nampak dari ekor mata, air muka Luqman berubah saat melihat wajah aku yang gembira dapat berjumpa dengan Firdan.

"Kita mulakan." Luqman bersuara tetapi hanya perlahan saja. Dia mengeluarkan beberapa buku modul lalu ditolak perlahan ke arah kami. Aku menyelak helaian demi helaian, sesekali aku mengerling ke arah Luqman yang sedang membelek telefon bimbitnya.

Pakai pun telefon! Ingatkan dah balik semula ke zaman purba. Ei! Benci aku. Aku punya chat dekat Whatsapp dengan call semua tak berbalas. Sampai hati dia! Tak apa, hari tu dia buat cabaran untuk aku tingkat prestasi aku. Kali ni aku pula yang buat cabaran tapi secara senyaplah.

Cabaran memulihkan semula hati aku ni kalau betul dia nak aku dengar penjelasan dia tu nanti

*****

"ALYNA..."

"Alyna... Ooh... Alyna..."

Aku tersentak dari lamunan sendiri. Luqman sudah berdiri terpacak di hadapan aku sambil kedua-dua belah tangannya diletakkan di belakang.

"Err... ya?" soal aku sambil membetulkan semula posisi aku.

"Awak dah kenapa tersengih-sengih, angau tengok saya ke Firdan?" Soalannya membuatkan wajah aku serta-merta menjadi merah bak buah delima.

"Eh! Mana ada! Dua-dua bukan," jawab aku dengan nada perlahan.

Firdan sudah menahan gelak manakala Luqman masih kekal dengan wajah seriusnya itu. Eleh! Entah-entah dalam hati dah gelakkan aku. Bukan boleh percaya dia ni.

"Oh... saya ingat awak dah jatuh cinta dengan saya tadi. Bukan main tenungnya muka saya. Saya tak naklah perasan tapi tulah kenyataan apa yang saya nampak tadi."

Aku merengus. Segera mengubah posisi menghadap patung manequin yang terbaring di atas katil wad itu.

Panas hati!

"Eh, eh! Nak buat apa dengan patung tu? Mati juga patung saya tu."

Aku mengetap bibir perlahan sambil menggenggam penumbuk di tangan kiri. Dia memang sengaja nak keluarkan semula perangai sinis dan sindir dia tu. Sabar jelah!

"Kata nak buat latihan kan, saya betulkanlah patungnya. Senget tadi!" jawab aku dengan nada sebal.

"Ya, saya tahu tapi saya tengok cara awak betulkan patung tu kasar sangat. Kalau pesakit sebenar mahu mati cepat nanti. Nanti dia ingat awak suruh dia 'hashtag sila meninggal'..." Sindiran Luqman memang sangat menyakitkan hati aku. Selamba badak dia je cakap macam tu. Si Firdan tu agaknya dah tak boleh tahan gelak, mengekek-kekek ketawakan aku.

"Dah... dah... karang sampai esok kita bertapa dekat dalam bilik latihan pembedahan ni. Okey... fokus. Saya akan ajar langkah demi langkah. Sila beri perhatian sepenuhnya."

Aku langsung tak beri sebarang respons, Firdan pula cuba menghentikan sisa baki tawanya itu dan mengambil tempat dekat dengan Luqman. Dia yang buat lawak lepas tu nak salahkan aku. Aku tembak juga manusia dekat depan ni. Sabar jelah! Bukan nak pujuk aku ke apa? Lagi nak menyakitkan hati aku adalah. Saja je dia nak cari pasal dengan aku.

Dari dulu sampai sekarang sama je. Tak berubah!


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.